20 Jun, 2012

Bukan Kerana Bakat Tetapi Latihan Tertumpu

Talent is Overrated Dapati Latihan Tertumpu Punca Kecemerlangan

Saya baru sahaja membaca sebuah buku menarik bertajuk Talent is Overrated oleh Geoff Colvin.  Dalam bukunya, penulis meninjau segala penyelikan di samping membuat kajian sendiri tentang faktor yang menentukan kejayaan.


Penulis mendapati bahawa ahli sukan, perniagaan atau pemuzik cemerlang semuanya hebat bukan kerana bakat, tetapi disebabkan latihan keras dan tertumpu yang dilakukan selama beratus-ratus jam..

Dalam buku tersebut, beliau mendedahkan bahawa satu kajian ke atas pemain catur bertaraf Grandmaster menunjukkan bahawa ada di antara mereka yang mempunyai IQ di bawah purata, tetapi tetap menjadi pemain hebat.  Ini bermakna kemahiran permainan spesifik mereka dibina menerusi latihan gigih.

Di samping itu, beliau juga mendedahkan bahawa terdapat satu eksperimen di mana seorang dengan tahap IQ biasa, telah dilatih untuk mengingati siri nombor.  Selepas latihan selama beratus jam, beliau boleh mengingati siri 82 nombor yang dibacakan kepadanya.

Tetapi apabila orang yang sama diminta mengingati abjad pula, beliau gagal melakukannya dan tahap ingatannya sama seperti orang lain.  Ini menunjukkan bahawa untuk mencapai kejayaan latihan yang spesifik dan tertumpu diperlukan.  Ini juga menunjukkan mengapa ramai orang boleh menghafal seluruh Al-Quran jika diberikan latihan sewajarnya.

Bagi Tiger Woods, pemain golf tersohor, penulis mendapati bahawa beliau bernasib baik kerana mempunyai bapa yang pandai bermain golf sebagai jurulatih, yang sanggup meluangkan masa dan memberikan tunjuk ajar kepadanya sejak usia tiga tahun.  Ini bermakna beliau sudah mempunyai kelebihan daripada orang lain kerana telah mula berlatih lebih awal.

Menurut penulis, latihan keras yang dilakukan adalah amat spesifik dan dianggap 'tidak menyeronokkan' atau 'not fun'.  Jika ia mudah, sudah tentu lebih ramai orang yang akan mencapai tahap tertinggi.

Contoh tidak terhad kepada sukan dan muzik sahaja, malah juga kepada ahli perniagaan dan penulis memberikan contoh seperti Jack Welch dan Steve Ballmer yang pada peringkat awal pendidikan dan kerjaya mereka, langsung tidak menunjukan tanda-tanda kecemerlangan.

Selain itu, latihan tertumpu juga boleh diamalkan untuk meningkatkan kemahiran seseorang dalam bidang bahasa, penulisan dan juga penyampaian.

Kesimpulannya, jika kita hendak menguasai sesuatu kemahiran atau bidang, jangan anggap batasannya ialah bakat kita, tetapi sebaliknya hadnya ialah sejauh mana kita sanggup bekerja untuk mencapainya.  Ini menunjukkan masih belum terlambat bagi orang biasa seperti kita.

10 Jun, 2012

Menentukan Volum Dagangan Tinggi Atau Rendah

Bagaimana untuk menentukan volum dagangan tinggi atau rendah untuk sesuatu saham?

Untuk menentukan sama ada volum tinggi atau rendah, kita perlu melihat carta saham.  Biasanya perkhidmatan carta ini boleh dilanggan, seperti menerusi Bursastation (kira-kira RM20 sebulan untuk perkhidmatan asas) atau boleh didapati daripada perkhidmatan online broker saham.

Berikut adalah contoh volum dagangan bagi carta Petronas Chemicals:

Dipetik daripada Bursastation

Di bawah carta pergerakan harga saham, kita dapat lihat di garis merah dan hijau yang memaparkan paras volum dagangan.  Jika kita hanya melihat volum dari segi angka setiap hari mungkin kita tidak dapat membuat perbandingan yang tepat.  Graf sebegini memberikan kita perspektif lebih baik tentang paras tinggi rendah volum saham.

Kita dapat lihat dalam carta bahawa pada separuh kedua tahun lepas, volum dagangan agak tinggi tetapi  telah turun ke tahap yang lebih rendah selepas bulan November 2011.

Garis merah menunjukkan bahawa harga ditutup lebih rendah manakala garis hijau menunjukkan harga ditutup lebih tinggi berbanding harga penutup semalam.

Pada amanya volum saham akan meningkat dengan mendadak jika ada kenaikan atau penurunan ketara harga saham.  Bagi sesuatu saham, kita boleh melihat volum tinggi atau rendah dengan meninjau apakah tahap volum lazim bagi saham tersebut.  

Justeru, berasaskan carta ini, kita boleh tahu, sama ada volum pada hari ini tinggi atau rendah berasaskan rekod sejarahnya.

Kebanyakan saham mempunyai volum secukupnya untuk dijual beli dengan mudah. Namun begitu, bagi saham tertentu yang mana dalam seminggu, terdapat mungkin satu atau dua hari di mana langsung tiada dagangan,  anda perlu berhati-hati dkerana mungkin terpaksa menunggu untuk menyempurnakan urus niaga disebabkan kekurangan bekalan dan permintaan.

Satu petanda volum yang kurang mencukupi ialah jurang perbezaan antara harga bida (belian) dan harga jualan yang tinggi.  

Contohnya ialah  bagi saham di bawah RM2.00 jika perbezaan harga bida dan harga jualan selalunya lebih daripada 2 sen,  mungkin lebih sukar sedikit untuk melupuskan saham. 

Saham seperti ini tidak sesuai bagi mereka yang mengamalkan dagangan jangka pendek, tetapi tiada masalah bagi fundamental investor seperti saya.

Sebaliknya bagi saham yang perbezaan harga bida-jualan yang selalu lebih daripada 5 sen (bagi saham di bawah RM2.00) maka fundamental investor kecil pun perlu berhati-hati melainkan prospek masa depan syarikat benar-benar kukuh.

Sikap berwaspada ini perlu diambil bukan kerana faktor perniagaan syarikat, tetapi kerana bimbang sukar untuk melupuskan saham sekiranya saham perlu dijual.

06 Jun, 2012

Nilai Aset Pelaburan Masih Tinggi, Komoditi Merosot

Aset Pelaburan Tetap Di Paras Tinggi Walaupun Ekonomi Hadapi Risiko

Dalam keadaan semasa, adalah sukar untuk menentukan strategi yang harus diguna pakai untuk tempoh enam bulan akan datang kerana pada pendapat saya kedudukan aset pelaburan paling popular di Malaysia, iaitu saham, hartanah dan juga emas  berada di paras yang tinggi sedangkan terdapat beberapa risiko yang dihadapi oleh ekonomi global dan Malaysia.

Pasaran Saham

Walaupun pasaran saham dilihat telah turun daripada paras tertinggi, tetapi jika dilihat parasnya dalam jangka panjang dan dari segi P/E pasaran, nilainya bukan rendah..

Dipetik daripada Bursastation

Apabila kita tinjau pergerakan pasaran dalam tempoh 10 tahun lepas, indeks KLCI didapati masih berada di paras  antara yang tertinggi.  Kita tidak boleh mengatakan bahawa saham adalah murah dalam keadaan semasa, lebih-lebih lagi jika keuntungan terjejas akibat masalah ekonomi luaran dalam tempoh 12 bulan akan datang.

P/E pasaran Malaysia pada paras lebih kurang 15 adalah tidak tinggi dan tidak rendah. Tetapi jika keuntungan syarikat terjejas pada separuh kedua, maka P/E mungkin dianggap tinggi buat tahun ini.

Kesimpulannya ialah keadaan pasaran semasa tidak memberikan banyak peluang untuk mengintai saham undervalued (walaupun masih ada) sedangkan tinjauan ekonomi untuk enam bulan akan datang menunjukkan risiko yang agak tinggi.

Secara jujurnya, dalam keadaan semasa saya telah menambah pegangan tunai dengan mengurangkan nilai pelaburan dengan matlamat mengambil kesempatan daripada sebarang bargain yang mungkin timbul dalam tempoh enam bulan akan datang.

Mungkin unjuran saya salah (dan memang pernah dua tiga kali salah) dan pasaran terus naik, tetapi dalam keadaan semasa, saya rasa lebih selesa untuk mengelakkan kerugian.

Pasaran Hartanah

Pasaran hartanah telah dianggap sebagai terlalu tinggi sejak akhir 2010 oleh segelintir pakar, tetapi ramalan mereka agak kurang tepat kerana harga terus naik dan naik lagi terutamanya harga rumah bertanah.

Namun begitu, mungkin ada had kepada kenaikan pasaran kerana akhirnya jika sesuatu hartanah dipegang untuk pelaburan, sudah tentu ia harus memberikan hasil sewa yang munasabah. Keadaan yang berlaku sekarang ialah terdapat jurang besar antara harga rumah dan sewa yang diperolehi.

Pasaran pejabat dan pasaran kondo mewah memberikan hasil pulangan sewa yang paling rendah.  Pasaran harta bertanah juga memberikan hasil sewa yang amat rendah tetapi dalam segmen ini, harga mungkin boleh bertahan kerana permintaan tinggi daripada mereka yang membeli untuk menginap sendiri.

Pada pendapat saya keadaan pasaran hartanah adalah jelas lebih tinggi dan lebih berbahaya daripada pasaran saham.  Tetapi ini tidak bermakna harga akan jatuh dalam tempoh terdekat.  Semuanya bergantung kepada keadaan ekonomi, kadar faedah dan juga keyakinan pelabur.

Sesuatu 'bubble' boleh berterusan untuk tempoh yang lama. Cuma pandangan peribadi saya ialah risiko membeli hartanah sekarang, terutamanya segmen hartanah tertentu, adalah lebih tinggi daripada risiko melabur dalam pasaran saham.

Pelaburan Emas

Pelaburan emas pula nampaknya paling selamat dalam keadaan semasa, dan terdapat kemungkinan emas akan naik kembali jika krisis zon Euro menular.

Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa emas kini berada pada paras yang tinggi dan telah mendatar selama dua tahun.  Berikut adalah carta pergerakan harga emas sejak 1970 dalam USD.

Dipetik daripada laman web World Gold Council


Tetapi jika segala isu diselesaikan dalam masa satu atau dua tahun dan ekonomi kian pulih, adakah emas akan dapat mengekalkan kedudukannya?  Memang tidak dinafikan bahawa ada kemungkinan emas naik dalam senario tertentu, cuma risiko kejatuhan adalah lebih tinggi pada paras semasa.

Komoditi Penting

Sementara itu, harga dua komoditi penting bagi Malaysia, iaitu minyak mentah dan minyak sawit mentah telah jatuh.  Lazimnya kejatuhan menandakan penurunan permintaan global.

Namun begitu masih terlalu awal untuk menentukan sama ada kejatuhan ini adalah faktor permintaan dan bekalan yang sementara atau menandakan sesuatu yang lebih besar seperti kemelesetan ekonomi global yang serius

Berikut adalah carta harga minyak mentah dan minyak sawit mentah:



Dipetik daripada laman web MPOB

Walau pun dengan keadaan ekonomi global semasa, permintaan domestik Malaysia masih kukuh.  Sejauh mana krisis Zon Euro dan ekonomi China yang semakin perlahan akan mempengaruhi Malaysia tidak diketahui kerana sukar meramalkan apa yang akan dilakukan oleh negara-negara mata wang Euro yang menghadapi krisis.

Bagi saya strategi paling selamat untuk enam bulan akan datang ialah mengekalkan hanya syarikat paling kukuh dan menunaikan pelaburan yang berisiko untuk mengumpul tunai dan bersedia mengambil kesempatan sekiranya.terdapat peluang hebat untuk membeli aset pelaburan pada harga yang rendah.