25 April, 2013

Keuntungan Masa Depan Penentu Kenaikan Harga

Bagaimana untuk meramalkan untung masa depan syarikat?

Menurut sebuah buku bertajuk Value Investing, terdapat tiga sumber nilai bagi saham, iaitu kedudukan asetnya, keuntungan semasa dan juga pertumbuhan masa depannya.  Dua faktor pertama boleh diperolehi daripada laporan kewangan dan laporan suku tahunan. Tetapi faktor ketiga memerlukan penilaian dan pertimbangan dan merupakan penentu utama sama ada sesuatu saham akan naik atau tidak..

Sebenarnya kita tidak dapat meramalkan pertumbuhan untung masa depan dengan ketepatan 100%.  Kita hanya boleh menganggarkannya. Matlamat kita ialah untuk memastikan kita membuat penilaian terbaik.  Jika kita salah, kita cuba belajar dari kesilapan.  Jika faktor yang menyebabkan ramalan untung tersasar ialah faktor yang di luar dugaan, maka kita terima hakikat tersebut.

Itulah sebabnya kita perlu membina portfolio saham dan merupakan salah satu sebab kita perlu mempelbagaikan pelaburan. Tiada siapa yang boleh membuat ramalan dan analisis yang tepat seratus peratus.  Kunci kejayaan ialah membuat lebih banyak unjuran yang betul daripada yang salah. 

Sebagai contoh, jika anda mempunyai 10 saham dalam portfolio saham anda, dan ramalan anda tepat untuk 6 saham di mana harganya naik, anda tersilap dalam dua saham di mana harganya turun, manakala bagi dua saham lagi unjuran anda tidak berapa tepat tetapi anda tidak tersilap sepenuhnya dan harga saham mendatar sahaja, anda sudah menjadi pelabur yang berjaya dan akan mengatasi sebahagian besar pelabur lain.

Jadi kita kembali kembali kepada soalan, bagaimana untuk mermalkan untung masa depan?  Berikut adalah beberapa cadangan. Anda juga boleh membaca buku-buku lain mengenai saham untuk menambah ilmu dan mendapat idea lain yang boleh dimanfaatkan jika sesuai.

1.  Melihat trend untung masa lalu dan menilai kebolehpercayannya.
Pelabur boleh menilai rekod pencapaian 10 tahun dan jika syarikat mempunyai rekod yang konsisten, ini menunjukkan bahawa syarikat konsisten. Melainkan terdapat perubahan ketara dalam industri atau pengurusan, syarikat mungkin boleh meneruskan trend petumbuhan tersebut.

2.  Kualiti pihak pengurusan
Ini merupakan perkara subjektif. Saya selalunya meninjau penarafan yang diberikan kepada syarikat dalam buku Dynaquest Stock Performance Guide sebagai satu cara menilai pengurusan.  Selain itu kenyataan yang dibuat kepada media, dalam laporan tahunan dan juga semasa melancarkan produk boleh memberikan sedikit gambaran.  Keuntungan yang konsisten juga mencerminkan pengurusan yang berkualiti.

3.  Keadaan industri
Suasana industri merupakan faktor yang boleh mempengaruhi keuntungan pada masa depan.  Sekiranya industri dijangka berkembang pesat, kebarangkalian syarikat untuk mencatatkan keuntungan juga bertambah.

4.  Menilai perancangan syarikat
Tinjau bagaimana syarikat bercadang meningkatkan jualan dan keuntungan menerusi laporan tahunan, kenyataan media, siaran akhbar dan sebagainya, termasuk rancangan menambah kapasiti atau meluaskan pasaran.

5.  Mengkaji permintaan terhadap produk syarikat
Unjurkan sama ada produk atau perkhidmatan syarikat akan terus mendapat permintaan yang tinggi atau adakah syarikat akan menghadapi persaingan sengit disebabkan pertumbuhan dan pertambahan syarikat pesaing dalam industri. Selain itu, bagi sesetengah industri seperti komoditi, harga komoditi tersebut adalah faktor penting yang menentukan keuntungan masa depan syarikat.

6.  Keadaan ekonomi
Ekonomi sudah tentu akan mempengaruhi keputusan syarikat.  Semasa ekonomi gawat, banyak syarikat akan rugi atau mengalami kemerosotan untung. Tetapi ramalan ekonomi perlu dilakukan dengan teliti, kerana kadangkala pakar pun boleh tersilap.  Kalau boleh dapatkan sumber ramalan yang berbeza sebelum membuat kesimpulan.

7.  Membaca laporan penyelidikan tentang syarikat
Banyak syarikat di Bursa Malaysia diikuti oleh para penganalisis, yang akan menulis laporan mengenai syarikat secara berkala.  Laporan ini boleh didapati menerusi laman web Bursa Malaysia, syarikat broker anda, Internet atau ringkasan yang diterbitkan di akhbar kewangan seperti The Edge.

Tempoh Masa Pelaburan

Lazimnya tempoh masa pelaburan saya ialah 5 tahun.  Tempoh satu atau dua tahun terlalu awal untuk ramalan menjadi kenyataan.  Mungkin anda bernasib baik apabila kenaikan berlaku dengan serta-merta tetapi lazimnya anda perlu bersabar sedikit.

Malah dalam keadaan tertentu, untung syarikat mungkin memuaskan tetapi harga masih tidak naik-naik, mungkin kerana kurang perhatian daripada pelabur. Ini tidak menjadi masalah selagi syarikat terus mencatatkan prestasi yang baik

Tetapi selepas tempoh tertentu, jika ramalan anda nampak seperti tidak tepat disebabkan prestasi syarikat lebih lemah daripada yang dijangka, maka anda perlu bersedia untuk menjual saham tersebut pada harga terbaik yang boleh diperolehi, walaupun jika anda mengalami kerugian.  

Kesimpulan

Seperti yang saya nyatakan sebelum, kejayaan pelaburan bergantung kepada keupayaan anda memilih lebih banyak saham yang naik daripada yang turun. Jangan terlalu risau jika ada pemilihan anda tidak tepat kerana adalah mustahil untuk membuat unjuran tepat setiap kali. Tetapi pastikan anda membuat penilaian teliti untuk meningkatkan kebarangkalian saham yang anda pilih naik dan bukannya turun.

18 April, 2013

Membeli Saham Pada Harga Berpatutan

Bagaimana menentukan harga saham yang dibeli adalah berpatutan?

Sebenarnya, untuk menjawab soalan ini secara sepenuhnya boleh mengisi satu buku penuh dan memang banyak buku yang mengupas tajuk ini.  Dalam buku saya Panduan Bijak Melabur pun ada menyentuh tentang kaedah penilaian dan pemilihan saham.

Tetapi untuk memberikan gambaran yang lebih ringkas, saya akan menerangkan kaedah yang saya gunakan untuk menentukan sama ada harga sesuatu saham berpatutan. Perlu diingat bahawa ini hanya pendapat saya dan memang ada banyak pandangan dan idea lain yang boleh dicedok daripada buku-buku pelaburan, terutamanya dalam Bahasa Inggeris.

Nisbah Harga Pendapatan atau P/E Ratio

Nsibah P/E ialah ukuran penilaian utama yang saya gunakan. Tujuan utama seseorang membeli saham ialah untuk meraih untung yang dihasilkan oleh syarikat, yang akan meningkatkan nilai syarikat tersebut.  Pelabur akan menerima manfaat daripada keuntungan ini sama ada menerusi kenaikan harga saham atau menerusi pembayaran dividen oleh syarikat.

Nisbah harga pendapatan diperolehi dengan mengambil harga saham dan membahagikannya dengan pendapatan sesaham syarikat. Contohnya jika harga ialah RM3.00, dan untung ialah 30 sen, maka nisbah harga pendapatan ialah RM3.00/0.3 = 10. 

Satu cara untuk mentafsirkan nisbah harga pendapatan 10 ialah pada harga dan untung semasa, kita akan pulang modal  dalam masa 10 tahun jika untung yang diperolehi tetap sama dalam masa sepuluh tahun akan datang.

Kita juga boleh mentafsirkan P/E sebagai berapa yang sanggup kita bayar untuk untung yang dihasilkan oleh syarikat..

Berapakah Nisbah P/E yang Berpatutan?

Secara peribadi, bagi kebanyakan saham, saya mencari P/E yang lebih rendah daripada 10. Tetapi saya juga ada membeli saham dengan P/E antara 10 dan 20 di mana prospek pertumbuhannya adalah lebih tinggi. Saya jarang membeli saham dengan P/E lebih daripada 20, melainkan ada keadaan luar biasa di  mana untung syarikat terlalu rendah pada sesuatu tahun, tetapi dijangka naik dengan ketara pada tahun seterusnya.

P/E yang kita bayar perlu dikaitkan dengan potensi pertumbuhan syarikat. Lebih tinggi potensi pertumbuhan syarikat, lebih tinggi P/E yang boleh kita terima sebagai berpatutan.

Sebagai contoh, andaikan ada dua syarikat, iaitu Syarikat A dan B.  Syarikat A mempunyai nisbah P/E 8 dan syarikat B mempunyai nisbah P/E 12.  Kedua-duanya mencatatkan pendapatan sesaham 30 sen. Harga semasa A ialah RM2.40 manakala harga semasa B pula ialah RM3.60.

Sekiranya semua perkara lain sama, maka sudah tentulah A lebih berpatutan daripada B kerana dijual pada harga lebih murah sedangkan pendapatannya sama.  Tetapi bagaimana jika saya katakan bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, keuntungan A akan naik 5% setahun sedangkan B pula akan meningkat 20% setahun?

Sekarang situasi telah berubah kerana jika benar unjuran yang dibuat, maka pastinya B lebih berpatutan kerana dalam tempoh lima tahun, pendapatan B adalah jauh lebih tinggi daripada A. Tetapi faktor ketidakpastian atau 'unknown' ialah sama ada ramalan tepat atau tidak.

Inilah yang membuatkan pelaburan saham sungguh menarik. Tiada kepastian apabila membuat keputusan membeli. Kita sebagai pelabur  bukan sahaja perlu melihat untung semasa, tetapi juga potensi untung masa depan apabila menentukan sama ada harga saham berpatutan.

Sebagai kesimpulan, kriteria pertama yang saya gunakan ialah nisbah P/E. Lebih rendah lebih baik jika semua perkara lain sama. Kemudian saya lihat potensi pertumbuhan syarikat.  Jika P/E rendah disebabkan untung dijangka merosot, maka harga saham tidak berpatutan.  Pendek kata, P/E perlu sentiasa dikaitkan dengan potensi pertumbuhan syarikat untuk menentukan sama ada harga saham berpatutan.

Dua Faktor Penting Tambahan

Dua lagi faktor utama lain yang saya tinjau ialah paras aset dan juga aliran tunai. Kedua-duanya dijadikan faktor sokongan.  Jika nilai aset ketara bersih sesaham  (net tangible asset per share) lebih tinggi daripada harga saham, saya anggap sebagai satu faktor undervaluation bonus. Walaupun kriteria ini tidak boleh diletakkan setaraf dengan untung (yang jauh lebih penting), kita tetap boleh mengunakannya sebagai kriteria penilaian.

Selain itu, saya juga meninjau aliran tunai daripada operasi (lihat cash flow from operations atau operating cash flow dalam penyata aliran tunai laporan kewangan).  Jika untung positif tetapi aliran tunai adalah negatif, kita perlu siasat sama ada terdapat masalah dalam syarikat, kerana aliran tunai ialah faktor yang mengesahkan sama untung yang dicapai adalah 'sahih' atau tidak.

Faktor Lain

Ada banyak faktor sampingan lain  yang boleh dinilai, antaranya termasuk kadar peningkatan jualan, paras hutang yang berpatutan, kedudukan inventori semasa, aset cair bersih dan faktor kualitatif seperti kekuatan pihak pengurusan.

Tetapi untuk membuat penilaian pantas, P/E, Aset dan Aliran Tunai boleh memberikan gambaran yang cukup jelas untuk menentukan sama ada saham sesebuah syarikat itu boleh dibeli pada harga yang berpatutan.

10 April, 2013

Pernah Saya Tulis Tetapi Tidak Saya Amalkan (Lagi)

Kini saya melabur 100% berdasarkan kekuatan asas perniagaan

Blog ini telah berusia beberapa tahun dan dalam tempoh itu saya banyak menulis tentang pelbagai teknik pelaburan, sama ada dalam blog atau buku.  Ada kaedah yang hanya ditulis untuk makluman pembaca sahaja tetapi tidak saya gunakan, manakala ada yang pernah digunakan sekali-sekala tetapi kini tidak diamalkan.

Berikut adalah beberapa teknik, jenis atau kaedah pelaburan yang tidak lagi atau tidak pernah saya amalkan dalam pelaburan peribadi.

Analisis Teknikal
Walaupun saya seorang pelabur fundamantals sejak dari dulu lagi, saya ada menulis sedikit tentang analisis teknikal dalam buku dan blog.  Saya pernah menggunakan satu dua petunjuk asas seperti purata bergerak 100 dan 200 hari, tetapi sekarang langsung tidak mengamalkannya. Carta masih saya gunakan, tetapi untuk melihat pergerakan harga berbanding dengan keputusan kewangan syarikat, bukan untuk analisis teknikal

Stop Loss
Stop loss kononnya penting untuk mengehadkan kerugian bagi traders.  Saya pernah menulis tentangnya dalam catatan blog awal dan menekankan bahawa ia penting untuk pedagang jangka pendek.  Saya pernah menggunakan stop loss sekali atau dua kali pada satu masa dulu apabila saya  'main saham' sekali-sekala tetapi sekarang semua keputusan untuk menjual beli saham saya buat semata-mata berasaskan kekuatan asas syarikat.

Sebarang Bentuk Waran, Derivatif dan Dagangan Mata Wang
Saya pernah menulis tentang waran, derivatif dan dagangan mata wang.  Tujuannya ialah untuk memberikan maklumat kepada pelabur. Tetapi saya tidak terlibat di dalamnya dan kali terakhir saya melabur dalam waran ialah bertahun-tahun dahulu (saya pun tak ingat bila). Derivatif dan mata wang pula tidak pernah saya sentuh.

Melabur Berasaskan Ramalan Pasaran Atau Ekonomi
Pernah saya lakukan untuk menentukan peratus saham untuk dipegang tetapi tidak lagi diamalkan. Malah saya juga pernah membuat ramalan sendiri.  Selepas sekian lama melabur, saya mendapati tiada siapa yang boleh meramalkan dengan tepat kenaikan atau kejatuhan pasaran.atau ekonomi.  Sekarang ini saya memberi tumpuan semata-mata kepada prestasi syarikat, dan bagaimana ekonomi mempengaruhi prestasi tersebut.

Membeli Saham Dengan Margin
Lama dulu, saya pernah memiliki akaun margin.  Tetapi pada masa itu saya baru menceburi bidang saham dan belum ada pengetahuan kukuh tentang riba.  Perbankan Islam juga masih baru.  Pendek kata belum cukup ilmu. Ini sudah lama saya tinggalkan dan langsung tidak digalakkan, walaupun ada potensi untung besar dan walaupun kini terdapat instrumen pembiayaan Islam untuk membeli saham dengan margin.

Secara kesimpulannya, cara saya melabur adalah sangat, mudah, beli saham syarikat perniagaan yang baik pada harga berpatutan, dan nikmati pulangan dalam bentuk kenaikan harga dan dividen dalam jangka panjang.

02 April, 2013

Khuatir Tentang Hutang Kerajaan? Hutang Isi Rumah Lebih Kritikal

Kadar Hutang Isi Rumah Malaysia Cecah 80.5% KDNK Pada 2012

Ramai yang bimbang tentang hutang Kerajaan yang kini dijadikan isu politik. Ada yang kata hutang Kerajaan terlalu tinggi disebabkan parti pemerintah, manakala pihak lain pula mendakwa hutang akan melambung jika parti lawan mengambil alih berasaskan program yang dirancang.

Sebenarnya hutang Kerajaan di Malaysia berada di sekitar 53% daripada KDNK, tahap tertinggi dalam sejarah tetapi bukan di paras kritikal, terutamanya kerana sebahagian besar daripadanya ialah hutang dalaman, bukan hutang luar. 

Selain itu, Malaysia mempunyai had hutang, iaitu 55% daripada KDNK.  Selagi hutang kita berada di bawah paras ini, situasi tidak membimbangkan. Paling penting ialah ahli Parlimen kita perlu memastikan bahawa tidak kira siapa yang memerintah, had hutang ini sentiasa dipatuhi.

Perkara lebih membimbangkan ialah Hutang Isi Rumah Malaysia yang mencecah paras lebih 80% KDNK pada tahun 2012, dengan pertumbuhan ketara berlaku dalam segmen pembiayaan peribadi, yang meningkat 30% tahun lepas.

Hutang Isi Rumah mempunyai empat komponen utama:

1.  Pinjaman/Pembiayaan Hartanah

Pinjaman ini mewakili bahagian paling besar daripada keseluruhan hutang tetapi bukan kebimbangan utama kerana disokong oleh aset. Malah, jika anda membeli hartanah kira-kira tiga tahun lepas atau lebih, nilai aset anda mungkin sudah meningkat sedangkan nilai hutang anda beransur-ansur berkurangan.

Mungkin ada risiko bagi mereka yang membeli hartanah pada harga tinggi baru-baru ini jika kadar pembiayaan dinaikkan oleh BNM pada masa depan. Peningkatan kadar akan menambah ansuran bulanan mereka. Walau apa pun, pada amnya pinjaman hartanah tidak menjadi masalah besar melainkan harga hartanah jatuh dengan ketara.

2.  Pinjaman/Pembiayaan Kereta

Pinjaman ini juga bersandarkan aset tetapi aset yang menyusut nilainya. Ada risiko dalam pembiayaan ini tetapi pada awal tahun lepas BNM telah mengetatkan syarat pinjaman. Walaupun ada sesetengah peminjam yang mungkin overextended, tetapi ia belum lagi di tahap membimbangkan.

3.  Pinjaman/Pembiayaan Peribadi

Pada pendapat saya, dan juga berasaskan penilaian beberapa artikel yang saya baca, di sinilah wujudnya masalah paling besar. Sekarang ini begitu mudah untuk mendapatkan pinjaman peribadi, terutamanya bagi pegawai Kerajaan. Malah, ada pihak baru-baru ini meminta supaya dilonggarkan lagi syarat pinjaman penjawat awam!

Pembiayaan peribadi boleh diambil oleh golongan berpendapatan lebih rendah menerusi institusi kewangan bukan bank. Bank lazimnya mengenakan syarat yang lebih ketat. Walaupun pembiayaan ini lebih baik daripada meminjam daripada Ah Long, keupayaan membayar balik harus menjadi pertimbangan utama. Kemudahan mendapat pinjaman juga merupakan satu faktor risiko.

4.  Kad Kredit

Kad kredit ialah masalah golongan yang lebih berada. Ada sesetengah orang yang gajinya lebih RM5,000 pun boleh menghadapi masalah kewangan.  Dalam rencana di Malaysian Insider, seorang pegawai AKPK berkata 25% darripada mereka yang meminta bantuan AKPK terdiri daripada golongan yang gagal merancang kewangan dengan baik akibat boros berbelanja.

Belum Serius Tetapi Berpotensi Membawa Masalah Besar

Menurut BNM, paras hutang tidak berbayar masih rendah, tetapi kita perlu ingat bahawa kadar pembiayaan amat rendah buat masa ini. Bagaimana jika kadar pembiayaan meningkat pada masa depan?

Walaupun BNM telah mengambil langkah untuk mengetatkan syarat pinjaman sejak dua tahun lepas, jumlah pembiayaan peribadi terus meningkat.

Kita patut meninjau sendiri kedudukan kewangan peribadi kita. Penyelesaian paling mudah ialah dengan hidup mengikut kemampuan. Elakkan sebarang bentuk pinjaman peribadi dan kalau boleh gunting kad kredit anda.

Selain itu, pastikan anda membayar wang pendahuluan yang mencukupi untuk aset yang anda beli, termasuk rumah dan kereta. Sebaik-baiknya janganlah ambil pembiayaan 100%. Anda mungkin belum mampu membeli aset tersebut jika anda perlu mendapatkan pembiayaan 100%.

Sumber
1. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/for-malaysians-a-monthly-juggle-to-escape-credit-card-debt-trap/
2,  http://www.theedgemalaysia.com/highlights/233907-rise-in-personal-financing.html
3. Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran BNM - http://www.bnm.gov.my/files/publication/fsps/en/2012/fs2012_en.pdf