Saya pernah menulis tentang Freight Management pada tahun lepas dan ingin memberikan sedikit perkembangan terkini tentang prestasi syarikat untuk tahun berakhir 30 Jun 2012.
Freight Management Holdings Berhad ialah sebuah syarikat pengangkutan menyeluruh yang menawarkan khidmat fret dan pengangkutan menerusi laut udara dan darat. Perkhidmatan yang ditawarkan syarikat termasuk fret laut, udara, keretapi, kapal tunda, pengangkutan dan pembrokeran kastam.
Pendapatan sesaham syarikat bagi seluruh tahun kewangan 2012 ialah 12.9 sen, iaitu lebih tinggi sedikit daripada angka 12.2 sen pada tahun 2011. Pencapaian ini agak mantap terutamanya kerana keadaan dagangan global yang tidak begitu pesat, yang lazimnya akan mempengaruhi sektor pengangkutan dan logistik.
Berikut adalah pergerakan harga saham Freight sejak disenaraikan:
Dipetik daripada Bursastation
Selepas mengambil kira saham bonus 1 untuk 3
Sementara itu, di bawah pula ialah petikan prestasi syarikat dalam tempoh lima tahun antara 2007 - 2011:
Laporan Tahunan Freight Management
Nota: EPS adalah sebelum mengambil kira saham bonus. Untuk membandingkan EPS dengan tahun semasa, darabkan EPS di atas dengan 3/4.
Perkara yang menarik tentang syarikat ini ialah ia mampu meningkatkan hasil secara beransur-ansur tahun demi tahun. Peningkatan hasil lazimnya bermakna peningkatan untung. Bagi tahun 2012, hasil yang dicatatkan ialah RM327 juta, iaitu terus meningkat berbanding tahun 2011.
Sementara itu, dividen sebanyak 4 sen sesaham dijangka dibayar. Berasaskan harga purata saham sepanjang bulan lepas pada 90 sen, ini bermakna hasil pulangan dividen atau dividend yield ialah 4.4%.
Malah pada harga semasa, saham diperdagangkan pada nisbah P/E lebih kurang 7 atau pulangan pendapatan atau earnings yield (E/P) 14.3%.
Perangkaan ini agak menarik, dan saham kelihatan undervalued. Mungkin harga sahamnya rendah kerana pelabur secara umumnya meramalkan ekonomi global dijangka kurang pesat pada tahun semasa dan tahun depan, dan Freight Management dijangka mengalami kesannya.
Walau apa pun, pengurusan syarikat nampak kukuh dan mampu mengharungi cabaran yang mungkin dihadapi. Harga semasa amat berpatutan, cuma pelabur mungkin memerlukan masa 2 hingga 5 tahun untuk mendapatkan pulangan yang memuaskan daripada saham ini.
Berasaskan pencarian di Internet dan di laman CBRS Bursa Malaysia, saya telah memuat turun dua laporan penyelidikan menerusi syarikat ini. Pelabur boleh mendapatkannya untuk mengumpulkan gambaran yang lebih menyeluruh, selain menantikan laporan tahunan syarikat yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
2 ulasan:
Di mana tuan ambil print screen laporan tersebut? Terima kasih 4 sharing
-fuadws-
Laporan Tahunan Freight Management di laman web rasmi Freight Management. Type 'Freight Management' dalam search engine untuk pergi ke lamannya.
Catat Ulasan