Indeks FBM KLCI sekali lagi mencecah tahap tertinggi dalam sejarah kepada paras 1,636 hari ini tetapi walaupun ini satu perkembangan positif bagi pelabur saham umumnya, rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Pertama sekali walaupun ekonomi Malaysia dilihat tetap kukuh, pertumbuhannya tidaklah sekukuh pada tahun lepas. Keuntungan korporat juga dijangka mendatar, atau ada yang lebih rendah pada suku kedua ini.
Ini semua tidak menimbulkan masalah kerana berasaskan pemerhatian saya, permintaan domestik dan perbelanjaan pengguna masih lagi mantap.
Namun begitu situasi luar negara agak membimbangkan. Menurut Warren Buffet keadaan di Eropah telah menyusut lagi dalam tempoh satu bulan lepas, walaupun di Amerika pertumbuhan kecil masih dicatatan.
Tetapi perkara yang saya khuatiri ialah indeks berada di tahap rekod sedangkan ekonomi sederhana sahaja. Harga aset hartanah juga masih kekal di paras tertinggi.
Dipetik daripada Bursastation
Walaupun prospek ekonomi Malaysia nampak sangat positif dalam jangka panjang dengan pertumbuhan mantap dijangkakan, seolah-olah terdapat 'disconnect' antara situasi semasa dan keadaan pasaran saham.
Memang sudah tentu ada faktor lain yang mempengaruhi permintaan dan pasaran, terutamanya kerana pergerakan pasaran bergantung kepada institusi besar, tetapi kita sebagai pelabur kecil harus berhati-hati.
Tidak dinafikan bahawa kenaikan boleh terus berlaku kerana sejarah menunjukkan bahawa tahap kenaikan di Malaysia masih tidaklah seperti kenaikan di Jepun pada 1980an atau di Amerika pada 1990an.
Walau apa pun, kita harus melihat konteks semasa dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini.
Pada pendapat saya dalam jangka panjang saham Malaysia pasti berpotensi besar terutamanya kerana semakin banyak dana pelaburan di Malaysia, yang pasti akan menyokong pasaran saham yang lebih rancak.
Tambahan lagi, Asia Tenggara nampak seperti mula mendapat perhatian kembali dengan pelbagai masalah yang timbul di tempat-tempat lain dunia.
Tetapi untuk tempoh terdekat, pada pendapat saya kita perlu mengamalkan sikap yang berhati-hati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini, sama ada baik ekonomi, kewangan mahupun politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan