24 Jun, 2015

Berhati-Hati Apabila Menggunakan Nilai Aset Bersih Sebagai Kriteria Mencari Syarikat Undervalued

Walaupun paras untung sentiasa menjadi penentu akhir apabila menilai sesuatu saham, salah satu daripada kriteria sampingan yang saya gunakan dan pernah digunakan oleh beberapa pelabur tersohor yang menjadi anak murid Benjamin Graham ialah mengintai saham dengan harga yang lebih rendah daripada Nilai Aset Bersih (Net Asset Value).

Pada hakikatnya sesebuah perniagaan yang berdaya maju sepatutnya diperdagangkan pada harga lebih tinggi daripada nilai semua aset ditolak semua liabilitinya kerana perniagaan tersebut ada nilai yang dinamakan goodwill atau muhibah. 

Ini kerana jika anda menubuhkan sebuah perniagaan baru dan membeli aset yang sama seperti syarikat yang sedia ada, anda masih belum boleh meraih untung kerana belum ada pelanggan dan tidak pasti sama ada anda boleh menjalankan perniagaan dengan jayanya dan anda juga tidak mempunyai jenama produk atau perkhidmatan seperti syarikat yang sedia ada.

Sebab itulah sepatutnya, sesebuah perniagaan mempunyai nilai lebih tinggi daripada nilai aset bersihnya sebagai sebuah going concern, iaitu operasi perniagaan berterusan.

Tetapi sejak pasaran saham jatuh sedikit lebih kurang setahun lepas, semakin banyak syarikat yang diperdagangkan di bawah nilai aset bersih. Dalam watchlish saya sahaja ada lebih 20, jadi bagi seluruh pasaran, pasti ada banyak lagi.

shareinvestor.com.my (klik untuk besarkan)

Tetapi ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian apabila membeli syarikat yang mempunyai harga lebih rendah daripada NAB (P/NAV < 1).
  1. Harganya jatuh sebab untung semakin merosot.
  2. Syarikat dilanda kontroversi atau isu berkaitan pengurusan (seperti Icon).
  3. Prospek masa depan hambar atau tidak cerah.
  4. Syarikat mengalami kerugian dan belum nampak prospek kembali pulih.
Elakkan syarikat yang mempunyai ciri-ciri di atas melainkan anda tahu masalah boleh atau akan diselesaikan dengan cara yang memuaskan.

Apabila membeli saham seperti ini, perkara paling penting yang perlu dipastikan ialah syarikat mampu meningkatkan untung pada masa depan, Jika tidak pada tahun semasa, sekurang-kurangnya pada tahun depan.

Lazimnya, keupayaan meningkatkan untung ialah faktor utama yang boleh memacu kenaikan harga saham. Di samping itu, jika syarikat tersebut mempunyai tahap hutang rendah atau langsung tiada hutang.

Walau apa pun, perlu diingat kaedah pelaburan ini ialah kaedah pelaburan untuk jangka panjang kerana mungkin memerlukan sedikit masa sebelum nilai syarikat dapat direalisasikan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

17 Jun, 2015

Coastal Contracts Nampak Kukuh

Coastal Contracts ialah sebuah syarikat pembina kapal sokongan luar pesisir mengikut tempahan yang turut menyediakan perkhidmatan pembaikan dan penyenggaraan kapal. Syarikat ini telah lama saya perhatikan dan kini mula sampai ke harga yang boleh dikatakan berpatutan.

Coastal telah mencatatkan prestasi yang kukuh sejak tempoh lima tahun lepas, dengan pendapatan yang konsisten dan nilai asset bersih yang kian meningkat.

Walaupun perniagaan pembinaan kapal nampak terjejas akibat kelemahan sektor minyak dan gas, Coastal Contracts mempunyai buku tempahan bernilai RM2.4 bn yang memberikan keyakinan terhadap keupayaannya untuk terus mencatatkan untung sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun akan datang.

Harga saham syarikat telah jatuh setahun lepas seiring dengan sentiment negatif perniagaan dan pasaran secara keseluruhan:

Bursa Malaysia

Berikut adalah ringkasan prestasi lima tahun lepas yang dipetik daripada laporan tahunan syarikat:

Laporan Tahunan 2014

Harga penutupnya semalam, 16 Jun, ialah RM2.82. Berikut adalah ukuran penilaian yang saya gunakan untuk menilai saham ini. Data diambil dari Shareinvestor dan The EdgeMarkets.


shareinvestor.com.my
 

The Edge Markets
 
Saham ini memenuhi hampir semua kriteria penilaian saya kecuali pulangan dividen sahaja. Syarikat juga tidak mempunyai hutang jangka panjang, menjadikannya saham yang agak menarik. Di samping itu, The Edge Markets memberikan penilaian Fundamental dan juga Valuation 3, angka tertinggi yang boleh diberikan.
 
Malah, syarikat baru mengumumkan data suku tahunan yang agak kukuh, dengan pendapatan sesaham 12.4 sen. Unjuran penganalisis bagi seluruh tahun ialah kira-kira 37 sen. Sasaran harga penganalis pula ialah RM3.35 oleh Ambank, RM3.47 oleh Alliance dan RM5.00 oleh Macquarie. Pandangan saya ialah ia boleh mencecah RM5 dalam keadaan pasaran positif.
 
Cuma buat tempoh enam bulan akan datang, mungkin sentimen pasaran saham dan ekonomi dunia akan mengekang sebarang kenaikan. Mereka yang berminat dengan saham ini sama ada boleh menunggu untuk penurunan lanjut dalam harga atau mendapatkannya sekarang.

Walau apa pun, saya rasa ini merupakan saham yang kukuh untuk jangka panjang. Malah KWSP juga baru sahaja menambah pegangan dalam saham ini, sedikit demi sedikit.

Nota:  Pandangan ini adalah berasaskan keadaan pada masa posting ini ditulis dan mungkin tidak lagi sesuai apabila anda membacanya. Walau apa pun, ini hanya pendapat peribadi penulis dan pembaca perlu membuat penilaian sendiri terhadap apa jua pelaburan. Artikel ini bukan nasihat atau cadangan untuk membeli. Penulis mungkin memiliki atau berminat untuk memiliki saham yang dianalisis dalam blognya.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

10 Jun, 2015

Nilai Mula Muncul Tetapi Berwaspada Terhadap Paras Untung Serta Pasaran China dan AS

Walaupun nilai mula dilihat sekarang selepas pasaran sudah sekian lama meningkat, saya masih berhati-hati dan hanya membeli jika betul-betul dirasakan saham tersebut undervalued. Ini kerana beberapa risiko dalam dan luar yang dihadapi pasaran.

Ramai yang mengaitkan kejatuhan pasaran dengan perkembangan politik di Malaysia tetapi itu hanya salah satu faktornya, dan mungkin merupakan faktor kecil sahaja. Ada banyak faktor lain yang berpotensi mempengaruhi pasaran dalam tempoh 6 bulan akan datang.
  1. Potensi Rizab Persekutuan AS (Fed) meningkatkan kadar faedah. Ini faktor paling dibimbangi oleh ramai pelabur di peringkat antarabangsa.
  2. Kejatuhan pasaran bon yang kini sedang berlaku (sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar faedah)
  3. Kemerosotan untung sesetengah syarikat di Malaysia, terutamanya dengan kejatuhan harga komoditi dan juga penyesuaian terhadap GST.
  4. Kenaikan ketara saham di China, dipacu pembelian berasaskan hutang, sedangkan pertumbuhan ekonominya tidak begitu kukuh.
  5. Pasaran hartanah di banyak negara dunia yang agak tinggi.
Kadar faedah tersangat rendah yang ditetapkan oleh Fed Amerika sejak tujuh tahun lepas dan disusuli beberapa Bank Pusat lain kebelakangan ini telah mendorong kenaikan harga aset yang bukan berlandaskan nilai, tetapi berasaskan kecairan dan kos dana yang amat rendah.  

Justeru, apabila kos dana (kadar faedah) mula dinaikkan, terdapat risiko bahawa pasaran akan mula terjejas, selain mendorong peningkatan nilai USD.

Sementara itu, walaupun banyak pasaran saham dunia yang kelihatan tinggi, tetapi dua yang nampak sudah memasuki situasi bubble ialah pasaran saham Shanghai dan Shenzen di China, khususnya pasaran saham Shenzen. Kita lihat dua carta di bawah.




Memandangkan kenaikan ini dipacu oleh penggunaan hutang untuk membeli saham, dan China kini merupakan salah satu gergasi ekonomi dunia, sebarang sentimen negatif di sana boleh menimbulkan panik di pasaran dunia.

Nilai mata wang Ringgit yang jatuh berbanding dolar tidak semetinya negatif kerana banyak syarikat di Bursa adalah pengeksport. Namun kenaikan dolar adalah negatif bagi syarikat Amerika dan boleh menjejaskan pasaran saham di sana, selain daripada kesan kenaikan kadar faedah.

Secara keseluruhannya tempoh enam bulan akan datang dijangka agar mencabar bagi pasaran modal global dengan pelbagai ketidakseimbangan yang wujud.

Walaupun boleh mula beli secara berhati-hati dari sekarang, kita perlu bersiap sedia untuk mengambil kesempatan jika berlaku panik kerana peluang seperti ini mungkin muncul hanya sekali dalam tempoh 5 hingga 10 tahun.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

02 Jun, 2015

Lapan Kunci Kekuatan Kewangan

Knight Kiplinger ialah ketua pengarang majalah Kiplinger's Personal Finance, sebuah majalah kewangan terkenal di Amerika. Beliau telah mendedahkan lapan kunci kekuatan kewangan berasaskan berpuluh tahun pengalaman memberikan nasihat dalam bidang kewangan peribadi.

Saya senarai dan ringkaskan serta memberikan pandangan sendiri tentang 8 kunci kekuatan kewangan tersebut yang amat berguna demi menggalakkan orang ramai kembali kepada perkara asas apabila menguruskan kewangan masing-masing.

1. Melabur dalam diri sendiri
Aset paling berharga ialah kuasa beli anda. Kemerosotan pasaran saham atau pasaran lain tidak akan menjejaskan aset ini. Justeru pendidikan dan pembangunan diri berterusan akan meningkatkan keupayaan anda meraih pendapatan. Hakikat bahawa ini diletakkan di No.1 menunjukkan betapa pentingnya anda sentiasa menambah ilmu.

2. Lindungi diri sendiri dan orang tersayang
Sebelum membeli sebarang aset kewangan,pastikan anda mendapatkan perlindungan daripada risiko paling besar - penyakit serius, hilang upaya dan kematian awal. Selain itu, pada pandangan saya jangan lupa melindungi rumah daripada kebakaran. Tetapi satu perkara menarik ialah tiada langsung cadangan untuk mengambil perlindungan yang dikaitkan dengan pelaburan. Jadi kalau boleh, ambil takaful standalone tanpa dikaitkan dengan sebarang pelaburan.

3.  Ambil pinjaman secara berhati-hati.
Gunakan hutang hanya untuk membeli sesuatu yang mempunyai nilai berkekalan, seperti rumah dan pendidikan. Kereta mungkin boleh diterima, Bayar tunai untuk segala barangan lain seperti pakaian, pelancongan, hiburan dan perabot. Saya amat setuju dengan cadangan ini.

4.  Bayar diri sendiri dulu
Jika anda sentiasa tiada wang untuk melabur (atau menabung) selepas anda telah membayar semua bil, cuba kaedah bayar diri sendiri terlebih dahulu, iaitu menabung secara automatik dulu dan kemudian anggap wang lebihan sebagai pendapatan boleh guna anda. Bagi saya inilah tabiat paling berkesan untuk meningkatkan nilai harta anda.

5. Jangan ambil risiko terlalu besar untuk capai pulangan tinggi
Kadangkala tindakan ini membuahkan hasil, tetapi dalam jangka panjang, banyak kerugian akan dialami. Jauhkan diri daripada saham yang mempunyai tahap volatiliti tinggi, IPO, pembelian saham menggunakan margin (hutang) dan perdagangan (niaga hadapan) komoditi. Gunakan kaedah purata kos Ringgit untuk melabur secara bulanan dalam apa jua pasaran. Bersabar apabila menghadapi kejatuhan pasaran yang berlaku sekali sekala. Saya pada amnya setuju dengan nasihat ini, walaupun saya pasti ada ramai yang kurang senang dengan satu dua cadangan di atas.

6. Pelbagaikan pelaburan
Mempelbagaikan saham dan pelaburan secara umumnya dianggap 'boring', tetapi semua orang tahu bahawa setiap aset akan ada masanya hangat dan ada masanya kurang hangat. Pelbagaikan saham dan aset berasaskan kesanggupan anda menanggung risiko (risk tolerance).

7. Hidup sederhana hari ini untuk masa depan yang lebih selesa
Melengahkan nikmat dan kepuasan memang sesuatu yang sukar dilakukan, tetapi inilah satu-satunya cara untuk membiayai matlamat jangka panjang anda. Walaupun cadangan ini sukar diterima, saya setuju bahawa kehidupan yang sederhana untuk menambah tabungan dan pelaburan adalah sesuatu yang amat berkesan untuk membina harta untuk masa depan.

8. Beri Sumbangan Demi Kesejahteraan Masyarakat
Apabila anda berkongsi kekayaan, masa dan bakat anda untuk kebajikan, anda mencipta ekonomi yang lebih kukuh dan dunia yang lebih selamat. Berikan sumbangan untuk tujuan yang paling dekat di hati anda. Ini tiada kena-mengena dengan menambah kekayaan, tetapi lebih kepada meningkatkan kesejahteraan. Namun tanpa 7 perkara di atas, tidak banyak sumber yang dapat kita sumbang.

Nota: Cadangan No.5 adalah berkaitan dengan pelaburan tetapi tidak relevan bagi perniagaan. Ini kerana apabila membuka dan menjalankan perniagaan, kita tidak boleh lari dari risiko dan mungkin terpaksa menumpukan segala sumber kita kepada perniagaan tersebut sahaja.  Klik pautan untuk baca artikel asal Eight Keys to Financial Security.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.