Baru-baru ini, (Sabtu, 25 Ogos), usahawan tersohor dan pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub telah ditemu ramah di akhbar The Star. Karangkraf ialah sebuah syarikat penerbitan dan percetakan yang disegani di Malaysia, yang menerbitkan pelbagai majalah seperti Mingguan Kanak-Kanak, Bacaria, Media Hiburan dan juga akhbar Sinar Harian.
Saya pernah membaca kisah beliau di akhbar dan majalah lain, tetapi kali ini saya terbaca satu perkara amat penting yang saya dapati amat berguna untuk ditekankan dan dihebahkan kepada pembaca blog, terutamanya golongan muda yang ingin menjadi usahawan atau memulakan kerjaya.
Menurut usahawan terkenal ini, tidak ada jalan singkat untuk berjaya dan anda perlu melalui proses pembelajaran dan menimba pengalaman untuk sampai ke puncak. Tidak ada pengganti bagi proses ini.
Kata beliau lagi, kita telah menghabiskan masa satu generasi dalam usaha untuk mempercepatkan pembangunan ahli perniagaan Melayu tetapi tidak begitu berjaya. Ini kerana kita sentiasa mahu mencari jalan mudah.
"Kita tidak boleh mengumpulkan sekumpulan bakal peniaga, menyuruh mereka mengikuti kursus dua atau tiga hari dan kemudian memberi mereka beberapa ribu ringgit untuk memulakan perniagaan kerana ini merupakan resipi kegagalan."
Pandangan beliau adalah seiring dengan penemuan yang dipaparkan dalam buku Outliers oleh Malcolm Gladwell dan Talent is Overrated oleh Geoffrey Colvin dan banyak kajian yang dijalankan terhadap bintang dan tokoh terkenal dalam pelbagai bidang.
Kesimpulan yang mereka buat ialah penguasaan dalam sesuatu bidang memerlukan latihan dan pembelajaraan selama sekurang-kurangnya 10 tahun.
Saya amat bersetuju sekali dengan pandangan beliau. Isu sekarang ini ialah kita dapat melihat pelbagai kursus, seminar dan buku yang mendakwa bahawa anda boleh menguasai sesuatu bidang atau mula buat duit dengan pantas dengan hanya bekerja selama X jam dalam sehari.
Fenomena ini bukan sahaja terhad kepada dunia perniagaan, tetapi juga dunia pelaburan, termasuk pelbagai jenis pelaburan seperti Forex, komoditi, saham dan emas.
Percambahan skim cepat kaya yang tetap dilanggan walaupun beribu-ribu orang sudah tertipu menunjukkan fenomena jalan pintas masih berleluasa di mana ramai orang percaya mereka boleh untung dengan cepat tanpa perlu bersusah-payah.
Ini tidak bermakna bahawa tiada seorang pun yang boleh mencapai kejayaan atau kekayaan besar dalam masa yang singkat, tetapi kejayaan ini adalah disebabkan sama ada oleh:
- Bakat yang amat luar biasa yang tiada pada hampir semua orang lain,
- Nasib baik kerana mengambil kesempatan daripada peluang keemasan yang timbul pada masa yang tepat
- Menggunakan jalan yang tidak begitu lurus.
Jika anda pergi ke kursus atau membaca buku untuk mula mempelajari atau menguasai sesuatu bidang, anggap tindakan tersebut sebagai satu langkah kecil sahaja dalam proses penguasaan yang mengambil masa bertahun-tahun, walaupun jika kursus mendakwa anda boleh melakukannya dalam masa 33 hari, 3 bulan dan sebagainya.
Bersabar, bekerja keras dan terus belajar dan sentiasa memperbaiki diri sendiri ialah jalan yang perlahan tetapi memberikan peluang paling tinggi untuk berjaya.