30 September, 2013

Syarikat Pengeluar Aksesori Bilik Tidur Kukuh

Yoong Onn kelihatan undervalued dari segi keuntungan dan aset

Kebelakangan ini, sejak indeks berada hampir dengan paras tertinggi dalam sejarah, semakin sukar untuk mencari saham yang undervalued memandangkan harga kebanyakan saham telah naik.

Satu daripada syarikat yang masih kelihatan undervalued kerana kurang diberi perhatian ialah Yoong Onn (YOCB), pengeluar linen dan aksesori bilik tidur yang beribu pejabat dan mempunyai kilang di Nilai.

Syarikat ini ialah pengeluar 14 jenama untuk pelanggan sederhana hingga mewah, antaranya termasuk Novelle, Jean Perry, Diana, Genova dan Louis Casa. Syarikat juga mempunyai gedung runcit tersendiri yang dinamakan Home's Harmony dan Home's Warehouse.

Berikut ialah ringkasan prestasi syarikat sehingga tahun kewangan 2013:

Tahun
    EPS (sen)
  Div (sen)
2009
8.7
0.0
2010
9.7
5.3
2011
11.4
0.0
2012
10.8
3.5
2013
12.6
3.5
Sumber: Dynaquest

Pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2013, aset ketara bersih (NTA) sesaham syarikat bernilai RM0.87 sen. Secara perbandingan, harga Yoong Onn diperdagangkan antara harga RM0.62 - RM0.71 dalam tempoh tiga bulan lepas.

Berikut adalah carta saham Yoong Onn untuk tempoh setahun lepas:

Bursastation

Jumlah dividen yang dibayar pada tahun 2013 ialah 3.5 sen. Jika kita mengambil harga penutup hari ini pada 70 sen (dibulatkan).  Dividend yield ialah 5%, satu pulangan yang agak memuaskan.

Nisbah P/E  berasaskan EPS 2013 ialah 5.5, angka yang agak rendah, menghasilkan earnings yield (E/P) sebanyak lebih 17%.

Syarikat ini sedang mengukuhkan jenama dan berpotensi meneruskan perkembangannya di Malaysia selain meluaskan pasaran eksport. Walaupun jika prestasi kewangan syarikat mendatar, penilaiannya yang rendah memberikan margin of safety kepada pelabur.

Risiko bagi pelabur ialah keadaan makroekonomi dan pasaran semasa, kerana jika pasaran turun secara keseluruhan, saham ini juga mungkin turun, tetapi mungkin tidak sebesar penyusutan pasaran. 

Kejatuhan pasaran akan membuka peluang yang lebih menarik untuk membeli.

Nota: Ini hanya pandangan peribadi sahaja, bukan cadangan membeli saham. Pelabur diminta membuat penyelidikan sendiri. Untuk mempelajari cara membuat penilaian saham, dapatkan buku Panduan Bijak Melabur.

23 September, 2013

Membeli Saham dengan Margin of Safety

Margin yang menjadi penampan jika unjuran pelabur tidak begitu tepat

Konsep margin of safety atau margin keselamatan ialah satu konsep pelaburan yang diketengahkan oleh Benjamin Graham, pelopor pelaburan berasaskan nilai.  Graham ialah penulis buku Intelligent Investor dan Security Analysis dan guru dan mentor kepada pelabur paling terkenal di dunia, Warren Buffett.



Berasaskan konsep ini, seorang pelabur hendaklah membeli saham pada harga di bawah nilai asasnya atau intrinsic value berasaskan pengiraan sendiri. Margin of safety memberikan pelabur sedikit perlindungan daripada risiko kerugian.

Sebagai contoh, andaikan kita akan mengadakan satu majlis jamuan. Kita mengundang 100 orang dan meramalkan bahawa 80 orang akan hadir di majlis, adakah kita akan menyediakan makanan untuk 80 orang sahaja?

Sudah tentu tidak. Secara logiknya kita akan menyediakan makanan untuk 100 orang untuk memastikan makanan cukup jika semua orang hadir. Malah sesetengah orang pula akan menyediakan makanan untuk 110 orang. Manalah tahu kalau ada tetamu membawa kawan bersama.

Andaikan anda ingin membeli satu saham dan selepas membuat analisis, sama ada dari segi aset atau keuntungan, anda meramalkan bahawa nilai asas syarikat ialah antara RM1.00 hingga RM1.20. Anda boleh menunggu sehingga harga turun sehingga 80 sen sebelum membeli untuk memberikan margin of safety sebanyak 20 - 40 sen.

Sekiranya anda tersilap percaturan, dan keuntungan yang diramalkan lebih rendah daripada dijangka atau berlaku masalah kepada syarikat, pelaburan anda masih terlindung kerana anda telah meletakkan ruang untuk membuat kesilapan apabila membeli pada harga tersebut.

Persoalannya ialah apakah yang dianggap nilai asas syarikat? Graham lebih suka menilai syarikat berasaskan asetnya. Ini bermakna beliau membeli syarikat yang harganya berada lebih rendah daripada aset semasa bersih syarikat atau aset ketara bersih syarikat.

Sementara itu Buffett pula lebih suka menilai syarikat berasaskan prestasi untung masa lepas dan potensi untung pada masa depan, dengan pendapatan sesaham dan pulangan atas ekuiti sebagai ukuran kuantitatif penting dan kekuatan jenama, kuasa pasaran dan kewibawaan pengurusan sebagai ukuran kualiti.

Sekiranya kita mendapati sukar untuk mengira nilai asas syarikat berasaskan keuntungan, cuba dapatkan laporan penganalisis mengenai syarikat (jika ada) oleh firma broker dan membuat perbandingan. Nilai aset bersih syarikat pula boleh didapati dalam laporan tahunan atau suku tahunan syarikat.

Penggunaan konsep margin of safety tidak semestinya menjamin keuntungan, tetapi langkah ini akan mengurangkan kebarangkalian pelabur mengalami kerugian.

16 September, 2013

Strategi Beli dan Pegang Untuk Jangka Panjang

Strategi kukuh tetapi untuk saham berkualiti atau dana indeks sahaja

Strategi beli dan pegang atau buy and hold ialah strategi yang digunakan oleh ramai pelabur tersohor termasuk Warren Buffett, Ken Fisher, Philip Fisher, Peter Lynch dan John Bogle, walaupun masing-masing mempunyai teknik yang sedikit berbeza.

Biasanya pelaburan buy and hold dibuat untuk tempoh antara 3 - 5 tahun tetapi bagi Buffett atau Philip Fisher, kaedah mereka lebih mirip kepada teknik buy and hold forever, atau beli dan pegang untuk jangka masa yang sangat panjang.

John Bogle pula menggalakkan pelabur melabur dalam dana indeks pasif, yang mewakili seluruh pasaran, dan memegangnya untuk tempoh yang lama.

Tetapi strategi ini bukan untuk semua saham, kerana ada lebih banyak saham yang kurang berkualiti atau berkualiti sederhana di Bursa Malaysia.  Saham seperti ini tidak akan memberikan pulangan yang memuaskan dalam jangka panjang dan hanya akan mengikat modal pelaburan kita.

Berikut adalah antara ciri-ciri saham berkualiti yang boleh dipegang untuk jangka panjang:
  1. Syarikat yang sedang mengembangkan operasi dengan pasaran yang luas.
  2. Pengurusan syarikat yang sangat mantap
  3. Mempunyai nama atau jenama yang kukuh.
  4. Berpotensi meningkatkan jualan tahun demi tahun
  5. Menunjukkan trend peningkatan untung, walupun tidak semestinya untung naik setiap tahun
  6. Mampu meningkatkan aset ketara bersih (NTA) tahun demi tahun
  7. Syarikat dengan pertumbuhan sederhana tetapi harga sahamnya rendah
  8. Berada dalam industri yang sedang berkembang maju
Bukan semua faktor di atas mesti wujud, tetapi syarikat yang mempunyai kebanyakan ciri di atas yang boleh dibeli pada harga berpatutan biasanya boleh dipegang untuk jangka panjang.

Saya pernah memaparkan beberapa saham berkualiti dengan ciri di atas dalam buku saya Panduan Bijak Melabur yang diterbitkan pada 2009.  Berikut adalah prestasi saham tersebut sehingga kini.

F&N Holdings
 
DiGi

KPJ Healthcare
 
Saya tekankan sekali lagi bahawa hanya segelintir saham yang mencatatkan kenaikan harga seperti ini dan adalah lebih mudah untuk menunjukkan kenaikan saham selepas ia telah berlaku daripada memilih saham tersebut sebelum kenaikan.

Walau apa pun, cara terbaik untuk memilih saham seperti ini ialah membeli syarikat berkualiti dengan ciri-ciri yang disebutkan di atas pada harga yang berpatutan. Harga berpatutan bukan bermaksud harga yang rendah semata-mata, tetapi harga yang munasabah dengan nilai syarikat.

Nota: Saham yang dipaparkan ini tidak semestinya akan menunjukkan kenaikan sama pada masa depan, kerana ada yang mungkin sudah mencapai tahap matang atau harganya berada di paras yang agak tinggi.

09 September, 2013

Risiko Pasaran Dalam Tempoh Terdekat

Faktor risiko penting yang perlu dipertimbangkan oleh pelabur

Selepas hampir lima tahun mencatatkan kenaikan, pasaran saham kini mula menarik minat ramai orang, terutamanya pelabur yang baru menceburi dunia  saham. Fenomena ini memang biasa dilihat kerana apabila sesuatu aset naik, ramai yang mula menunjukkan minat terhadapnya.

Bursastation

Minat terhadap emas sehingga tahun 2012 ternyata didorong oleh kenaikan harga emas. Malangnya, ramai orang masuk pada peringkat akhir kenaikan, dan mungkin ramai juga yang tersangkut membeli pada harga tertinggi.

Pasaran saham juga tidak boleh naik secara terus-menerus. Akan wujud tempoh di mana penurunan berlaku. Dalam situasi semasa, pasaran saham menghadapi beberapa risiko daripada faktor luaran yang berpotensi menjejaskan prestasinya.

Tiada siapa yang tahu sama ada risiko ini akan menjejaskan nilai pasaran dengan ketara atau menyebabkan kesan yang kecil sahaja. Walau apa pun, kita perlu sedar tentang risiko ini memandangkan pasaran berada pada tahap yang tinggi sekarang.

Potensi pasaran terjejas akibat sesuatu peristiwa adalah lebih tinggi apabila penilaian pasaran berada di paras yang tinggi berbanding apabila berada pada kedudukan yang rendah.  Berikut adalah beberapa risiko yang dihadapi dalam tempoh 6 - 9 bulan akan datang.

1. Rizab Persekutuan AS menamatkan dasar pengembangan kuantitatif

Program pengembangan kuantitatif yang dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS sejak 5 tahun lepas telah mengekalkan kadar faedah di AS pada tahap rendah dan menyaksikan dana membanjiri negara-negara sedang membangun untuk mencari pulangan lebih tinggi.

Tetapi dasar tersebut akan dikurangkan secara beransur-ansur dan langkah ini mungkin menyaksikan dana kembali ke AS. Aliran keluar dana pula akan menjejaskan nilai mata wang negara. Perkembangan ini baik untuk pengeksport tetapi kurang baik bagi pengimport dan juga banyak syarikat lain. 

Selain itu pengerusi Fed, Ben Bernanke, juga akan bersara dan siapa penggantinya  akan mempengaruhi dasar Fed. Pemimpin baru Fed serta dasar yang diamalkannya merupakan faktor paling penting yang akan menentukan hala tuju pasaran.

2.  Konflik di Timur Tengah

Situasi di Timur Tengah masih tidak stabil, dengan titik hangat yang wujud di Syria dan Mesir.  Keadaan tidak kelihatan akan reda dalam tempoh terdekat. Malah situasi mungkin menjadi lebih buruk jika Amerika Syarikat campur tangan. Kesannya mungkin bersifat sementara dan tidak begitu besar berbanding tindakan yang diambil oleh Fed.

3.  Langkah penghematan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal Malaysia

Kita sedia maklum bahawa kedudukan fiskal Malaysia tidak begitu kukuh sehingga ada agensi penarafan memberi amaran akan menurunkan penarafan Malaysia jika langkah tidak diambil untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dengan segara.

Langkah penghematan fiskal lazimnya kurang baik bagi pasaran dalam jangka pendek kerana akan melibatkan tindakan mengekang perbelanjaan kerajaan. Walaupun begitu, jika dilakukan dengan betul, ia berpotensi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.

4.  Keadaan pasaran hartanah negara

Pasaran hartanah negara telah mencatatkan peningkatan yang ketara dalam tempoh 5 tahun lepas, sehingga harga hartanah mencapai tahap di luar kemampuan rakyat biasa.  Sekiranya Bank Negara mengekalkan kadar pada tahap rendah, risiko penurunan pasaran tidak begitu tinggi. Tetapi apabila kadar mula meningkat, maka harga hartanah mungkin terjejas.

Kemelesetan pasaran hartanah berpotensi menggugat sektor hartanah dan perbankan, dan seterusnya pasaran saham. Tetapi penurunan harga hartanah dilihat positif bagi golongan yang belum mempunyai kediaman sendiri.

5.  Kenaikan harga barang meningkatkan kos operasi

Penghematan fiskal turut membabitkan rasionalisasi subsidi.  Kerajaan sudah mula mengambil langkah mengurangkan subsidi sekarang dengan menaikkan harga minyak. Di samping itu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pula akan menambah kos barangan dan mengurangkan kuasa beli pengguna.

Lazimnya peningkatan kos perniagaan dan kemerosotan kuasa beli pengguna boleh menjejaskan keuntungan syarikat dan mempengaruhi harga saham dalam jangka pendek.  Tetapi dalam jangka panjang ia akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Kesimpulan

Risiko di atas tidak semestinya menjadi kenyataan, tetapi harus diambil kira dan dipertimbangkan oleh seorang pelabur yang bijak. Walaupun keadaan ekonomi AS, China dan Eropah beransur-ansur pulih, ini juga bermakna dana akan kembali ke sana, terutamanya ke AS, dan menjejaskan pasaran sedang membangun.

Tetapi perkembangan ini bukan negatif bagi semua syarikat, terutamanya syarikat yang menjual ke pasaran tersebut dan meraih hasil dalam USD. Setiap syarikat akan dipengaruhi dengan cara berbeza dengan perkembangan makro. Rahsianya ialah mencari syarikat yang mampu mengharungi risiko atau mengukuhkan operasi dalam situasi semasa.

Dalam keadaan semasa, pemilihan (dan juga penjualan) saham perlu dibuat dengan amat teliti.

02 September, 2013

Laporan Tahunan Sebagai Asas Penyelidikan

Penilaian Saham Bermula Dengan Membaca Laporan Tahunan Syarikat

"Jika anda hanya membaca laporan tahunan syarikat, anda sudah lebih maklum daripada 98 peratus daripada pelabur lain, manakala jika anda membaca nota kepada penyata kewangan, kaedah penilaian anda sudah lebih teliti daripada 99.5 peratus daripada pelabur lain," Jim Rogers.

Dalam kesibukan meneliti turun naik harga saham dan pergerakan carta, ramai pelabur terlupa bahawa saham itu mewakili pemilikan dalam sesebuah perniagaan. Prestasi perniagaan pula diukur, antara lain, berasaskan untung yang dicatatkan, aset yang dimiliki dan dividen yang dibayar.

Dokumen yang memberi gambaran paling menyeluruh tentang prestasi syarikat pada setiap tahun ialah Laporan Tahunan syarikat. Walaupun banyak maklumat lain perlu dikumpulkan, di sinilah bermulanya proses penilaian sesuatu saham.

Laporan tahunan kini boleh didapati dengan mudah. Semua laporan syarikat tersenarai boleh dimuat turun daripada laman web Bursa Malaysia. Pembaca boleh pergi ke bahagian senarai syarikat di Bursa Malaysia.

Pilih syarikat yang dikehendaki dan kemudian klik pada pautan Annual Report. Memandangkan sungguh mudah untuk mendapatkan laporan tahunan, tiada alasan untuk mengabaikannya.

Maklumat Penting Dalam Laporan Tahunan

> Ringkasan Prestasi Kewangan Lima Tahun Lepas.

Lazimnya diletakkan pada bahagian awal laporan tahunan, ringkasan prestasi lima tahun ini memberikan gambaran menyeluruh tentang keputusan syarikat untuk tempoh lima tahun. Kita lihat contoh laporan tahunan APM Automotive.

Laporan Tahunan APM Automotive  

Faktor penting yang boleh kita tinjau serta-merta termasuk:
  1. Trend peningkatan hasil (revenue)
  2. Pendapatan sesaham (earnings per share)
  3. Peningkatan nilai asset bersih sesaham (net tangible assets)
  4. Pulangan atas ekuiti (return on equity) bagi pemegang saham
  5. Dividen (bagi syarikat yang membayar dividen)

> Penyata Untung Rugi, Lembaran Imbangan, Penyata Aliran Tunai

Ketiga-tiganya dinamakan penyata kewangan syarikat. Penyata untung rugi memberikan kita gambaran tentang paras untung serta kos syarikat. Lembaran imbangan pula menunjukkan kedudukan aset / liabiliti syarikat, termasuk paras hutang dan kedudukan aset cair.

Manakala penyata aliran tunai juga tidak kurang penting, kerana menunjukkan berapa banyak tunai sebenar yang dapat dihasilkan daripada syarikat dalam operasnya. Disebabkan sistem perakaunan adalah berasaskan konsep akruan, paras untung tidak sama dengan tunai yang dihasilkan. Tunai perlu diambil sebagai faktor sokongan kepada untung.

Nota kepada Penyata Kewangan

Nota ini memberikan gambaran lebih jelas tentang item dalam penyata kewangan. Oleh kerana item tersebut adalah gabungan antara pelbagai item, nilai yang ditunjukkan dalam penyata kewangan boleh dilihat dengan lebih terperinci lagi.

Maklumat Yang Harus Dibaca Tetapi Perlu Dinilai Dengan Kritis

Penyata Pengerusi dan Tinjauan Operasi yang boleh didapati pada bahagian awal Laporan Tahunan adalah penting dan seharusnya dibaca kerana memberikan pandangan pihak pengurusan kanan tentang prestasi dan hala tuju syarikat.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa bahagian ini biasanya disediakan oleh jabatan perhubungan awam syarikat dan bukannya maklumat berkecuali. Mereka lazimnya akan memberikan gambaran yang lebih optimistik. Maklumat ini  harus diimbangi dengan pandangan penganalisis bebas dan berita lain tentang syarikat.

Banyak syarikat yang kukuh akan memberikan tinjauan dan pandangan yang seimbang, tetapi ada yang tidak.  Pelabur perlu berhati-hati apabila menilai maklumat ini.

Perbandingan

Apabila mempertimbangkan untuk membeli saham, maklumat dalam laporan tahunan juga perlu dibandingkan dengan syarikat pesaing dan atau syarikat yang mempunyai saiz lebih kurang sama sepertinya. Ini penting kerana kadangkala kita mungkin berpendapat sesuatu syarikat itu cukup baik tetapi mungkin pesaingnya lebih cemerlang dan boleh didapati pada harga yang lebih murah.

Analisis tidak harus berhenti dengan laporan tahunan sahaja, maklumat dari sumber lain juga perlu diperolehi, seperti laporan penganalisis mengenai syarikat, laporan akhbar, laporan suku tahunan, pengumuman kepada Bursa Malaysia dan juga laman web syarikat.

Kesimpulannya ialah laporan tahunan patut dijadikan sebagai dokumen asas yang digunakan untuk menilai sama ada sesuatu saham harus dibeli, dan harus dipantau setiap tahun untuk menentukan bahawa saham tersebut patut terus dipegang.