28 Oktober, 2013

Bajet 2014 - Insentif dan Kesan Terhadap Individu

Sepintas lalu mengenai kesan dan insentif belanjawan terhadap individu

Bajet 2014  menunjukkan bahawa usaha menangani defisit telah bermula dan selepas menabur banyak gula-gula sejak dua tiga tahun lepas, Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengambil beberapa tindakan yang boleh dilihat sebagai kurang popular.

Seperti tahun lepas, saya akan menyenaraikan langkah untuk menambah hasil Kerajaan yang akan meningkatkan kos pengguna dan juga insentif yang diberikan kepada individu yang diumumkan dalam Bajet 2014.

Langkah Meningkatkan Hasil Kerajaan
  1. Pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen.
  2. Cukai Barangan dan Perkhidmatan 6% (GST) dilaksanakan mulai April 2015.
  3. Program subsidi akan disusun semula secara beransur-ansur.  

Langkah Menyekat Kenaikan Harga Hartanah
  1. Bagi hartanah yang dijual dalam tempoh tiga tahun, RPGT ialah 30%.
  2. Bagi hartanah yang dijual pada tahun ke-4 & ke-5, RPGT ialah 20% & 15%.
  3. Selepas tahun ke-6, tiada RPGT dikenakan bagi individu & 5% bagi syarikat.

Insentif Untuk Golongan Berpendapatan Rendah 
  1. BR1M kepada isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 akan ditambah daripada RM500 kepada RM650.
  2. BR1M sebanyak RM450 kepada isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000.
  3. Bagi individu bujang berusia 21 dan ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000, BR1M akan ditambah daripada RM250 kepada RM300.
  4. BR1M RM300 akan diberikan apabila GST dilaksanakan pada 2015.
  5. Insurans diberikan kepada penerima BR1M bernilai RM50 untuk perlindungan kematian dan kehilangan upaya kekal sehingga RM30,000.

Insentif Untuk Pelajar
  1. Baucar buku 1Malaysia bernilai RM250 setiap seorang untuk pelajar pengajian tinggi.
  2. Bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Insentif Cukai
  1. Kadar cukai pendapatan akan dikurangkan 1 hingga 3 peratus untuk semua kategori pembayar cukai.
  2. Pelepasan cukai RM2,000 diberikan untuk pembayar cukai dengan pendapatan bulanan sehingga RM8,000 pada 2013. 
  3. Kadar cukai individu maksimum dikurangkan daripada 26% kepada 25%.
  4. Mulai tahun taksiran 2014, kakitangan dengan pendapatan penggajian tidak perlu failkan pengiraan cukai jika berpendapat bayaran PCB adalah nilai akhir.

Insentif Penjawat Awam
  1. Penerima pencen akan mendapat bantuan kewangan khas RM250 untuk membantu mereka memenuhi kos sara hidup yang bertambah.
  2. Bagi penjawat awam, bonus setengah bulan dengan bayaran minimum RM500 akan dibayar pada awal Januari 2014.

Sejajar dengan usaha mengurangkan defisit, bajet kali ini menyaksikan defisit belanjawan dikurangkan daripada 4% pada bajet lepas kepada 3.5% kali ini, dengan komitmen untuk mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Namun begitu tahap hutang kerajaan nampaknya meningkat untuk Bajet 2014 kepada 54.8% daripada KDNK, dan sudah amat hampir had 55%. Kerajaan telah memberikan komitmen untuk tidak melepasi had ini. 

Mungkin GST yang bakal dilaksanakan pada 2015 boleh meningkatkan hasil dan mula mengurangkan kadar hutang. Paras 55% adalah tidak begitu bahaya, lebih-lebih lagi kerana sebahagian besar terdiri daripada hutang domestik, tetapi kesungguhan diperlukan untuk tidak menaikkan had ini.

Pada pendapat saya, pelaksanaan GST dan pengurangan subsidi adalah sesuatu yang perlu. Malah kemungkinan besar subsidi minyak akan dikurangkan lagi tahun depan.

Cuma Kerajaan perlu menunjukkan keikhlasan dengan berusaha sedaya-upaya mengurangkan pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan supaya rakyat boleh menerima pelaksanaan GST dan pengurangan subsidi dengan hati yang lebih terbuka.

Nota: Jika ada insentif atau item relevan yang tertinggal atau ada sebarang kesilapan, sila maklumkan saya.

20 Oktober, 2013

Antara Value dan Growth Investing

Meraih untung dan mencari nilai dengan cara berbeza

Ramai pelabur mungkin pernah mendengar tentang value investing (pelaburan berasaskan nilai) dan growth investing (pelaburan berasaskan pertumbuhan). Apakah perbezaan antara kedua-duanya?

Value investing ialah kaedah pelaburan di mana pelabur membeli sesuatu saham pada harga lebih rendah daripada apa yang dianggarkan sebagai nilai sebenar saham. 

Nilai mungkin diukur dari segi aset atau dari segi untung yang diraih. Tetapi persoalannya ialah bagaimana harga boleh jatuh lebih rendah daripada nilai?

Dalam keadaan tertentu mungkin saham sesuatu syarikat kurang mendapat perhatian, sama ada kerana pelabur umum terlepas pandang tentang potensinya, atau mungkin kerana prestasi lemah untuk satu atau dua tahun kewangan.

Kadang kala harga jatuh kerana pasaran secara keseluruhan jatuh. Selain itu, ada juga situasi di mana berlaku penjualan institusi terhadap saham menyebabkan harganya menyusut buat sementara waktu sehingga jualan tersebut selesai.

Seorang value investor mahu mengambil kesempatan daripada penurunan ini. Perbezaan antara harga dan nilai intrinsic atau nilai yang dianggarkan bagi saham tersebut dianggap sebagai margin of safety bagi pelabur.

Ini bermakna bagi seorang value investor, harga adalah amat penting dalam strateginya untuk mencapai keuntungan daripada saham tersebut.

Seorang growth investor pula tidak semestinya membayar harga yang lebih rendah daripada nilai semasa. Malah growth investor sanggup membayar harga fair value atau lebih sedikit daripada itu untuk sesuatu saham yang dianggap berkualiti hebat.

Saham ini ialah saham yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi daripada purata dan perkembangan masa depan tersebut dijangka menaikkan harga saham dan memberikan keuntungan kepada pelabur.

Perbezaan antara keduanya boleh diumpamakan seperti membeli rumah di Bukit Beruntung dan Bukit Damansara. 

Jika anda beli rumah di Bukit Beruntung, anda mahu memastikan harganya rendah. Anda mengharapkan bahawa pembeli lain akhirnya sedar bahawa kawasan ini tidak begitu jauh daripada Kuala Lumpur dan pembangunan mula dilaksanakan di sana, lantas menaikkan harganya.
Apabila anda beli rumah di Bukit Damansara, amat sukar untuk membeli pada harga yang berpatutan. 

Tetapi anda tetap membeli, walaupun mahal, dengan harapan bahawa kawasan tersebut terletak  hampir dengan Pusat Bandar dan pembangunan komersial pesat yang sedang dilaksanakan serta namanya yang berprestij akan terus menarik pelabur hartanah mewah, menyebabkan kenaikan harga dalam jangka panjang.

Value investor yang dianggap sebagai pelopor bidang ini ialah Benjamin Graham. Manakala pelabur tersohor yang mempopularkan growth investing ialah Philip Fisher. Kedua-duanya merupakan mentor kepada Warren Buffett. Buffett boleh dianggap sebagai value dan juga growth investor.

Kita juga tidak perlu memilih satu kategori sahaja.  Kita boleh beli ikut keadaan dan boleh memiliki saham value atau growth dalam portfolio kita.  Malah, lebih baik lagi jika kita dapat membeli saham growth pada harga yang memberikan kita value.

Menurut Ken Fisher, seorang lagi pelabur tersohor yang merupakan anak Philip Fisher, pada masa tertentu kaedah value memberikan pulangan lebih tinggi dan dalam keadaan lain growth pula lebih baik.

Tetapi dalam jangka  panjang, kajian akademik mendapati kedua-dua gaya pelaburan ini memberikan pulangan yang sama.

Nota: Untuk mempelajari tentang pelaburan saham berasaskan nilai dan kekuatan perniagaan, dapatkan buku saya bertajuk Panduan Bijak Melabur.

16 Oktober, 2013

Buffett: Anggap Saham Seperti Perniagaan Sendiri

Apabila anda memiliki perniagaan, ladang atau apartmen yang memberikan anda untung atau pulangan yang baik, adakah anda akan menjual belinya berasaskan berita semasa?

Jawapannya sudah tentu tidak. Pertama sekali, menjual perniagaan, ladang atau apartment tidak semudah menjual beli saham di pasaran saham.

Kedua, jika perniagaan atau pelaburan tersebut tersebut membawa untung kepada anda, sudah tentu anda akan memegangnya untuk meraih untung dan tidak menjual beli hanya kerana berlaku krisis di Eropah, atau Kongres Amerika berbalah tentang had hutang atau sebarang peristiwa lain yang mungkin menimbulkan kebimbangan pelabur.

Kita dengar apa kata Buffett mengenai perkara ini:



Menurutnya saham mewakili pemilikan dalam perniagaan. Hanya kerana ia boleh dijual beli dengan mudah di pasaran saham tidak semestinya anda perlu melakukannya.

Anggap saham yang dibeli sebagai perniagaan sendiri.  Jika syarikat tersebut hebat, maka ia harus dipegang untuk terus menikmati untung yang dicapai, selagi perniagaan tersebut terus kukuh.

Beliau telah mengamalkan pendekatan beli dan pegang sejak dari usia muda dan memegang banyak sahamnya untuk jangka masa yang amat panjang.

Adalah sukar bagi kita untuk menganggap saham yang kita pegang seperti perniagaan sendiri, kerana kita tidak mengawal perniagaan tersebut.

Saya sendiri pun tidak mampu mengikut kaedah "buy and hold forever" yang disyorkan oleh Buffett, tetapi nasihatnya untuk tidak menjual beli berasaskan berita semasa adalah amat tepat sekali.

Pelaburan saham adalah mudah bagi Buffett. Beliau membeli perniagaan hebat pada harga munasabah dan memegangnya untuk jangka panjang. 

Mungkin jika pelabur tersohor di dunia melakukannya, kita pun patut sekurang-kurangnya mempertimbangkan kaedah yang mudah tetapi sangat bijak ini.

08 Oktober, 2013

Holyfield dan Tyson: Kekayaan Yang Hilang

Segala yang dikumpul sepanjang kerjaya hampir lenyap kesemuanya

Evander Holyfield dan Mike Tyson terkenal bukan sahaja kerana masing-masing pernah menjadi juara tinju dunia, tetapi kerana dua pertarungan sengit antara mereka. Dalam perlawanan kedua pada tahun 1997, Tyson telah menggigit telinga Holyfield, menyebabkan pengadil mengisytiharkan Holyfield sebagai pemenang.



Masing-masing dianggarkan meraih US$30 juta daripada perlawanan tersebut dan jumlah hasil yang diterima daripada kedua-dua pertarungan mencecah US$60 juta.

Sepanjang kerjayanya yang begitu cemerlang, Holyfield pernah memenangi kejuaraan tinju dunia sebanyak lima kali dan Tyson juga pernah memegang semua gelaran tinju heavyweight dunia pada masa yang sama.

Apabila dikumpulkan wang kemenangan keseluruhan sepanjang kerjaya tinju, masing-masing telah berjaya meraih pendapatan sebanyak lebih daripada US$300 juta. Ini bukan jumlah yang kecil dan sepatutnya mereka boleh hidup mewah sepanjang hayat.

Malangnya kealpaan kewangan, sikap boros berbelanja, pelaburan kurang bijak, kegagalan membayar cukai, terlalu mempercayai rakan perniagaan yang tidak amanah dan kos tinggi yang ditanggung untuk perceraian dan menyara hidup anak-anak menyebabkan Tyson diisytiharkan muflis pada tahun 2003 manakala Holyfield pula memfailkan kemuflisan pada tahun 2008.

Segala harta yang dikumpulkan semasa masing-masing gagah di puncak dunia tinju dan menjadi bahan perbualan ramai sudah hampir lenyap. 

Walaupun begitu, Holyfield sedang berusaha membina kembali kehidupan dengan pelbagai program ceramah dan menjadi duta sebuah organisasi untuk membantu golongan miskin. Tyson juga masih mencuba memulihkan kewangan dan kehidupannya.

Masalah kewangan yang dihadapi kedua-dua jaguh ini sukar untuk difahami oleh orang biasa. Tetapi masalah ini bukan kes yang terpencil. Beberapa bintang besar lain dalam bidang sukan juga menghadapi masalah yang sama, seperti Paul Gascoigne. 

Di Malaysia juga ada segelintir orang yang mempunyai pendapatan tinggi tetapi menanggung beban hutang atau perbelanjaan yang besar, menyebabkan mereka lebih miskin daripada orang yang mempunyai pendapatan jauh lebih rendah daripada mereka.

Masalah Holyfield dan Tyson boleh dielakkan dengan mudah tetapi mungkin perasaan on top of the world menyebabkan mereka lupa diri. Inilah masalah sama yang dihadapi oleh orang berpendapatan tinggi yang menanggung kos yang tinggi.

Mereka rasa pendapatan mereka boleh diraih sampai bila-bila untuk menampung perbelanjaan. mereka terikat kepada pekerjaan mereka untuk terus mendapatkan pendapatan tinggi bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.

Pada pendapat saya langkah mudah berikut sepatutnya boleh membantu mereka mengelakkan masalah dihadapi:
  1. Simpan sebahagian duit yang diterima.
  2. Bayar cukai tepat pada masanya
  3. Jangan berhutang. Adalah sukar untuk percaya mengapa mereka perlu berhutang sedangkan pendapatan mereka begitu tinggi.
  4. Jangan tamak cuba mengejar peluang perniagaan dan pelaburan. Apa lagi peluang perniagaan lain yang mereka mahu? Pendapatan yang diterima boleh menampung bukan satu tetapi banyak keluarga sepanjang hayat.
  5. Perkahwinan bukan sesuatu yang patut dipandang ringan kerana perceraian menelan belanja besar, termasuk bagi orang biasa seperti kita.
  6. Jangan mudah melepaskan wang anda kepada orang lain. Ada banyak skim yang mahukan anda melabur. Lebih-lebih lagi jika orang tahu anda banyak wang. Biarlah terlepas satu dua peluang pelaburan sahih kerana anda terlampau berhati-hati. Wang boleh diraih daripada pekerjaan anda.
  7. Berhati-hati dengan penasihat dan nasihat yang diperolehi tentang kewangan. Nilai sendiri baik buruknya terlebih dahulu.

03 Oktober, 2013

Mini Workshop Strategi Asas Pelaburan Nilai

  
Modul workshop yang dianjurkan oleh syarikat Tuan Suzardi Maulan dan yang akan saya kendalikan sebagai trainer ini ialah untuk:
  1. Pelabur yang berminat berjual beli saham berdasarkan penilaian sesebuah syarikat.
  2. Pelabur baru (newbie) yang berminat untuk belajar asas pelaburan saham.
  3. Pelabur berpengalaman yang mahu mempelbagaikan strategi pelaburan.
 
6 Manfaat Peserta Mini Workshop
  1. Cara-cara mencari saham berkualiti supaya tuan dapat mengelakkan beli saham-saham yang sentiasa menyebabkan rugi.
  2. Mengenal pasti harga yang sesuai untuk membeli saham tersebut supaya tuan mendapat lebih untung.
  3. Bagaimana untuk menentukan bila untuk menjual saham-saham tersebut?
  4. Bagaimana tuan boleh mendapatkan maklumat-maklumat penting untuk pelaburan saham dengan mudah.
  5. Tuan melalui sesi hands-on training dengan menggunakan maklumat syarikat saham semasa.
  6. Hati mulai tenang kerana tuan dah mula tahu apa yang tuan buat dalam pelaburan saham.
Klik laman web di bawah untuk membuat pembayaran & pendaftaran:

=======
Klik sini -->> http://www.rancangwang.com/kursus-saham/
=======