28 November, 2014

Tujuh Perkara Mudah Yang TIDAK Dilakukan Oleh Ramai Pelabur

Amalkan perkara berikut untuk tingkatkan prestasi pelaburan anda

Ben Carlson, CFA, seorang pengurus dana institusi di AS, dalam blognya A Wealth of Common Sense, menerangkan bahawa ada tujuh perkara yang lazimnya tidak dilakukan pelabur, sedangkan ia boleh meningkatkan prestasi pelaburan mereka.

Anda boleh membaca artikel penuhnya bertajuk, 7 Simple Things Most Investors Don't Do. Di bawah, saya meringkaskan, menterjemahkan dan menambah kepada pandangan beliau .

Dalam kesibukan pelabur mempelajari dan menggunakan pelbagai kaedah untuk membeli atau 'bermain' saham, beliau menyenaraikan perkara berikut yang tidak dilakukan oleh pelabur, sedangkan ia penting dalam proses pelaburan.

1.  Memantau pelaburan dari segi portfolio keseluruhan 
Anda perlu meninjau semua aset anda secara keseluruhan termasuk tunai, hartanah, saham, unit amanah dan sebagainya dan mengkaji tahap kepelbagaian aset, pulangan keseluruhan dan jumlah tunai yang anda pegang.

2.  Menentukan peruntukan aset anda 
Ini bermakna menentukan peratusan pegangan tunai, saham, unit amanah, hartanah dan aset lain seperti emas berasaskan tinjauan anda tentang ekonomi dan pulangan setiap aset pada masa depan. Kajian mendapati bahawa peruntukan aset, bukan pemilihan pelaburan, yang menentukan sebahagin besar daripada pulangan.

3.  Mengira pulangan pelaburan anda
Ramai yang tidak melakukannya tetapi ini penting dan patut dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun. Kebanyakan pelabur tersalah anggap atau kira, dan mengandaikan pulangan mereka lebih tinggi daripada prestasi sebenar.

4.  Menetapkan tempoh masa pelaburan apabila melabur
Ini akan membantu kita membuat keputusan yang lebih rasional. Adakah anda melabur untuk jangka pendek, jangka pertengahan atau jangka panjang?  Ramai pelabur melabur untuk jangka pendek tetapi tiba-tiba menjadi pelabur jangka panjang bila mereka mengalami kerugian.

5.  Menambah tabungan setiap tahun
Walaupun prestasi pelaburan yang kukuh adalah penting, cara paling baik untuk menambah kekayaan ialah dengan meningkatkan tabungan anda secara beransur-ansur. Tidak perlu ada kelayakan CFA untuk menyedari perkara ini.

6.  Fokus pada perkara yang boleh anda kawal
Pelabur sibuk memikirkan hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat tetapi pergerakan pasaran mustahil diketahui dengan tepat. Fokus kepada perkara yang boleh anda tentukan dengan tahap kebarangkalian yang lebih tinggi sahaja, seperti prestasi syarikat yang dilaburkan.

7.  Melengahkan kepuasan
Ini bermakna menggunakan lebih banyak daripada wang untuk melabur dan menabung pada peringkat awal, sambil mengurangkan perbelanjaan dalam barangan yang memberikan kepuasan kepada anda dengan serta-merta. Matlamatnya ialah mencapai kesenangan dan kejayaan dalam jangka panjang. 

Saya cadangkan anda melayari blog, A Wealth of Common Sense. Ada kandungan untuk beginner dan  untuk pelabur advanced.

24 November, 2014

Menetapkan Kriteria Pemilihan Saham

Menentukan saham mana yang patut diselidiki lebih lanjut

Bagi Value Investor, kelemahan pasaran saham dalam tempoh dua tiga bulan lepas mungkin telah membuka sedikit peluang untuk membeli saham yang undervalued walaupun sebahagian besar pasaran masih lagi agak mahal.

Saya menggunakan kriteria berikut untuk meninjau saham mana yang dimasukkan dalam Watchlist saya.  Saham dalam Watchlist ini ialah saham yang akan diselidiki dengan lebih lanjut, termasuk membaca laporan tahunan penuh, keputusan beberapa tahun lepas, meninjau produk dan pengurusan, membaca laporan penganalisis dan sebagainya.

Berikut adalah ukuran yang saya gunakan untuk memasukkan saham dalam Watchlist. Klik untuk lihat dengan lebih jelas:


Saya gunakan laman web shareinvestor.com.my untuk rangka custom screen yang menunjukkan apa ukuran yang saya mahu sahaja untuk memudahkan saya  membuat penilaian pantas sama ada saham tertentu telah memenuhi kriteria pembelian saya.

1. ROE - Pulangan atas ekuiti ialah kriteria pertama yang saya lihat. Lazimnya saya suka jika syarikat tersebut mempunyai ROE lebih 10%

2. PE Ratio - Faktor kedua ialah nisbah harga pendapatan. Lazimnya saya pilih saham dengan PE di bawah 10 dengan fundamenals lain yang kukuh. Jika PE lebih 10, saya perlu pastikan bahawa untung mempunyai potensi besar untuk meningkat bagi menjustifikasi PE yang tinggi.

3. EPS -  Saya bandingkan Rolling EPS dan EPS (Pendapatan Sesaham) untuk melihat situasi untung semasa syarikat berbanding untung pada tahun sebelumnya. Faktor pertumbuhan untung adalah penting.

4. Div Yield - bukan semua syarikat yang membayar dividen. Tetapi jika syarikat tersebut membayar dividen, pulangan dividen 3% atau lebih amat memuaskan. Perlu diingat Div Yield ini dikira berasaskan harga semasa dan bukannya nilai par.

5.  P/NAV - Harga berbanding nilai buku atau juga kadangkala diolah sebagai Price to Book Value, mencerminkan harga berbanding nilai aset bersih (semua asset tolak semua liabiliti) syarikat. Bagi saya P/NAV kurang daripada satu adalah bonus, tetapi tidak harus dijadikan kriteria utama.

6.  Net Debt to Equity - Nisbah hutang ekuiti. Seperti yang dilihat dalam jadual di atas, saya suka syarikat yang hutangnya sangat rendah atau amat kecil, tetapi ini tidak terlalu penting bagi sesetengah pelabur lain. Cuma ini pilihan peribadi saya sahaja.

Saya akan gunakan budi bicara untuk melihat saham mana yang mana analisis lanjut boleh dilakukan untuk seterusnya dimasukkan dalam Buylist dengan matlamat membeli sahamnya pada harga yang saya anggap sesuai.

Nota:
Walaupun menetapkan kriteria umum untuk membuat penyelidikan lanjut, keputusan jual beli akhir saya amat bergantung kepada budi bicara dan 'feel' dan tidak menggunakan formula tertentu atau menunggu setup tertentu atau apa-apa pun. Setiap saham dikaji berasaskan situasi uniknya. Ini untuk saya tetapi anda patut gunakan kaedah yang sesuai dengan anda.

14 November, 2014

Antara Trailing PE, Rolling PE dan Forward PE

Mengenali dan menilai tiga jenis nisbah harga pendapatan untuk ketelitian

Kebanyakan pelabur mengenali atau pernah mendengar tentang nisbah harga pendapatan atau price earnings (PE) ratio, yang merupakan salah satu ukuran penting untuk menilai sesuatu saham.

Nisbah harga pendapatan boleh digambarkan dengan cara berikut: Pada harga saham semasa, berapa tahun anda akan pulang modal berasaskan keuntungan atau pendapatan sesaham yang dicatatkan.

Sebagai contoh, jika harga saham XYZ ialah RM3 dan pendapatan sesaham ialah 20 sen maka Nisbah PE ialah 15. (RM3.00 / RM0.20).

Berikut adalah pendapatan sesaham (EPS) XYZ bagi tahun 2013 dan 2014.
S bermaksud Suku Tahun.

S113 6 sen; S213 4 sen; S313 5 sen; S413 5 sen; EPS 2013 20 sen
S114 3 sen; S214 5 sen;  S314 4 sen;

Tetapi sekarang, persoalannya ialah pendapatan sesaham mana yang patut digunakan? Adakah tahun lepas, tahun semasa atau masa depan? Jawapannya ialah anda boleh menggunakan ketiga-tiganya sekali.

Trailling PE
Trailing PE atau PE pada tahun kewangan sebelumnya mengira PE berasaskan pendapatan sesaham pada tahun kewangan yang sebelumnya. Angka ini adalah angka yang sudah diumumkan dan bukannya anggaran dan inilah PE yang anda lihat dalam platform dagangan saham atau dalam kebanyakan data dan analisis tentang saham. Trailing PE bagi XYZ ialah 15, seperti pengiraan di atas.

Rolling PE
Rolling PE atau PE bergerak ialah ialah PE bagi empat suku terakhir syarikat.  Berasaskan contoh di atas, kita ambil EPS Suku Keempat 2013 dan juga tiga suku tahun bagi 2014, iaitu bersamaan 17 sen. Maka Rolling PE ialah 18.3. Menerusi kiraan ini, kita dapat lihat prestasi merosot sedikit dan PE semakin meningkat.

Forward PE
Forward PE atau PE Hadapan ialah PE yang diunjurkan bagi tahun kewangan 2014. Berasaskan contoh di atas, kita hanya mempunyai keputusan untuk tiga suku tahun pertama.  Suku keempat perlu kita anggarkan berasaskan budi bicara kita sendiri. Dalam contoh di atas, andaikan kita meramalkan EPS suku keempat ialah 4 sen, maka EPS bagi seluruh tahun ialah 16 sen. Justeru, Forward PE yang kita unjurkan ialah 18.8.

Manfaat Analisis
Jika kita menggunakan Trailing PE sahaja, kita tidak mengambil kira situasi semasa syarikat. Kita mungkin menganggap sesuatu syarikat undervalued kerana PE rendah tanpa menyedari bahawa prestasi keuntungannya sedang merosot untuk tahun semasa atau tahun depan.

Kesimpulannya ialah pelaburan saham dan prestasi syarikat perniagaan bersifat dinamik dan situasi sentiasa berubah. Kita bukan sahaja perlu meninjau prestasi masa lalu, tetapi melihat data terkini untuk memastikan kita membuat keputusan jual beli yang paling tepat.

Nota:
Saya suka beli syarikat yang kukuh dengan PE rendah dan EPS yang sedang meningkat. 

09 November, 2014

Analisis Saham Dengan Shareinvestor WebPro

Khidmat asas RM240 setahun cukup untuk data fundamental lengkap

Pada tahun lepas, Bursastation, penyedia perkhidmatan data saham yang saya langgan dan pernah saya ulas perkhidmatannya dalam buku dan blog saya telah menghentikan perkhidmatan Basic (asas) yang lebih murah.

Tetapi sebagai ganti, syarikat yang sama telah menyediakan perkhidmatan Shareinvestor WebPro di www.shareinvestor.com.my yang membekalkan maklumat fundamentals yang jauh lebih menyeluruh dan juga kemudahan analisis teknikal asas. 

Bagi pelabur fundementals yang melabur berasaskan kekuatan perniagaan, data yang diberikan oleh Shareinvestor boleh memudahkan kerja anda. Segala analisis yang saya terangkan dalam buku Bijak Melabur tak perlu dikira sendiri. Hanya perlu fahamkan sahaja maksud data, kerana semua maklumat sudah disediakan.

Berikut adalah antara data yang dibekalkan menerusi perkhidmatan ini berasaskan contoh syarikat yang dinamakan Homeritz. Sila klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas.

1.  Carta sehingga lima tahun, termasuk pelbagai pilihan data teknikal.


2.  Maklumat fundamentals sepintas lalu mengenai saham syarikat.


3.  Sebahagian besar nisbah kewangan bukan sahaja untuk satu tahun supaya kita boleh melihat trend dan peningkatan prestasi.

 
 4. Dividen yang telah dibayar:
 
 
5. Perbandingan sektor dan kumpulan saham.
 
 
Data yang dipaparkan di atas adalah sebahagian sahaja dan ada pelbagai lagi maklumat yang disediakan seperti pergerakan harga, penyata kewangan, keputusan suku tahunan, pulangan saham, trend hasil dan untung dan portfolio saham yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelabur. 
 
Pendek kata dengan semua maklumat ini, anda tidak perlu menjalankan pengiraan sendiri sebaliknya hanya perlu melengkapkan analisis dengan menilai kualiti pengurusan dan syarikat secara keseluruhan, kerana maklumat dan nisbah kuantitatif semuanya sudah disediakan.
 
Nota:
Saya menggunakan perkhidmatan Shareinvestor WebPro dan ini merupakan ulasan produk demi manfaat pembaca dan bukannya iklan daripada pengeluar produk yang diulas. Saya mengambil pelan asas dengan data Malaysia.
 
Malah dengan bayaran tambahan (saya tak ambil pilihan ini) anda boleh menerima anggaran penganalisis (consensus estimates) tentang saham dan juga penapis saham (stock screener) yang boleh menyenaraikan saham yang memenuhi kriteria tertentu.
 
Pelabur yang menggunakan analisis teknikal lanjutan lazimnya menggunakan perkhidmatan Shareinvestor Station yang lebih mahal.

03 November, 2014

Petua Pelabur Tersohor

Panduan Pelaburan Tokoh Terkemuka Dunia Saham

Alhamdulillah. Buku fizikal ketiga saya baru sahaja diterbikan dan kini boleh didapati daripada laman web saya www.laburniaga.com.

Petua Pelabur Tersohor

Buku ini meninjau kaedah pelaburan 10 pelabur fundamental yang terkenal supaya pelabur dapat mempelajari teknik pelaburan mereka tanpa perlu merujuk terlalu banyak sumber.

Membaca dan mengkaji kaedah pelaburan para pelabur yang berjaya mencatatkan rekod pencapaian luar biasa dalam jangka panjang ialah cara yang amat berkesan untuk mempelajari tentang dunia saham.

Kumpulan pelabur ini telah menjana pulangan yang lumayan untuk diri sendiri dan juga pelabur yang melabur dengan mereka. Kesemua pelabur yang dipaparkan dalam buku ini merupakan pelabur berasaskan fundamentals, iaitu berasaskan kekuatan perniagaan dan bukan pedagang jangka pendek yang menggunakan analisis teknikal.

Setiap seorang daripada mereka mempunyai kaedah yang mungkin sedikit berbeza antara satu sama lain tetapi hampir kesemua mereka mencari perkara yang sama apabila membeli saham, iaitu pelaburan yang boleh dibeli pada harga yang lebih rendah daripada nilai sebenar.

Pendek kata, para pelabur tersohor ini cuba menilai sesuatu syarikat dari segenap segi, termasuk potensinya pada masa depan dan kemudian membandingkannya dengan harga saham. Jika harganya berpatutan barulah mereka beli.

Lebih penting lagi sebahagian besar pelabur ini mempunyai rekod pencapaian yang sah dan direkodkan untuk jangka masa yang agak panjang.Ini bermakna ia bukan berasaskan dakwaan dan anggaran tetapi berasaskan rekod urus niaga yang sahih, sebahagian besarnya menguruskan wang pelabur dan juga wang sendiri.

Buku ini membolehkan pelabur kecil memanfaatkan kepakaran dan kebijaksanaan Warren Buffett, Ken Fisher, Peter Lynch, Benjamin Graham, Philip Fisher, John Templeton, Jim Rogers, John Neff, Walter Schloss dan John Bogle dalam membuat penilaian dan pemilihan saham.


Bagi setiap pelabur saya menerangkan:
  1. Prinsip pelaburan asas mereka.
  2. Cara mereka menguruskan portfolio.
  3. Apa yang mereka anggap sebagai saham undervalued.
  4. Situasi apa yang mendorong mereka untuk membeli.
  5. Bila mereka menjual saham atau pelaburan.
  6. Sepuluh petua dan sepuluh mutiara kata setiap seorang pelabur.
  7. Pandangan mereka tentang ekonomi dan pasaran secara keseluruhannya
Mereka yang berminat boleh membuat pembelian di sini