28 Oktober, 2015

6 Langkah Untuk Memilih Dana Unit Amanah

Apabila membeli dana unit amanah, walaupun anda boleh mendengar nasihat yang diberikan oleh ejen unit amanah atau penasihat kewangan, anda patut meluangkan masa untuk mengkaji dan menilai pelaburan yang bakal anda buat.

Berikut adalah 6 langkah yang saya cadangkan sebelum anda membeli unit amanah:

1. Tentukan toleransi risiko anda. Dengan kata mudah, berapa banyak risiko yang sanggup anda tanggung. Adakah anda sanggup melihat nilai dana anda turun naik dengan ketara untuk mendapat pulangan lebih tinggi?

2. Tentukan tujuan dan tempoh masa pelaburan. Antara tujuan untuk membeli termasuk menjana pulangan lebih tinggi, sebagai dana persaraan, membiayai pendidikan anak dan menabung untuk wang muka rumah.

3. Memilih jenis dana. Selepas menentukan toleransi risiko, tujuan dan tempoh masa pelaburan, anda boleh pilih jenis dana yang sesuai untuk anda.



4. Baca prospektus dan nilai syarikat unit amanah. Dapatkan maklumat latar tentang syarikat, baca prospektus induk, nilai peruntukan aset dana dan tinjau prestasi dana syarikat secara umumnya.

5. Bandingkan prestasi dengan dana lain dalam kategori sama. Anda boleh mendapatkan maklumat ini daripada Jadual Dana Morningstar di laman web mymorningstar.com atau membaca Jadual Dana di The Edge.

6. Bandingkan prestasi dengan indeks penanda aras. Pulangan tinggi atau rendah tidak semestinya bermakna prestasi dana baik. Jika dana tinjauan anda berjaya mengatasi penanda aras secara konsisten, dana ini amat kukuh.

Walaupun tiada jaminan yang anda akan dapat memilih dana terbaik dengan cara ini, sekurang-kurangnya anda akan dapat mengurangkan risiko dengan mengelak dana yang menunjukkan prestasi lemah.

Peringatan yang sering diberikan ialah prestasi masa lepas bukan petunjuk prestasi masa depan, tetapi prestasi masa lepas ialah antara faktor yang boleh kita gunakan untuk membuat penilaian tentang sesuatu dana unit amanah.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

24 Oktober, 2015

Bajet 2016 - Insentif dan Kesan Bagi Individu

Insentif dan kesan bajet terhadap individu dan keluarga sepintas lalu

Bajet 2016 ialah bajet yang disediakan untuk menghadapi keadaan semasa yang mencabar, di mana hasil minyak telah menurun tetapi sedikit sebanyak ditampung oleh kutipan GST. Seperti tahun-tahun lepas, saya akan menyenaraikan kesan dan insentif dalam Bajet 2016 yang berkait secara langsung dengan individu.

Peningkatan Kos atau Pengurangan Insentif bagi Individu

Jika tahun lepas individu terpaksa menghadapi GST dan rasionalisasi subsidi, tahun ini Kerajaan telah meningkatkan cukai pendapatan golongan berada dan menarik balik insentif persekolahan kepada golongan sederhana.
  1. Cukai Pendapatan dinaikkan daripada 25% kepada 28% kepada individu yang berpendapatan Sejuta Ringgit dan ke atas
  2. Cukai Pendapatan dinaikkan daripada 25% kepada 26% bagi individu yang berpendapatan RM600,000 hingga RM1,000,000.
  3. Insentif RM100 untuk setiap murid sekolah kini terhad kepada golongan berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sahaja.
Hartanah

Saya tidak nampak sebarang perubahan dari segi cukai keuntungan harta tanah (RPGT) pada tahun ini. Kalau begitu, RPGT adalah seperti tahun lepas.
  1. Bagi hartanah yang dijual dalam tempoh tiga tahun, RPGT ialah 30%.
  2. Bagi hartanah yang dijual pada tahun ke-4 dan ke-5, RPGT ialah 20% dan 15% masing-masing.
  3. Selepas tahun ke-6, tiada RPGT dikenakan bagi individu; 5% bagi syarikat.

Insentif Untuk Golongan Berpendapatan Rendah 
  1. Menerusi Skim e-Kasih, isi rumah dengan pendapatan di bawah RM1,000 kini diberikan RM1050.
  2. BR1M kepada isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 akan dinaikan daripada RM950 kepada RM1,000.
  3. BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 ditambah daripada RM750 kepada RM800.
  4. Bagi individu bujang berusia 21 dan ke atas dengan pendapatan bulanan tidak lebih RM2,000, BR1M ditambah daripada RM350 kepada RM400.
  5. Skim Khairat Kematian RM1,000 akan diteruskan.

Insentif Untuk Pelajar

Insentif yang disediakan pada tahun lepas telah dikekalkan, tetapi hanya untuk pelajar dan golongan berpendapatan rendah sahaja.
  1. Baucar buku 1Malaysia bernilai RM250 setiap seorang untuk pelajar pengajian tinggi.
  2. Bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, tetapi terhad kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Insentif Cukai
  1. Insentif cukai bagi setiap anak dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 seorang anak.
  2. Pelepasan individu untuk pasangan yang tidak bekerja dinaikkan kepada RM4,000
  3. Pelepasan bagi anak berusia lebih 18 tahun di IPT dinaikkan daripada RM6,000 hingga RM8,000.
  4. Pelepasan untuk anak OKU sebanyak RM6,000 diberikan dan sehingga RM14,000 jika mereka melanjutkan pengajian
  5. Anak yang menyara ibu bapa berpendapatan kurang RM2,000 dapat pelepasan RM1,500 setiap seorang.

Insentif Penjawat Awam
  1. Pemberian khas sebanyak RM500.
  2. Bayaran khas kepada pesara sebanyak RM250
  3. Gaji permulaan minimum RM1,200 bagi penjawat awam
  4. Pencen minimum RM950 bagi pesara dengan perkhidmatan sekurang-kurangnya 25 tahun

Insentif Pekerja
  1. Gaji minimum RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 1 Julai 2016.

Insentif GST Kadar Sifar
  1. Ditambah kepada 8,360 jenis ubat.
  2. Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya
  3. Penerbangan laluan perkhidmatan luar bandar

Data Penting Lain Tentang Bajet
  • Sejajar dengan usaha mengurangkan defisit, bajet kali ini menyaksikan defisit dijangka dikurangkan daripada 3.2%  kepada 3.1% pada 2015.
  • Tanpa GST tahap defisit negara adalah jauh lebih tinggi.
  • Nisbah hutang kepada KDNK Kerajaan telah meningkat kembali kepada 54% berbanding 53% pada tahun lepas. 
  • KDNK dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan 4.5 - 5.0 peratus pada 2015.

Secara umumnya, saya berpendapat bajet ini adalah munasabah. Berbeza daripada ramai orang lain, dari segi ekonomi saya rasa tindakan untuk mengenakan GST dan memansuhkan subsidi adalah tindakan yang perlu memandangkan situasi semasa.

Masalahnya ialah ketirisan, pecah amanah dan pelbagai isu lain. Di samping itu, pelaksanaan  projek infrastruktur dan pengangkutan boleh dilakukan dengan lebih cekap untuk mengurangkan kos kepada pengguna.

Prestasi Perdana Menteri dari segi ekonomi adalah memuaskan di mata saya. Ramai orang tidak begitu faham dan tidak mahu faham mengapa tindakan tertentu perlu diambil. Tetapi sebenarnya ia amat diperlukan dan perlu dilakukan juga akhirnya, kalau tidak sekarang, pada masa depan.

Namun begitu, situasi 1MDB dan penerimaan jumlah wang yang begitu besar dalam akaun peribadi tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan. Justeru, sukar untuk meminta rakyat menerima segala kesusahan dan kos yang perlu ditanggung.

Rakyat akan memandang segala yang dilakukan dari sudut negatif. Tiada simpati di pihak saya bagi mereka walaupun saya anggap pengurusan ekonomi pihak pemerintah dari segi perancangan makro adalah agak memuaskan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

20 Oktober, 2015

Bajet Peribadi: Perlu atau Tidak?

Sambil orang ramai menantikan Bajet 2016, saya ingin menyentuh sedikit tentang bajet peribadi. Penyediaan bajet peribadi adalah amat digalakkan untuk menjejak dan mengawal perbelanjaan kita. 

Masalahnya saya tak suka berbajet dan tak minat untuk menjejak perbelanjaan. Saya rasa lebih seronok untuk cari jalan menambah pendapatan daripada buat kira-kira secara detail.

Adakah cara yang lebih mudah? Bolehkah kita menguruskan kewangan dengan efektif tanpa bajet.  Sebenarnya boleh. Saya guna teknik Pay Yourself First seperti yang disyorkan oleh ramai perancang kewangan.

 Chris Cummings - freeimages.com

Saya buat tabungan peribadi sejurus selepas pendapatan diterima, selepas itu buat simpanan pendidikan anak-anak dan belanja bulanan tetap lain. Apa yang tinggal, itulah perbelanjaan saya dalam sebulan. Saya juga tidak menggunakan kad kredit.

Malah untuk menjadikannya jauh lebih efektif, anda boleh membuat pindahan automatik, iaitu menerusi arahan tetap, yang kini boleh dilakukan dengan mudah dan percuma menerusi perbankan dalam talian.

Memang sekali-sekala saya akan sediakan penyata pendapatan sebagai perancangan kasar belanja bulanan dan penyata aset dan liabiliti peribadi untuk melihat kedudukan aset. Tetapi setakat itu sahaja. Tiada kira-kira terperinci.

Ini bukan bermakna bajet itu tidak baik. Menyediakan bajet pasti lebih baik. Lebih-lebih lagi jika anda baru memulakan kerjaya dan kewangan anda ketat. Tetapi bajet bukan untuk semua dan sememangnya kurang sesuai untuk saya.

Dengan cara mudah ini, anda menjamin tetap membuat tabungan setiap bulan dan aset anda kian bertambah, tanpa perlu memikirkan hal bajet yang mungkin kurang menarik bagi sesetengah orang.

Jangan pula sebut yang Razali kata tiada guna buat bajet. Bajet adalah lebih baik dari tiada bajet, tetapi bukan satu kemestian. Buat apa yang sesuai dengan minat anda, selagi tabungan anda bertambah setiap bulan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

16 Oktober, 2015

Apakah Kriteria Paling Penting Dalam Penilaian Saham?

Pada pendapat saya, kriteria paling penting ialah untung dan pertumbuhan untung. Ini bermakna untung masa kini dan juga keupayaan meningkatkan untung pada masa depan.

Apabila menjalankan perniagaan sendiri dan melabur dalam sesuatu perniagaan, anda berniaga atau melabur kerana anda ingin meraih untung, yang diharapkan akan bertambah pada masa depan. Maka kriteria utama pelaburan saham seharusnya begitu.

Berapakah untung semasa syarikat berbanding harga semasanya dan adakah syarikat dijangka akan meningkatkan untungnya pada masa depan, iaitu lebih kurang 5 tahun akan datang? Inilah soalan utama yang patut dijawab dalam penyelidikan anda.

Sebagai pelabur kecil, angka untung yang patut diperhatikan ialah EPS atau pendapatan sesaham.  EPS ini boleh dibandingkan dengan harga saham menerusi P/E ratio iaitu Harga Saham/Pendapatan Sesaham.

Lazimnya seorang pelabur berasaskan nilai atau value investor akan mengintai syarikat kukuh dengan P/E yang rendah tetapi P/E yang rendah tidak berguna jika untung syarikat akan mendatar atau turun dalam tempoh mendatang.

Dalam keadaan untung yang menurun, harga saham lazimnya tidak naik sehinggalah tanda-tanda pemulihan untung telah dilihat.

Syarikat yang mengekalkan untung mereka dalam keadaan ekonomi kurang baik juga mampu mengekalkan harga sahamnya walaupun pasaran saham secara keseluruhan jatuh.

Berikut adalah dua contoh syarikat yang langsung tidak terjejas oleh kejatuhan pasaran semasa disebabkan untung yang kukuh, iaitu MFCB dan Ajiya..


Bursa Malaysia

Perlu diingat bahawa ada dua faktor di sini, untung dan pertumbuhan untung. Ini bermakna jika syarikat tersebut mencatatkan untung hebat tahun ini kerana faktor luar biasa (contohnya kejatuhan Ringgit atau faktor lain) dan harganya sudah naik tinggi, jangan pula terburu-buru membeli pada harga tinggi itu.

Pembelian patut dibuat sebelum itu. Cuba bayangkan jika senario sebaliknya berlaku, adakah syarikat akan menambahkan untung pada masa depan jika Ringgit kukuh kembali?

Situasi pelaburan yang selalu saya cari ialah syarikat yang telah mencatatkan untung mantap dalam tempah 5 -10 tahun lepas, tetapi mengalami masalah dan untung menjunam pada tahun ini, menyebabkan kejatuhan harga saham.

Harga sahamnya akan meningkat kembali dan memberi pulangan lumayan kepada pelabur jika syarikat ini dapat mengembalikan untung ke tahap purata dan seterusnya meningkatkan lagi untung apabila ekonomi mula berkembang pesat.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

11 Oktober, 2015

Menyemak Kedudukan Kredit Anda Dengan CTOS

Bagi mereka yang ingin mendapatkan pinjaman, mempunyai masalah hutang pada masa lalu atau pernah mengalami apa jua bentuk urusan mahkamah berkaitan kewangan, anda boleh menyemak kedudukan kredit anda menerusi CCRIS dengan mengunjungi Bank Negara atau lebih mudah lagi, mendapatkan maklumat tersebut di dalam talian daripada CTOS.

Maklumat yang diberikan CTOS turut mengandungi data yang diperolehi daripada CCRIS.

Anda patut meninjau kedudukan kredit anda sebelum memohon sebarang bentuk pinjaman. Dengan menyemak data ini sebelum membeli sebarang hartanah atau rumah atau mendapatkan pembiayaan lain, anda boleh membayar wang pendahuluan dengan lebih yakin.

Cara untuk mendapatkan laporan anda:
  1. Pergi ke laman web www.ctoscredit.com.my dan kemudian klik Personal.  
  2. Selepas itu klik GetMyCTOS Report. 
  3. Di sana anda perlu membuat pendaftaran kali pertama dengan nombor KP dan kemudian mengisi borang.  
  4. Selepas itu mereka akan menghantar email pengesahan dan meminta anda menghantar salinan KP menerusi emel, SMS atau Faks.
  5. Selepas pengesahan KP diterima daripada anda, mereka akan hantarkan laporan kredit melalui emel.
  6. Anda boleh menyemaknya dari masa ke masa selepas itu di laman web CTOS.
Perkara menarik tentang kemudahan ini ialah jika anda dapati maklumat tentang anda adalah salah, anda boleh menghubungi CTOS untuk membetulkannya dengan menyerahkan dokumen yang berkenaan. Sebagai contoh jika hutang atau kes mahkamah telah diselesaikan, kemukakan buktinya kepada mereka.

Selain daripada menerusi komputer, anda juga boleh memuat turun aplikasi CTOS melalui App Store atau Google Play.

Berikut adalah antara maklumat yang terkandung dalam laporan ini:


Data mengenai status bankrup, status kredit daripada CCRIS dan juga situasi cek tendang daripada DCHEQS turut disediakan. Manakala di bahagian lain laporan ini pula terdapat senarai kedudukan anda sebagai pengarah atau pemilik syarikat.

Untuk memudahkan mendapat pinjaman, anda patut menjaga kedudukan kredit anda untuk memastikan tidak terlewat membayar hutang atau mempunyai hutang tertunggak.

Dengan adanya kemudahan ini daripada CTOS, anda boleh memantau kedudukan kredit dan juga membetulkan sebarang maklumat yang tidak tepat tentang hal-ehwal kewangan anda.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

06 Oktober, 2015

Kesan Kadar Faedah Fed AS Terhadap Pasaran

Anda mungkin pernah pernah terdengar tentang QE (Quantitative Easing) atau Pengembangan Kuantitatif, dan juga membaca tentang penantian pelabur pada masa ini tentang bila Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menaikkan kadar faedah,

Ramai yang tertanya-tanya mengapa sibuk sangat dengan keputusan Fed yang jauh di Amerika dan apakah kesannya terhadap pasaran di Malaysia?

Sebenarnya dasar kadar faedah di Amerika Syarikat bukan sahaja mempunyai kesan di sana, tetapi di seluruh dunia, memandangkan Amerika Syarikat masih lagi sebuah superpower ekonomi dunia.

Disebabkan krisis ekonomi pada 2008, Fed telah menurunkan kadar faedah ke paras hampir sifar. dan melaksankan proses pembelian bon. Tujuannya ialah untuk merangsang ekonomi. Pada kadar faedah rendah, kos pembiayaan adalah rendah dan ini menggalakkan aktiviti perniagaan, perbelanjaan modal dan pelaburan.

Namun kadar rendah untuk terlalu lama boleh menyebabkan ketakseimbangan, di mana pinjaman murah yang diambil digunakan untuk aktiviti berisiko tinggi dan tidak produktif.

Sebaliknya apabila ekonomi atau kenaikan ketara pasaran berlaku, kadar faedah patut dinaikkan sebagai langkah 'cool down'.

Beberapa penganalisis dan pelabur (termasuk Carl Icahn) menganggap Fed sepatutnya telah menaikkan kadar faedah pada awal tahun ini daripada membiarkan ketidakseimbangan berlaku sehingga tersepit dengan keadaan semasa di mana ekonomi global kurang baik sedangkan mereka terpaksa menaikkan kadar faedah.

Manakala penganalisis dan pelabur lain pula berpendapat dalam keadaan ekonomi global sekarang, Fed patut membiarkan kadar faedah di tahap semasa untuk terus merangsang ekonomi.

Cuba lihat kesan kadar faedah rendah dalam dua graf di bawah:

Pergerakan Kadar Faedah AS
www.tradingeconomics.com

Indeks S&P 500
Yahoo Finance

Anda boleh melihat dengan jelas bahawa kadar faedah sifar dalam tempoh antara 2009 hingga 2015 telah mencetus kenaikan harga saham yang tertinggi dalam sejarah.

Bukan itu sahaja, kesan kadar faedah rendah ini telah merangsang kenaikan harga hartanah di pasaran negara-negara sedang membangun dan juga aliran masuk wang asing ke dalam pasaran sahamnya .

Sebab itulah ramai pelabur agak bimbang dengan sebarang bentuk kenaikan kadar faedah, dan penurunan indeks tempoh hari mencerminkan ramalan bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah akhirnya.

Sebagai pelabur, kita harap Fed membuat keputusan pantas untuk mengakhiri ketidakpastian, iaitu sama ada mengekalkan kadar untuk tempoh tertentu atau menaikkannya.

Ini kerana walaupun kenaikan kadar berlaku dan pasaran terjejas buat sementara, sekurang-kurangnya unsur ketidakpastian lenyap dan ketakseimbangan ekonomi boleh diperbetulkan dan pelabur menyesuaikan diri kepada keadaan baru.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.