10 April, 2013

Pernah Saya Tulis Tetapi Tidak Saya Amalkan (Lagi)

Kini saya melabur 100% berdasarkan kekuatan asas perniagaan

Blog ini telah berusia beberapa tahun dan dalam tempoh itu saya banyak menulis tentang pelbagai teknik pelaburan, sama ada dalam blog atau buku.  Ada kaedah yang hanya ditulis untuk makluman pembaca sahaja tetapi tidak saya gunakan, manakala ada yang pernah digunakan sekali-sekala tetapi kini tidak diamalkan.

Berikut adalah beberapa teknik, jenis atau kaedah pelaburan yang tidak lagi atau tidak pernah saya amalkan dalam pelaburan peribadi.

Analisis Teknikal
Walaupun saya seorang pelabur fundamantals sejak dari dulu lagi, saya ada menulis sedikit tentang analisis teknikal dalam buku dan blog.  Saya pernah menggunakan satu dua petunjuk asas seperti purata bergerak 100 dan 200 hari, tetapi sekarang langsung tidak mengamalkannya. Carta masih saya gunakan, tetapi untuk melihat pergerakan harga berbanding dengan keputusan kewangan syarikat, bukan untuk analisis teknikal

Stop Loss
Stop loss kononnya penting untuk mengehadkan kerugian bagi traders.  Saya pernah menulis tentangnya dalam catatan blog awal dan menekankan bahawa ia penting untuk pedagang jangka pendek.  Saya pernah menggunakan stop loss sekali atau dua kali pada satu masa dulu apabila saya  'main saham' sekali-sekala tetapi sekarang semua keputusan untuk menjual beli saham saya buat semata-mata berasaskan kekuatan asas syarikat.

Sebarang Bentuk Waran, Derivatif dan Dagangan Mata Wang
Saya pernah menulis tentang waran, derivatif dan dagangan mata wang.  Tujuannya ialah untuk memberikan maklumat kepada pelabur. Tetapi saya tidak terlibat di dalamnya dan kali terakhir saya melabur dalam waran ialah bertahun-tahun dahulu (saya pun tak ingat bila). Derivatif dan mata wang pula tidak pernah saya sentuh.

Melabur Berasaskan Ramalan Pasaran Atau Ekonomi
Pernah saya lakukan untuk menentukan peratus saham untuk dipegang tetapi tidak lagi diamalkan. Malah saya juga pernah membuat ramalan sendiri.  Selepas sekian lama melabur, saya mendapati tiada siapa yang boleh meramalkan dengan tepat kenaikan atau kejatuhan pasaran.atau ekonomi.  Sekarang ini saya memberi tumpuan semata-mata kepada prestasi syarikat, dan bagaimana ekonomi mempengaruhi prestasi tersebut.

Membeli Saham Dengan Margin
Lama dulu, saya pernah memiliki akaun margin.  Tetapi pada masa itu saya baru menceburi bidang saham dan belum ada pengetahuan kukuh tentang riba.  Perbankan Islam juga masih baru.  Pendek kata belum cukup ilmu. Ini sudah lama saya tinggalkan dan langsung tidak digalakkan, walaupun ada potensi untung besar dan walaupun kini terdapat instrumen pembiayaan Islam untuk membeli saham dengan margin.

Secara kesimpulannya, cara saya melabur adalah sangat, mudah, beli saham syarikat perniagaan yang baik pada harga berpatutan, dan nikmati pulangan dalam bentuk kenaikan harga dan dividen dalam jangka panjang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya selalu mencari peluang membeli saham-saham +- 50 sen yang 'teka' berpotensi naik. Contoh saham yang dibeli : daibochi, proot, ingress dll. Tetapi saya selalu jual awal, +- 1.00... Boleh Tuan beri analisa TAS. t/kasih.

Unknown berkata...

Salam,

Saya pun hadapi masalah sama dulu, iaitu jual terlalu awal, tetapi sekarang lebih bersabar sedikit dan tidak jual melainkan sudah benar-benar overvalues.

Saya akan tinjau TAS dan akan buat ulasan sekiranya memenuhi kriteria.

Terima kasih