26 Februari, 2013

Di Mana Nilai Tersembunyi?

Di sebalik kenaikan indeks, banyak saham turun sejak 2 tahun lepas

Dalam fasa pertama ketidakpastian pasaran akibat pilihan raya akan datang, ada satu segmen yang saya lihat menawarkan nilai tersembunyi, iaitu segmen small cap atau saham bermodal kecil, yang diwakili oleh indeks FBM Small Cap.

Walaupun dinamakan small cap,  tidak semestinya saham tersebut bermodal kecil, ada juga yang bermodal sederhana. Ini kerana indeks small cap meliputi semua saham di luar FBM 100 (100 saham bermodal terbesar), tetapi tidak termasuk saham yang paling kecil yang diwakili oleh FBM Fledgling.

Jika kita lihat carta berikut yang memaparkan pergerakan FBM KLCI dalam tempoh 5 tahun lepas, kita akan dapati bahawa Indeks FBM Small Cap telah merosot dalam tempoh dua tahun lepas.

Bursastation
 
Dari paras tertinggi 13500 pada Januari 2011, indeks in telah jatuh kepada lebih kurang 11400 sejak seminggu lepas, yang bersamaan penurunan lebih 15%.
 
Tidak dinafikan bahawa ketidakpastian akibat pilihanraya mungkin berlarutan sehingga Mei atau Jun, dan jika pasaran jatuh lagi, dijangka lebih banyak  saham undervalued boleh ditemui di kalangan ekuiti dalam kumpulan ini.
 
Buat masa ini, saham besar dan terkenal diperdagangkan pada tahap P/E hampir mencecah 20 atau lebih. Dengan penyelidikan yang teliti, kita boleh menemui banyak juga saham small cap yang diperdagangkan di bawah P/E 10, tetapi memberikan dividen yield lebih daripada 4%.
 
Dalam tempoh beberapa minggu akan datang saya akan tinjau empat atau lima syarikat yang mungkin kurang diberi perhatian tetapi diperdagangkan pada harga yang berpatutan.

Kebanyakan firma penganalisis hanya memberi tumpuan kepada saham tertentu sahaja. Ada banyak saham yang tidak mendapat liputan daripada mana-mana pihak. 

Penganalisis dan pelabur institusi hanya akan mula memberi perhatian apabila syarikat mencatat prestasi yang baik tahun demi tahun. Apabila saham mula mendapat perhatian, maka rerating akan berlaku di mana saham diperdagangkan pada nisbah P/E yang lebih tinggi, menyebabkan kenaikan harga. Kenaikan ini adalah selain daripada peningkatan harga akibat kenaikan untung yang dicapai.

Mencari saham berkualiti yang kurang mendapat perhatian atau tertekan harganya dalam keadaan semasa ialah satu daripada cara untuk mencari keuntungan jangka panjang lumayan dalam pasaran saham.
 

19 Februari, 2013

Peluang Dalam Ketidakpastian Semasa

Ramai yang bimbang tetapi risikonya sementara sahaja

Pilihanraya umum yang akan datang ternyata menimbulkan ketidakpastian di kalangan pelabur. Tidak menghairankan jika pasaran Malaysia, yang merupakan antara yang terbaik tahun lepas, terjejas dengan kedatangan pilihan raya kali ini.

Ketidakpastian akan memuncak selepas pengumuman pilihanraya dan selepas keputusan diumumkan jika majoriti kemenangan sangat tipis atau jika berlaku perubahan kerajaan pusat.

Pada satu masa dulu sebelum pilihan raya, saham berkaitan politik akan naik. Ini kerana pada waktu itu keputusan pilihan raya tidak menimbulkan keraguan, cuma satu dua negeri sahaja yang  keputusannya tidak pasti. Persoalannya ialah berapakah margin kemenangan BN.

Tetapi kali ini, ketidakpastian begitu ketara. Rata-rata berasaskan tinjauan dan pertanyaan saya, tidak ramai yang berani meramalkan siapa yang menang.  Kebanyakannya kata 50-50.  Ketidakpastian ini menimbulkan kebimbangan, terutamanya di kalangan pelabur.

Ada dua cara untuk melihat ketidakpastian. Pertama sebagai satu risiko yang perlu dielakkan sehingga kepastian diperolehi. Namun begitu apabila keadaan stabil, pasaran sudah naik kembali. Kedua, sebagai peluang untuk mengambil kesempatan daripada kebimbangan pelabur lain.

Jika kita lihat, indeks utama Malaysia, FBM KLCI, telah naik dua kali ganda sejak krsis subprima Amerika pada tahun 2008.  Walaupun kenaikan akhir-akhir ini dipacu sebahagian besarnya oleh saham-saham besar sahaja, dan masih ada saham modal sederhana dan kecil yang berharga berpatutan, memang sukar untuk mencari bargain apabila indeks mencapai paras tertinggi dalam sejarah.

Bursastation

Dengan kejatuhan semasa, barulah ada peluang untuk membeli saham yang mencatatkan keuntungan menarik pada harga yang berpatutan. Barulah terbuka sedikit peluang untuk mencari bargain. Saya meramalkan pintu akan terbuka sedikit lebih luas pada dua tiga bulan akan datang.

Saya telah membahagikan bargain hunting kepada tiga fasa utama ketidakpastian. Pertama sekali ialah fasa kejatuhan awal, iaitu dalam keadaan semasa.  Kedua ialah apabila pengumuman pilihan raya dibuat dan sehinggalah kepada pilihan raya sendiri. Fasa ketiga ialah jika keputusan tertentu berlaku selepas pilihan raya.

Sudah tentulah dalam semua percaturan ini, kita tidak patut sama sekali mengenepikan faktor utama penilaian, iaitu kekuatan syarikat itu sendiri dan perbandingan antara nilai sebenar dan harga.

Pelabur perlu sedar bahawa walaupun menghadapi ketidakpastian, tidak kira siapa yang menang, kedua-dua pihak menyokong pelaburan dan perniagaan.  Ini bermakna mereka akan melakukan sedaya upaya untuk menarik pelabur dan menggalakkan perkembangan perniagaan.

Cuma cara ia dilaksanakan adalah berbeza dan pihak yang mendapat manfaat daripadanya sudah tentu berbeza. Risiko paling tinggi ialah saham yang ada kaitan politik tetapi ini tiada kena mengena jika anda value-hunter seperti saya kerana kita memang tidak menyentuh saham-saham ini.

Satu lagi perkara yang patut dipertimbangkan ialah jika dalam keadaan luar biasa di mana berlaku panik di pasaran buat seketika, mungkin ada peluang yang muncul hanya beberapa kali seumur hidup untuk membeli saham popular bermodal besar pada harga yang berpatutan.  Mungkin ada, mungkin tidak. Tetapi kita patut bersiap sedia mengambil kesempatan.

Jika anda tidak selesa dengan risiko, tunggu sehingga situasi kabur menjadi cerah.  Jika anda sanggup menanggung risiko, ambil kesempatan daripada keadaan semasa, tetapi hadkan risiko dengan membeli saham berkualiti terbaik pada harga paling menarik.

12 Februari, 2013

Dividen Tabung Haji: Kiraan Pulangan 10 Tahun

Tabung Haji Umum Dividen 6.5% + Bonus Khas 1.5% Pada 2013
Mengupas Bonus Tahun Ini dan Mengira Pulangan Jangka Panjang 

Nota: TH menggelar dividen yang dibayar sebagai bonus, tetapi untuk tujuan pengiraan dan menyenangkan perbandingan dengan instrumen pelaburan lain, kita akan menggelar agihan tahunan sebagai dividen dan bayaran khas sebagai bonus.

Untuk tahun 2012, Tabung Haji telah mengumumkan pengagihan yang menarik, iaitu dividen 6.5% dan bonus khas sebanyak 1.5%. Sebelum pendeposit mengandaikan bahawa kadarnya ialah 8%, perlu ditekankan bahawa bonus khas 1.5% adalah atas purata simpanan 84 bulan.

Ini bermakna lebih lama anda menyimpan lebih tinggi bonus anda. Kesimpulannya ialah dividen dibayar atas purata simpanan pada 2012, sedangkan bonus dibayar atas purata simpanan antara 2006 hingga 2012. 

Berikut adalah kaedah pengiraannya dari laman web TH:


Selain daripada tahun ini, penabung juga mungkin berminat tentang pulangan mereka dalam jangka panjang.  Berikut adalah rekod pembayaran TH untuk tempoh 10 tahun yang lepas. Dalam jadual juga dimasukkan contoh pengiraan jika anda menabung RM10,000 dalam TH sepanjang tempoh 10 tahun lepas dan tidak membuat sebarang tabungan tambahan.


Tahun
Nilai Awal (RM)
Pulangan (%)
Nilai Akhir (RM)
2003
10,000
4.00
10,400
2004
10,400
4.30
10,847
2005
10,847
4.50
11,335
2006
11,335
4.75
11,874
2007
11,874
5.00 + 2.00
12,705
2008
12,705
5.00
13,340
2009
13,340
5.00
14,007
2010
14,007
5.50
14,777
2011
14,777
6.00
15,664
2012
15,664
6.50 + 1.50*
16,883
* Bonus Khas dikira mengikut kaedah TH

Sebagai instrumen yang mempunyai risiko sangat rendah, malah lebih rendah daripada bon, pulangan yang diberikan adalah amat memuaskan dan pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat. Pulangan terkompaun untuk tempoh 10 tahun ialah kira-kira 5.38%.

Pulangan ini tidak boleh dibandingkan dengan ASB kerana ASB tidak termasuk zakat (lazimnya selepas mengambil kira zakat, ASB masih lebih tinggi). Di samping itu, nilai yang boleh disimpan dalam ASB adalah terhad.  Akhir sekali Tabung Haji memang disahkan patuh syariah dalam segenap segi dan bukannya berasaskan kepentingan umum.

Pada pandangan saya untuk masa depan, kita tidak boleh mengharapkan pulangan setinggi tahun ini kerana pasaran saham atau hartanah di mana dana dilaburkan tidak boleh terus naik sahaja. Justeru, pulangan munasabah jangka panjang yang boleh diunjurkan ialah 5 - 6%. 

Anggap sebarang pulangan melebihi 5% sebagai rezeki tambahan. Sementara itu, pulangan di bawah 5% menunjukkan prestasi yang kurang baik.

Saya menggunakan TH sebagai instrumen simpanan utama bagi keluarga saya. Ini kerana deposit sekarang boleh dilakukan dengan mudah, contohnya menerusi Maybank2U. Walaupun sedikit caj dikenakan, kosnya lebih rendah daripada masa dan kos yang diluang untuk pergi ke cawangan.

TH ialah instrumen tabungan yang sesuai bagi mereka yang tidak mahu memikirkan isu jumlah zakat yang patut dibayar dan juga kepatuhan pelaburan yang dibuat kepada prinsip syariah.

05 Februari, 2013

Asia File Kurang Diminati Tapi Berpotensi

Saham ini dulu mendapat perhatian tetapi terjejas akibat krisis Eropah
Namun begitu untung dan jualan mungkin mula berkembang kembali

Asia File ialah syarikat pengeluar fail nombor satu 1 Malaysia. Selain itu, syarikat juga mengeluarkan pelbagai produk seperti sampul surat, label, produk simpanan dan aksesori papan putih. Antara jenamanya termauk ABBA, COCONUT, SUCCESS GUNGYU dan PROFILE.

Walaupun ia pengeluar fail besar di Malaysia, hasil terutamanya dijana daripada eksport. Jualan eksport merangkumi lebih 80% daripada perolehan, dan inilah sebabnya saham ini kurang diminati sekarang, iaitu kerana kemelesetan di pasaran utamanya di Eropah.

Di bawah ialah pergerakan saham Asia file dalam tempoh lima tahun lepas:


Daripada Bursa Malaysia

Sementara itu, berikut adalah statistik prestasi 5 tahun syarikat sehingga tahun kewangan 2012 yang diambil daripada laporan tahunan Asia File.


 Faktor positif tentang Asia File:
  1. Masih mencatatkan keuntungan memuaskan walaupun Eropah mengalami kemelesetan teruk.
  2. Berpeluang membeli syarikat lemah di Eropah dalam keadaan semasa.
  3. Hampir tiada hutang jangka panjang.
  4. Keuntungan dijangka meningkat sedikit tahun ini.
  5. Pulangan dividen agak memuaskan (0.21/3.55) kira-kira 6.%
  6. Nisbah P/E semasa dan P/E hadapan lebih kurang 8.3 yang agak rendah.
  7. Rangkaian pengedaran yang luas.
Pengiraan adalah berasaskan harga penutup 4 Februari 2012, iaitu RM3.50.

Faktor risiko:
  1. Kelemahan berterusan ekonomi Eropah mengekang pertumbuhan
  2. Ada penganalisis yang mempunyai cadangan 'jual' terhadap syarikat.
Kita dapat lihat di sini bahawa punca kejatuhan harga saham Asia File sejak dua tahn lepas bukan kerana syarikat mengalami kerugian, tetapi kerana keuntungan yang berkurangan selepas mencapai tahap kemuncak pada 2009.

Pada tahun semasa, syarikat dijangka mencatatkan prestasi yang sedikit lebih baik berbanding tahun lepas. Payoff bagi pelabur ialah jika pasaran utamanya Eropah beransur pulih mulai tahun kewangan 2014, membolehkan syarikat meningkatkan untung.

Jika tidak pun, sekiranya untung masih mendatar untuk satu dua tahun lagi, kadar dividen yang dibayar adalah agak memuaskan, dengan yield agak tinggi secara perbandingan pada harga semasa.

Seperti biasa, pelabur digalakkan melakukan analisis dan penilaian sendiri sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Nota Pendedahan:  Saya memiliki saham ini. Tahun kewangan berakhir syarikat ialah pada 31 Mac.