30 Julai, 2014

Membina Aset Bahagian 2: Risiko Memegang Sebahagian Besar Aset Dalam Bentuk Tunai

Dorongan untuk berbelanja dan membeli barangan tidak produktif
Tunai aset paling selamat tetapi pulangan tunai juga paling rendah

Orang putih kata Cash is King, tetapi pepatah Inggeris ini benar sehingga tahap tertentu sahaja. Tunai dan aset setaranya adalah aset yang boleh dikatakan selamat, tetapi mempunyai beberapa kelemahan jika tidak digunakan dengan bijak.

Sesetengah orang langsung tidak melabur dan hanya membuat tabungan dalam bentuk tunai. Tiada masalah dengan pendirian konservatif seperti ini jika anda seorang yang berdisiplin, tetapi anda perlu maklum tentang beberapa kelemahan jika sebahagian besar aset anda adalah dalam bentuk tunai.

Risiko pertama dan paling besar ialah tidak ramai orang yang benar-benar berdisiplin. Biasanya tunai lebihan ini akan mencari jalan keluar daripada tangan kita untuk ditukarkan kepada barangan tidak produktif atau dimasukkan ke dalam skim 'pelaburan' yang didakwa boleh memberikan pulangan pantas tetapi akhirnya merugikan.

Saya pernah melihat beberapa kes seperti ini di mana aset yang kukuh, seperti tanah, dijual untuk menerima tunai, dan akhirnya tunai tersebut digunakan untuk membeli barang yang menyusut nilainya. 

Kadang kala wang habuan jualan aset tersebut digunakan untuk membuka perniagaan tanpa penyelidikan terperinci atau melabur dalam 'skim pulangan tinggi' yang menimbulkan kerugian besar.

Hakikatnya, jika tanah tersebut tidak dijual, pemegangnya boleh menjadi jutawan aset sekarang, tetapi beliau rugi besar selepas tunai tersebut digunakan untuk tujuan lain.

Malah kita biasa juga mendengar cerita bagaimana wang KWSP boleh lenyap dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dikeluarkan kerana pelbagai bentuk perbelanjaan atas barangan atau aset yang menyusut nilainya. 

Di samping itu, banyak juga cerita di media sosial mengenai orang yang menang loteri dan kemudian jatuh miskin kembali dalam masa beberapa tahun.

Faktor risiko kedua kepada tunai ialah nilainya mungkin terhakis dalam keadaan inflasi, iaitu berlakunya kenaikan harga barang. Ini bermakna nilai wang yang sama mempunyai kuasa beli lebih rendah berbanding tahun lepas.

Faktor ketiga ialah tunai memberikan pulangan paling rendah, setimpal dengan risikonya yang rendah. Dalam jangka panjang, seorang yang bijak melabur akan mengumpulkan jumlah aset yang jauh lebih besar dengan memanfaatkan pulangan terkompaun.

Tunai perlu diuruskan dengan teliti dan diimbangi supaya tidak terlalu sedikit sehingga menjejaskan kehidupan harian atau keupayaan kita mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan, tetapi tidak terlalu banyak sehingga peruntukan aset kita menjadi tidak seimbang. 

Kesimpulannya, tabungan tunai bulanan ialah sesuatu yang amat penting dilakukan. Ini tidak dinafikan. Tetapi saya mencadangkan agar tidak menyimpan semua aset dalam bentuk tunai dan setaranya, kerana tunai:
  • Mendorong belanja atas aset dan produk yang tidak meningkat nilai
  • Lazimnya memberikan pulangan paling rendah.
  • Boleh terhakis nilai dalam keadaan inflasi.

Gunakan tunai dengan bijak dalam usaha anda membina aset demi mencapai kebebasan kewangan. Jutawan tidak semestinya memiliki tunai sejuta ringgit.  Jutawan dari segi nilai aset bersih juga tetap jutawan.

Nota: Secara peribadi, saya akan memegang lebih tunai apabila pulangan pelaburan (yield) adalah rendah, (apabila harga aset sangat tinggi), dan memegang kurang tunai apabila pulangan pelaburan adalah tinggi, (apabila harga aset adalah rendah). 

22 Julai, 2014

Kesan Kenaikan Kadar Ke Atas Pelabur dan Individu

Walaupun kenaikan kadar membabitkan peningkatan kos kepada banyak pihak, ia perlu untuk tangani kenaikan harga aset dan barang dan mengawal kadar hutang isi rumah.

Pada tahun ini, Malaysia menghadapi banyak cabaran, termasuk pesawat yang hilang dan terhempas, masalah keselamatan di perairan Sabah, cuaca panas yang menyebabkan kekurangan air di sesetengah tempat dan juga kemelut lain dari segi politik dan hubungan antara kaum.

Bagaimanapun, walaupun semua peristiwa ini meninggalkan kesan mendalam untuk tempoh tertentu, tiada yang memberikan impak lebih meluas kepada orang ramai berbanding keputusan BNM untuk menaikkan kadar Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 0.25%.

Sememangnya kalau boleh kita mahukan dasar kewangan dan penciptaan wang yang tidak berasaskan kadar faedah dan menerusi cara yang patuh syariah, tetapi inilah hakikat dunia semasa. Justeru ulasan ini hanya menyatakan kesan keputusan BNM berasaskan realiti yang kita hadapi di Malaysia.

Apakah Kesannya?

Pertama sekali, perubahan OPR itu akan dirasai oleh orang ramai menerusi Base Lending Rate / Base Financing Rate (BLR/BFR), iaitu Kadar Pinjaman Asas / Kadar Pembiayaan Asas yang ditetapkan oleh Bank.

Selepas BNM menaikkan OPR daripada 3% kepada 3.25%, Bank pula menyusul dengan menaikkan BLR/BFR masing-masing daripada 6.60% kepada 6.85%.

Kadar tersebut dijadikan asas bagi pengiraan kadar pembiayaan perumahan, pembiayaan perniagaan dan pembiayaan peribadi yang diambil berasaskan kadar berubah, dan juga asas bagi menetapkan kadar baru bagi pembiayaan kereta dan pembiayaan berkadar tetap.

Ini bermakna jika anda mempunyai pinjaman perubahan atau pinjaman peribadi berasaskan kadar berubah, anda akan merasai kesannya menerusi ansuran bulanan yang bertambah sedikit, atau jika ansuran tidak ditambah, maka tempoh pembayaran balik akan menjadi semakin panjang.

Kesan secara tidak langsung ialah ia akan menaikkan kos membeli hartanah atau aset lain menerusi pinjaman, lantas mengurangkan sedikit permintaan terhadap banyak aset yang harganya telah naik ke tahap di mana ia tidak lagi mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.

Satu lagi kesan ialah ia mungkin menimbulkan masalah bagi orang yang banyak berhutang. Kadar yang rendah telah menyebabkan kelonggaran dari segi pemberian pinjaman. Mungkin kenaikan ini bertujuan mengurangkan sedikit tahap pemberian pinjaman.

Bagi syarikat perniagaan pula, kos perniagaan mereka akan meningkat sedikit, terutamanya bagi syarikat yang banyak menggunakan modal hutang dan/atau yang banyak menggunakan pembiayaan jangka pendek.

Maksudnya ialah bagi syarikat yang banyak hutang, ia mungkin mengurangkan sedikit tahap keuntungannya, kerana perlu menolak kos pembiayaan yang lebih tinggi.

Mengapa Naikkan Kadar Jika Kos Bertambah?

Sebab utamanya ialah mengelakkan berlakunya masalah besar jika kenaikan harga aset dan peningkatan kadar hutang isi rumah dibiarkan berlarutan ke paras terlalu tinggi.  Jika tiada tindakan diambil, mungkin sampai satu tahap di mana ketidakseimbangan serius mungkin berlaku.

Pendek kata kadar yang terlalu rendah boleh menyebabkan orang ramai dan syarikat lebih berminat meminjam wang untuk kegiatan spekulasi daripada melakukan aktiviti yang menambah nilai. Pada pendapat saya ini sudah dilihat dengan ketara sekarang ini.

Tetapi usaha mengekang juga tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana kenaikan terlalu tinggi terlalu cepat juga boleh menjejaskan kegiatan ekonomi. Justeru, langkah imbangan ini perlu dilakukan dengan sangat teliti oleh BNM.

Siapa Yang Mendapat Manfaat?

Dalam kitaran kenaikan kadar, biasanya penabung (yang menabung di Bank) akan mendapat kadar yang lebih tinggi.  Mereka yang tiada hutang juga tidak merasai kesannya.  Begitu juga mereka yang telah menukar aset mereka kepada tunai secara beransur-ansur.

Kesimpulan Bagi Pelabur

Bagi seorang pelabur, situasi transition daripada dasar wang longgar kepada dasar wang lebih ketat ini ialah sesuatu yang perlu diimbangi dengan teliti. Walau apa pun, adalah kurang bijak memasuki tempoh ini dengan semua dana anda fully invested (dilaburkan sepenuhnya). 

Nisbah tertentu aset perlu dipegang dalam bentuk tunai untuk melindungi dan juga mengambil kesempatan sekiranya berlaku kejatuhan harga. Tetapi pegangan semua tunai juga kurang bijak kerana kenaikan harga aset tertentu masih boleh berlaku, terutamanya saham yang mencatatkan prestasi baik.

Pendek kata dalam keadaan ini, pelabur perlu bijak menguruskan asetnya agar mempunyai tunai yang cukup untuk mengambil kesempatan, tetapi tetap memegang aset yang masih berpotensi mencatatkan prestasi yang baik dalam keadaan semasa.

17 Julai, 2014

Peluang Untuk Beramal Dengan Hasil Takaful Anda

MAA Takaful membolehkan pemegang Takaful bersedekah kepada kebajikan apabila mereka meninggal dunia atau apabila pelan matang

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang anak meninggal dunia, putuslah amalnya kecuali 3 perkara. Sadaqah Jariah atau ilmu bermanfaat yang disebarkan atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."  Riwayat Muslim dan lain-lain.

Kini MAA Takaful menyediakan satu lagi cara untuk bersedekah secara langsung apabila pemegang takaful meninggal dunia, iaitu dengan menghibahkan hartanya secara terus kepada pertubuhan kebajikan.

Dengan mana-mana pelan Takaful berkaitan pelaburan atau hayat, pelabur boleh menghibahkan manfaat kematian kepada pertubuhan amal. Sekiranya pemegang Takaful terus hidup sehingga tarikh matang, maka wang tersebut akan dihibahkan pada tarikh tersebut. 

Malah pemegang Takaful boleh memperuntukkan manfaat tersebut mengikut kadar yang dikehendakinya, sebagai contoh 50% kepada warisnya dan 50% untuk tujuan kebajikan.

Kemudahan ini memberikan anda fleksibiliti untuk memastikan bahawa dana yang ingin disedekahkan akan sampai kepada organisasi sasaran, tanpa menunggu proses pembahagian harta-pusaka, atau tanpa perlu melalui waris, sekiranya dihibahkan terlebih dahulu kepada waris dengan arahan untuk disalurkan kepada pertubuhan amal.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara melaksanakan hibah kepada kebajikan dan pelan Takaful mana yang sesuai untuk anda, sila hubungi Encik Azman Abidin (MAA Takaful) di Tel/Whatsapp 016-603 6348.Berikut adalah sedikit maklumat tambahan daripada penyedia perkhidmatan.


Nota: En. Azman ialah salah seorang penyedia perkhidmatan Takaful bagi saya sekeluarga.

07 Julai, 2014

Membuat Penilaian Pantas Cadangan Saham Rakan, Pakar, Penganalisis atau Broker Anda

Sentiasa bersikap terbuka untuk menerima cadangan saham tetapi
pastikan anda membuat analisis sendiri sebelum membeli


Pada pendapat saya, mendengar cadangan saham daripada pihak lain, tidak kiralah sama ada pakar saham di FB, pengulas di akhbar, penganalisis syarikat, broker saham atau rakan-rakan anda, adalah sesuatu yang wajar dilakukan.

Jika kita bekerja bersendirian, agak sukar untuk follow dan menilai semua saham yang ada. Saya sendiri juga pernah membaca dan mendengar nasihat daripada beberapa pakar dan rakan FB dan berjaya meraih untung daripadanya.

Walau apa pun, bukan semua cadangan akan membuahkan hasil, justeru anda perlu membuat penilaian sendiri dan bertanggungjawab terhadap keputusan anda. Jangan salahkan pakar tersebut jika tersilap kerana tiada sesiapa yang memaksa anda membeli.

Dari segi fundamental berikut ialah ukuran yang saya gunakan untuk membuat penilaian pantas sama ada saham tersebut patut diberi perhatian lanjut. Saya akan pertimbangkan jika dua daripada kriteria dipenuhi. Lebih banyak kriteria yang dipenuhi, lebih tinggi kebarangkalian saya membuat penyelidikan lanjut.

Berikut adalah kriteria yang saya gunakan secara peribadi:
  1. Nisbah Harga Pendapatan (P/E Ratio) < 10 (Syarikat Modal Kecil dan Sederhana) PE < 15 (Syarikat Bermodal Besar)
  2. Nisbah Harga/Aset Bersih (P/B Ratio) < 1. Ini bermakna harga saham lebih rendah daripada nilai aset bersih syarikat
  3. Pulangan Atas Ekuiti (ROE) > 10%. Pulangan atas ekuiti pemegang saham yang memuaskan lazimnya melebihi 10%.
  4. Nisbah hutang ekuiti (D/E Ratio) < 0.25. Ini bermakna tahap modal hutang yang digunakan syarikat adalah tidak begitu tinggi.
  5. Pulangan Dividen (Div. Yield > 3%). Tahap pulangan dividen ini boleh dikatakan memuaskan.
Sekiranya saya dapati syarikat memenuhi dua kriteria, saya akan mempertimbangkan untuk membuat penyiasatan lebih lanjut terhadap syarikat dengan membelek laporan tahunan, suku tahunan serta aliran tunai syarikat dengan lebih teliti.

Bukan semua kriteria di atas adalah sama. Saya memberi lebih penekanan terhadap P/E dan ROE kerana ia berkaitan dengan untung dan bagi saya keuntungan ialah penentu utama harga sesuatu syarikat.

Saya ingin tekankan bahawa anda tidak perlu mengikut kriteria yang saya tetapkan. Selepas menimba cukup  ilmu, anda boleh tetapkan kriteria sendiri. Sebagai contoh, kriteria hutang yang saya tetapkan agak ketat, mungkin sesetengah pihak lain boleh menerima nsibah D/E sehingga 0.5 atau lebih tinggi.

Selain itu, ada sesetengah syarikat yang sedang berkembang pesat tidak membayar dividen, jadi anda perlu sesuaikan penilaian anda mengikut keadaan.

Tetapi satu perkara penting yang harus diingat apabila membuat penilaian lanjut ialah keuntungan masa depan. Walaupun jika semua kriteria di atas dipenuhi, selepas penyiasatan lanjut didapati bahawa syarikat tersebut tiada potensi untuk meningkatkan keuntungan dalam tempoh terdekat atau jangka panjang, maka lebih baik untuk abaikan sahaja saham tersebut melainkan ia terlalu undervalued.

Walau apa pun, kriteria di atas hanyalah langkah pertama, pastikan anda membuat penyelidikan lanjut terhadap syarikat sebelum membeli.

Nota:  Bagi mereka yang baru dan tidak faham nisbah yang saya nyatakan di atas, boleh baca artikel lama saya mengenai pelaburan dan penyelidikan saham dalam blog ini, atau mendapatkan e-book Panduan Asas Saham (Peringkat Asas) atau buku Panduan Bijak Melabur.