18 November, 2013

Pelaburan Wenger Dalam Aaron Ramsey Berhasil

Cara Wenger Mengikat Ramsey Di Bawah Kontrak Pada Gaji Berpatutan Tahun Lepas Mirip Seorang Value Investor

Sekitar setahun lepas, Arsene Wenger, pengurus pasukan Arsenal, telah membuat keputusan untuk menawarkan kontrak jangka panjang baru kepada Ramsey.

Prestasi Ramsey setakat itu tidak begitu memberangsangkan. Dua tahun sebelumnya kaki beliau hampir ranap akibat sliding tackle daripada Ryan Shawcross. Sesetengah pihak meragui keupayaannya untuk pulih kembali.


Gambar daripada BBC

Ramai peminat Arsenal tidak puas hati dengan prestasi Ramsey. Malah ada yang mahu Arsenal melepaskan pemain ini, dan seorang dua penyokong selebriti terkenal Arsenal mempersoalkan pertimbangan dan kebijaksanaan Wenger.

Dalam masa setahun, segala pandangan dan tanggapan telah berubah sama sekali. Sejak menandatangani kontrak itu, prestasi Ramsey semakin hari semakin baik dan kini merupakan salah seorang pemain tunggak Arsenal pada musim ini.

Sekiranya kontrak tidak ditandatangani tahun lepas dan perbincangan hanya dimulakan tahun ini, sudah tentu gaji yang diberikan kepada Ramsey akan melebihi 100,000 paun seminggu yang diterima oleh Theo Walcott dan Lukas Podolski.

Walaupun kita tidak tahu nilai sebenar kontrak Ramsey, berasaskan laporan akhbar saya rasa Wenger perlu membayar sekali ganda nilai kontrak jika menunggu selepas pemain ini mencatatkan prestasi baik sebelum menawarkan kontrak.

Lebih menarik lagi, nilai Ramsey sekarang mungkin berkali-kali ganda jika dijual berbanding sekiranya Wenger membuat keputusan mendengar pandangan peminat dan menjualnya pada tahun lepas.

Bagaimana kisah ini boleh dikaitkan dengan seorang value investor

Sebenarnya untung paling besar diperolehi bila kita membeli sesuatu saham apabila saham tersebut belum popular dan belum mendapat perhatian pelabur lain secara umumnya. 

Sekiranya kita tunggu sehingga syarikat mencatatkan prestasi cemerlang sebelum membeli, harga saham sudah pasti akan naik untuk mencerminkan prestasi terbaru syarikat sejurus selepas keputusan lebih baik tersebut diumumkan.

Pelabur masih boleh untung jika menggunakan taktik menunggu sehingga keputusan cemerlang diumumkan, cuma untungnya mungkin tidak setinggi jika membeli sebelum saham tersebut mendapat perhatian ramai.

Memanglah tiada jaminan bahawa Ramsey akan mencatatkan prestasi yang baik dan membalas balik kepercayaan yang ditunjukkan oleh Wenger, tetapi itulah risiko yang perlu diambil untuk meraih 'keuntungan' besar.

Bagi Wenger, ini bukan satu risiko baginya kerana beliau tahu potensi dan keupayaan Ramsey. Kita juga boleh mengurangkan risiko dengan mengkaji dan menilai potensi dan keupayaan syarikat yang kita beli dengan teliti.

Tiada ulasan: