09 Disember, 2013

Menilai Prestasi Dana Unit Amanah Ekuiti Anda

Pulangan yang diberi perlu diteliti berasasakan beberapa ukuran nilai

Jika pelaburan dana unit amanah ekuiti (dana yang melabur dalam saham) anda mencatatkan pulangan positif sehingga lebih dua angka, ini tidak bermakna prestasinya baik. Sebaliknya jika dana ekuiti tersebut memberikan prestasi negatif pula, tidak semestinya dana tersebut lemah.

Segalanya bergantung kepada keadaan pasaran saham dan juga prestasi dana lain dalam kategori yang sama.

Jumlah pulangan sahaja tidak dapat menentukan kekuatan atau kelemahan.  Sebaliknya bandingkan dengan tiga perkara berikut:

1.  Prestasi berbanding penanda aras

Penanda aras ialah indeks yang digunakan untuk menilai dana ekuiti tersebut. Dalam prospektus dan laporan dana, mesti ada perbandingan yang dibuat dengan indeks penanda aras. Ini merupakan ukuran prestasi paling penting.

Bagi kebanyakan dana berlandaskan syariah, indeks yang digunakan untuk menilai prestasi ialah indeks FBM Emas Syariah.

Sebagai contoh, jika dana mencatatkan pulangan 15% sedangkan penanda aras mencatatkan kenaikan 20%, maksudnya ialah pengurus dana telah underperform. Tetapi untuk memberikan gambaran yang lebih adil, janganlah bandingkan satu tahun sahaja. Penilaian lebih jelas boleh diperolehi dalam tempoh tiga tahun.

Sebaliknya dalam ekonomi gawat, jika dana ekuiti anda turun 10% adakah ini sesuatu yang negatif?  Tidak jika indeks penanda aras merosot 15%. Ini bermakna prestasi pengurus dana anda amat baik. Adalah mustahil untuk mengelakkan kerugian dalam keadaan ekonomi atau pasaran gawat.

Berikut adalah contoh dana ekuiti yang gagal mengatasi prestasi penanda aras dalam tempoh 5 tahun.

Garis merah ialah prestasi FBM Emas Syariah
Garis biru ialah prestasi Dana Ekuiti


2.  Prestasi berbanding dana lain

Anda juga perlu membandingkan prestasi dengan dana lain dalam kategori yang sama. Senarai prestasi dana ada dipaparkan di akhbar harian tertentu, mingguan kewangan seperti The Edge, majalah Personal Money dan juga boleh didapati dengan mudah menerusi laman web Morningstar Malaysia. (Pilih Quickrank, dan kemudian tetapkan jenis dana dan parameter yang dikehendaki).

Berikut adalah perbandingan prestasi antara dana ekuiti berlandaskan syariah, disusun mengikut prestasi pada tahun ini.



Cuba bandingkan prestasi di seluruh spektrum tempoh pelaburan, daripada 1 tahun sehingga 10 tahun (jika ada). Ini memberikan gambaran sebenar tentang prestasi dana anda. Jika dana anda ketinggalan dalam kebanyakan tempoh masa, anda boleh pertimbangkan untuk menjual pelaburan tersebut.

3. Prestasi berbanding unit amanah harga tetap dan Tabung Haji

Unit amanah harga tetap ialah sepert Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Wawasan. Selain itu, apabila membuat perbandingan dengan Tabung Haji (TH), perlu diingat bahawa dividen yang dibayar oleh TH ialah selepas menolak zakat.

Perbandingan ini dibuat kerana unit amanah harga tetap dan TH mempunyai risiko yang sangat rendah sedangkan dana ekuiti mempunyai risiko yang lebih tinggi. Justeru dalam tempoh lima tahun, dana ekuiti seharusnya memberikan pulangan lebih tinggi sejajar dengan status risikonya . 

Dengan membuat ketiga-tiga perbandingan ini, anda boleh menilai prestasi dana ekuiti yang sudah anda miliki atau yang sedang anda pertimbangkan, dengan cara yang lebih menyeluruh.

Nota: 
  1. Prestasi dana dan pulangan pelaburan anda adalah berbeza kerana pulangan pelaburan anda bergantung kepada bila anda beli dan perlu mengambil kira caj jualan dana.
  2. Berkaitan ASB dan ASW, terpulang kepada pelabur Islam untuk membuat pertimbangan sendiri sama ada boleh atau tidak boleh melabur di dalamnya. Saya sendiri hanya menggunakan Tabung Haji.
  3. Mereka yang berminat untuk mempelajari lebih lanjut tentang Pelaburan Unit Amanah boleh mendapatkan buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

Tiada ulasan: