25 Ogos, 2015

Pertama Kali Bertemu Beruang?

Saya tahu ramai pelabur yang baru mula melabur saham dalam tempoh beberapa tahun lepas. Kenaikan indeks telah mendorong ramai orang untuk cuba buat duit dalam saham. Tetapi kebanyakan pelabur baru mungkin tidak pernah mengalami apa yang dikatakan bear market.

Semalam, indeks telah jatuh ke paras 1532, yang bermakna pasaran telah jatuh hampir 20% daripada tahap tertinggi yang dicapai pada Julai 2014. Ini memberi pengesahan bahawa kita kini berada di dalam wilayah beruang atau bear market.

FBM KLCI (Yahoo Finance)

Untuk maklumat, sebelum ini kita hanya mengalami correction atau penurunan biasa sahaja. Berikut adalah perbezaan antara correction dan bear market berasaskan definisi Investopedia:

Correction - pergerakan berbalik, biasanya negatif, pada kadar sekurang-kurangya 10% dalam saham, bon, komoditi atau indeks selepas berlaku overvaluation atau terlebih nilai.  Penurunan biasa seperti ini lazimnya bersifat sementara yang menghentikan trend peningkatan pasaran atau aset. Correction lebih singkat daripada bear market atau kemelesetan tetapi boleh menjadi pendahulu kepada salah satu daripadanya.

Bear Market - Keadaan pasaran di mana harga sama saham/sekuriti jatuh dan suasana pesimistik menyebabkan sentimen negatif berpanjangan. Sambil pelabur meramalkan kerugian dalam bear market, jualan berterusan berlaku, lantas memburukkan lagi keadaan pesimistik. Lazimnya kejatuhan 20% dalam indeks pasaran sepanjang tempoh sekurang-kurangnya dua bulan dianggap sebagai bear market.

Kita tidak melihat bear market sejak 2008 - 2009, iaitu semasa krisis subprima Amerika. Jadi bagi ramai pelabur, inilah kali pertama mereka menemui beruang. Bila beruang lazimnya muncul? Apabila harga aset meningkat dengan ketara sedangkan untung atau ekonomi tidak begitu kukuh

Bila ia akan mula stabil? Sukar untuk mengetahui, tetapi lazimnya apabila ia telah overshoot on the downside, iaitu apabila kejatuhan ketara telah berlaku dan saham atau aset lain lebih murah daripada nilainya, atau situasi ekonomi telah pulih.

Bagi pasaran saham Malaysia, puncanya ialah multifactor dan bukan kerana satu faktor sahaja. Keadaan berlaku kerana kombinasi kejatuhan harga minyak, keadaan pasaran China dan global, kitaran kadar faedah Amerika dan keadaan politik semasa.

Kejatuhan nilai mata wang pula mencerminkan hakikat bahawa pelabur asing sedang melangkah keluar dari Malaysia dan menjual Ringgit.

Bagaimana dengan kesan keadaan politik? Pada pendapat saya, tanpa situasi politik semasa, penurunan tetap berlaku cuma kejatuhan mata wang dan juga pasaran saham mungkin tidak seteruk keadaan semasa.

Apabila pasaran naik, ramai yang cuba meyakinkan orang ramai bahawa saham ialah sure fire way atau kaedah pasti menang untuk buat duit dan pasaran akan terus naik.  Kini apabila bear market muncul, sudah mula dengar suara yang membincangkan tentang doomsday scenario dan sebagainya.

Ya, keadaan adalah agak teruk dan mungkin masa diperlukan sebelum pemulihan berlaku. Tetapi bagi saya untuk mendakwa Malaysia akan mengalami kehancuran adalah mungkin terlalu pesimistik.

Bagi value investor mudah sahaja untuk beroperasi, apabila pasaran overshoot at the top, angkat kaki, dan apabila ia overshoot on the downside, bersedia untuk masuk kembali.

Tidak perlu terburu-buru kerana anda juga boleh masuk kembali on the way up  seperti diterangkan dalam artikel saya Beli Selepas Pasaran, Ekonomi dan Politik Stabil Juga Boleh Capai Untung Memuaskan, tetapi anda perlu bersedia.

Mungkin dalam beberapa posting akan datang, saya akan menulis tentang faktor mana yang boleh ditunjau untuk melihat tanda-tanda kestabilan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di  razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

17 Ogos, 2015

10 Mutiara Kata Pelabur Tersohor Tentang Kejatuhan Pasaran

Dalam suasana kebimbangan yang wujud sekarang ini, ada baiknya kita melihat kembali apa kata Pelabur Tersohor apabila berlaku kejatuhan pasaran. Mutiara kata di bawah boleh didapati dalam buku Petua Pelabur Tersohor.


Warren Buffett
  • Turun naik harga memberi peluang kepada pelabur untuk beli apabila harga jatuh dan jual apabila harga naik. Pada waktu lain, lebih baik jika beliau lupakan pasaran saham dan memberi tumpuan kepada operasi syarikat
  • Jika anda tidak sanggup memiliki saham selama 10 tahun, jangan fikir untuk memilikinya selama 10 minit.

John Templeton
  • Masa untuk membeli ialah dalam keadaan paling malap dan masa untuk menjual ialah dalam keadaan paling optimistik.
  • Membeli apabila orang lain menjual dan jual apabila orang lain sibuk membeli memerlukan keberanian dan akhirnya memberikan ganjaran paling lumayan.

Ken Fisher
  • Mungkin anda lebih suka dunia tanpa volatility. Tetapi tanpa volatility pulangan pelaburan tak mungkin mengatasi kesan inflasi. Untuk meraih pulangan anda perlu ambil risiko, yang selalunya muncul dalam bentuk volatility.
  • Saham naik lebih kerap daripada turun.

Peter Lynch
  • Jika anda membeli saham yang betul pada harga yang salah dan masa yang kurang sesuai, anda mungkin mengalami kerugian.

Benjamin Graham
  • Jangan beli saham selepas kenaikan harga ketara, dan jangan jual selepas penurunan harga ketara.

Philip Fisher
  • Menangguhkan pembelian yang menarik kerana bimbang apa yang akan berlaku terhadap pasaran saham adalah merugikan dalam jangka panjang.

John Neff
  • Kita tidak harus beli secara automatik hanya kerana harga saham rendah. Bagi sesetengah syarikat situasi mereka mungkin menjadi lebih buruk

Jelas bahawa bagi pelabur tersohor, kejatuhan pasaran membuka peluang, cuma kita perlu teliti dan berhati-hati dalam usaha kita untuk mengambil kesempatan daripada peluang tersebut.

Ini kerana sesetengah syarikat akan mengalami masalah besar semasa gawat dan kemungkinan tidak akan pulih. Jadi pilihlah syarikat anda dengan analisis yang teliti.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di  razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

11 Ogos, 2015

Beli Selepas Pasaran, Ekonomi dan Politik Stabil Juga Boleh Capai Untung Memuaskan

Saya lihat beberapa Fundamental Investor sudah mula memberikan cadangan kepada pelabur untuk keluar dan mencari saham berkualiti yang murah.

Saya pun kini sedang meninjau sama ada untuk memindahkan beberapa saham daripada watchlist kepada buylist kerana harganya sudah lebih rendah daripada harga sasaran.

Cuma ada sedikit masalah. Terdapat ketidakpastian luar biasa dalam situasi politik Malaysia. Semalam, indeks jatuh hampir 30 mata. Nilai RM pun kian menyusut. Buat masa ini adalah hampir mustahil meramalkan apa yang bakal berlaku.

JIka anda mengikuti posting blog Inggeris saya dan juga blog ini, saya ada menulis tentang tentang beberapa risiko pasaran. Nampaknya keadaan mungkin lebih teruk daripada dijangka kerana situasi politik yang semakin meruncing.

FBM KCLI 5 tahun - Shareinvestor

Jika anda memang kuat semangat dan mempunyai jangka masa pelaburan 3 - 5 tahun, bila target buy price anda telah dicapai, anda boleh beli.

Tetapi ramai orang tidak begitu. Situasi tidak menentu membimbangkan mereka. Apa-apa pun boleh berlaku sekarang ini. Bagi yang tidak mahu ambil risiko, boleh tunggu sehingga terdapat maklumat lebih jelas.

Ini bermakna tunggu sehingga situasi politik dan ekonomi stabil dan pasaran telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan untuk kembali membeli.

Anda mungkin terlepas lantunan besar pertama tetapi jika anda lihat sejarah pemulihan daripada kejatuhan ketara pasaran pada 1999 dan juga 2008 (lihat carta) anda akan dapati terdapat banyak masa untuk membeli dan meraih untung yang memuaskan, iaitu selepas keadaan telah stabil.

FBM KLCI 20 tahun. - Yahoo Finance

Tidak kira anda beli on the way down atau on the way up, pastikan anda membeli syarikat yang mampu meningkatkan untung dalam tempoh 2 - 5 tahun akan datang pada harga yang berpatutan.

Syarikat yang kukuh mempunyai kebarangkalian paling tinggi untuk melantun kembali selepas situasi telah reda.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

07 Ogos, 2015

11 Petua Tom Peters Untuk Hadapi Kegawatan

Setahun lepas saya ada menulis posting tentang petua yang diberikan Tom Peters untuk menghadapi keadaan sukar, walaupun waktu itu tidak gawat. Sekarang situasi ekonomi kian meruncing, saya rasa wajar saya terbitkan semula dan update posting tersebut.

Nampaknya Malaysia kini sedang dilanda situasi mencabar yang boleh dianggap sebagai perfect storm di mana harga minyak dan komoditi jatuh, nilai Ringgit merosot dan keadaan politik negara semakin membimbangkan.

Selain syarikat yang mengenakan 'hiring freeze', banyak juga perniagaan yang tutup kedai, mengurangkan pekerja atau memindahkan operasi ke tempat lain.

Jika anda termasuk dalam golongan ini, berikut adalah petua berguna yang diberikan oleh Tom Peters untuk mengharungi masa-masa sukar yang dipetik daripada bukunya, The Little Big Things: 163 Ways to Pursue Excellence.

  1. Datang kerja lebih awal, balik kerja lebih lewat dan bekerja lebih keras.
  2. Sanggup kerja untuk gaji lebih rendah, walaupun anda berat hati menerimanya.
  3. Anda menerima lebih banyak tugasan atau projek secara sukarela.
  4. Anda sentiasa cuba bersikap positif dan menampilkan wajah ceria walaupun di dalam hati anda tidak gembira.
  5. Anda bersedia untuk melakukan sebaik mungkin dalam kerja dan perniagaan dan bersyukur dengan pendapatan yang ada sekarang.
  6. Anda membina jaringan secara agresif (networking) dan sentiasa berhubung dengan semua kenalan selain selalu bergaul dengan orang yang lebih muda.
  7. Anda ringkaskan hidup anda dan ketepikan segala kemewahan peribadi.
  8. Anda meningkatkan piawaian kerja ke tahap cemerlang, dan bersikap obsesi untuk memperbaiki segala kesilapan serta memberi perhatian kepada butiran kecil.
  9. Anda belajar kemahiran atau ilmu baru dan juga sanggup mengajar orang lain ilmu lama yang anda ada.
  10. Ucapkan terima kasih jika kejayaan dicapai dan bertanggungjawab atas kegagalan, sambil bersikap baik hati dan prihatin terhadap orang lain.
  11. Anda terima kegagalan dan cuba dan cuba lagi, sambil mengelakkan orang yang bersikap negatif.
Menurut beliau, perwatakan seseorang dinilai berasaskan tindak balasnya terhadap keadaan sukar. Inilah masanya untuk menguatkan tekad dan cuba mengubah nasib sendiri.
 
Akhir sekali, selepas melakukan semua di atas, beliau mencadangkan agar kita berdoa!
 
Nota: Satu perkara menarik ialah cadangannnya untuk bergaul dengan orang muda. Ini amat relevan kepada mereka yang sudah berusia 40 dan ke atas kerana ada kemungkinan kita perlu bekerja untuk atau dengan orang yang lebih muda. Jika kita enggan menerima, maka semakin meningkat usia, semakin sukar untuk menyesuaikan diri.
 
Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

05 Ogos, 2015

Apa Pendapat Risalah Labur Niaga Tentang Situasi Politik Semasa?

Susah nak cakap. Kalau cakap takut kena tangkap. Tetapi situasi telah mencapai tahap yang hampir di luar alam nyata. Bagi saya senang saja, adakah duit masuk dalam akaun peribadi? Jika jawapannya  ya, persoalan tentang sumber duit itu menjadi isu sampingan sahaja.

Ini kerana terdapat implikasi pengubahan wang haram, implikasi cukai, implikasi pengaruh sumber pemberi dana terhadap penjawat awam, implikasi kepada siapa dana diberikan dan implikasi cukai terhadap penerima dana tersebut.

Tidak ada individu atau entiti di Malaysia yang mampu memberikan sumbangan sebanyak itu. Jika sumbangan sebegitu diberikan, ia sejumlah besar daripada nilai bersih orang dan syarikat terbesar di Malaysia. Sumbernya mungkin (atau pasti menurut video bekas TPM) dari luar negara.

Derma politik adalah perkara biasa. Perkara luar biasa ialah ia masuk dalam akaun sendiri. Justifkasi bahawa ia derma politik tidak boleh diguna pakai. Jika masuk dalam akaun peribadi, tiada akauntabiliti terhadap harta tersebut. 

Siapa yang boleh sahkan semuanya digunakan untuk tujuan yang dinyatakan.  Tiada siapa yang audit. Bekas TPM (dan mungkin ahli MT lain) pun tak tahu langsung mengenainya.

Malah, memandangkan tiada siapa yang tahu, terdapat potensi untuk melanggar undang-undang atau had perbelanjaan pilihan raya kerana duit ini boleh diberi tanpa perlu diperakaunkan.

Cabar-mencabar untuk mendedahkan sumber dana di kalangan ahli politik sekarang adalah perkara sampingan, kerana dana tersebut masuk dalam akaun peribadi. Jika akaun tersebut masuk akaun parti, barulah soal sumber dana menentukan sama ada wang tersebut sah atau tidak.

Saya ada mendengar seorang tokoh Islam agak terkenal di Amerika Syarikat Sheikh Yasir Qadhi berkata, di Amerika, anda boleh menyumbang untuk tujuan politik tertentu dengan memasukkan wang dalam akaun organisasi politik. Itu dinamakan melobi. 

Tetapi jika anda memasukkan duit dalam akaun peribadi, itu dinamakan rasuah. Di Malaysia saya tak pasti, tapi berasaskan apa yang saya baca, dan apa yang dimaklumkan oleh penjawat awam, konsepnya lebih kurang sama. 

Persoalannya ialah jika penjawat awam berjawatan kecil pun ditegah daripada menerima hadiah daripada orang ramai oleh SPRM, bagaimana pula dengan kes penjawat awam tertinggi?

Tetapi yang paling sukar diterima ialah pertahanan 'derma politik' yang digunakan sekarang. Ini merupakan satu afterthought. Alasan difikirkan hanya selepas jawapan asal telah disanggah dan apa yang didakwa terbukti benar. Daripada konspirasi asing kini menjadi konspirasi dalaman pula.

Ini belum lagi masuk kes 1MDB. Itu satu lagi isu berat dengan pelbagai persoalan yang tidak terjawab. Baca posting blog Inggeris saya mengenai perkara tersebut di sini. Itupun yang disentuh adalah perkara yang diketahui sahaja.  

Isu 1MDB sekarang sudah terkebelakang berbanding kes derma tetapi kesannya lebih besar. Malangnya semua penyiasatan tertangguh atau sengaja ditangguh. 

PAC telah dicantas, MACC sedang ditekan, Bank Negara senyap seribu bahasa, AG dah ditukar, malah ada pegawai atasan Polis pun digantikan.

Permainan ini lebih jelas lagi apabila sampai sekarang bekas CEO dan CEO 1MDB belum dapat disoal siasat. Bila agaknya mereka akan muncul?

Masalahnya ialah tiada siapa yang sanggup buka mulut untuk membuat pendedahan berani mati yang menimbulkan risiko kepada dirinya demi kepentingan rakyat. 

Semua senyap sahaja, atau mungkin menunggu masa. Saya pun tak tahu. Saya faham kerana nak tulis posting seperti ini pun saya fikir beberapa kali.

Situasi on the ground di kalangan rakyat nampak seperti kebanyakan orang tersangat marah, dan pihak yang pada awalnya cuba mempertahankan pula kini diam sahaja. Rasanya kemarahan sukar dibendung lagi.

Malangnya rakyat tiada jalan untuk bertindak kerana pilihan raya sekurang-kurangnya dua tahun lagi, bukannya esok seperti kata Ahmad Maslan. Nampaknya media sosial sahajalah menjadi wadah menunjukkan rasa tidak puas hati. 

Terdapat pelbagai pandangan yang bernas tentang isu semasa daripada tokoh yang lantang bersuara. Kita bernasib baik kerana mereka berani berkata.

Dari sudut agama, saya rasa pandangan Dr Maza paling relevan. Manakala dari segi soalan yang bijak dan patut dijawab, rujuk kepada soalan anak MB Johor kepada Perdana Menteri kita. Dari segi cukai, baca pandangan terkini Dr Mahathir.

Untuk kefahaman lanjut tentang isu 1MDB, sila rujuk pendedahan The Edge mengenainya. Manakala Rafizi Ramli dan Tony Pua adalah ahli politik yang paling berwibawa untuk mengupas isu kewangan, walaupun perlu ditapis terlebih dahulu. Semua sumber di atas adalah credible di mata saya.

Walau apa pun, saya tabik hormat kepada Tan Sri Muhyiddin kerana berani menyuarakan kebenaran walaupun kosnya ialah jawatan beliau. Mungkin apa yang diperlukan ialah satu lagi suara besar untuk melakukannya.

Bagi saya, situasi pemimpin tertinggi adalah untenable di mata rakyat. Kalau keadaan semasa dilihat dari sudut syarikat, beliau bukan sahaja mengalami 'defisit keyakinan' (kata beliau sendiri), tetapi lebih teruk lagi mempunyai nilai bersih yang negatif. Mirip sebuah syarikat PN17.

Tetapi hakikatnya satu soalan (dengan nada macam tak percaya) yang diajukan kepada DSN oleh TSM dalam video perbualan antara TSM dan Dato Mukhriz merumuskan segalanya..."Why did you put into your personal account?"

Bagi saya di situlah terletak kuncinya.

Credible = boleh dipercayai
Untenable = tidak boleh dipertahankan lagi

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.