11 Mac, 2009

Waran Saham

Instrumen yang menggandakan untung atau rugi

Waran ialah hak (tetapi bukan kewajipan) untuk membeli saham sesuatu syarikat pada tarikh laksana. Apabila anda membeli waran, anda menerima hak untuk membeli saham syarikat pada harga laksana dan tarikh laksana yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Justeru, seseorang yang membeli sesuatu waran dan memegangnya sehingga tarikh laksana berpotensi untung atau rugi bergantung kepada harga sebenar saham syarikat tersebut pada tarikh laksana. Secara alternatif, pelabur juga boleh menjual waran tersebut di pasaran sebelum tarikh laksana.

Pada tarikh laksana, jika harga laksana lebih rendah daripada harga sebenar saham, pemegang waran membuat keputusan untuk melaksanakan waran tersebut dengan membeli pada harga laksana kerana dia akan mendapat untung. Tetapi jika harga laksana lebih tinggi daripada harga sebenar saham pada tarikh laksana, maka pemilik waran tidak akan melaksanakan hak untuk membeli saham kerana dia akan rugi. Biasanya waran dikeluarkan untuk tempoh lima tahun.

Kita lihat satu contoh yang mudah: Waran untuk saham XYZ dijual pada harga RM0.50, dan harga laksana untuk membeli saham XYZ adalah RM4.00. Pada tarikh laksana, harga saham X jatuh kepada RM3.50. Jika ini berlaku maka waran tersebut tidak akan dilaksanakan kerana pemilik waran mempunyai hak untuk membeli pada harga RM4.00, sedangkan harga pasaran hanyalah RM3.50. Justeru pemilik saham XYZ akan rugi keseluruhan modalnya sebanyak RM0.50.

Sebaliknya jika pada tarikh laksana, harga saham XYZ ialah RM5.00, maka pemegang waran akan melaksanakan haknya dan membeli saham XYZ pada harga RM4.00. Jika dia menjual saham tersebut dengan serta-merta, keuntungan yang diperolehinya ialah RM5.00 - (RM4.00 (kos saham) + RM0.50 (kos waran)) = RM0.50.

Bagaimana kalau pada tarikh laksana, harga saham XYZ ialah RM4.30. Pemegang waran tetap perlu melaksanakan haknya untuk mengurangkan kerugian. Dia akan membeli saham pada harga RM4.00. Dia boleh menjual saham yang baru dibeli itu dengan serta-merta atau memegangnya lagi dengan harapan ia terus naik. Jika di menjual saham, kerugian yang dialaminya ialah RM4.30 - (RM4.00 (kos saham) + RM0.50 (kos waran)) = RM0.20 sen. Jadual di bawah menunjukkan beberapa senario harga saham pada tarikh laksana.
Jadual Untung Rugi Waran



RM
RM
RM
RM
RM
Harga Saham Pada Tarikh Laksana
3.50
4.00
4.30
4.50
5.00
Tolak: Harga Laksana
4.00
4.00
4.00
4.00
4.00
Kos Waran
0.50
0.50
0.50
0.50
0.50
Untung / (Rugi)
(0.50)
(0.50)
(0.20)
0.00
0.50
Peratus Untung / (Rugi) %
(100)
(100)
(40)
0
(100)

Mengapa Beli Waran?

Ini satu soalan yang baik. Mengapa perlu kita membeli waran sedangkan kita boleh beli sahaja sahamnya. Jawapannya ialah faktor leverage atau pengganda. Cuba kita lihat contoh dalam senario terakhir jadual. Kita membeli waran saham XYZ pada harga RM0.50. Harga laksana ialah RM4.00. Pada tarikh luput, harga saham telah naik kepada RM5.00. Maka kita melaksanakan opsyen untuk membeli, menjual saham di pasaran dan mendapat untung RM0.50 selepas menolak kos waran. Labur RM0.50, untung RM0.50. Ini bermakna untung 100%!

Sebaliknya jika kita membeli saham XYZ pada RM4.00 dan menjual pada RM5.00. Kita dapat untung bersih RM1.00. Namun, peratusan untung lebih rendah, iaitu hanya 25%, kerana kita labur RM4.00 dan dapat untung RM1.00.

Dalam senario pertama dalam jadual, kita beli waran pada RM0.50. Harga laksana ialah RM4.00. Namun pada tarikh laksana, harga saham hanyalah RM3.50. Oleh kerana kita rugi kalau kita melaksanakan waran, kita biarkan sahaja waran luput. Apa sudah jadi? Wang pelaburan asal kita hangus!. Labur RM0.50. Satu sen pun tak dapat. Kita rugi 100%!

Mesej yang ingin disampaikan ialah menerusi faktor pengganda, waran boleh menghasilkan keuntungan yang amat besar atau kerugian yang amat besar. Risiko melabur dalam waran lebih tinggi daripada saham biasa.

Tiada ulasan: