31 Disember, 2014

Matahari Akan Bersinar Kembali

Jangan putus asa, selagi ada kudrat dan daya fikiran, aset yang hilang boleh diperolehi kembali, yang musnah boleh dibina semula

Situasi semasa amat runcing bagi ramai penduduk di negeri di Pantai Timur dan Utara yang mengalami kesan banjir paling dahsyat dalam hidup kebanyakan mangsa.

Dalam keadaan ini mungkin ramai yang sedih dengan keadaan yang dihadapi.  Namun begitu, bagi sebahagian besar daripada mangsa, mereka masih ada daya fikiran dan kekuatan fizikal. Dua aset ini, berbeza daripada segala aset lain yang hilang, ialah yang paling berharga.

Jika fikiran buntu dan asyik fokus kepada apa yang hilang sahaja, ini bermakna kita putus harapan. Sedangkan harapanlah adalah pencetus utama yang boleh merangsang fikiran dan kekuatan fizikal untuk bangkit kembali.

Beberapa hari lepas di Kuala Lumpur pun, sepanjang hari tidak ada satu ruang di langit yang tidak dilitupi awan. Tetapi sebagai seorang yang telah agak lama juga di bumi, saya tahu matahari akan bersinar kembali.



Saya lihat ramai di media sosial yang cuba mencari kesalahan itu dan ini. Seolah-olah perancangan boleh dibuat untuk keadaan luar biasa seperti ini. Memang tidak dinafikan bahawa perancangan lebih baik dan pemuliharaan alam sekitar boleh mengurangkan sedikit kesannya.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa lama dulu pun banjir besar pernah berlaku, sebelum ada sebarang pembangunan. Bagaimana untuk mencari kesalahan bagi bah besar yang berlaku pada masa lepas?

Ada perkara dalam hidup yang tidak dapat dirancang dan dielakkan. Itu takdir Ilahi dan ketentuannya. Yang menentukan perwatakan atau karakter kita di mata saya ialah bukan kekayaan anda atau kejayaan anda tetapi cara anda menghadapi bencana atau perkara di luar dugaan dalam hidup anda.

Lupakan kerugian yang dialami, lihat apa yang anda ada dan mulakan dari situ. Minta bantuan dan peruntukan yang sewajarnya kerana rakyat Malaysia amat pemurah dari segi sumbangan tenaga dan juga harta-benda.

Bila matahari bersinar kembali, tiba masanya untuk membersihkan kawasan dan mula menyemai harapan dan membina semula kehidupan.

Saya pasti anda akan berjaya, tidak kiralah sama ada musibah yang anda hadapi ialah banjir atau perkara lain seperti masalah kewangan atau hutang.

Seperti kata pepatah Inggeris, "What doesn't kill you will make you stronger". Yakinlah, matahari akan bersinar kembali.

Nota:  Terima kasih kepada semua wira yang telah memberikan bantuan sama ada dari segi tenaga atau pun wang ringgit. Saya kagum dengan kemurahan hati anda. 

23 Disember, 2014

10 + 2 Pengajaran Daripada Jesse Livermore

Seorang spekulator terkenal pada awal abad ke-20 berikan pengajaran yang amat berguna kepada pedagang dan juga pelabur masa kini

Walaupun saya seorang value investor dan bukannya spekulator, saya dapati ada banyak pengajaran yang boleh ditimba dengan melihat cara pedagang saham beroperasi dan bagaimana mereka mencatatkan untung dan mengalami kerugian. Salah seorang daripadanya ialah Jesse Livermore.

Jesse Livermore ialah seorang spekulator terkenal yang telah mencatatkan keuntungan besar pada tahun 1907 dan 1929 dan kemudian kehilangan wang yang dimenanginya dan diisytiharkan muflis pada tahun 1934. Banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman hidupnya.

Buku bertajuk Reminiscences of a Stock Operator yang ditulis oleh wartawan Edwin Lefevre mengisahkan hidup luar biasa dan pengajaran yang ditimba oleh spekulator ini. 



John Maxfield daripada Motley Fool telah menulis satu artikel menarik bertajuk Ten Lessons From a Stock Operator mengenai sepuluh pengajaran daripada buku tersebut.

Saya terjemahkan dan tambah pandangan saya, di samping menyertakan dua lagi pengajaran yang saya dapati amat penting.

1. Musuh utama pelabur ialah diri sendiri. Beliau perlu melawan naluri semula jadinya untuk berjaya.

2.  Melabur dalam pasaran tanpa sebarang ilmu adalah tindakan yang kurang bijak. Pelabur sanggup menghabiskan jumlah besar di pasaran tanpa sebarang pertimbangan berbanding apabila membeli sebuah kereta berharga sederhana.

3. Tidak perlu berdagang pada setiap masa. Kadang kala duduk diam lebih baik.

4. Tiada istilah "wang mudah" di pasaran saham. (Nota: Pada pendapat saya, perkara ini benar bukan sahaja di pasaran saham, tetapi dalam pelbagai usaha niaga atau pekerjaan lain).

5.  Pasaran saham tidak wujud untuk memenuhi keperluan anda. Jangan cuba bermain pasaran untuk membeli kereta atau membiayai pendidikan atau sebagainya. Ramai yang rugi kerananya.

6. Sukar untuk mengelakkan diri daripada dipengaruhi jurujual, 'pakar' atau 'guru' yang mempunyai kemahiran memujuk atau menjual yang baik.

7. Untuk mencatat untung lumayan anda perlu bersabar. Hanya selepas memahami perkara ini barulah wang besar dapat diperolehi.

8. Anda perlu sentiasa menjangkakan sesuatu yang tidak diduga. Tiada siapa yang betul pada setiap masa di pasaran saham.

9. Keupayaan bertindak pantas adalah sama penting seperti membuat keputusan yang tepat.

10. Spekulasi saham jarang membawa keuntungan. Beribu orang yang terlibat dalam spekulasi saham tetapi hanya segelintir sahaja yang untung.

Sementara itu, ada dua pengajaran tambahan yang saya perolehi daripada kisah beliau:

1.  Sekiranya anda telah meraih untung besar daripada saham, keluarkan sebahagian daripadanya untuk disimpan dalam bentuk tunai atau dilaburkan dalam hartanah. Pelbagaikan aset anda agar sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga, anda tidak hilang kembali semua untung yang diraih.

2.  Penggunaan margin (hutang) secara agresif boleh menjadikan anda kaya lebih cepat atau muflis lebih cepat.

Nota: 
Saya telah membeli ebook Reminiscences of a Stock Operator dari Google Play pada harga RM6.48. Di Amazon, harganya lebih tinggi untuk edisi Kindle tetapi edisi tersebut dipenuhi dengan ulasan terkini.  Anda juga boleh mendapat versi PDF menerusi Internet kerana kalau tak silap saya, tempoh copyright telah luput, tetapi saya tak dapat memastikan perkara ini dengan tepat.

15 Disember, 2014

Anthony Robbins Syorkan 7 Langkah Untuk Capai Kebebasan Kewangan

Anthony Robbins berbicara soal kewangan dalam buku barunya Money: Master the Game. 7 Simple Steps to Financial Freedom.

Anthony Robbins, seorang penulis terkenal, pembimbing kehidupan, penceramah motivasi dan jurulatih prestasi puncak telah menerbitkan sebuah buku yang memberikan nasihat kewangan dan pelaburan asas yang ditujukan secara khusus kepada mereka yang baru mendalami ilmu kewangan.


Berasaskan maklum balas dan review yang diberikan, secara umumnya buku ini adalah bermanfaat bagi mereka yang masih baru kepada perancangan kewangan peribadi dan pelaburan.

Tiada maklumat baru yang disampaikan, cuma ilmu kewangan yang amat berguna disampaikan dalam bentuk baru demi menggalakkan pembaca mengambil tindakan memperbaiki kedudukan kewangan mereka.

Untuk buku ini, beliau telah menemuramah ramai pakar kewangan dan pelaburan termasuk Warren Buffett, Ray Dalio, John Bogle, Carl Icahn dan Steve Forbes untuk merungkai rahsia mencapai kejayaan, kekayaan dan kebebasan kewangan.

Berikut adalah ringkasan 7 langkah yang disyorkan oleh Anthony Robbins untuk mencapai kebebasan kewangan:
  1. Buat keputusan untuk menjadi pelabur dan bukannya pengguna. Jangan beli produk syarikat tetapi beli sahamnya.
  2. Jadilah seorang yang memahami selok-belok kewangan. Kuasai ilmu mengenainya.
  3. Tetapkan sasaran yang boleh dicapai. Sasaran terlalu besar mungkin menyebabkan seseorang langsung tidak bermula.
  4. Nilai semula peruntukan aset anda. Ada yang patut disimpan dalam instrumen selamat dan ada yang patut digunakan untuk mengambil risiko.
  5. Buat perancangan untuk menjana pendapatan sepanjang hayat. Pendapatan, bukannya aset, yang membiayai kehidupan harian anda. 
  6. Belajar daripada pakar kewangan dan pelabur terbaik. Contohi kaedah dan kejayaan mereka.
  7. Ambil tindakan sekarang dan bukan hanya merancang untuk melakukannya. Kegagalan paling besar ialah kegagalan untuk bermula.
Nota: Memandangkan beliau menerumah ramai pakar pelaburan dan kewangan, ada nasihat yang diberikan dalam bukunya mungkin bercanggah dengan satu sama lain dan pelabur perlu memahami bahawa ada pelbagai pendekatan berbeza dan hendaklah memilih yang paling sesuai untuknya.

10 Disember, 2014

Manfaat Analisis Senario dan Margin of Safety

Sentiasa letakkan margin of safety dan membuat analisis senario dalam keputusan pembelian saham

Penurunan harga minyak sedunia telah menekankan lagi betapa pentingnya margin of safety (margin keselamatan) dan membuat analisis senario, lebih-lebih lagi jika anda melabur dalam syarikat yang harga input dan outputnya bergantung kepada harga pasaran dunia.

Mengapa perlu ada margin of safety apabila membuat pembelian? Sebab jika analisis kita tentang sesuatu syarikat atau produknya salah, kita telah membeli pada harga yang cukup rendah untuk menampung kesilapan tersebut.

Selain itu, tindakan menganalisis pelbagai senario yang mungkin berlaku juga penting apabila menilai sesebuah syarikat. Sebagai contoh, semasa harga minyak berada pada paras lebih kurang USD100, ramai yang membuat unjuran dan menetapkan target price berasaskan harga minyak yang tinggi.



Ini bermakna jika anda membeli sebuah syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas (O&G)  pada waktu itu, anda bukan sahaja membeli berasaskan target price yang ditetapkan mengandaikan harga minyak yang tinggi, tetapi juga membeli pada nisbah harga pendapatan (P/E) yang tinggi.

Pada masa tersebut, banyak syarikat yang ingin menceburi atau menggiatkan lagi aktiviti dalam bidang O&G yang dianggap hangat, justeru harga naik ke paras P/E yang tinggi, maksudnya pelabur meramalkan pertumbuhan untung yang cukup memuaskan bagi syarikat.  

Kesannya, jika timbul senario sebaliknya, iaitu harga minyak jatuh, berlaku double whammy. Pertama ialah kejatuhan untung, dan kedua ialah tekanan terhadap harga saham kerana P/E yang tinggi, memandangkan pelabur meramalkan pertumbuhan untung, tetapi yang berlaku ialah kemerosotan untung.

Bagi syarikat yang terlibat dalam komoditi seperti syarikat perladangan dan minyak & gas, amat penting untuk membuat analisis senario tentang bagaimana harga komoditi yang berkenaan mempengaruhi syarikat. Lazimnya, pergerakan harga saham akan sedikit sebanyak mencerminkan harga komoditi tersebut.

Dalam kes Petronas, berasaskan apa yang saya baca di akhbar, pihak kepimpinan Petronas sudah pun bersedia dan tiada masalah untuk menghadapi suasana harga minyak rendah dan juga keuntungan lebih rendah, cuma para penganalisis dan pelabur sahaja mungkin tidak mendengar amaran yang telah diberikan sejak tahun lepas.

Malah salah satu sebab mengapa saya telah menjual FGV dengan sedikit kerugian beberapa bulan lepas, yang saya terangkan dalam posting bertajuk Nota Mengenai Keputusan Menjual Saham II, ialah kerana terdapat kebarangkalian tinggi bahawa suasana harga minyak sawit lebih rendah mungkin berpanjangan.  

Kini sentimen telah bertukar negatif, dan kebanyakan orang telah mengandaikan senario harga rendah pula.  Apabila saham jatuh ke paras P/E yang berpatutan dan semua orang semakin pesimistik, itulah masanya untuk mengintai peluang untuk membeli.

Ini kerana syarikat minyak besar akan mengurangkan capex (perbelanjaan modal) dan menutup operasi marginal yang tidak lagi menghasilkan untung, menyebabkan bekalan turun kembali. Apabila bekalan mula menyusut, barulah wujud faktor yang akan mendorong kembali kenaikan harga. 

Turun naik harga komoditi adalah sebahagian daripada kitaran perniagaan biasa dan pelabur yang bijak boleh mengambil kesempatan daripadanya.