28 Februari, 2011

Pergolakan Timur Tengah: Kebangkitan Rakyat

Era diktator atau pemerintahan berasaskan keturunan mula berakhir

Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) merangkumi 57 buah negara dan merupakan pertubuhan antarabangsa yang kedua terbesar selepsa Bangsa-Bangsa Bersatu. Angka 57 buah negara ini mewakili lebih satu perempat daripada semua negara di dunia.

Tetapi apabila memberi contoh negara Islam yang paling maju,  hanya Malaysia dan Turki yang sering disebut-sebut, sedangkan kedua-dua negara ini belum pun ke status negara maju sebenar. Negara Arab seperti UAE (termasuk Dubai dan Abu Dhabi), Qatar, Kuwait Bahrain dan Arab Saudi boleh dikatakan agak maju juga tetapi 'kemajuan' ini dicapai sebahagian besarnya kerana hasil minyak, bukannya menerusi teknologi, kemahiran. keusahawanan atau pembuatan.

Dalam penarafan negara dibelenggu  rasuah pula, negara Islam  muncul di bahagian atas senarai. Gejala 'baksis' dan 'bisa diatur' menjadi kelaziman. Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan rasuah itu salah di sisi Islam?

Adakah Islam idak serasi dengan pembangunan, teknologi, keusahawanan, pelaburan dan hak asasi manusia?  Saya berpendapat Islam dan teknologi, keusawanan, pelaburan dan hak asasi amat serasi, cuma kita telah sekian lama terpesong kerana mengabaikan ilmu lain selain daripada ilmu agama.


Sebenarnya tamadun Islam yang satu ketika dulu begitu terkenal, sehingga ilmuwan Barat bersusah-payah mempelajarinya, telah lama melalui zaman gelap. Revolusi rakyat yang berlaku ketika ini di negara-negara Arab, di mana Islam mula-mula tersebar, serta kemajuan industri  kewangan Islam, mungkin menandakan berakhirnya zaman tersebut.

Jika pemerintah sesuatu negara mengawal sebahagian besar  kekayaan, sudah tentulah rakyat mengalami kesannya. Lebih-lebih lagi jika rakyat tidak ada cara untuk menukar kepimpinan, yang seolah-oleh milik peribadi atau keluarga.

Lazimnya gejala rasuah di peringkat atasan akan dicontohi di peringkat bawah sehinggalah ia menjadi satu wabak yang menular di semua peringkat dan segenap lapisan masyarakat.  Selain itu, institusi negara juga tidak dapat dibangunkan dengan matang dan saksama.

Satu lagi perkara yang positif daripada kebangkitan ini ialah ia digerakkan oleh rakyat jelata, bukannya didorong oleh kumpulan 'hardline' yang lebih gemarkan keganasan, atau dipacu oleh Amerika (yang ada pelbagai urus niaga dengan diktator atau pemimpin yang menyokong mereka).

Seorang pemimpin pemborantakan dari Libya berkata, 'Kami mahu membina sebuah negara demokrasi yang berasaskan Islam tetapi memberikan kebebasan kepada semua agama'.

Pada pendapat saya ledakan penduduk ini pasti membuatkan dunia bergolak pada tahun ini, dan sudah tentu harga minyak akan kekal di tahap tinggi selagi kestabilan belum dicapai sepenuhnya, walaupun pemimpin yang dibenci rakyat sudah tumbang. Proses membina semula institusi dan mengadakan pilihanraya akan mengambil masa.

Tetapi apabila semua ini selesai, terdapat potensi amat besar bagi penduduk dunia Arab Sekarang ini anak-anak kita diminta belajar Bahasa Arab kerana merupakan Bahasa Al-Quran. Tetapi siapa tahu satu hari ini nanti Bahasa Arab dipelajari juga kerana ia Bahasa Ilmu dan Perdagangan, seperti pada zaman kegemilangan ilmu dan ilmuwan Islam satu ketika dulu.

24 Februari, 2011

Pesta Sudah Berakhir atau Tergendala Sebentar?

Kenaikan saham terhenti selepas lonjakan hebat selama dua tahun

Ramai pelabur agak bimbang dengan situasi sekarang, terutamanya dengan krisis di Timur Tengah dan kenaikan harga minyak yang berlaku kerananya. Jadi ramai yang tertanya-tanya adakah fasa bear market (pasaran menurun') telah bermula?

Pada awal tahun, ramai yang meramalkan pasaran saham akan melonjak ke paras sehingga 1,700 pada separuh pertama.  Ini berasaskan kehangatan pasaran  pada waktu itu.  Apabila pasaran mula jatuh pada  bulan Februari, ramai yang menganggap ia disebabkan oleh krisis Timur Tengah.

Pada pendapat saya krisis di Timur Tengah hanyalah satu alasan untuk menjual.  Sebenarnya pasaran saham telah naik sangat tinggi dalam tempoh dua tahun ini.  Walaupun belum lagi dianggap terlalu overvalued, tetapi kenaikan yang berlaku adalah hampir tanpa henti, jadi pada satu ketika, ia akan turun juga, walaupun trend jangka panjang tetap positif.


Dipetik daripada Bursa Malaysia

Lazimnya, apabila pasaran sudah mula menggapai bintang, kemungkinan untuk jatuh kembali ke bumi semakin tinggi.  Jadi dalam keadaan ini, reality check hanya berlaku apabila wujud sesuatu exogenous shock yang menimbulkan reaksi pasaran.

Ketegangan semasa di negara-negara Arab dan kenaikan ketara harga minyak boleh dianggap sebagai satu kejutan yang dimaksudkan, tetapi sejauh mana ia akan mempengaruhi pasaran tidak diketahui.  Mungkin ada beberapa pakar yang sibuk membincangkna senario itu atau senario ini, tetapi hakikatnya,bak kata orang putih, anything can happen.

Mungkin esok pucuk pemimpin Libya mengundur diri atau ditumpaskan dan pasaran kembali pulih. Sebaliknya mungkin berlaku perang saudara yang melewatkan lagi proses pemberontakan.  Malah, krisis kepimpinan di negara-negara lain juga harus dipertimbangkan.

Pendek kata adalah mustahil untuk meramalkan situasi dalam jangka pendek.  Tetapi dalam jangka panjang, kita tahu bahawa rejim-rejim Arab ini akhirnya akan tumbang atau reformasi besar akan berlaku.

Saya meramalkan kejatuhan pasaran seperti ini berlaku tahun lepas, manakala ramai pakar di media pula meramalkan kenaikan ketara pasaran pada awal tahun.  Mereka salah dan saya pun salah.  Memang sukar meramalkan pasaran.

Jika anda seorang pelabur fundamental untuk jangka pertengahan hingga panjang, beri perhatian kepada keadaan semasa, tetapi tumpukan segala usaha kepada pemilihan dan penilaian saham individu.  Anda mungkin tak percaya bahawa ada saham yang berada lebih tinggi daripada parasnya pada awal tahun tetapi memang ada. Tak percaya, cuba lihat CBIP dan juga Malayan Flour Mills, syarikat yang tak berapa glamour..

Ada yang boleh bertahan dengan baik dalam situasi semasa, seperti Apex Healthcare, yang harganya lebih kurang sama walaupun dengan keadaan terkini.  Ini bukan bermakna anda perlu beli saham-saham ini, kerana mereka mungkin sudah hampir ke tahap fairly valued, tetapi anda patut meninjau saham lain yang telah jatuh mendadak, dan membeli jika harganya sampai ke paras undervalued, tetapi mempunyai potensi pertumbuhan besar.

Dengan pemilihan yang betul, jika pasaran saham turun lagi, saham anda mungkin turun sedikit, tetapi jika pasaran saham melantun kerana ketegangan semasa reda, sudah tentulah anda untung kerana saham anda berpotensi naik seiring atau melebihi kenaikan pasaran.

21 Februari, 2011

Merancang Hari Esok Pada Waktu Malam

Strategi paling mudah untuk tingkatkan produktiviti peribadi

Saya ada membaca dan mendengar ceramah beberapa tokoh yang berjaya dalam bidang berbeza dan saya dapati mereka ada beberapa persamaan. Salah satu daripadanya ialah merancang hari esok pada waktu malam.

Pertama sekali perancang ini membolehkan kita mengatur hari kita dengan baik dan meletakkan keutamaan dan masa kepada tugasan kita.  Perancangan ini bukan sahaja terhad kepada kerja tetapi juga perkara lain dalam kehidupan, termasuk kehidupan keluarga.

Media yang digunakan tidak penting. Saya sendiri menggunakan Microsoft Outlook.  Ramai orang masih menggunakan dairi atau organizer tetapi ada yang hanya menggunakan kertas kosong sahaja tetapi melakukannya secara konsisten. Malah Derek Gehl, pakar dalam bidang Pemasaran Internet mendakwa dia melakukannya dengan menulis di atas kertas kosong setiap hari. 

Bukan kecanggihan sistem yang anda gunakan yang menentukan kejayaan, tetapi keupayaan anda memenuhi setiap perkara yang telah anda rancang, mengikut susunan keutamaan. Jika kita berdisiplin dan berusaha bersungguh-sungguh menghabiskan segala yang kita rancang, tidak kira pukul berapa siap, maka kita akan menjadi jauh lebih produktif.

Dalam sesuatu hari kita mungkin melakukan banyak perkara yang membuang masa dan sia-sia.  Sebagai contoh, mungkin ada di mana hari kita banyak membuang masa melayari Internet dan akhirnya menghabiskan segala yang dirancang lewat, sehingga lepas tengah mala, menyebabkan kita letih..

Pada masa depan, untuk mengelakkan keletihan, kita akan 'belajar' untuk menggunakna masa kita dengan lebih bijak supaya dapat segala tugasan kita dengan lebih awal. 

Selain daripada proses perancangan, usaha 'no compromise' untuk menghabiskan segala yang dirancang dalam sehari akan mendisiplinkan kita untuk menjadi lebih produktif.

Walau apa pun, kita perlu akur bahawa dalam sehari ada banyak perkara tidak diduga boleh berlaku yang tiada dalam perancangan asal. Maka jika ini berlaku, tangguhkan perkara yang tidak begitu penting ke hari esok tetapi hanya jika ia benar-benar sesuatu yang tidak diduga dan selepas anda telah cuba juga untuk menghabiskan segala yang telah anda rancang.

Nota: Tidak ada maklumat baru dalam tulisan ini.  Tetapi saya mengulanginya juga untuk mengingatkan diri saya sendiri kerana walaupun konsepnya begitu mudah, adalah amat sukar untuk diamalkan secara konsisten dan berdisiplin, sedangkan manfaatnya begitu besar dan boleh menjadi penentu keberkesanan dan kejayaan seseorang..

17 Februari, 2011

Merungkai Ciri Waran

Mengulang kaji tentang waran dan pergerakan harganya

Saya pernah menulis tentang waran dalam posting terdahulu bertajuk Waran Saham.  Rencana tersebut boleh dibaca untuk mendapatkan kefahaman lanjut tentang waran.

Berikut adalah soalan daripada pembaca tentang waran.
Apa itu warrant, ex-price dan apa kena-mengena dengan sahamnya? Contoh Prestar-WA (0.0450). Ex-price (0.750), manakala saham Prestar (0.505). Boleh terangkan, jika tiada kesulitan.

Waran ialah hak (tetapi bukan kewajipan) untuk membeli saham sesuatu syarikat pada tarikh laksana. Apabila anda membeli waran, anda menerima hak untuk membeli saham syarikat pada harga laksana dan tarikh laksana yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Justeru, seseorang yang membeli sesuatu waran dan memegangnya sehingga tarikh laksana berpotensi untung atau rugi bergantung kepada harga sebenar saham tersebut pada tarikh laksana.

Ex-Price atau Exercise Price ialah harga laksana. Manakala Ex-Date atau Exercise Date ialah tarikh laksana.

Berasaskan soalan, Harga Prestar-WA ialah 0.0450.  Ini bermakna anda boleh menjual beli waran tersebut di pasaran pada harga itu.  Jika ex-price ialah 0.75 ini bermakna anda berhak untuk membeli saham Prestar pada harga 0.75 sen pada Ex-Date.

Namun begitu, harga Prestar hanyalah 0.505 sen. Ini bermakna waran ini berada di bawah harga laksana atau out of the money.  Dengan kata lain, jika harga saham tidak berubah sehinggalah tarikh laksana, anda sudah tentu tidak akan melaksanakan waran ini (iaitu menunaikan hak anda untuk membeli saham Prestar) pada harga 0.75 kerana anda akan rugi sebanyak 0.245.

Pendek kata nilai waran anda, dari segi nilai asas adalah sifar kerana ex-price lebih tinggi daripada harga  saham.

Tetapi kenapa waran masih ada nilainya, iaitu 0.045, kalau pada asasnya, ia out of the money.  Sebabnya terletak pada nilai masa atau time value.  Ini kerana selagi waran belum dilaksanakan, masih ada harapan bahawa saham akan naik lebih tinggi daripada ex-price.

Jika kita lihat waran Prestar, ex-date ialah 12/07/11, ini bermakna ada masa 5 bulan lagi sebelum tarikh laksana dan masih ada kebarangkalian, walaupun sedikit, bahawa harga saham akan naik lebih tinggi daripada ex-price. Justeru selagi ex-date belum tiba, waran yang out of the money masih ada nilai yang dinamakan nilai masa.

Untuk maklumat lebih menyeluruh tentang waran, klik posting saya yang terdahulu bertajuk Waran Saham.

14 Februari, 2011

QL Resources Boleh Terus Naik?

Syarikat sangat kukuh, tapi harga saham agak tinggi

Hari ini kita tinjau QL Resources atas permintaan seorang pembaca. Sejak dari mula saya meninjau Syarikat ini, saya dapati memang syarikat yang mantap.

QL Resources ialah sebuah syarikat berasaskan pertanian yang terlibat dalam tiga cabang perniagaan yang utama:
  1. Pengilangan produk marin - makanan ikan, surimi dan ikan air dalam
  2. Pengilangan dan penapisan produk kelapa sawit
  3. Makanan binatang ternakan
Hakikatnya ialah perniagaan syarikat dalam makanan ikan, ternakan dan komoditi adalah 'hot' sekarang terutamanya dengan kenaikan harga yang berlaku kebelakangan ini.

Baru-baru ini syarikat telah melaksanakan pecahan saham (share split)t 2 untuk 1 dan biasanya dengan pecahan saham sebegini, pelabur akan menggandakan bilangan saham dipegang manakala harga akan jatuh sebanyak separuh. Selain itu, syarikat juga melakukan private placement untuk kira-kira 20 juta saham lagi

Berikut adalah Pertumbuhan EPS Syarikat (sen) berasaskan laporan tahunan bagi tahun berakhir 31 Mac 2010 sebelum mengambil kira pecahan saham:

TK - 06 07 08  09  10
EPS 13 16  20  23  27 

Perlu diingat, untuk perbandingan dengan tahun 2011, angka EPS di atas perlu didarabkan dengan 0.49. untuk mengambil kira saham tambahan yang wujud menerusi pecahan saham dan private placement

Keputusan terbarunya untuk separuh tahun berakhir Sep 10 ialah 15.28 sen, dan ini menunjukkan bahawa syarikat berpotensi mencatatkan EPS sekurangnya 32 sen untuk seluruh tahun (menurut penyelidikan MIB). Aset ketara bersihnya atau NTA ialah RM1.40.

Namun begitu, memandangkan modal saham telah bertambah berikutan dengan pecahan saham dan private placement, angka EPS di atas perlu didarabkan dengan 0.49.

Ini bermakna pada harga penutup hari ini sebanyak RM3.15, saham diperdagangkan pada Forward P/E lebih kurang 20. Ini adalah paras P/E yang agak tinggi bagi saya.

Namun begitu P/E yang tinggi sebegini masih tidak nenjadi masalah jika syarikat dapat berkembang dengan pantas pada masa depan.  Satu faktor yang memihak kepadanya ialah ROE pada 2009 dan 2010 pada paras kira-kira 23% yang agak tinggi dan mungkin membolehkan syarikat mencapai pertumbuhan yang diharapkan

Carta QL Resources untuk tempoh 5 tahun lepas (selepas harga dilaraskan untuk pechan saham)



Dipetik daripada Bursastation

Daripada carta kita dapat lihat bahawa harga saham telah naik dengan ketara. Jika anda beli saham ini setahun atau dua tahun lepas, sudah tentu anda akan meraih untung yang tinggi.

Jika anda beli sekarang, anda perlu mengharapkan bahawa syarikat akan terus mencatatkan kadar pertumbuhan yang tinggi, sama ada menerusi pengembangan perniagaan atau kenaikan harga komoditi yang berterusan, untuk merealisasikan untung anda.

Harganya telah naik melebihi target price yang ditetapkan oleh hampir semua Research House  pada separuh kedua tahun lepas.

Ternyata QL Resources ialah sebuah syarikat yang cemerlang. Tetapi adakah harganya berpatutan?  Jawapannya ialah mungkin, dengan syarat syarikat dapat mengembangkan untungnya dengan pantas.  Jika untung meningkat sedikit sahaja setiap tahun atau jatuh sedikit, kemungkinan besar saham ini akan mendatar atau jatuh.

Maka keputusan anda bergantung kepada berapa yakin anda terhadap kebolehan syarikat meningkatkan untung. Saya tidak nampak margin of safety di sini.  Kalau keuntungan naik tiada masalah, kalau tidak mungkin ada risiko kejatuhan.

10 Februari, 2011

CIMB-i Dali Equity Growth Catat Prestasi Cemerlang

Antara Dana Islam terbaik dengan pulangan 5 tahun yang melebihi 100%

Salah satu dana unit amanah yang mendapat perhatian saya ialah CIMB Islamic Dali Equity Growth yang mencatatkan prestasi yang cemerlang dan telah menggandakan wang anda jika anda membeli dan memegangnya sepanjang tempoh 5 tahun yang lepas.

Sedikit latar belakang mengenai Dana:
Jenis Dana - Ekuiti
Objektif Dana - Pertumbuhan modal
Jenis Pelabur -  Mengambil risiko sederhana dan  melabur untuk jangka pertengahan hingga panjang
Yuran Dana -  Maksimum 6.5% tetapi lazimnya lebih rendah sedikit.
Penanda Aras* - Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas Syariah

Walaupun dana ini bukanya yang terbaik dalam mana-mana satu tempoh masa, tetapi prestasinya yang konsisten untuk seluruh julat tempoh masa penilaian  menunjukkan bahawa ia merupakan salah satu dana yang paling mantap.

Berikut adalah prestasinya untuk tempoh antara 3 bulan hingga 5 tahun berasaskan Jadual Dana The Edge Lipper:

3 bln - 6 bln -1 thn -- 3 thn --5 thn
8.00 | 18.88 | 23.94 | 19.75 | 107.98

Pulangan terkompaunnya untuk tempoh 5 tahun ialah kira-kira 16.86% (Data Bloomberg)

Prestasinya berbanding penanda aras sehingga 2009, (data carta hanya boleh didapati setakat 2009 sahaja dalam prospektus)

 Dipetik daripada Prospektus CIMB

Berikut adalah carta pergerakan:

CIMB-i Dali Equity Growth
Dipetik daripada Bloomberg

Perhatian bahawa carta ini hanya menunjukkan pergerakan harga dan bukannya pulangan sebenar yang dikira berasaskan Jadual Dana Lipper, kerana Jadual Dana Lipper turut mengambil kira pembayaran dividen dan pelaburan semula dividen tersebut.

Kejatuhan pasaran kebelakangan ini mungkin membuka peluang kepada pelabur untuk membeli dana.  Untuk mengelakan diri daripada salah 'timing', pelabur boleh pecahkan pelaburan kepada jumlah lebih kecil dan melabur secara bulanan.

*Penanda Aras ialah indeks yang menjadi ukuran relatif prestasi dana

07 Februari, 2011

Stop Loss: Pandangan Berbeza

Beberapa pelabur tersohor langsung tak percaya

Saya pernah menulis tentang stop loss dan menggalakkan pelabur menggunakannya. Tetapi perkara sebenar ialah saya sendiri tidak pernah menggunakan stop loss.

Stop loss ialah paras di bawah harga belian asal di mana kita membuat keputusan untuk menjual demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Satu lagi bentuk stop loss dinamakan trailing stop, di mana saham telah naik melebihi harga belian kita dan sedang terus naik, tetapi kita tetapkan satu paras di bawah harga puncak untuk 'lock in' atau merealisasikan keuntungan.

Stop loss biasanya digunakan oleh pelabur jangka pendek yang menggunakan analisis teknikal tetapi boleh juga digunakan oleh semua jenis pelabur tidak kira apa teknik mereka.

Namun begitu tiga pelabur tersohor di dunia tidak menggunakan stop loss dan tidak menggalakkan penggunaannya.

Ken Fisher, antara pengurus dana terkemuka semasa dan penulis buku terkenal yang mempunyai ruangan  di majalah Forbes, berkata berasaskan kajian yang dibuat, apabila harga saham mencapai paras stop loss, ia mempunyai kebarangkalian 50% untuk naik dan 50% untuk turun.

Jadi jika anda gunakan stop loss, anda mungkin rugi kerana tidak dapat memanfaatkan rebound yang berlaku. Kedua paras apa yang patut digunakan? Adakah 3%, 5%, 7% atau 10%. Penentuannya bersifat budi bicara (arbitrary) dan tidak ada paras tertentu yang terbukti lebih berkesan.

Peter Lynch, pengurus dana tersohor pada tahun 90an juga berkata stop loss tidak berkesan. Jual hanya jika ada masalah dengan syarikat atau jika kadar pertumbuhan atau prospeknya tidak seperti yang diunjurkan

Warren Buffet pula sudah tentu langsung tidak menggunakan kaedah ini.  Stop loss ialah bagi mereka yang tidak sanggup membuat penilaian sewajarnya terhadap sesuatu syarikat.

Jadi patutkah anda menggunakannya?  Sudah tentu jika anda seorang 'trader'.  Ia juga harus digunakan jika anda membeli kerana berita tertentu, atau kerana khabar angin atau berasaskan dengar orang lain cakap.

Tetapi jika anda memahami dan sudah menilai sesuatu syarikat dengan teliti. Jangan guna stop loss, sebaliknya jual apabila harga lebih tinggi daripada nilai syarikat.

Nota Tambahan: Perlu diingat bahawa 'stop loss' dan 'take loss dari segi fundamentals' ada bezanya. Stop loss dilakukan apabila saham jatuh pada paras tertentu tanpa mengira situasi syarikat. Take loss dari segi fundamentals pula ialah apabila kita jual dan menerima kerugian kerana berpendapat harga saham syarikat tidak lagi berpotensi naik kerana faktor tertentu, seperti kelemahan syarikat.

04 Februari, 2011

Guna Pertumbuhan Nilai Buku Sebagai Ukuran

Pertumbuhan Nilai Buku Lazimnya Seiring Kadar Kenaikan Harga

Definisi

Bagi mereka yang belum tahu, nilai buku (book value), yang juga dikenali sebagai

1. Nilai aset bersih (net tangible assets - NTA)
2. Nilai bersih (net worth) 

NTA boleh dikira seperti berikut:

NTA = Jumlah Aset - Jumlah Liabiliti
NTA Sesaham = (Jumlah Aset - Jumlah Liabiliti ) / Jumlah Saham Syarikat

Dalam blog ini, saya merujuk nilai buku sebagai NTA, dan kebanyakan akhbar dan majalah kewangan serta laporan di laman Bursa pun menggunakan istilah sama.

Pertumbuhan

Untuk menilai pertumbuhan syarikat, terdapat beberapa kaedah ukuran:

1. Pertumbuhan hasil (revenue)
2. Pertumbuhan EPS (pendapatan sesaham)
3. Pertumbuhan aliran tunai operasi (cashflow from operations)
4. Pertumbuhan NTA

Dua kaedah pertama ialah cara yang paling kerap digunakan. Cara ketiga tidak boleh dilakukan terhadap semua syarikat kerana ada syarikat yang mempunyai aliran tunai yang turun naik bergantung kepada tahap penghutang dan pemiutang (creditors/payables and debtors/receivables) setiap tahun.

Tetapi apabila Warren Buffet menilai pertumbuhan, dia merujuk kepada pertumbuhan NTA terlebih dahulu.  Menurut Timothy Vick dalam bukunya How to Pick Stocks Like Warren Buffet, pertumbuhan harga saham dalam jangka panjang lazimnya seiring dengan pertumbuhan NTA.

Sebab itulah kita dapat lihat bahawa selalunya syarikat yang membayar dividen besar adalah syarikat yang harga sahamnya tidak naik turun begitu pantas. Ini kerana pembayaran dividen akan mengurangkan NTA, tetapi bayaran dividen juga menjadi penstabil harga saham.

Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas tentang potensi pertumbuhan syarikat, pelabur boleh menggunakan sekurang-kurangnya tiga daripada empat ukuran di atas untuk mengunjurkan prestasinya pada masa depan.

Nota: Kenyataan 'pertumbuhan harga saham dalam panjang  lazimnya seiring dengan pertumbuhan NTA' tidak bermakna ia sama pada setiap masa dan tidak bermakna harga saham mesti sama dengan NTA sesaham.  Yang dimaksudkan di sini ialah kadar pertumbuhan jangka panjangnya lebih kurang sama.