25 April, 2015

Mengumpul Aset Secukupnya Untuk Menjana Pendapatan Pada Usia Emas Tanpa Bekerja

Baru-baru ini orang ramai sibuk membantah cadangan KWSP untuk menaikkan had umur pengeluaran kepada 60 tahun. Bagi saya sama ada  pengeluaran dibuat pada 55 atau 60 tidak penting, tetapi yang memerlukan lebih perhatian ialah konsep orang ramai tentang wang 'persaraan' tersebut.

Kebanyakan orang menganggap wang simpanan persaraan ialah wang yang akan kita gunakan secara beransur-ansur untuk menyara hidup kita pada usia emas, terutamanya apabila kita tidak lagi bekerja, sehinggalah wang tersebut tiada lagi. 

Bagi sesetengah orang, wang simpanan habis dalam masa hanya beberapa tahun, manakala bagi yang lain ia kekal untuk tempoh yang lebih lama. 

Mujurlah  masyarakat di sini masih menghormati ibu bapa dan sanggup menanggung mereka pada usia emas. Memang ini tanggungjawab yang perlu kita tunaikan terhadap mereka.

Tetapi cara yang lebih selamat dan memberikan ketenangan fikiran pada usia emas ialah mengumpulkan jumlah aset yang cukup besar supaya hasil daripada aset tersebut, selepas membayar zakat, dapat menampung kehidupan harian kita tanpa perlu kita mengurangkan walau sedikit pun jumlah pokoknya.

Inilah konsep yang dinamakan financial security (keselamatan kewangan) dan juga financial freedom (kebebasan kewangan). Keselamatan kewangan diperolehi apabila aset anda menjana cukup pendapatan untuk menyara kehidupan asas anda, termasuk keperluan makan minum. 

Kebebasan kewangan pula dicapai jika aset anda boleh menjana cukup pendapatan untuk menyara hidup dan juga memenuhi keinginan anda seperti mengembara dan melakukan pelbagai aktiviti lain yang menggembirakan anda pada usia emas.

Perlu ditekankan bahawa definisi tersebut langsung tidak menyentuh sama ada anda bekerja atau tidak. Jika anda mahu anda masih boleh terus bekerja, jika tidak anda boleh goyang kaki. 

Kita lihat contoh berikut:

Anda memiliki aset bernilai RM3 juta yang sebahagiannya disimpan dalam Tabung Haji dan sebahagiannya dilaburkan dalam unit amanah. Andaikan secara purata anda menerima pulangan dalam bentuk agihan pendapatan dan bonus kira-kira 5% setahun, selepas menolak zakat (ini merupakan andaian konservatif). Manakala belanja sara hidup anda ialah RM120,000 setahun.

Pulangan Pelaburan:    RM150,000
- Belanja Sara Hidup:  (RM120,000)
Baki Pendapatan          RM30,000 

Walaupun anda tidak bekerja, nilai aset atau harta anda kini meningkat kepada RM3,030,000. Anda telah berjaya menampung belanja sara hidup anda, sambil menambah nilai aset anda.

Perkara yang perlu anda lakukan ialah anggarkan jumlah yang anda perlukan untuk menanggung kehidupan anda selama setahun pada masa depan, dan kemudian tentukan nilai yang anda perlukan untuk menghasilkan pendapatan tersebut, pada kadar pulangan yang munasabah.

Saya syorkan guna pulangan 5%, yang merupakan pulangan purata yang diberikan oleh Tabung Haji. Jika anda tidak menabung dalam Tabung Haji, pulangan 5% juga tidak sukar diperolehi daripada pelaburan saham, unit amanah atau hartanah

Mungkin anda tidak perlu RM120,000 untuk menampung kehidupan anda. Jika belanja sara hidup anda hanya RM60,000, anda perlu mengumpulkan RM1.5 juta sahaja dari segi aset yang menjana pendapatan untuk menampung kehidupan anda tanpa perlu bekerja

Nilai yang perlu dikumpulkan mungkin nampak agak besar, tetapi apa salahnya menetapkan sasaran yang tinggi. Kunci kejayaan mencapai kebebasan kewangan ialah:
  1. Bermula seawal mungkin.
  2. Menabung secara konsisten
  3. Melabur dengan bijak
  4. Meningkatkan pendapatan beransur-ansur
  5. Mengawal perbelanjaan secara berpatutan.
Disiplin dan konsistensi akan membolehkan anda mencapai matlamat anda dengan lebih pantas.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

14 April, 2015

i-VCAP Lancarkan MyETF-MSEAD Untuk Labur Dalam Saham Dividen Tinggi Asia Tenggara

ETF patuh syariah ketiga daripada i-VCAP bakal disenaraikan

Mereka yang berminat melabur dalam saham dividen tinggi kukuh di Asia Tenggara kini boleh melakukannya menerusi MyETF-MSEAD yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 7 Mei ini. Tempoh langganan awalnya ialah sehingga 22 April.

MyETF-MSEAD ialah sejenis Dana Dagangan Bursa atau Exchange Traded Fund (ETF) yang patuh Syariah. Konsep ETF adalah sama seperti dana unit amanah, tetapi  pengurus dana ETF tidak berdagang secara aktif.

MyETF-MSEAD melabur dalam saham dividen tinggi di Asia Tenggara dengan matlamat meniru prestasi Indeks Penanda Aras dalam semua keadaan. Maksudnya, pelabur akan meraih untung apabila indeks tersebut naik.

Dana ini boleh dijual beli di Bursa Malaysia sama seperti saham pada kos yang jauh lebih rendah daripada unit amanah.  Malah yuran pengurusan juga lebih rendah kerana diuruskan secara pasif.

Indeks Penanda Aras

Indeks penanda arasnya ialah Indeks MSCI SEA IMI Islamic High Dividen Yield 10/40 (Ïndeks Penanda Aras), yang terdiri daripada sehingga 30 syarikat patuh Syariah yang disenaraikan di negara Asia Tenggara dengan pulangan dividen sekurang-kurangnya 30% lebih tinggi daripada Indeks MSCI SEA IMI Islamic ("Indeks Induk").

Walaupun bahasanya nampak rumit, maksudnya ialah dana ini akan melabur dalam sehingga 30 saham yang membayar pulangan dividen tinggi di Asia Tenggara dan yang memenuhi kriterianya. Buat masa ini ia merangkumi 22 saham.

Untuk Siapa?

ETF ini sesuai untuk pelabur yang:
  1. Ingin melabur dalam saham dividen tinggi.
  2. Mahu mempelbagaikan pelaburan di pasaran serantau.
  3. Lebih suka menggunakan kaedah pelaburan pasif dengan kos rendah berbanding unit amanah.
  4. Mahu melabur dalam saham tetapi tiada masa membuat penyelidikan untuk memilih saham individu.
Kos Dana


Daripada maklumat yang diberikan, caj pengurusan adalah lebih kurang separuh lebih rendah daripada kos unit amanah biasa dan caj jual beli ialah kos broker yang sama seperti menjual beli saham, yang juga lebih rendah daripada caj jualan unit amanah.

Prestasi Pulangan Dana


Pulangan ini adalah pulangan terkompaun tahunan indeks, sebelum mengambil kira pembayaran dividen dan juga kos pengurusan di atas. Pulangan termasuk dividen mungkin lebih tinggi sedikit.  

10 Saham Utama


Mengenai Pelaburan Pasif

Berasaskan kajian akademik dan pemerhatian saya, pelaburan pasif seperti ETF akan mengatasi banyak dana unit amanh yang ditawarkan kepada pelabur yang menggunakan kaedah pelaburan aktif dan mengenakan caj jualan dan yuran pengurusan yang tinggi.

Tetapi ia tidak akan memberikan prestasi terbaik kerana memang ada segelintir dana unit amanah di pasaran yang mencatatkan pulangan lebih tinggi. Cuma masalahnya amat sukar untuk menentukan unit amanah mana yang akan memberikan prestasi cemerlang pada masa depan.

Kesimpulannya, kaedah pelaburan pasif membolehkan anda mengambil kesempatan daripada pulangan yang diberikan oleh saham-saham yang diwakili oleh indeks.

Kaedah Pelaburan Disyorkan

Pelabur yang berminat tidak perlu melanggan unit sebelum penyenaraian. Sebaliknya mereka boleh menunggu sehingga ETF ini disenaraikan sebelum membeli.

Memandangkan prestasi pelaburan bergantung kepada pergerakan indeks, dan indeks di kebanyakan negara Asia Tenggara agak tinggi, langkah melaburkan semua dana sekaligus (jika anda ada jumlah dana besar untuk dilaburkan) adalah berisiko tinggi.

Cara terbaik, yang disyorkan oleh mereka yang amat menyokong kaedah pelaburan pasif seperti John Bogle, Burton Malkiel dan juga Tony Robbins ialah dengan membuat pelaburan secara bulanan atau dollar cost averaging.

Dengan melabur jumlah yang sama setiap bulan tidak kira sama ada indeks naik atau turun, anda akan meraih pulangan purata yang memuaskan dalam jangka panjang, tanpa mengambil risiko tinggi.

Sebaliknya masa paling baik untuk melabur secara sekaligus ialah dalam keadaan gawat, selepas penurunan ketara indeks saham. Kaedah ini akan membolehkan anda mengambil kesempatan daripada pemulihan pasaran saham.

MyETF-MSEAD ialah ETF patuh syariah ketiga terbitan i-VCAP selepas MyETF MMID dan MyETF DJIA. Layari laman web MyETF untuk maklumat lanjut.

Bacaan lanjut dalam blog ini mengenai ETF dan Indeks Saham:

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.
 

06 April, 2015

Dapatkan Risalah '16 Sifat Value Investor Hebat' Secara Percuma

Untuk membolehkan pembaca memahami lebih lanjut tentang Value Investing atau pelaburan berasaskan nilai, saya telah menyediakan satu dokumen 30 muka surat yang menerangkan 16 sifat penting seorang Value Investor.


Value investing, atau pelaburan berasaskan nilai ialah kaedah pelaburan yang membandingkan harga dengan nilai sesuatu saham dan saham dibeli sekiranya harganya jatuh di bawah nilai yang dianggarkan bagi saham tersebut.

Pendek kata, seorang Value Investor atau pelabur berasaskan nilai cuba mencari bargain atau tawaran hebat dengan membeli saham pada harga yang lebih rendah daripada nilainya (intrinsic value).

Risalah ini menerangkan tentang apakah sifat yang ada pada seorang Value Investor yang hebat. Pembaca boleh menjadikannya sebagai langkah permulaan untuk menimba ilmu selanjutnya dalam bidang analisis perniagaan dan saham.

Untuk mendapatkan ebook percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment).  Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger.

Secara alternatif, jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.