27 Januari, 2014

Wokshop Pencarian Syarikat Bernilai Tinggi

Penganalisis saham berwibawa Khyairul Mahadzir anjurkan bengkel untuk bantu pelabur mencari dan memilih syarikat bernilai tinggi

Saya mengenali En. Khyairul Mahadzir melalui Facebook. Walaupun belum sempat berjumpa dengan beliau, tetapi saya pernah mengikut cadangan saham yang diberikannya dan meraih untung daripadanya. Saya dapati analisis beliau bijak dan bernas. Beliau akan menganjurkan workshop seperti berikut:

1. MAKLUMAT WORKSHOP.

Butiran Workshop 'DEBUT' seperti berikut;

Tarikh: 1 & 2 Mac 2014. (Sabtu & Ahad)
Tempat: SAUJANA Golf and Country Club, Subang.
Masa: 9 pagi - 5 petang.
Medium Komunikasi: Bahasa Malaysia & Bahasa Inggeris.
Bahan Rujukan: Bahasa Malaysia (Istilah pelaburan dalam Bahasa Inggeris).


2. ISI KANDUNGAN WORKSHOP.

Workshop ini dibahagikan kepada 4 BAHAGIAN. Dalam kesemua 4 bahagian di bawah, ada sub-bahagian lain:

BAHAGIAN I: PENCARIAN (syarikat yang berpotensi)
BAHAGIAN II: PENILAIAN
BAHAGIAN III: KEPUTUSAN
BAHAGIAN IV: LAIN-LAIN PERKARA (berkaitan saham)

Memandangkan ia merupakan 'Workshop', sesi yang diadakan bersifat hands-on di mana para peserta akan membuat pencarian sebenar syarikat yang berpotensi untuk dianalisis dan dinilai. 
 

3. SPEAKER / PRESENTER.

Presenter : Khyairul H Mahadzir (Admin Profit.at.Bursa)
 

4. HARGA.

Harga Istimewa 'DEBUT': RM 1,200 sahaja. (Harga ini TIDAK akan berulang pada masa hadapan). Harga ini termasuk;
  1. Isi Workshop yang mengandungi 4 Bahagian di atas.
  2. Ahli Tetap FB group Profit.at.Bursa - PRIORITY. (Penerangan tentang group ini di bawah)
  3. Bahan Rujukan semasa workshop dan lain-lain link rujukan yang digunakan bagi membantu penilaian. 
  4. Makanan dan Minuman termasuk, Welcome Breakfast, Morning Coffee, Lunch, Afternoon Coffee, untuk 2 hari.

5. PENDAFTARAN, TARIKH AKHIR, PEMBATALAN, KAEDAH BAYARAN.

Sila layari link ini : http://tinyurl.com/tempahan-workshop
  
Profit.at.Bursa - PRIORITY

Di Workshop 'DEBUT' (Sulung/Yang Pertama) ini juga, Profit.at.Bursa akan melancarkan sebuah FB Group yang BARU yang dinamakan "Profit.at.Bursa - PRIORITY". Group Profit.at.Bursa - PRIORITY ini adalah berbayar. Setting group ini adalah 'Secret'.

Isi kandungan group ini merangkumi segala kajian yang dibuat, statistik, pandangan, penilaian mengikut sektor dan tema tahunan. Kajian tentang syarikat yang tersenarai di pasaran Asia Tenggara (Thailand, Indonesia, Singapura, Hong Kong) juga akan dibentangkan. 

Segala maklumat akan diterbitkan di group ini dahulu, sebelum diterbitkan di tempat lain yang diselia oleh Profit.at.Bursa. 

Semua peserta Workshop Debut akan menjadi Ahli Tetap di group ini secara PERCUMA.

Hotline Pertanyaan : 011 - 2382 5992 (9am-6pm)
 
Khyairul. (Profit.at.Bursa)

23 Januari, 2014

Bagaimana Hutang Boleh Menggandakan Untung atau Melenyapkan Modal Anda

Baik buruk penggunaan leverage atau margin (hutang) yang dinilai semata-mata dari sudut untung rugi pelaburan

Penggunaan leverage atau margin dalam pelaburan memang biasa berlaku. Penggunaannya lebih ketara dalam pelaburan derivatif berbanding pelaburan saham tetapi turut diamalkan secara meluas dalam dunia saham menerusi kemudahan margin.

Sama ada penggunaan margin ini patuh syariah atau tidak bergantung kepada banyak perkara dan memandangkan saya bukan pakar dan saya sendiri tidak mengamalkannya, saya tidak akan menyentuh dari sudut agama.

Sebaliknya apa yang ingin ditekankan, terutamanya kepada pelabur baru, ialah penggunaan hutang boleh menggandakan untung atau menggandakan kerugian pelaburan, sehingga berpotensi melenyapkan sama sekali modal.

Sebab utama ramai pelabur berminat menggunakan margin untuk melabur ialah:
  1. Pelaburan besar boleh dibuat dengan modal yang lebih kecil.
  2. Keuntungan berganda diraih daripada jumlah modal yang sama
Berikut ialah contoh bagaimana seseorang boleh menggandakan untung dengan menggunakan hutang.

Katakan Ali mempunyai modal RM1,000. Beliau membuat keputusan untuk membeli 2,000 saham XYZ pada harga RM1.00. Beliau menggunakan modal sendiri sebanyak RM1,000 dan mendapatkan kemudahan margin RM1,000, yang dikenakan kadar 8%.

Andaikan dalam tempoh tiga bulan, harga XYZ meningkat kepada RM1.50, dan Ali membuat keputusan untuk menjual. Hasil yang diterima ialah 1.50 x 2,000 = RM3,000.

Daripada jumlah tersebut, untung yang diperolehi ialah:

3000 - (2000 + (1000 x 0.08/4)) =  RM980

Untung 98% dicatatkan dengan modal RM1,000.

Jika Ali langsung tidak menggunakan margin, beliau hanya dapat membeli 1,000 saham. Maka untung yang beliau perolehi ialah:

1,500 - 1000 = RM500

Untung 50% diperolehi berasaskan modal RM1,000.

Inilah sebabnya pelaburan berasaskan margin popular di kalangan pelabur. Dengan modal yang sama, untung telah berjaya digandakan. Konsep sama digunakan dalam pelaburan hartanah, cuma tempoh masanya sahaja lebih lama.

Bagaimanapun, cuba kita lihat apa yang terjadi jika harga XYZ merosot kepada RM0.50. Sekiranya Ali menggunakan margin, hasil yang diterima ialah RM0.50 x 2000 = RM1,000.

Daripada hasil tersebut, kerugian yang dialami ialah:

1,000 - (2000 + (1000 x 0.08/4) = RM1,020

Kerugian 102% telah dicatatkan berasaskan modal RM1,000. Ini menghapuskan modal awal Ali. Malah beliau perlu menambah RM20 untuk menampung kos pinjaman.

Jika tidak menggunakan hutang, Ali hanya mampu membeli 1,000 saham. Kerugian yang dialami ialah:

500 - 1,000 = RM500

Kerugian 50% dialami dengan modal RM1,000.

Di sini kita dapat lihat bagaimana pembelian dengan margin boleh menggandakan untung atau rugi dan pelabur yang menggunakan margin atau leverage perlu amat berhati-hati dalam operasi pelaburan mereka selain menguruskan modal dengan teliti.

Saya sendiri tidak menggunakan kemudahan margin dalam pelaburan saham.

15 Januari, 2014

Bila Untuk Menjual Saham?

Sejauh mana tempoh pegangan saham yang tuan ada? Adakah pegang dalam tempoh 4-5 tahun dan pada masa yang sama menerima pulangan dividen atau akan jual apabila kewangan syarikat merosot?

Saya menerima soalan di atas yang amat relevan kepada pembaca. Persoalan bila untuk jual adalah sukar dijawab kerana ia bergantung kepada jenis saham yang anda beli dan juga tujuan anda membelinya.

Secara peribadi, keputusan untuk menjual saya lakukan mengikut budi bicara sendiri, berasaskan kriteria ukuran nilai yang telah saya tetapkan dan juga tujuan saya membeli saham tersebut.

Pelabur fundamental berlainan mempunyai kaedah pegangan saham yang berbeza. Warren Buffett dan Philip Fisher memegang saham untuk tempoh yang sangat panjang. Benjamin Graham, John Neff, Walter Schloss pula menjual apabila harga telah mencapai atau lebih tinggi daripada nilai. Peter Lynch dan Ken Fisher pula berada di antara kedua-dua kategori ini. 

Bolehkah kita mengikut nasihat mereka? Pada pendapat saya
boleh tetapi hanya untuk saham berkualiti tertinggi sahaja

Kesemua mereka telah meraih untung lumayan daripada pelaburan saham. Pendek kata ada lebih daripada satu cara untuk melabur, memegang dan menjual saham secara fundamental, dan kejayaan boleh dicapai selagi anda membuat pemilihan saham yang tepat.

Bagi saya sendiri, apabila membeli saham saya akan menentukan mengapa saya beli saham tersebut. Ada kalanya saya beli disebabkan syarikat tersebut kukuh dan dijangka berkembang tahun demi tahun. Saham seperti ini saya akan pegang untuk jangka panjang dan menerima dividen daripadanya. Contoh saham ini ialah F&N.

Saya akan jual hanya apabila saya rasa harga sahamnya sudah terlalu (bukan sedikit) overvalued atau perniagaannya tidak akan berkembang lagi. Tetapi masalahnya ialah sukar unutk mencari syarikat seperti ini.

Majoriti pelaburan saya ialah dalam saham yang baik tetapi tidak cemerlang, yang harga sahamnya undervalued atas sebab tertentu. Bagi saham seperti ini, saya akan jual apabila saya rasa harganya telah kembali naik melebihi nilai sebenar syarikat, dan syarikat tidak dijangka meningkatkan keuntungan pada satu atau dua tahun akan datang.

Pendek kata ada saham saya jual dalam masa 3 bulan, ada yang pegang lebih 1 tahun dan ada yang pegang sehingga bertahun-tahun. Semuanya bergantung kepada keadaan. Saya tidak menetapkan satu target price, membandingkan harga dengan nilai berasaskan kriteria utama berikut:
  1. Keupayaan menambah untung dalam tempoh 1 - 5 tahun akan datang
  2. Nisbah P/E
  3. Pulangan Dividen
  4. Pulangan atas Ekuiti
Di samping itu, saya juga melihat pelbagai faktor kewangan lain selain daripada meninjau keadaan ekonomi negara dan global. Semua ini diterangkan dalam buku saya Panduan Bijak Melabur yang akan diterbitkan dalam edisi kedua tidak lama lagi.

Saya juga tidak menetapkan nilai spesifik, contohnya 'Jual apabila P/E sampai ke 15' dan sebagainya.  Sebaliknya, dalam hal ini, saya lebih suka membandingkanya dengan P/E purata saham dan juga potensi syarikat menaikkan untung. Sebagai contoh, jika P/E sudah tinggi tetapi syarikat dijangka meningkatkan untung dengan memuaskan, saya akan terus pegang. 

Tetapi jika P/E sudah tinggi berbanding purata P/E sepuluh tahun lepas dan keuntungan dijangka mendatar atau merosot, dan ROE semakin merosot, saya akan mempertimbangkan untuk jual.

Saya tidak menetapkan Target Price kerana situasi syarikat adalah dinamik. Jika prestasi syarikat lebih baik daripada yang dijangka, ini bermakna target price yang ditetapkan sebelum ini mungkin tidak lagi relevan. Sebab itulah saya lebih suka menggunakan ukuran nilai yang dinyatakan di atas serta potensi syarikat meningkatkan keuntungan pada masa depan.

Kesimpulan

Maaf kerana tidak dapat memberikan kriteria lebih spesifik, seperti yang dilakukan oleh para penganalisis teknikal, tetapi pada pendapat saya saham tidak berfungsi seperti itu. Budi bicara dan pelbagai faktor harus dipertimbangkan dalam keputusan menjual dan setiap saham mungkin berbeza.

Tetapi saya boleh merumuskan bahawa
  1. Bagi segelintir saham yang berkualiti tinggi, saya sanggup pegang lebih lama, (sehingga bertahun-tahun) walaupun saham tersebut sedikit overvalued.
  2. Bagi saham di bawah tahap tersebut, saya akan jual apabila saya berpendapat perniagaan telah merosot atau harga telah melebihi nilai, berasaskan ukuran nilai dan budi bicara sendiri.

07 Januari, 2014

Meninjau Prestasi Saham Yang Dinilai Pada 2013

P.I.E catat kenaikan tertinggi pada 2013 manakala Apollo juga kukuh

Pada tahun 2013, saya telah memulakan satu kategori baru, iaitu penyelidikan saham, yang turut mengandungi artikel tentang beberapa saham yang saya analisis secara ringkas. Berikut adalah keputusannya sehingga akhir tahun.

Asia File

Saya telah menulis tentang Asia File dalam posting bertajuk Asia File Kurang Diminati Tetapi Berpotensi pada 5 Februari 2013.

Harganya pada waktu itu ialah RM3.50. Harga pada akhir tahun RM4.37. Jumlah dividen yang diterima ialah 20.5 sen. Jumlah pulangan yang dicatatkan ialah 30.7%.

Nampaknya harga naik kerana peningkatan untung disebabkan ekonomi pasaran utamanya di Eropah semakin pulih. 

UMS Holdings

Saya menilai UMS Holdings dalam posting bertajuk UMS Holdings Mantap Tetapi Diabaikan pada 4 Mac 2013.

Harganya pada waktu itu ialah RM1.90. Harganya pada akhir tahun ialah RM2.39. Dividen yang diterima ialah 9 sen. Jumlah pulangan yang diperolehi ialah 30.5%

Kenaikan saham ini bukan sebab untung meningkat tetapi kerana pelabur lain sedar bahawa ia merupakan saham yang undervalued dan membeli, lantas menaikkan harganya.

Apollo

Saya menyentuh tentang Apollo dalam posting bertajuk Apollo Kukuh dari segi Prestasi dan Tunai pada 24 Mac 2013.

Harganya pada waktu itu ialah RM3.53. Harganya pada akhir tahun ialah RM4.70. Dividen yang diterima ialah 25 sen. Jumlah pulangan yang diterima ialah 40.2%.

Harga saham Apollo meningkat kerana pelabur melihat kekukuhan dividen, kedudukan tunai dan juga keuntungannya.

P.I.E Industrial

Saya menulis tentang P.I.E dalam posting bertajuk P.I.E Industrial Kukuh Tapi Harga Saham Berpatutan pada 6 Jun 2013. Berasaskan statistik blog, ini posting yang tidak begitu popular dari segi pageviews, mungkin sebab namanya tak glamor, tetapi menghasilkan pulangan paling besar.

Harganya pada waktu itu ialah RM4.46. Harganya pada akhir tahun ialah RM6.96. Jumlah pulangan yang diterima ialah 56.1%

Bursa Malaysia

Harga Saham P.I.E Industrial meningkat dengan ketara kerana memang undervalued dan juga syarikat telah berjaya menambah keuntungan.

CSC Steel

Saya menulis tentang CSC Steel dalam posting bertajuk CSC Steel Antara Syarikat Keluli Yang Kukuh pada 12 Ogos 2013.

Harganya pada waktu itu ialah RM1.30. Harganya pada akhir tahun ialah RM1.24. Jumlah pulangan ialah - 4.62%

Harga Saham CSC Steel turun sedikit dan masih mendatar kerana keuntungan yang kurang memberangsangkan pada suku terakhir, walaupun lembaran imbangannya kukuh.

Yoong Onn

Saya menilai saham Yoong Onn dalam posting bertajuk Syarikat Pengeluar Aksesori Bilik Tidur Kukuh pada 30 September 2013.

Harganya pada waktu itu ialah RM0.695. Harganya pada akhir tahun ialah RM0.96. Jumlah pulangan yang diterima ialah 38.1%.

Harga saham Yoong Onn meningkat kerana tahap keuntungan telah ditambah baik dan kerana saham mula mendapat perhatian pelabur lain.

Kesimpulan

Syukur Alhamdulillah kerana tahun 2013 adalah tahun yang baik bagi value investing. Bukan semua tahun seperti ini dan saya ramalkan tahun 2014 mungkin lebih sukar. Insyallah saya akan meninjau sekurang-kurangnya 5 saham (kalau boleh lebih) pada tahun 2014.

Nota Tambahan:
  1. Saham yang ditinjau belum lagi sampai satu tahun.
  2. Saya ada membeli semua saham ini kecuali Apollo.
  3. UMS telah saya lupuskan.
  4. Lazimnya jangka lebih panjang diperlukan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas kerana akan menghadapi tempoh turun naik ekonomi dan pasaran.

03 Januari, 2014

Prestasi Pasaran Saham Pada 2013

Kenaikan memberangsangkan dari segenap segi tetapi tiada jaminan keputusan boleh diulangi pada tahun 2014

Pasaran saham telah mencatatkan prestasi yang sungguh cemerlang pada tahun 2013, dengan kebanyakan indeks meningkat lebih dua angka.

Indeks utama BSKL, iaitu FBM KLCI, telah naik 10.54% (dari harga penutup 31 Dis 2012 ke 31 Dis 2013)  pada tahun 2013, seperti yang ditunjukkan daripada graf di bawah. 

Yahoo Finance

Sementara itu, indeks FBM Emas Syariah pula mencatatkan prestasi yang lebih memberangsangkan, apabila mencatatkan kenaikan 13.30%. Bagi pelabur yang melabur berasaskan syariah, inilah indeks yang patut menjadi penanda aras prestasi pelaburan anda.

Shareinvestor.com.my

Tetapi prestasi paling cemerlang ditunjukkan oleh FBM Small Cap, yang mencatatkan kenaikan cemerlang sebanyak 36.74%.  FBM Small Cap merangkumi hampir semua saham selain daripada 100 saham bermodal terbesar.

Shareinvestor.com.my

Ternyata tahun 2013 merupakan tahun cemerlang bagi mereka yang memegang saham bermodal kecil, memandangkan prestasinya pada tahun 2012 adalah kurang menarik.

Saya ada menulis tentang perbezaan ketara antara indeks komposit FBM KLCI dan juga FBM Small Cap pada hujung tahun 2012 dalam artikel bertajuk Jurang Besar Antara FBM KLCI dan FBM Small Cap pada 7 Nov 2012.

Jelas bahawa jurang prestasi tersebut telah dirapatkan tahun 2013 apabila FBM Small Cap mencatatkan kenaikan yang amat ketara.

Secara keseluruhannya untuk tempoh 2 tahun, iaitu pada 2012 dan 2013, hampir semua sektor pasaran telah mencatatkan kenaikan yang sangat memuaskan.

Persoalan sama ada kenaikan boleh diteruskan pada 2014 amat bergantung kepada sama ada syarikat-syarikat dapat menambah untung pada tahun ini, untuk menyokong tahap harga semasa yang agak tinggi.

Masalah sekarang ini ialah pasaran telah naik dengan ketara dalam tempoh lima tahun lepas dan berada pada P/E yang lebih tinggi daripada purata. Ini menunjukkan ia mungkin menghadapi masalah untuk naik lagi.

Tetapi ekonomi pula tidak nampak seperti akan mengalami sebarang kemelesetan ketara, dan dijangka berkembang pada kadar sederhana. Ini menjadikannya amat sukar untuk meramalkan hala tuju pasaran.

Saya berpendapat bahawa pada tahun 2014 seorang value investor perlu bekerja keras untuk mencari saham yang undervalued kerana tidak banyak peluang yang muncul pada paras harga yang tinggi ini.

Di samping itu, pelabur perlu berhati-hati dan memantau sebarang perkembangan negatif yang boleh menjejaskan keuntungan syarikat atau pasaran saham secara keseluruhannya.

Nota: Untuk bacaan lanjut tentang prestasi pasaran dan saham pada 2013, sila baca artikel berikut bertajuk FBM KLCI Beats Expectations di akhbar The Star Online.