25 Disember, 2013

Membina Dana Untuk Pelaburan

Menabung Untuk Pelaburan Saham Sejak Dari Usia Muda

Ramai orang berminat untuk melabur dalam pasaran saham tetapi kekurangan modal untuk melabur, terutamanya golongan muda yang masih belajar dan juga yang baru sahaja memulakan kerjaya. 

Malah, masalah ini juga dihadapi oleh golongan kelas pertengahan yang sudah membina keluarga dan mendapati sukar untuk mencari wang tambahan untuk melabur selepas menolak semua kos sara hidup.

Tetapi dalam segala keadaan, perkara pertama yang perlu diutamakan ialah tabungan and bukan pelaburan. Jika anda biasa membaca blog atau buku saya, anda sudah tahu bahawa langkah paling penting untuk membina tabungan ialah memotong 10% daripada gaji bulanan secara automatik ke dalam akaun simpanan.

Secara peribadi, saya menabung menerusi Tabung Haji, dan anda boleh memilih institusi mana yang anda rasa sesuai untuk menabung wang, berasaskan kepada pulangan yang diberikan dan ciri kepatuhan syariahnya.

Selepas tabungan anda telah mencapai 3 - 6 bulan gaji (bergantung kepada keselesaan anda), wang selebihnya boleh digunakan untuk melabur dalam pasaran saham.

Ramai juga yang bertanya saya, apakah modal minimum untuk memulakan pelaburan saham. Sebenarnya jika anda ada RM2,000 atau lebih, anda sudah boleh mula melabur dalam pasaran saham dengan cara yang kos efektif, tetapi bagi saya secara peribadi, adalah amat sesuai jika anda mula melabur dengan RM5,000 dan menambahnya dari masa ke masa.

Persoalannya ialah bagaimana untuk mendapatkan modal tersebut dengan pantas?

Semasa saya masih belajar di universiti dulu, saya mengumpulkan modal dengan bekerja secara sambilan. Begitu juga jika anda sedang bekerja, mungkin anda boleh melakukan kerja sambilan berasaskan projek atau apa jua pekerjaan tambahan lain pada hujung minggu.

Malah sekarang dengan keberleluasan perniagaan Internet, pendapatan tambahan juga boleh diperolehi secara sambilan menerusi Internet.

Memandangkan kerja sambilan atau sampingan ini memberikan anda pendapatan tambahan bersih, anda boleh masukkan semua wang yang diperolehi dalam dana pelaburan anda.

Satu lagi cara untuk mengumpulkan dana ialah menambah tabungan bulanan automatik kepada lebih daripada 10%. Ini akan membolehkan anda mengumpulkan dana dengan lebih cepat.

Anda akan mendapati bahawa segala usaha ini mungkin memerlukan sedikit pengorbanan, seperti bekerja pada waktu malam dan hujung minggu. Di samping itu, anda juga mungkin perlu mengehadkan perbelanjaan bulanan anda untuk lebih cepat mengumpulkan dana.

Selepas jumlah yang ada dikumpulkan, labur dulu wang tersebut, tetapi teruskan mengumpul dana untuk menambah modal pelaburan. Jika anda melakukannya secara konsisten, anda akan mendapati selepas 10 tahun bahawa modal pelaburan anda menjadi semakin besar.

Perkara paling penting ialah kesabaran. Jangan terlalu ghairah untuk melabur sehingga menggunakan akaun margin atau berhutang untuk melabur. Memang jika anda menggunakan margin, untung anda mungkin besar tetapi kerugian yang mungkin anda alami juga amat besar.

Mulakan dengan tabungan, kemudian dengan pelaburan saham. Secara perlahan-lahan, anda akan mendapati dana anda semakin besar, terutamanya jika pelaburan anda pulangan memuaskan.

Di samping itu, apabila kerjaya anda semakin maju, pendapatan anda akan bertambah dengan ketara dan jumlah wang yang anda tabung untuk melabur juga semakin besar. 

Kesimpulannya ialah jangan terburu-buru untuk melabur. Lakukannya langkah demi langkah, sedikit demi sedikit, secara konsisten dan tetap, dengan sasaran untuk membina dana yang besar dalam jangka panjang.

16 Disember, 2013

Bengkel Mentor Saham Wanita Terkenal Malaysia

Cikgu Saham mengajar asas dan selok-belok saham kepada pelabur baru

Salah seorang wanita Melayu yang telah berjaya dalam bidang saham akan mengadakan kursus untuk newbie supaya mereka boleh menceburi bidang saham dengan maklum dan berasaskan ilmu. 

Beliau mempunyai segala kelayakan yang relevan dalam bidang saham, dan saya sendiri mengenali Cigku Saham semasa beliau hadir di bengkel yang saya kendalikan untuk syarikat Pakdi.

Berbekalkan pengalaman mengharungi turun naik pasaran sejak 1996, termasuklah dua krisis besar dan terus 'survive' dalam industri yang lazimnya dikuasai oleh lelaki, hadirin berpeluang menimba ilmu secara langsung daripadanya. Maklumat kursus adalah seperti berikut:


TEMPAT: THE NOMAD SUCASA
JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR
TARIKH: 11hb JANUARI 2014
MASA: 9.30 pagi - 1.00 tgh
 
Antara topik yang disampaikan termasuk:
  1. Pengenalan saham
  2. Mengkaji pergerakan harga saham Bursa Malaysia
  3. Bagaimana melaksanakan urus niaga saham menerusi online trading
  4. Apa itu saham IPO?
  5. Apa itu Analisis Fundamental dan Teknikal?
  6. Cara menjana untung di pasaran saham 
  7. Cara menjana untung menerusi saham IPO dan IPO MITI
BAYARAN:
VIP SEAT : RM58 seorang (boleh bawa 2 orang kawan)
Percuma: Pembukaan akaun CDS dan Trading dan door gift
                        
GENERAL SEAT: RM28 seorang (boleh bawa seorang kawan)

KEISTIMEWAAN:
  1. Berpeluang menjadi ahli FB tertutup Saham Melayu Malaysia, FB Saham No. 1 di Malaysia.
  2. Berpeluang bertanya apa-apa soalan kepada otai, trader/pelabur saham, remisier dan pakar saham.
  3. Mendapat harga diskaun CD/e-book Seni Peperangan FPCO tulisan Tuan Penjejakx, seorang 'full time trader' FCPO.
  4. Mendapat harga diskaun CD pengenalan saham dan saham IPO.
TETAMU KHAS:
  • En Nazarry Rosli, penganalisis pasaran di Jupiter Securities Sdn Bhd
  • Tuan Penjejakx, penulis e-book Seni Peperangan FCPO
  • En Zayed Zulkifli, pemilik FB page Bengkel Saham 101
 
Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh dibuat melalui email azue88@gmail.com atau dengan menghubungi talian 012-9150010.

 

09 Disember, 2013

Menilai Prestasi Dana Unit Amanah Ekuiti Anda

Pulangan yang diberi perlu diteliti berasasakan beberapa ukuran nilai

Jika pelaburan dana unit amanah ekuiti (dana yang melabur dalam saham) anda mencatatkan pulangan positif sehingga lebih dua angka, ini tidak bermakna prestasinya baik. Sebaliknya jika dana ekuiti tersebut memberikan prestasi negatif pula, tidak semestinya dana tersebut lemah.

Segalanya bergantung kepada keadaan pasaran saham dan juga prestasi dana lain dalam kategori yang sama.

Jumlah pulangan sahaja tidak dapat menentukan kekuatan atau kelemahan.  Sebaliknya bandingkan dengan tiga perkara berikut:

1.  Prestasi berbanding penanda aras

Penanda aras ialah indeks yang digunakan untuk menilai dana ekuiti tersebut. Dalam prospektus dan laporan dana, mesti ada perbandingan yang dibuat dengan indeks penanda aras. Ini merupakan ukuran prestasi paling penting.

Bagi kebanyakan dana berlandaskan syariah, indeks yang digunakan untuk menilai prestasi ialah indeks FBM Emas Syariah.

Sebagai contoh, jika dana mencatatkan pulangan 15% sedangkan penanda aras mencatatkan kenaikan 20%, maksudnya ialah pengurus dana telah underperform. Tetapi untuk memberikan gambaran yang lebih adil, janganlah bandingkan satu tahun sahaja. Penilaian lebih jelas boleh diperolehi dalam tempoh tiga tahun.

Sebaliknya dalam ekonomi gawat, jika dana ekuiti anda turun 10% adakah ini sesuatu yang negatif?  Tidak jika indeks penanda aras merosot 15%. Ini bermakna prestasi pengurus dana anda amat baik. Adalah mustahil untuk mengelakkan kerugian dalam keadaan ekonomi atau pasaran gawat.

Berikut adalah contoh dana ekuiti yang gagal mengatasi prestasi penanda aras dalam tempoh 5 tahun.

Garis merah ialah prestasi FBM Emas Syariah
Garis biru ialah prestasi Dana Ekuiti


2.  Prestasi berbanding dana lain

Anda juga perlu membandingkan prestasi dengan dana lain dalam kategori yang sama. Senarai prestasi dana ada dipaparkan di akhbar harian tertentu, mingguan kewangan seperti The Edge, majalah Personal Money dan juga boleh didapati dengan mudah menerusi laman web Morningstar Malaysia. (Pilih Quickrank, dan kemudian tetapkan jenis dana dan parameter yang dikehendaki).

Berikut adalah perbandingan prestasi antara dana ekuiti berlandaskan syariah, disusun mengikut prestasi pada tahun ini.



Cuba bandingkan prestasi di seluruh spektrum tempoh pelaburan, daripada 1 tahun sehingga 10 tahun (jika ada). Ini memberikan gambaran sebenar tentang prestasi dana anda. Jika dana anda ketinggalan dalam kebanyakan tempoh masa, anda boleh pertimbangkan untuk menjual pelaburan tersebut.

3. Prestasi berbanding unit amanah harga tetap dan Tabung Haji

Unit amanah harga tetap ialah sepert Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan. Selain itu, apabila membuat perbandingan dengan Tabung Haji (TH), perlu diingat bahawa dividen yang dibayar oleh TH ialah selepas menolak zakat.

Perbandingan ini dibuat kerana unit amanah harga tetap dan TH mempunyai risiko yang sangat rendah sedangkan dana ekuiti mempunyai risiko yang lebih tinggi. Justeru dalam tempoh lima tahun, dana ekuiti seharusnya memberikan pulangan lebih tinggi sejajar dengan status risikonya . 

Dengan membuat ketiga-tiga perbandingan ini, anda boleh menilai prestasi dana ekuiti yang sudah anda miliki atau yang sedang anda pertimbangkan, dengan cara yang lebih menyeluruh.

Nota: 
  1. Prestasi dana dan pulangan pelaburan anda adalah berbeza kerana pulangan pelaburan anda bergantung kepada bila anda beli dan perlu mengambil kira caj jualan dana.
  2. Berkaitan ASB dan ASW, terpulang kepada pelabur Islam untuk membuat pertimbangan sendiri sama ada boleh atau tidak boleh melabur di dalamnya. Saya sendiri hanya menggunakan Tabung Haji.
  3. Mereka yang berminat untuk mempelajari lebih lanjut tentang Pelaburan Unit Amanah boleh mendapatkan buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

04 Disember, 2013

Mini Workshop Strategi Intrinsic Value

Menentukan Nilai Intrinsik Berasaskan Growth Discounted Valuation. Bengkel kendalian Tuan Zayed Zulfikli, anjuran syarikat Pakdi.

Saya akan memperkenalkan kategori baru dalam blog, iaitu bengkel saham.  Saya baru sahaja mengadakan bengkel kedua saya pada 30 Nov lepas dan belum merancang kursus selanjutnya dalam tempoh terdekat.

Bagi mereka yang berminat untuk terus mendalami ilmu saham, saya akan cadangkan bengkel yang mungkin bermanfaat bagi mereka. 

Bengkel yang seterusnya anjuran syarikat Pakdi, seorang pakar kewangan terkenal, ialah seperti berikut:




Tarikh: 11 Disember 2013, Rabu (Hari cuti Sultan Selangor)
Masa: 9:45 pagi - 12:40 petang
Trainer: Tuan Zayed Zulfikli
Yuran: RM 300

Lokasi: Level 32, Menara Prestige

Sila buat pembayaran ke salah satu dari akaun berikut:
 
CIMB
Nama akaun: AFIQ Training & Advisory 
No akaun: 12080000563100

Maybank
Nama akaun: SM World Resources
No akaun: 562384119501

Reply emel ini jika mahu membuat pembayaran melalui kad kredit.

 
Sila emel kepada sales@rancangwang.com maklumat / bukti pembayaran, nama penuh, dan no telefon. Bantuan SMS di talian 012 360 8652. Bantuan telefon di talian 03 9207 9780.

03 Disember, 2013

Jangan Salah Faham Tentang Peraturan No. 1 Warren Buffett : 'Never Lose Money'

Tidak bermakna kita langsung tidak boleh menerima kerugian atau portfolio saham keseluruhan kita tidak boleh menyusut buat sementara waktu

Mungkin anda pernah mendengar tentang peraturan utama Warren Buffett:

Rule No 1: Never Lose Money
Rule No 2: Never Forget Rule No.1

Sebenarnya nasihat ini adalah berasaskan falsafah yang menggalakkan pelabur untuk menyelidik pelaburan dengan teliti supaya mereka dapat mengurangkan kebarangkalian mencatatkan kerugian.



Tetapi ada pelabur yang telah tersalah tafsir peraturan ini dengan mengandaikan bahawa jika mereka beli sesuatu saham dan harganya turun, mereka perlu pegang sehingga saham tersebut naik lebih tinggi daripada harga belian sebelum menjual.

Jika saham yang dibeli adalah saham berkualiti dan prestasinya memuaskan, jangan bimbang tentang penurunan harga. Anda boleh pegang sehingga harga saham naik untuk mencerminkan prestasi sebenarnya.

Tetapi jika anda tersilap membuat penilaian dan saham yang dibeli mencatatkan prestasi yang kurang baik dan dijangka terus dibelenggu masalah, maka harga belian anda tidak patut dimasukkan dalam pertimbangan tentang sama ada saham tersebut patut dijual.

Apa yang perlu dibandingkan ialah nilai saham dan juga harga saham pada waktu itu. Jika anda mendapati prestasi syarikat dijangka terus merosot dan menjejaskan nilai saham, jual pada harga terbaik yang boleh didapati, walaupun anda mengalami kerugian.

Ini kerana wang tersebut boleh digunakan untuk melabur dalam saham lain yang mempunyai potensi lebih besar. Jika anda mahu menunggu sehingga pulang modal sebelum menjual, anda mungkin terpaksa menunggu lama.

Perkara paling penting yang dipertimbangkan ialah prestasi syarikat dan juga peluang pelaburan lain yang wujud pada masa tersebut. 

Dalam keadaan tertentu, syarikat yang lemah akan beransur-ansur bergelumang dalam masalah yang semakin besar sehinggalah mencapai status PN17.

Kesimpulannya ialah jika harga jatuh lebih rendah daripada harga belian anda, anda patut terus pegang sekiranya syarikat tersebut tetap kukuh dan mencatatkan prestasi memuaskan.

Sebaliknya, jika penurunan harga disebabkan masalah serius yang berpotensi menjejaskan syarikat dalam jangka panjang, mula fikirkan untuk jual saham tersebut pada harga terbaik yang boleh didapati, walaupun ia lebih rendah daripada harga belian anda.

Satu lagi perkara yang perlu diingati ialah 'Never lose money' juga bukan bermakna portfolio saham anda secara keseluruhannya tidak boleh merosot buat sementara waktu.

Syarikat Buffett pun turun nilainya semasa krisis subprima tahun 2008, tetapi telah kembali naik dengan ketara pada 2009. Volatiliti adalah lumrah pelaburan, dan sukar untuk mengelakkan penurunan sementara sekiranya berlaku kejatuhan ketara pasaran.

Cuma jika saham yang anda pegang berkualiti, saham akan naik kembali dengan pantas apabila sentimen kembali pulih.

Maksud sebenar 'Never lose money' ialah pelabur patut memikirkan tentang risiko yang wujud, tekun membuat penilaian dan meletakkan margin of safety dalam setiap keputusan pelaburan yang dibuat. 

Peraturan ini bukannya bermakna kita tidak boleh sama sekali melakukan kesilapan atau menerima kerugian. Pendek kata, ia tidak harus ditafsirkan secara literal.