Memaparkan catatan dengan label Membina Aset. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Membina Aset. Papar semua catatan

18 September, 2015

Kebangkitan Melayu Bermula Dengan Ilmu Tentang Pemilikan Aset

Walaupun saya tidak menyokong perhimpunan baju merah tempoh hari, saya faham konteks kebangkitan yang diinginkan. Tetapi rasanya seolah-olah kita nak bangkit tetapi tidak sedar mengapa kita terlena sebelum ini. Akhirnya kita salahkan pihak lain.

Orang Melayu amat bimbang tentang kehilangan kuasa politik, kerana itulah satu-satunya kekuatan yang kita ada. Dari segi pegangan aset dan perniagaan kita jauh ketinggalan.

Ini sebab utama kita terasa kekurangan. Lihatlah peratusan pegangan ekuiti saham dan pemilikan tanah Melayu. Tahapnya kurang daripada 30%. Tanpa pegangan institusi Bumiputera dan juga tanah rizab Melayu, angka tersebut mungkin jauh lebih rendah.

Bolehkah kita menyalahkan orang lain kerana keadaan ini? Saya tak berapa pasti. Dengan pelbagai institusi yang ada untuk melabur duit Bumiputera dan juga pelbagai program yang memperkasakan ekonomi, sepatutnya kita sudah mula berjaya.

Pada pendapat saya, apa yang akan membuatkan Melayu lebih yakin ialah status ekonomi yang lebih kukuh. Dan untuk mencapai status ekonomi lebih kukuh, kita perlukan ilmu perniagaan dan juga ilmu kewangan, atau lebih khusus lagi ilmu tentang pemilikan aset.

Saya sudah nampak kebangkitan dalam dunia perniagaan. Ini jelas kerana program, kursus dan seminar yang bermanfaat telah diadakan dan sikap dan budaya berlandaskan perkhidmatan yang kini diamalkan.

Malangnya kita masih jauh ketinggalan dari segi ilmu kewangan dan juga pemilikan aset.

Apa yang kita ada sekarang ialah sikap short-termism. Skim yang menjanjikan unung pantas sentiasa mendapat perhatian ramai, manakala sebarang bentuk proses jangka panjang dianggap kurang menarik.

Jika ada pun pemilikan aset, segala bentuk harta, tak kiralah saham atau harta fizikal lain dipegang untuk jangka terlalu pendek. Apabila nampak sahaja ada untung yang besar sikit, maka terus jual untuk dapatkan tunai.

Secara intuitif nampak berbaloi sebab kita terasa kaya apabila dapat tunai, tetapi ramai yang tidak sedar bahawa orang yang betul-betul kaya ialah yang kaya dengan pelbagai aset. Tunai hanya sebahagian kecil daripada portfolio mereka.

Golongan ini akan pegang aset untuk jangka panjang sehingga aset tersebut meningkat berlipat kali ganda sebelum jual.

Cuba bayangkan anda membeli rumah di Kuala Lumpur pada sekitar tahun 1980an. Apabila harga naik sedikit pada tahun 1990an, anda jual, Mungkin anda rasa dapat untung 'besar' pada masa tersebut.

Tetapi jika anda terus pegang, nilai aset bersih anda akan meningkat berlipat kali ganda dan mereka yang pegang sehingga sekarang, apabila menjual aset tersebut, boleh gunakan wang untuk beli rumah di tempat lain yang lebih murah dan bersara dengan selesa dan fikiran tenang.

Begitu juga dengan pemilikan tanah. Kita asyik tergerak hati untuk bertanya nilai tanah tersebut dan menjual jika ada orang datang untuk offer harga yang agak menarik. Kita sedih kerana kini bangsa lain yang memegang aset tetapi kita juga yang jual. Tiada siapa yang paksa.

Sebenarnya tiada masalah jika anda ambil untung. Tetapi berapa ramai orang yang cukup bijak untuk menggunakan habuan tunai yang diraih untuk membeli aset lain yang akan meningkat nilainya?

Masalah dengan tunai ialah ia sejenis aset yang sangat mudah untuk lari dari tangan kita. Bila ada tunai kita tergamak untuk membeli pelbagai barang pengguna atau aset yang menyusut nilainya.

Akhirnya kedudukan nilai bersih kita dalam tempoh sepuluh tahun lebih rendah daripada jika kita pegang sahaja hartanah yang kita jual tadi.

Saham syarikat juga begitu. Kita digalakkan untuk jual dan beli, jual dan beli. Anda main saham ada masa untung dan ada masa rugi. Tapi nilai ekuiti Melayu tidak akan meningkat dengan cara ini.

Dari segi ilmu perniagaan, memang saya lihat sudah ada kebangkitan, tetapi bagi ilmu kewangan dan pelaburan, keadaan kita masih jauh ketinggalan, mungkin kerana sudah selesa dibantu oleh pelbagai institusi seperti ASB, Tabung Haji dan selainnya.

Bila ada orang menawarkan kita harga yang tinggi untuk aset, kita rasa hairan. Mengapa agaknya mereka nak offer harga tinggi macam itu? Untunglah kita. Bestnya dapat beli kereta besar nanti.

Sebabnya ialah mereka ada ilmu dan kita tiada. Mereka tahu harga aset tersebut akan meningkat lagi dalam jangka panjang.

Mereka dapat aset dan lepaskan tunai. Kita dapat tunai dan lepaskan aset. Mereka susah payah kerana terpaksa tanggung pembelian aset sedangkan kita dapat enjoy tunai kita. Tetapi akhirnya nilai aset mereka naik dan nilai aset kita turun. Lepas itu kita pula rasa tak puas hati.

Itulah vicious cycle atau kitaran negatif yang kita hadapi. Nak salahkan siapa agaknya?

Bagi saya penyelesaiannya hanya satu. Kita perlu menambah ilmu kewangan dan menambahkan pegangan aset, bukan menerusi institusi Kerajaan dan institusi sepertinya, tetapi atas inisiatif peribadi, perkongsian atau persyarikatan.

Nota: Saya menulis artikel ini dalam jelmaan saya sebagai orang Melayu, walaupun dari segi teknikal saya sendiri tak pasti saya orang apa sebenarnya.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di  razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

06 September, 2015

Membina Aset Bahagian 4: Masa Paling Sesuai Untuk Membeli Aset

Dalam artikel The Star Online, bertajuk 'The Rich poorer by RM16 bil', didapati bahawa 30 ahli perniagaan terbesar Malaysia kini kehilangan nilai bersih di atas kertas berjumlah RM16.1 bil, berikutan kejatuhan pasaran saham.

Tetapi kita tidak perlu bersimpati terhadap mereka kerana kekayaan mereka masih lagi amat besar, dan kemungkinan besar akan naik kembali dan mencecah tahap lebih tinggi apabila pasaran saham atau ekonomi pulih.

The Star Online

Kejatuhan pasaran saham atau kegawatan adalah satu-satunya masa apabila jurang antara kaya dan miskin dirapatkan. Ini kerana sebahagian besar orang kaya memiliki aset dan nilai aset akan jatuh pada waktu ini.

Namun begitu, jurang ini rapat buat sementara waktu sahaja kerana nilai aset dalam jangka panjang lazimnya naik. Sebab itulah jurang antara kaya dan miskin bertambah dalam jangka panjang.

Cara paling baik untuk memastikan anda juga dapat memanfaatkan aset seperti orang kaya ialah dengan memiliki aset yang menjana pulangan dan juga meningkat naik dalam jangka panjang.

Masa paling baik untuk memiliki aset sudah tentulah dalam keadaan ekonomi atau pasaran saham sedang turun kerana aset boleh didapati pada harga yang lebih murah.

Masalah bagi sesetengah orang yang bukan dalam kategori kaya ialah:

  1. Mereka beli aset semasa aset sedang hangat
  2. Jual aset semasa nilai aset berada di paras rendah
  3. Suka melibatkan diri dengan skim meragukan kerana tidak sabar untuk membina kekayaan
  4. Tidak melabur dalam ilmu pelaburan dan kewangan yang betul 
  5. Tidak mendapatkan penasihat kewangan yang sesuai
Bukan sahaja aset dalam bentuk saham/unit amanah yang telah jatuh dari paras, tertinggi, ada beberapa aset lain juga begitu.

Pada pendapat saya tempoh setahun akan datang ialah masa paling sesuai untuk memastikan anda juga dapat memanfaatkan pemilikan aset, yang merupakan kaedah penting bagi orang kaya untuk meningkatkan nilai bersih mereka.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di  razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

29 Mei, 2015

Jadikan Kes 1MDB Sebagai Iktibar Apabila Menggunakan Hutang Untuk Beli Aset

Kita lupakan seketika segala isu lain yang ditimbulkan dalam kes 1MDB dan cuba fokus pada isu kewangan semata-mata untuk melihat apakah pengajaran yang boleh kita manfaatkan dalam keputusan pelaburan kita.

Pertama sekali bagaimanakah sebuah syarikat yang didakwa mempunyai asset berjumlah RM51 billion dan liabiliti RM42 bilion (atau RM49 bilion berasaskan sumber berlainan) boleh menghadapi masalah?

Jawapannya ialah disebabkan struktur modal dan aliran tunainya. 

Lazimnya sesebuah syarikat dibiayai dengan dua sumber, iaitu modal saham dan modal hutang. Syarikat perlu mencari keseimbangan terbaik antara keduanya.

Apabila syarikat dibiayai dengan jumlah hutang yang besar, ini bermakna modal sahamnya adalah kecil secara perbandingan.

Kelebihan pembiayaan hutang ialah untung tidak perlu dikongsi dengan ramai pemegang saham. Di samping itu, jika untung besar diraih, maka pulangan atas modal juga sangat tinggi, kerana jumlah modal yang kecil digunakan.

Tetapi kelemahan pembiayaan hutang ialah kita tetap perlu membayar kos hutang, tidak kira sama ada syarikat untung atau tidak, sedangkan dengan pembiayaan saham, pemegang saham hanya akan dibayar jika syarikat mencatatkan untung.

Dalam kes 1MDB, kos pembiayaan adalah tinggi kerana tahap hutang adalah tinggi. Aset sebahagian besar adalah dalam bentuk aset tetap tetapi liabiliti dalam bentuk kos pembiayaan perlu dibayar dalam tempoh terdekat.

Inilah isunya, walaupun aset lebih banyak daripada liabiliti, aset tersebut tidak boleh dicairkan dengan pantas untuk menampung liabiliti. Pendek kata wujud ketidaksepadanan antara jenis aset dan jenis liabiliti.

Untuk memastikan kos pembiayaan dapat dibayar, syarikat perlu mempunyai sama ada:
  1. aliran tunai yang cukup, atau
  2. rancangan yang jelas untuk melupuskan pelaburan pada nilai sewajarnya untuk membayar balik nilai pokok dan juga kos hutang,
  3. keupayaan untuk mengambil atau menerbitkan hutang lain untuk membayar balik hutang yang lama.
Bagi 1MDB, mereka tidak mempunyai akses kepada aliran tunai dengan mudah kerana semua tunai dijana oleh syarikat di bawah pegangan mereka dan bukan oleh mereka sendiri melainkan pembayaran dividen dibuat kepadanya. 

Kemungkinan besar rancangan asal mereka ialah melupuskan pelaburan menerusi penyenaraian unit tenaga mereka, yang dinamakan Edra Energy.

Malangnya keadaan tidak mengizinkan maka sebab itulah kini mereka menghadapi masalah besar dengan hutang yang diambil.

Di samping itu, pilihan ketiga pula sukar dilaksanakan kerana setiap institusi yang sanggup berurusan dengan 1MDB kini terpalit dengan kesan negatif. Malah dengan situasi sekarang, tiada siapa yang mahu terlibat dengan 1MDB.

Pendek kata 1MDB menghadapi krisis aliran tunai, krisis kredibiliti dan krisis keyakinan.

Tetapi yang ingin saya ingatkan ialah situasi ini bukan sahaja boleh berlaku kepada 1MDB, tetapi juga pelabur biasa seperti kita.

Jika anda melabur menggunakan nisbah hutang yang tinggi, tidak kiralah melabur dalam hartanah, emas atau saham, potensi untung anda berlipat-kali ganda jika harga aset dan/atau pulangan daripada aset tersebut (jika ada) terus meningkat.

Tetapi masalah akan timbul jika nilai aset menyusut dan/atau pulangan daripada aset tersebut juga terjejas. Persoalan akan timbul sama ada anda boleh menampung kos pembiayaan atau margin call (bagi saham).

Mungkin bila harga aset sedang meningkat, penilaian yang dibuat oleh pelabur hanya mengunjurkan kenaikan sahaja tanpa mengambil kira situasi jika harga turun.

Apa yang perlu anda lakukan jika anda bercadang menggunakan tahap hutang yang tinggi untuk melabur dalam sebarang bentuk aset ialah membuat analisis senario tentang keadaan yang akan berlaku jika harga aset jatuh atau pulangan daripada aset tidak seperti dijangkakan.

Bolehkah anda menampung defisit tersebut dengan tunai anda sendiri? Adakah anda boleh melupuskan aset tersebut pada harga yang sesuai? Dengan membuat persiapan untuk situasi sebegini, anda melindungi diri anda daripada masalah besar jika ia benar-benar berlaku.

Seperti yang dilihat daripada kes 1MDB, pembiayaan hutang boleh memberikan pulangan amat besar, tetapi kalau tersilap langkah ia boleh membinasakan anda.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel

25 April, 2015

Mengumpul Aset Secukupnya Untuk Menjana Pendapatan Pada Usia Emas Tanpa Bekerja

Baru-baru ini orang ramai sibuk membantah cadangan KWSP untuk menaikkan had umur pengeluaran kepada 60 tahun. Bagi saya sama ada  pengeluaran dibuat pada 55 atau 60 tidak penting, tetapi yang memerlukan lebih perhatian ialah konsep orang ramai tentang wang 'persaraan' tersebut.

Kebanyakan orang menganggap wang simpanan persaraan ialah wang yang akan kita gunakan secara beransur-ansur untuk menyara hidup kita pada usia emas, terutamanya apabila kita tidak lagi bekerja, sehinggalah wang tersebut tiada lagi. 

Bagi sesetengah orang, wang simpanan habis dalam masa hanya beberapa tahun, manakala bagi yang lain ia kekal untuk tempoh yang lebih lama. 

Mujurlah  masyarakat di sini masih menghormati ibu bapa dan sanggup menanggung mereka pada usia emas. Memang ini tanggungjawab yang perlu kita tunaikan terhadap mereka.

Tetapi cara yang lebih selamat dan memberikan ketenangan fikiran pada usia emas ialah mengumpulkan jumlah aset yang cukup besar supaya hasil daripada aset tersebut, selepas membayar zakat, dapat menampung kehidupan harian kita tanpa perlu kita mengurangkan walau sedikit pun jumlah pokoknya.

Inilah konsep yang dinamakan financial security (keselamatan kewangan) dan juga financial freedom (kebebasan kewangan). Keselamatan kewangan diperolehi apabila aset anda menjana cukup pendapatan untuk menyara kehidupan asas anda, termasuk keperluan makan minum. 

Kebebasan kewangan pula dicapai jika aset anda boleh menjana cukup pendapatan untuk menyara hidup dan juga memenuhi keinginan anda seperti mengembara dan melakukan pelbagai aktiviti lain yang menggembirakan anda pada usia emas.

Perlu ditekankan bahawa definisi tersebut langsung tidak menyentuh sama ada anda bekerja atau tidak. Jika anda mahu anda masih boleh terus bekerja, jika tidak anda boleh goyang kaki. 

Kita lihat contoh berikut:

Anda memiliki aset bernilai RM3 juta yang sebahagiannya disimpan dalam Tabung Haji dan sebahagiannya dilaburkan dalam unit amanah. Andaikan secara purata anda menerima pulangan dalam bentuk agihan pendapatan dan bonus kira-kira 5% setahun, selepas menolak zakat (ini merupakan andaian konservatif). Manakala belanja sara hidup anda ialah RM120,000 setahun.

Pulangan Pelaburan:    RM150,000
- Belanja Sara Hidup:  (RM120,000)
Baki Pendapatan          RM30,000 

Walaupun anda tidak bekerja, nilai aset atau harta anda kini meningkat kepada RM3,030,000. Anda telah berjaya menampung belanja sara hidup anda, sambil menambah nilai aset anda.

Perkara yang perlu anda lakukan ialah anggarkan jumlah yang anda perlukan untuk menanggung kehidupan anda selama setahun pada masa depan, dan kemudian tentukan nilai yang anda perlukan untuk menghasilkan pendapatan tersebut, pada kadar pulangan yang munasabah.

Saya syorkan guna pulangan 5%, yang merupakan pulangan purata yang diberikan oleh Tabung Haji. Jika anda tidak menabung dalam Tabung Haji, pulangan 5% juga tidak sukar diperolehi daripada pelaburan saham, unit amanah atau hartanah

Mungkin anda tidak perlu RM120,000 untuk menampung kehidupan anda. Jika belanja sara hidup anda hanya RM60,000, anda perlu mengumpulkan RM1.5 juta sahaja dari segi aset yang menjana pendapatan untuk menampung kehidupan anda tanpa perlu bekerja

Nilai yang perlu dikumpulkan mungkin nampak agak besar, tetapi apa salahnya menetapkan sasaran yang tinggi. Kunci kejayaan mencapai kebebasan kewangan ialah:
  1. Bermula seawal mungkin.
  2. Menabung secara konsisten
  3. Melabur dengan bijak
  4. Meningkatkan pendapatan beransur-ansur
  5. Mengawal perbelanjaan secara berpatutan.
Disiplin dan konsistensi akan membolehkan anda mencapai matlamat anda dengan lebih pantas.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

30 Mac, 2015

Beli Rumah atau Labur Saham Dulu?

Saya masih belum mempunyai aset. Saya ingin tanya nasihat tuan adakah saya patut tumpukan untuk beli aset rumah dahulu atau melabur dalam pasaran?

Jawapan yang saya berikan hanyalah pandangan peribadi. 

Langkah pertama ialah membina simpanan kecemasan antara 3 - 6 bulan gaji terlebih dahulu. Selepas itu, fokus pertama anda seharusnya menabung untuk membeli rumah. Bagi saya rumah sendiri adalah sesuatu yang sangat penting, lebih penting daripada kereta atau aset lain. Ia merupakan satu keperluan asas manusia. 




Malah pelabur saham terkenal Peter Lynch pun berkata anda patut beli rumah dahulu. Bila anda membeli boleh disesuaikan mengikut keadaan pasaran, tetapi usaha membina tabungan untuk membayar wang pendahuluan harus dimulakan dan disempurnakan.

Selepas membeli rumah, barulah tabungan boleh difokuskan pada pelaburan saham. Kaedah ini ialah cara konservatif dan selamat untuk memulakan proses pengumpulan aset dan jalan menuju kebebasan kewangan.

Tetapi ada juga pilihan lain bagi anda. Jika anda masih mahu melabur dalam saham anda boleh bahagikan dana kepada dua, iaitu satu untuk beli rumah dan satu untuk melabur saham. 

Dengan cara ini, jika anda meraih untung dalam pasaran saham, maka proses pembelian rumah akan dipercepatkan, tetapi jika anda rugi proses akan dilengahkan, namun perancangan anda tidak begitu terjejas kerana masih ada separuh wang tabungan dan juga dana saham yang lebih kecil.

Jika anda seorang risk taker, anda boleh melabur dalam pasaran saham untuk membeli rumah tetapi cara ini berisiko tinggi. Jika anda untung, rumah sendiri menjadi milik anda dengan cepat tetapi jika rugi, anda mungkin perlu menyewa untuk tempoh yang lama.

Saya telah menggunakan cara kedua, tetapi perlu diingat bahawa walaupun melabur sebahagian daripada wang dalam pasaran saham, tujuan asal saya tetap sama, iaitu membeli rumah sendiri.  Rumah sendiri memberikan ketenangan fikiran terutamanya jika anda sudah berkeluarga.

Sekali lagi saya tekankan, ini pendapat peribadi.  Bila anda membeli rumah atau pangsapuri bergantung pelbagai faktor pasaran tetapi walau apa pun, wang mesti dikumpulkan terlebih dahulu. 

Ada sesetengah orang yang lebih selesa menyewa dan tidak mahu kerenah pemilikan rumah. Terpulang kepada pilihan masing-masing, tetapi bagi saya, rumah sendiri ialah aset paling penting dari pelbagai aspek, bukan sahaja dari sudut kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

23 Februari, 2015

Membina Aset Bahagian 3: Mengenali Tiga Jenis Aset Yang Berbeza

Apakah jenis aset yang patut anda miliki? Adakah perlu cuba memiliki semua jenis aset?

Pertama sekali, sebelum mengumpulkan aset anda perlu mengenali jenis-jenis aset dan cirinya untuk memahami apakah kelebihan dan kelemahannya, di samping risiko dan pulangannya. Aset boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

a) Aset yang menjana pulangan

Aset yang menjana pulangan ialah aset yang meraih nilai daripada dua faktor, iaitu bekalan dan permintaan dan juga pendapatan yang dihasilkan. Beberapa jenis aset yang menjana pulangan termasuk tunai tabungan, hartanah dan tanah sewa, unit amanah dan saham.

Perlu diingat bahawa kebanyakan aset ini mempunyai nilai yang boleh turun naik, pada kadar yang berbeza. Ini juga bermakna masing-masing mempunyai risiko yang tersendiri.

Tunai (dalam Ringgit) mempunyai nilai yang tetap secara nominal, tetapi secara relatif ia berubah berbanding mata wang lain. Nilainya berpotensi dihakis akibat inflasi dan pulangan daripada simpanan tunai lazimnya paling rendah seiring dengan risikonya yang rendah.

Hartanah dan tanah yang disewakan pula berpotensi menjana pulangan daripada sewa yang berlainan bergantung kepada lokasi dan keadaannya. Tetapi berbeza daripada tunai, terdapat potensi kenaikan dan penurunan harga hartanah. Cuma dalam jangka panjang, harga lazimnya meningkat.

Unit amanah pula mempunyai harga yang berubah-ubah setiap hari, dan pendapatan dijana menerusi untung yang dihasilkan oleh syarikat yang dilaburkan oleh dana unit amanah, menerusi peningkatan nilainya. Nilai unit amanah juga boleh merosot dalam keadaan pasaran yang mencabar, tetapi tahap turun naiknya tidak ketara seperti membeli saham individu.

Pulangan saham pula dihasilkan daripada untung yang dihasilkan oleh syarikat. Untung ini dibayar balik menerusi dividen atau disimpan dalam syarikat yang meningkatkan nilai aset bersih syarikat. Tetapi saham mempunyai ciri yang paling tidak stabil (volatile) dalam senarai pilihan aset kerana penurunan dan kenaikan harganya yang boleh berlaku dengan ketara.

Kesimpulannya, pelabur perlu mengetahui pulangan yang munasabah yang boleh diperolehi daripada setiap aset dan kesanggupannya untuk menanggung risiko sebelum menentukan aset mana yang patut diutamakan.

b) Aset yang nilainya bergantung kepada bekalan dan permintaan

Satu lagi jenis aset ialah aset yang nilainya bergantung kepada bekalan dan permintaan. Ini bermakna ia tidak mencipta sebarang nilai tambahan atau mempunyai kegunaan melainkan permintaan yang wujud terhadapnya.

Aset seperti ini termasuk jongkong dan syiling emas dan perak, koleksi lukisan dan bahan koleksi lain, barangan kemas dan item sepertinya.

Jika anda melabur dalam aset sedemikian, anda bergantung semata-mata kepada keadaan pasaran bagi aset tersebut. Ini bermakna anda perlu bijak membeli pada harga yang rendah dan menjual pada harga yang tinggi.

Biasanya penjual aset seperti akan mendakwa bahawa harga aset pasti akan meningkat. Dalam jangka panjang mungkin ya tetapi kenaikan dan penurunan nilai boleh berlaku dalam jangka pendek dan pertengahan. Selain itu, anda tetap perlu membayar zakat walaupun aset tidak menjana keuntungan atau membayar dividen.

Tiada penciptaan nilai berlaku apabila membeli dan memegang aset ini sebagai pelaburan. Jika anda benar-benar berminat, pastikan anda mengkaji dan menguasai trend harga dan faktor yang mendorong permintaan dan bekalan untuk meraih untung daripadanya.

c) Aset yang menyusut nilainya

Aset yang menyusut nilainya ialah aset yang sering kali menimbulkan masalah kepada orang yang membelinya pada harga yang terlalu tinggi. Banyak aset yang menyusut nilainya dikaitkan dengan prestij. Contohnya seperti kereta, perabot, televisyen, telefon bimbit, jam tangan, baju dan kasut.

Sesetengah aset ini dibeli dengan hutang. Perlu diingat nilai hutang tetap sama tetapi nilai aset akan menyusut. Inilah yang menimbulkan masalah. Kebanyakan orang mengukur kemampuan bukan berasaskan nilai aset yang mereka ada, tetapi berdasarkan pendapatan yang mereka raih. Tetapi lebih tinggi pendapatan, lebih tinggi kapasiti untuk berhutang.

Walaupun penting kerana mempunyai nilai gunaan, kita tidak boleh mengambil kira aset ini dalam proses pembinaan aset. Sebaliknya anggap sebagai barangan kegunaan yang perlu digantikan apabila ia luput. Justeru, amat penting agar kita berbelanja secara sederhana ke atas aset ini dan membeli di bawah tahap kemampuan kita. Kalau boleh gunakan tunai dan bukannya berhutang.

Mereka yang bijak dari segi kewangan akan mementingkan fungsi yang dimainkan dan membeli barangan yang memberikan keseimbangan terbaik antara nilai dan fungsi.

Kesimpulan

Keutamaan harus diberikan kepada aset yang menjana pendapatan, kerana aset inilah yang berpotensi untuk beransur-ansur membawa anda ke arah kebebasan kewangan. Tetapi anda juga perlu berwaspada. Ada sesetengah aset dengan ciri yang begitu tidak stabil harganya sehingga boleh menimbulkan kerugian besar terhadap anda. 

Apabila mengumpulkan aset, ilmu dan minat amat penting. Tumpukan terhadap aset di mana anda berminat terhadapnya dan mempunyai ilmu atau sanggup menimba ilmu untuk mempelajari selok-belok pelaburannya.

Jangan membabitkan diri dalam terlalu banyak jenis aset berbeza tetapi semuanya dimiliki dalam jumlah kecil sehingga anda pening kepala menguruskan semua. Walaupun begitu, aset masih perlu dipelbagaikan (diversification) untuk mengurangkan risiko berlaku kemerosotan nilai sesuatu aset.

Buat pemilihan aset berasaskan minat dan sikap anda terhadap risiko, bukan kerana ia pelaburan yang sedang hangat atau orang lain berpendapat ia mampu memberikan pulangan lumayan.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

28 November, 2014

Tujuh Perkara Mudah Yang TIDAK Dilakukan Oleh Ramai Pelabur

Amalkan perkara berikut untuk tingkatkan prestasi pelaburan anda

Ben Carlson, CFA, seorang pengurus dana institusi di AS, dalam blognya A Wealth of Common Sense, menerangkan bahawa ada tujuh perkara yang lazimnya tidak dilakukan pelabur, sedangkan ia boleh meningkatkan prestasi pelaburan mereka.

Anda boleh membaca artikel penuhnya bertajuk, 7 Simple Things Most Investors Don't Do. Di bawah, saya meringkaskan, menterjemahkan dan menambah kepada pandangan beliau .

Dalam kesibukan pelabur mempelajari dan menggunakan pelbagai kaedah untuk membeli atau 'bermain' saham, beliau menyenaraikan perkara berikut yang tidak dilakukan oleh pelabur, sedangkan ia penting dalam proses pelaburan.

1.  Memantau pelaburan dari segi portfolio keseluruhan 
Anda perlu meninjau semua aset anda secara keseluruhan termasuk tunai, hartanah, saham, unit amanah dan sebagainya dan mengkaji tahap kepelbagaian aset, pulangan keseluruhan dan jumlah tunai yang anda pegang.

2.  Menentukan peruntukan aset anda 
Ini bermakna menentukan peratusan pegangan tunai, saham, unit amanah, hartanah dan aset lain seperti emas berasaskan tinjauan anda tentang ekonomi dan pulangan setiap aset pada masa depan. Kajian mendapati bahawa peruntukan aset, bukan pemilihan pelaburan, yang menentukan sebahagin besar daripada pulangan.

3.  Mengira pulangan pelaburan anda
Ramai yang tidak melakukannya tetapi ini penting dan patut dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun. Kebanyakan pelabur tersalah anggap atau kira, dan mengandaikan pulangan mereka lebih tinggi daripada prestasi sebenar.

4.  Menetapkan tempoh masa pelaburan apabila melabur
Ini akan membantu kita membuat keputusan yang lebih rasional. Adakah anda melabur untuk jangka pendek, jangka pertengahan atau jangka panjang?  Ramai pelabur melabur untuk jangka pendek tetapi tiba-tiba menjadi pelabur jangka panjang bila mereka mengalami kerugian.

5.  Menambah tabungan setiap tahun
Walaupun prestasi pelaburan yang kukuh adalah penting, cara paling baik untuk menambah kekayaan ialah dengan meningkatkan tabungan anda secara beransur-ansur. Tidak perlu ada kelayakan CFA untuk menyedari perkara ini.

6.  Fokus pada perkara yang boleh anda kawal
Pelabur sibuk memikirkan hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat tetapi pergerakan pasaran mustahil diketahui dengan tepat. Fokus kepada perkara yang boleh anda tentukan dengan tahap kebarangkalian yang lebih tinggi sahaja, seperti prestasi syarikat yang dilaburkan.

7.  Melengahkan kepuasan
Ini bermakna menggunakan lebih banyak daripada wang untuk melabur dan menabung pada peringkat awal, sambil mengurangkan perbelanjaan dalam barangan yang memberikan kepuasan kepada anda dengan serta-merta. Matlamatnya ialah mencapai kesenangan dan kejayaan dalam jangka panjang. 

Saya cadangkan anda melayari blog, A Wealth of Common Sense. Ada kandungan untuk beginner dan  untuk pelabur advanced.

30 Julai, 2014

Membina Aset Bahagian 2: Risiko Memegang Sebahagian Besar Aset Dalam Bentuk Tunai

Dorongan untuk berbelanja dan membeli barangan tidak produktif
Tunai aset paling selamat tetapi pulangan tunai juga paling rendah

Orang putih kata Cash is King, tetapi pepatah Inggeris ini benar sehingga tahap tertentu sahaja. Tunai dan aset setaranya adalah aset yang boleh dikatakan selamat, tetapi mempunyai beberapa kelemahan jika tidak digunakan dengan bijak.

Sesetengah orang langsung tidak melabur dan hanya membuat tabungan dalam bentuk tunai. Tiada masalah dengan pendirian konservatif seperti ini jika anda seorang yang berdisiplin, tetapi anda perlu maklum tentang beberapa kelemahan jika sebahagian besar aset anda adalah dalam bentuk tunai.

Risiko pertama dan paling besar ialah tidak ramai orang yang benar-benar berdisiplin. Biasanya tunai lebihan ini akan mencari jalan keluar daripada tangan kita untuk ditukarkan kepada barangan tidak produktif atau dimasukkan ke dalam skim 'pelaburan' yang didakwa boleh memberikan pulangan pantas tetapi akhirnya merugikan.

Saya pernah melihat beberapa kes seperti ini di mana aset yang kukuh, seperti tanah, dijual untuk menerima tunai, dan akhirnya tunai tersebut digunakan untuk membeli barang yang menyusut nilainya. 

Kadang kala wang habuan jualan aset tersebut digunakan untuk membuka perniagaan tanpa penyelidikan terperinci atau melabur dalam 'skim pulangan tinggi' yang menimbulkan kerugian besar.

Hakikatnya, jika tanah tersebut tidak dijual, pemegangnya boleh menjadi jutawan aset sekarang, tetapi beliau rugi besar selepas tunai tersebut digunakan untuk tujuan lain.

Malah kita biasa juga mendengar cerita bagaimana wang KWSP boleh lenyap dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dikeluarkan kerana pelbagai bentuk perbelanjaan atas barangan atau aset yang menyusut nilainya. 

Di samping itu, banyak juga cerita di media sosial mengenai orang yang menang loteri dan kemudian jatuh miskin kembali dalam masa beberapa tahun.

Faktor risiko kedua kepada tunai ialah nilainya mungkin terhakis dalam keadaan inflasi, iaitu berlakunya kenaikan harga barang. Ini bermakna nilai wang yang sama mempunyai kuasa beli lebih rendah berbanding tahun lepas.

Faktor ketiga ialah tunai memberikan pulangan paling rendah, setimpal dengan risikonya yang rendah. Dalam jangka panjang, seorang yang bijak melabur akan mengumpulkan jumlah aset yang jauh lebih besar dengan memanfaatkan pulangan terkompaun.

Tunai perlu diuruskan dengan teliti dan diimbangi supaya tidak terlalu sedikit sehingga menjejaskan kehidupan harian atau keupayaan kita mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan, tetapi tidak terlalu banyak sehingga peruntukan aset kita menjadi tidak seimbang. 

Kesimpulannya, tabungan tunai bulanan ialah sesuatu yang amat penting dilakukan. Ini tidak dinafikan. Tetapi saya mencadangkan agar tidak menyimpan semua aset dalam bentuk tunai dan setaranya, kerana tunai:
  • Mendorong belanja atas aset dan produk yang tidak meningkat nilai
  • Lazimnya memberikan pulangan paling rendah.
  • Boleh terhakis nilai dalam keadaan inflasi.

Gunakan tunai dengan bijak dalam usaha anda membina aset demi mencapai kebebasan kewangan. Jutawan tidak semestinya memiliki tunai sejuta ringgit.  Jutawan dari segi nilai aset bersih juga tetap jutawan.

Nota: Secara peribadi, saya akan memegang lebih tunai apabila pulangan pelaburan (yield) adalah rendah, (apabila harga aset sangat tinggi), dan memegang kurang tunai apabila pulangan pelaburan adalah tinggi, (apabila harga aset adalah rendah). 

29 Mei, 2014

Membina Aset Bahagian 1: Pemilikan Aset Bezakan Golongan Berada Dengan Yang Tiada

Bina aset yang jana pendapatan dan meningkat nilainya demi masa depan

Melihatkan situasi semasa di mana berlaku kenaikan harga aset dan barang, anda akan mendapati bahawa golongan berada semakin kaya sedangkan golongan yang tiada semakin terasa.

Memandangkan golongan berada sebahagian besarnya memiliki aset, maka nilai bersih (net worth) mereka semakin bertambah. Ini bermakna situasi kenaikan harga ini telah membawa manfaat kepada mereka.

Apabila saya menyebut golongan berada, maksud saya ialah orang yang mempunyai nilai bersih (semua aset tolak semua liabiliti) yang tinggi, tidak semestinya mereka yang mempunyai pendapatan yang tinggi. Inilah definisi yang digunakan oleh penulis buku The Millionnaire Next Door, yang menyelidiki sifat dan ciri orang kaya.

Bayangkan, jika anda memiliki sebuah rumah teres di kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur yang berharga RM300,000 5 - 6 tahun lepas, nilai rumah tersebut pasti naik sekali ganda kepada RM600,000. 

National Property Information Centre

Walaupun kenaikan mendadak seperti itu tidak mungkin berlaku sekali lagi untuk tempoh 5 - 6 tahun akan datang, tetapi inilah contoh manfaat memegang aset. Jika anda tinggal di rumah tersebut, maka anda mendapat manfaat kerana tidak perlu membayar sewa.

Jika anda menyewakannya pula, sewa tersebut merupakan pulangan bagi andayang boleh digunakan untuk membayar sebahagian atau seluruh ansuran pinjaman. Ini selain daripada kenaikan harga hartanah.

Begitu juga mereka yang memiliki saham atau unit amanah, terutamanya yang beli dan pegang untuk jangka panjang atau yang melabur secara konsisten  Nilai bersih mereka juga telah meningkat. Lihat kenaikan indeks pasaran saham sejak lima tahun lepas.

Yahoo Finance

Namun begitu bagi mereka yang tidak memegang aset, menyewa kediaman mereka dan hanya mempunyai jumlah simpanan yang kecil sahaja, situasi kenaikan harga barang dan aset pasti membebankan.

Pada pendapat saya, usaha untuk mengeluarkan golongan memerlukan daripada kesusahan perlu dimulakan dengan pendidikan tentang pentingnya memegang aset, yang turut membabitkan proses menambah simpanan.

Pemberian bantuan kewangan dalam bentuk tunai sahaja sebahagian besarnya sia-sia jika wang tersebut terus dibelanjakan, tanpa sebarang tabungan. Dalam jangka masa yang singkat, bantuan akan diperlukan lagi, dan kitaran tersebut akan berulang.

Justeru, tidak kira berapa usia dan kedudukan ekonomi anda, sama ada baru keluar sekolah, atau sudah lama bekerja dan berkeluarga, usaha mengumpulkan aset yang menjana pulangan untuk anda adalah sesuatu yang penting untuk masa depan.

Tetapi kuncinya bagi saya ialah aset yang menjana pulangan, kerana apabila aset tersebut menghasilkan keuntungan bagi anda, maka sekurang-kurangnya nilai asas atau intrinsic value aset tersebut wujud, dan ia tidak akan turun naik semata-mata atas permintaan dan bekalan.

Selain itu, membeli aset juga perlu dilakukan dengan teliti, iaitu pada harga yang setimpal. Membeli aset pada harga yang terlalu tinggi boleh menimbulkan kerugian dan menyebabkan nilai bersih anda merosot.

Pross membeli dan mengumpulkan aset perlu dilakukan dengan bijak. Walaupun untung besar lazimnya diperolehi apabila memegang aset yang baik untuk jangka masa panjang, ada masa tertentu kita perlu menjual sebahagian daripada aset kita dan menambahkan pegangan dalam bentuk tunai.

Apakah jenis-jenis aset yang boleh kita perolehi dan manfaatkan? Saya akan terangkan pada Bahagian 2 yang bakal disiarkan dalam masa beberapa minggu akan datang.