30 Mac, 2014

Bila Kehangatan Mula Reda

Menentukan bila pasaran hangat bertukar menjadi lembab mustahil dilakukan dengan tepat tetapi kita boleh meninjau tanda-tandanya

Pada minggu lepas, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dato' Seri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan bahawa tahap hutang isi rumah telah mencecah 86.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Angka tersebut adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Peratusan ini secara sendirinya bukan satu tanda amaran kerana perlu dilihat dari situasi keseluruhan. Ini kerana demografi penduduk Malaysia adalah muda dan ramai yang terpaksa mengambil pinjaman lebih tinggi akibat kenaikan harga rumah yang berlaku sekarang.

Menurut beberapa pengulas, kadar tersebut tidak membimbangkan selagi pertumbuhan ekonomi kukuh dan harga aset (umpamanya rumah dan saham) terus meningkat. Tetapi perkara yang mungkin membimbangkan ialah bagaimana jika harga aset tidak lagi meningkat. Perlu diingat bahawa harga aset tidak boleh naik secara terus menerus.

Untuk meninjau lebih mendalam, kita perlu kembali kepada tulisan Hyman Minsky, seorang pakar ekonomi yang mendakwa bahawa kemelesetan bukan semata-mata berlaku akibat peristiwa kejutan luar seperti kejatuhan nilai mata wang yang mencetus krisis kewangan Asia 1998, dan keruntuhan pasaran hutang subprima, seperti yang berlaku di Amerika pada 2008.



Menurut Minsky, masalah juga boleh timbul dalam keadaan stabil. Dalam suasana stabil, bank, syarikat dan ejen ekonomi lain mula lalai dan mengambil risiko lebih tinggi untuk mencapai keuntungan. 

Katanya lagi, sesuatu ekonomi lazimnya melalui tiga peringkat hutang. Peringkat pertama ialah selepas krisis berlaku di mana bank hanya memberi pinjaman kepada pihak yang mampu membayar nilai pokok dan juga kadar pinjaman.

Peringkat kedua berlaku apabila keyakinan meningkat dan nilai aset juga meningkat sama.  Bank lebih yakin dan memberi pinjaman kepada mereka yang hanya mampu menampung kos pinjaman sahaja tetapi tidak mampu membayar nilai pokoknya. Tetapi keadaan ini masih tidak menimbulkan masalah kerana harga aset meningkat.

Peringkat ketiga berlaku apabila bank memberi pinjaman kepada mereka yang sebenarnya tidak begitu mampu untuk membayar nilai pokok dan juga kos pinjaman, tetapi masih diluluskan dengan keyakinan bahawa nilai aset akan terus meningkat. 

Masalah akan timbul apabila nilai aset mula merosot meninggalkan penghutang dengan hutang yang lebih besar daripada nilai aset yang mereka pegang.

Justeru tahap hutang amat berkait rapat dengan kenaikan nilai aset.  Nilai aset pula amat berkait dengan kadar pembiayaan yang lazimnya ditetapkan oleh Bank Negara. Kita sudah berada dalam suasana kadar rendah yang berpanjangan, yang menggalakkan pemberian pinjaman dan meningkatkan nilai aset.

Seperti yang dinyatakan oleh Gabenor BNM, kadar tidak boleh dibiarkan terlalu rendah terlalu lama kerana orang ramai akan mula melakukan aktiviti berisiko tinggi untuk mencari untung dan bukan meraih pendapatan menerusi kegiatan yang produktif.

Ini mula dilihat pada hari ini di mana semakin ramai yang berpendapat bahawa mereka boleh buat duit dengan mudah dengan pelaburan hartanah dan saham. 

Masalahnya ialah pakar yang melabur dalam hartanah dan saham ini telah melabur dalam saham pada peringkat paling awal kitaran ekonomi dan meraih untung besar. Sebaliknya para pelabur baru ini pula akan masuk bila pasaran sudah tinggi, dan ini merupakan satu daripada tanda yang membimbangkan saya.

Di manakah kedudukan kita sekarang dalam model Minsky?

Sukar untuk memberikan kedudukan tepat tetapi pada pendapat saya ialah pada akhir Peringkat 2. Masalah mungkin timbul sekiranya pasaran hartanah atau saham merosot untuk tempoh satu atau dua tahun. Kesukaran mungkin dihadapi oleh mereka yang mengambil hutang pada tahap maksimum, berasaskan unjuran nilai aset akan terus meningkat.

Bagaimana pula kedudukan kita dari segi pengambilan risiko berlebihan?

Saya juga berpendapat kita berada makin hampir di puncak optimisme dengan semakin ramai orang yang mahu melakukan aktiviti berisiko tinggi. Namun begitu, sama ada ia sudah sampai ke tahap 'bubble' amat sukar diketahui.

Kesimpulannya, saya rasa pasaran berpotensi mengambil dua jalan; 
  1. Rasionalisasi perlahan-lahan di mana pasaran distabilkan oleh langkah BNM dengan harga aset mengalami kemeorostan kecil atau mendatar.
  2. Kenaikan berterusan harga aset sehingga berlaku kejatuhan ketara yang mungkin menimbulkan kemelesetan ekonomi yang serius.
Ternyata senario pertama jauh lebih baik bagi sebahagian besar daripada rakyat Malaysia dan pelabur tetapi saya bimbang akan berlaku senario kedua sekiranya aktiviti pengambilan risiko berlebihan kian berleluasa.

20 Mac, 2014

Mengenai Waran Yang Menghampiri Tarikh Luput

Bagaimana kalau kita memegang saham waran yang akan tamat tempoh sebulan lagi. 1. Adakah kita perlu jual sekarang untuk mengelakkan saham dan duit kita hilang terus. 2. Kenapa walaupun sudah dekat tempoh, saham waran itu masih ramai lagi pembelinya? Waran yang dimaksudkan ialah Waran Marco.

Saya ada menerima soalan ini yang saya rasa amat relevan, terutamanya bagi pelabur baru.

Pertama sekali, waran sebenarnya bukan saham. Waran hanyalah hak untuk membeli saham pada harga laksana yang ditetapkan. Harga laksana waran Marco ialah 10 sen. Ini bermakna pelabur berhak beli saham Marco pada harga 10 sen sebelum tarikh luput.

Harga saham Marco pada penutup hari ini (20 Mac, 2014) ialah 17.5 sen. Ini bermakna sebelum waran itu luput, pelabur boleh melaksanakan waran tersebut.

Apabila waran dilaksanakan, ini bermakna pelabur akan membeli saham Marco pada harga 10 sen sesaham. Pelabur kemungkinan besar akan meraih untung kerana harga saham Marco sekarang ialah 17.5 sen sedangkan anda hanya perlu membayar 10 sen untuk membelinya. Potensi untung sekiranya harga tetap sama pada tarikh laksana ialah 7.5 sen.

Sementara itu, harga waran Marco ialah 6.5 sen pada penutup hari ini. Ini bermakna kalau pelabur menjual waran tersebut, pelabur akan meraih hasil 6.5 sen. Hasil ini lebih rendah sedikit daripada 7.5 sen yang diperolehi dalam kaedah di atas. Tetapi dengan cara ini, pelabur:
  1. Mendapat kepastian akan meraih 6.5 sen.
  2. Tidak perlu melalui proses pelaksanaan waran.
Selain itu, tiada jaminan bahawa harga saham Marco kekal pada 17.5 sen pada tarikh laksana, ia mungkin naik atau mungkin turun.

Mengenai soalan kedua, masih ramai orang yang mahu membeli waran tersebut kerana:
  1. Berpotensi meraih untung 1 sen dengan membuat sedikit kerja tambahan. Mereka ini lazimnya membeli dalam jumlah yang besar.
  2. Untung mereka mungkin lebih besar jika harga saham Marco naik lebih tinggi daripada 17.5 sen pada masa depan.
Pelabur yang bertanya ada dua pilihan.
  1. Cara paling mudah ialah jual sekarang dan terima hasil 6.5 sen.
  2. Keluarkan duit untuk beli saham Marco pada harga 10 sen sebelum tarikh luput dengan harapan untuk menjualnya di pasaran pada harga 17.5 sen atau lebih tinggi.
Jika cara kedua dipilih, tanya broker tentang kaedah pelaksanaan waran. Mereka lebih arif tentang hal ini.

Nota:  Jika ada kesilapan dalam artikel ini, sila maklumkan saya.

07 Mac, 2014

MyETF MSCI Malaysia Islamic Dividend Disenarai

ETF Patuh Syariah Kedua Malaysia Untuk Strategi Pelaburan Indeks Pasif

MyETF MSCI Malaysia Islamic Dividend atau MyETF MMID akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 21 Mac 2014.  ETF ini merupakan dana dagangan bursa patuh syariah kedua daripada iVCAP Management Sdn Bhd untuk disenaraikan selepas my ETF DJIA.

ETF ialah sekumpulan saham yang boleh dijual beli seperti saham tunggal. Kumpulan saham ini lazimnya menjejak indeks penanda aras yang ditetapkan. Dalam kes ini, indeks yang dijejak ialah MSCI Malaysia IMI Islamic High Dividend Yield 10/40 Index.

Ini bermakna strategi yang digunakan ialah strategi pasif. Pengurus dana tidak mencuba mengatasi indeks, tetapi sebaliknya hanya mereplikasi prestasi indeks. 

Dengan kata lain, kenaikan indeks tersebut akan memberikan keuntungan kepada pelabur dan penurunan indeks akan menyebabkan kerugian. Untuk penjelasan lanjut tentang strategi pelaburan pasif, sila baca artikel lama saya mengenai pelaburan indeks.  

Strategi pasif ini sesuai bagi pelabur yang tiada masa untuk membuat penyelidikan saham, tetapi mahu memanfaatkan pulangan yang dihasilkan oleh pasaran saham.  Dalam kes MyETF MMID, pelabur akan membeli saham-saham patuh syariah utama Malaysia yang membuat pengagihan dividen tinggi.

Indeks MSCI Malaysia IMI Islamic High Dividend Yield 10/40 ialah indeks yang terdiri daripada 16 - 30 syarikat patuh Syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan pulangan dividen lebih tinggi daripada purata yang dibayar secara tetap dan mampan.

Untuk memudahkan penerangan, apabila anda membeli dana ini, anda membeli sekumpulan saham dengan rekod pembayaran dividen yang kukuh. ETF ini akan membayar dividen yang diterima daripada saham-saham tersebut kepada anda.

Berikut adalah fakta penting mengenai indeks:


Prestasi indeks (price return) nampak mengagumkan (pulangan yang diberikan adalah pulangan terkompaun tahunan). Prestasi ini lebih baik daripada, MyETF DJIA, iaitu ETF pertama daripada iVCap.

Tetapi perlu diingat bahawa dalam tempoh lima tahun lepas, pasaran saham naik dan terus naik.  Lazimnya prestasi dana seperti ini dalam jangka masa meliputi 10 tahun ialah antara 9 - 10%.

Justeru, pelabur harus mempertimbangkan perkara ini dalam isu timing, iaitu masa paling sesuai untuk membeli dana ini.

Bagi mereka yang ingin melabur dalam pasaran saham untuk jangka masa panjang tetapi tiada masa dan tiada ilmu untuk melakukannya, MyETF MMID ialah satu alternatif yang baik bagi anda. 

Kaedah ini tidak akan memberikan pulangan tertinggi, tetapi pulangan purata yang memuaskan selagi pembelian sekali gus tidak dilakukan apabila indeks berada di ambang kejatuhan seperti tahun 2008 atau 1997.

Maklumat lanjut tentang MyETF MMID boleh didapati di laman web MyETF.