Melihatkan situasi semasa di mana berlaku kenaikan harga aset dan barang, anda akan mendapati bahawa golongan berada semakin kaya sedangkan golongan yang tiada semakin terasa.
Memandangkan golongan berada sebahagian besarnya memiliki aset, maka nilai bersih (net worth) mereka semakin bertambah. Ini bermakna situasi kenaikan harga ini telah membawa manfaat kepada mereka.
Apabila saya menyebut golongan berada, maksud saya ialah orang yang mempunyai nilai bersih (semua aset tolak semua liabiliti) yang tinggi, tidak semestinya mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi. Inilah definisi yang digunakan oleh penulis buku The Millionnaire Next Door, yang menyelidiki sifat dan ciri orang kaya.
Bayangkan, jika anda memiliki sebuah rumah teres di kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur yang berharga RM300,000 5 - 6 tahun lepas, nilai rumah tersebut pasti naik sekali ganda kepada RM600,000.
National Property Information Centre
Walaupun kenaikan mendadak seperti itu tidak mungkin berlaku sekali lagi untuk tempoh 5 - 6 tahun akan datang, tetapi inilah contoh manfaat memegang aset. Jika anda tinggal di rumah tersebut, maka anda mendapat manfaat kerana tidak perlu membayar sewa.
Jika anda menyewakannya pula, sewa tersebut merupakan pulangan bagi andayang boleh digunakan untuk membayar sebahagian atau seluruh ansuran pinjaman. Ini selain daripada kenaikan harga hartanah.
Begitu juga mereka yang memiliki saham atau unit amanah, terutamanya yang beli dan pegang untuk jangka panjang atau yang melabur secara konsisten Nilai bersih mereka juga telah meningkat. Lihat kenaikan indeks pasaran saham sejak lima tahun lepas.
Yahoo Finance
Namun begitu bagi mereka yang tidak memegang aset, menyewa kediaman mereka dan hanya mempunyai jumlah simpanan yang kecil sahaja, situasi kenaikan harga barang dan aset pasti membebankan.
Pada pendapat saya, usaha untuk mengeluarkan golongan memerlukan daripada kesusahan perlu dimulakan dengan pendidikan tentang pentingnya memegang aset, yang turut membabitkan proses menambah simpanan.
Pemberian bantuan kewangan dalam bentuk tunai sahaja sebahagian besarnya sia-sia jika wang tersebut terus dibelanjakan, tanpa sebarang tabungan. Dalam jangka masa yang singkat, bantuan akan diperlukan lagi, dan kitaran tersebut akan berulang.
Justeru, tidak kira berapa usia dan kedudukan ekonomi anda, sama ada baru keluar sekolah, atau sudah lama bekerja dan berkeluarga, usaha mengumpulkan aset yang menjana pulangan untuk anda adalah sesuatu yang penting untuk masa depan.
Tetapi kuncinya bagi saya ialah aset yang menjana pulangan, kerana apabila aset tersebut menghasilkan keuntungan bagi anda, maka sekurang-kurangnya nilai asas atau intrinsic value aset tersebut wujud, dan ia tidak akan turun naik semata-mata atas permintaan dan bekalan.
Selain itu, membeli aset juga perlu dilakukan dengan teliti, iaitu pada harga yang setimpal. Membeli aset pada harga yang terlalu tinggi boleh menimbulkan kerugian dan menyebabkan nilai bersih anda merosot.
Pross membeli dan mengumpulkan aset perlu dilakukan dengan bijak. Walaupun untung besar lazimnya diperolehi apabila memegang aset yang baik untuk jangka masa panjang, ada masa tertentu kita perlu menjual sebahagian daripada aset kita dan menambahkan pegangan dalam bentuk tunai.
Apakah jenis-jenis aset yang boleh kita perolehi dan manfaatkan? Saya akan terangkan pada Bahagian 2 yang bakal disiarkan dalam masa beberapa minggu akan datang.