Apollo ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan pengeluaran makanan ringan, termasuk konfeksi coklat, wafer coklat dan kek lapis di bawah jenama Apollo dan Nikko.
Baru-baru ini Apollo kembali mendapat perhatian kerana mencatatkan prestasi suku kedua tahun kewangan yang amat memberangsangkan. Berikut adalah pergerakan harga saham Apollo dalam tempoh 5 tahun lepas.
Bursa Malaysia
Prestasi cemerlang yang dimaksudkan pada suku kedua ialah apabila syarikat mengumumkan EPS memberangsangkan sebanyak 9 56 sen, menjadikan EPS untuk separuh tahun sebanyak 19.58 sen. Keputusan ini nyata lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Sebagai perbandingan, berikut adalah prestasi 5 tahun syarikat antara tahun 2008 hingga 2012 yang diambil daripada Laporan Tahunan syarikat.
Harga penutup saham pada hujung minggu lepas ialah RM3.53. Berasaskan keputusan semasa, jika syarikat dapat mengekalkan prestasi, ramalan EPS seluruh tahun ialah antara 35 - 39 sen. Jika kita ambil nilai konservatif 35 sen, maka saham sekarang diperdagangkan pada nisbah P/E 10.
Pada tahun lepas dividen yang dibayar ialah 20 sen. Pada harga semasa, pulangan dividen bagi pelabur ialah kira-kira 5.6%. Jika saham dibeli pada harga lebih rendah, lebih tinggi pulangan dividen yang diterima. Ini belum mengambil kira potensi syarikat membayar dividen lebih tinggi kerana peningkatan prestasi.
Kedudukan tunai syarikat juga mantap, dengan tahap tunai bersih yang positif. Ini bermakna syarikat boleh menggunakan tunai untuk menjelaskan sepenuhnya semua liabiliti, kedua-dua liabiliti jangka pendek dan dan juga jangka panjang.
Apollo ialah bukti yang menunjukkan bahawa saham syarikat yang kukuh, jika dipegang untuk jangka panjang, akan membuahkan hasil, dari segi dividen dan juga kenaikan harga. Cuma persoalannya sekarang ialah lonjakan harga pertama telah berlaku selepas pengumuman keputusan.
Jika prestasi dikekalkan, tiada sebab harga tidak boleh naik lebih tinggi. Maka keputusan yang perlu dibuat tentang saham ini bagi pelabur yang belum membeli ialah harga yang sesuai, kerana syarikat memang kelihatan amat kukuh.
Mungkin kita boleh menunggu untuk harga saham turun sedikit, tetapi dalam keadaan tertentu yang pernah berlaku, jika syarikat terus mencatatkan prestasi yang baik, harga saham langsung tidak turun ke paras yang dikehendaki. Terpulang kepada pelabur untuk membuat pertimbangan sendiri.
Nota: Posting ini dibuat atas permintaan pembaca. Seperti biasa, pelabur perlu membuat penyelidikan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan. Catatan ini hanyalah untuk maklumat umum sahaja.