26 Disember, 2012

Bagaimana Dengan Emas Sekarang?

Emas kini tidak begitu menyinar walaupun masih mendapat perhatian

Tahun lepas, semasa harga emas naik melambung sehingga hampir USD1,900, logam tersebut menjadi perbualan ramai.  Saya melihat keadaan ini sama seperti bagaimana saham menjadi pelaburan hangat pada pertengahan tahun 1990an.

Walaupun sekarang  apabila disebut sahaja emas, topik perbualan ialah scam syarikat emas yang diserbu Bank Negara Malaysia, yang hendak dibincangkan di sini ialah pelaburan emas sahih, sama ada menerusi emas fizikal atau akaun pelaburan emas.

Berasaskan carta pergerakan harga di bawah, harga emas telah mendatar, malah turun sedikit dalam tempoh 18 bulan lepas.

Dipetik daripada World Gold Council

Sebenarnya demam emas mula dirasai pada awal tahun lepas dengan pelbagai produk, buku, e-book dan sebagainya yang berkaitan dengan emas yang kian berleluasa. Banyak pihak yang mengambil kesempatan daripada trend ini.

Mungkin emas akan naik lagi, atau mungkin tidak. Bagi saya ini tidak penting kerana pada asasnya emas ialah aset yang tidak produktif dan tidak menjana nilai kepada ekonomi.  Jika anda membeli emas, tiada nilai tambah dicipta apabila anda menjualnya pada harga yang  lebih tinggi.

Hakikatnya anda menjual benda yang sama, tanpa penambahbaikan atau perubahan, dan mendapat untung daripadanya.  Bagi mereka yang mengikuti blog ini memang sudah tahu saya kurang minat dengan emas, tak kiralah sama ada boleh buat duit atau tidak.  (Boleh baca posting Meninjau Peruntukan Aset Anda dan Emas Akan Terus Naik Lagi? 

Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah emas tidak membayar dividen, tetapi dikenakan zakat 2.5%, maka jika harga mendatar atau menurun, zakat tetap perlu dibayar.

Walau apa pun, bagi ramai pelabur yang mula berjinak-jinak dengan pelaburan emas sejak 2010, mereka mungkin tidak mendapat keuntungan besar atau mungkin rugi.  Sebaliknya golongan yang mendapat keuntungan paling besar ialah pelabur yang telah membeli emas sejak tahun 2000.  Merekalah yang mendapat untung berlipat kali ganda.

Membeli apabila ia sudah menjadi hangat dan semua orang terlibat dalamnya adalah resipi untuk gagal. Ini benar dalam segenap jenis pelaburan, sama ada emas, saham atau pun hartanah. 

Prinsip yang patut diikuti oleh value-hunters ialah membeli sesuatu aset yang kurang mendapat perhatian tetapi amat berpotensi, pegang sehingga mula mendapat perhatian, dan jual apabila ia menjadi topik perbincangan hangat.

18 Disember, 2012

Mega First Kukuh Tetapi Kurang Mendapat Perhatian

Manfaatkan pulangan dividen sambil menunggu nilai sebenar direalisasi

Saya pernah menulis tentang Mega First Corporation Berhad (MFCB) pada posting lebih setahun lepas (klik sini untuk membaca).  Sehingga kini sahamnya masih di tahap sama, iaitu lebih kurang RM1.60 - 1.70.

Dipetik daripada Bursastation

Syarikat ini ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam tiga bidang utama, iaitu loji jana kuasa, kuari dan pembangunan hartanah. Sebahagian besar daripada hasil dan keuntungannya diperolehi daripada operasi penjanaan kuasa.

Pada tahun ini, syarikat dijangka mencatatkan keuntungan lebih rendah daripada tahun lepas.  EPS MFCB untuk tiga suku pertama tahun ini ialah 20 sen. Ini bermakna untuk seluruh tahun, syarikat dijangka mencatatkan untung lebih rendah berbanding 33 sen tahun lepas.

Mungkin inilah sebabnya saham syarikat tidak berganjak atau turun sedikit.  Tetapi perlu diingat bahawa tahun 2012 adalah tahun yang sukar bagi banyak syarikat, justeru prestasi tersebut boleh dikatakan agak baik. Berikut adalah petikan keputusan 5 tahun syarikat sehingga 2011:

Laporan Tahunan 2011 MFCB

Jika kita membuat unjuran konservatif EPS 26 sen untuk tahun ini, Mega First mempunyai P/E lebih kurang 6 hingga 6.5.  Angka ini amat rendah bagi sebuah syarikat yang mantap seperti ini. MFCB membayar dividen kasar sebanyak 9 sen sesaham tahun lepas, menghasilkan pulangan dividen atau dividen yield lebih 5%.

Faktor kelebihan MFCB:
  1. Pulangan dividen berpatutan
  2. Kedudukan tunai yang mantap
  3. Hutang jangka panjang yang rendah
  4. Pendapatan yang stabil
  5. Aset bersih kian meningkat tahun demi tahun
  6. Harga RM1.60 berbanding aset RM2.60.
Cuma risikonya ialah kita tidak tahu mengapa komuniti pelaburan profesional tidak berminat dengan saham ini dan mengapa amat sedikit firma penyelidikan yang mengikuti perkembangan syarikat.  Berasaskan prestasi jangka panjang, memang syarikat ini kelihatan kukuh.

Tetapi berasaskan pergerakan harganya sebelum ini, mungkin pelabur yang membeli perlu menunggu masa yang agak lama sebelum nilai sebenar syarikat ini direalisasikan.  Satu caranya ialah jika pemegang saham utama menswastakan (privatize) dan mengeluarkannya dari senarai dengan membuat tawaran umum atau jika ada syarikat lain yang membuat tawaran mengambilalih.

Walau apa pun, sambil menunggu, pelabur boleh menikmati pulangan dividen menarik yang diberikan oleh syarikat.

12 Disember, 2012

Skim Persaraan CIMB Islamic PRS Plus

PIlihan tabungan persaraan swasta yang patuh syariah

Seperti yang diterangkan minggu lepas, PRS ialah Skim Persaraan Swasta yang membolehkan peniaga sendiri untuk menabung untuk persaraan mereka selain membolehkan penabung KWSP yang sedia ada untuk menambah simpanan persaraan.



Salah satu daripada syarikat yang menawarkan skim ini ialah CIMB Principal Asset Management. Versi patuh syariah yang disediakan ialah CIMB Islamic PRS Plus.

Ahli boleh membuka akaun serendah RM100 dan membuat caruman RM50 secara berkala selepas itu. Caruman adalah tidak wajib dan tiada denda atau tindakan dikenakan jika ahli tidak mencarum.

Wang yang dicarum oleh pelabur akan dilaburkan dalam lima dana.  Pelabur boleh membuat keputusan untuk memilih sendiri dana, atau membiarkan CIMB Principal untuk memperuntukkan dana berasaskan usia mereka.

Lima Dana yang disediakan termasuk CIMB Principal PRS Plus Conservative, CIMB Islamic PRS Plus Moderate, CIMB Islamic PRS Plus Growth, CiMB Islamic PRS Plus Equity dan CIMB Islamic PRS Plus Asia Pacific Ex Japan.

Jika pelabur mahu CIMB menentukan peruntukan pelaburan, dana yang dilaburkan akan diperuntukkan berasaskan usia mereka.
  • Bawah 40 tahun - CIMB Islamic PRS Plus Growth dengan pendedahan ekuiti maksimum 70%
  • 40 - 49 tahun - CIMB Islamic PRS Plus Moderate dengan pendedahan ekuiti maksimum 60%
  • 50 ke atas - CIMB Islamic Islamic PRS Plus Conservative dengan pendedahan ekuiti maksimum 20%

Jika pelabur membuat keputusan untuk melakukan pemilihan sendiri, mereka boleh memilih antara kelima-lima dana yang ditawarkan, termasuk memperuntukkan dana dalam dana berbeza berasaskan nisbah yang mereka tetapkan.

Dari segi yuran membeli dana, caj yang dikenakan ialah antara 0% hingga 3% bergantung kepada kriteria yang ditetapkan oleh CIMB Principal.  Maklumat lanjut boleh didapati daripada perunding PRS CIMB, CIMB Bank, CIMB Islamic atau CIMB Wealth Advisers.

Bagi mereka yang ingin berhubung terus dengan salah seorang perunding yang saya percayai, sila hubungi Encik Azwan Yusoff di No. Tel. 013-3455154 atau menerusi emel: azwan@millionairesisters.org.

Seperti yang dinyatakan dalam posting minggu lepas, wang tabungan akan dibahagikan antara Akaun 1 dan 2 pada nisbah 70 :30. Akaun 2 boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tertakluk kepada cukai 8% jika caruman tersebut belum sampai satu tahun.

Perlu diingat bahawa wang dalam Akaun 1 hanya boleh mula dikeluarkan pada usia 55 tahun, sama seperti skim KWSP.  Jika anda mungkin memerlukan wang sebelum itu, adalah lebih  baik anda melabur secara terus dalam unit amanah dan bukan menerusi skim seperti ini.

Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya anda sudah mempunyai tabungan KWSP dan menggunakan skim ini sebagai caruman tambahan, memang  sesuai untuk menggunakan pendekatan pelaburan ekuiti yang lebih agresif.  Ini kerana caruman dalam KWSP sudah sememangnya konservatif dan terjamin.

Tetapi itu pillihan peribadi dan kelebihan skim ini ialah pelabur boleh memilih dana mengikut kesanggupan mereka menanggung risiko, selain mendapat potongan cukai tambahan RM3,000 khas bagi caruman dalam skim persaraan swasta ini.

03 Disember, 2012

Tambah Tabungan Dengan Skim Persaraan Swasta

Skim alternatif bagi mencarum untuk persaraan menerusi dana amanah

Skim Persaraan Swsta atau Private Retirement Scheme (PRS) telah dilancarkan baru-baru ini sebagai skim alternatif dan sokongan kepada skim caruman KWSP.  Menerusi PRS, para pekerja dan usahawan di Malaysia mempunyai pilihan lebih luas menentukan bagaimana untuk menabung bagi persaraan mereka.

Skim ini dikendalikan oleh penyedia khidmat PRS, yang terdiri daripada syarikat pengurusan aset. Orang ramai boleh mencarum dalam dana pilihan mereka dan boleh meminta majikan mereka untuk mencarum bahagian majikan ke dalam dana yang sama (selagi mereka bersetuju).

Istimewanya skim ini ialah pelabur boleh memilih untuk menentukan sendiri dana yang dilaburkan, berasaskan pilihan dana yang diberikan oleh syarikat penyedia PRS, atau meminta syarikat PRS menentukan dana yang paling sesuai untuk mereka berasaskan peringkat umur mereka.

Bagi pemilik perniagaan sendiri yang sebelum ini tidak mencarum, mereka kini boleh melakukannya menerusi PRS.  Manakala bagi kakitangan yang sudah mencarum dalam KWSP, mereka boleh menggunakan skim ini sebagai simpanan tambahan bagi mengukuhkan lagi dana persaraan masing-masing.

Pada 31 Oktober, Hwang Investment Management Bhd telah menjadi syarikat pertama untuk menawarkan PRS dan ini disusuli oleh Manulife Asset Management Services Bhd, CIMB-Principal Asset Management Bhd dan Public Mutual Bhd.  Manakala empat lagi penyedia PRS ialah AmInvestment Management Sdn Bhd, American International Assurance Bhd (AIA), ING Funds Bhd dan RHB Investment Management Sdn Bhd.

Bagi yang menabung menerusi skim ini, mereka akan mendapat potongan cukai tambahan RM3,000, selain daripada potongan RM6,000 yang diberikan untuk caruman KWSP dan insurans hayat. 

Manakala bagi majikan pula, mereka akan mendapat potongan cukai bagi caruman yang dibuat  untuk kakitangan sehingga 19 peratus daripada gaji kakitangan.

Caruman adalah bersifat sukarela dan tiada masalah jika tertinggal caruman. Malah, caruman juga dimasukkan ke dalam akaun satu dan akaun dua pada nisbah 70:30.  Pengeluaran boleh dibuat daripada akaun 2 tetapi tertakluk kepada cukai 8%.

Skim ini memberikan fleksibiliti kepada pelabur, dan potensi untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.  Namun begitu, berbeza daripada skim KWSP,di mana pulangan 2.5% dijamin kepada pencarum, pulangan skim ini adalah tidak terjamin.

Malah jika dana mengalami kerugian, terdapat kemungkinan jumlah dana yang diperolehi lebih rendah daripada jumlah yang dicarum oleh pelabur. 

Tetapi potensi kenaikan juga lebih besar dan pelabur berpeluang meraih pulangan yang lebih tinggi daripada yang diberikan oleh KWSP dalam jangka panjang, selagi beliau tidak begitu khuatir dengan turun naik nilai dana mereka dalam jangka pendek

Inilah antara faktor yang perlu diperitmbangkan oleh pencarum apabila membuat keputusan sama ada mahu mencarum dalam Skim Persaraan Swasta.  Dalam posting seterusnya, saya akan meninjau skim yang disediakan oleh CIMB.