27 November, 2013

Bimbang Tentang Paras Indeks? Fokus Pada Nilai

Sukar untuk ramalkan pasaran, sebaliknya tumpukan pada nilai syarikat

Kebelakangan ini, saya ada menerima beberapa pertanyaan tentang paras indeks yang tinggi. Di samping itu, ada juga yang mengulas bahawa saham kini semakin hangat dan diminati umum dan ini merupakan petanda bahawa kita mungkin mencapai paras 'bubble'.

Yahoo Finance

Satu lagi faktor yang membimbangkan beberapa pihak ialah semakin banyak kursus tentang saham yang mengambil kesempatan daripada kehangatan ini dan mungkin mewujudkan senario yang sama seperti kenaikan emas sehingga tahun 2011.

Bila khalayak umum sudah mula melabur dalam emas dan makin banyak seminar dan buku mengenai emas diterbitkan, emas mencapai paras puncak dan harga mula turun.

Adakah perkara yang sama berlaku bagi saham? Terus terang saya katakan saya tidak tahu. Sepanjang saya terlibat dalam pasaran, satu perkara yang saya pelajari ialah jangan cuba meramalkan pasaran saham.

Warren Buffett, Peter Lynch, Ken Fisher, Jim Rogers dan ramai pelabur tersohor lain mengaku tidak boleh meramalkan pasaran. Inikan pula saya atau anda. Saya pun hairan dengan pelbagai 'pundit' di media cetak dan kaca TV yang membuat pelbagai ramalan tentang pasaran. 

Saya tahu banyak yang salah dan tiada yang boleh melakukannya dengan konsisten. Tetapi tiada siapa yang menyimpan rekod tentang ramalan mereka.

Perkara yang lebih berbaloi untuk dilakukan ialah memberi tumpuan kepada syarikat, keadaan ekonomi dan bagaimana syarikat tersebut akan perform dalam keadaan ekonomi semasa.

Biasanya apabila pasaran berada di paras yang terlalu tinggi, tanda amarannya ialah semakin sukar untuk mencari saham yang undervalued. Kriteria utama ialah membandingkan nilai syarikat dengan harga untuk menentukan sama ada sesuatu saham patut dibeli, dipegang atau dijual.

Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah indeks menggambarkan segmen tertentu pasaran atau pasaran secara keseluruhan, tetapi ada syarikat yang mungkin bergerak dengan cara berbeza daripada pergerakan indeks.

Sebuah syarikat yang meningkatkan untung biasanya tetap akan naik harganya dalam tempoh tertentu walaupun indeks jatuh atau mendatar dalam tempoh tersebut.

Secara peribadi, apa yang saya lakukan ialah apabila saya dapati sukar untuk mencari nilai di pasaran, iaitu fasa di mana harga saham sangat tinggi, saya akan kurangkan  pegangan saham dan tambah pegangan tunai.

Sebaliknya jika ada banyak saham pada nilai berpatutan, saya akan laburkan hampir kesemua wang dalam portfolio saya. Tetapi, saya tidak akan keluar sama sekali daripada pasaran saham dan akan menerima kejatuhan jangka pendek dalam portfolio apabila fasa penurunan berlaku.

Apa yang diharapkan ialah menerusi pemilihan saham yang betul, penurunan tersebut adalah terhad dan lebih rendah daripada kejatuhan seluruh pasaran, dan apabila kenaikan kembali berlaku, saham yang dipilih akan outperform prestasi pasaran.

Dalam jangka panjang, tempoh kenaikan saham jauh lebih banyak daripada tempoh penurunan dan selagi sesuatu syarikat mampu meningkatkan keuntungan dalam jangka panjang, harga sahamnya akan naik.

Kesimpulannya ialah jangan terlalu memikirkan tentang indeks, sebaliknya cuba fokus pada kualiti syarikat dan nilai berbanding harga. Dalam jangka panjang, strategi ini berpotensi memberikan anda pulangan yang konsisten dan memuaskan.

Nota Tambahan:
  1. Biasanya kejatuhan ketara selepas bubble berlaku apabila orang ramai begitu euforia tentang sesuatu aset. Saya lihat keadaan ini belum ke tahap itu lagi kerana media masih berhati-hati dan ramai yang bimbang tentang paras indeks, tetapi jika kenaikan ketara berterusan, ia berpotensi untuk sampai ke tahap tersebut. 
  2. Satu lagi faktor yang menyebabkan kemerosotan ketara ialah 'kejutan' atau shock kepada ekonomi, dan bagi saya satu potensi kejutan yang perlu diperhatikan dnegan teliti ialah pasaran hartanah.   
  3. Faktor terakhir yang boleh menyebabkan kejatuhan besar ialah keadaan ekonomi tetapi buat masa ini keadaan ekonomi masih lagi di paras stabil antara 4 - 5%. 

Tiada ulasan: