26 Ogos, 2012

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya

Datuk Hussamuddin kata kerja keras dan pembejalaran kunci kejayaan

Baru-baru ini, (Sabtu, 25 Ogos), usahawan tersohor dan pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub telah ditemu ramah di akhbar The Star.  Karangkraf ialah sebuah syarikat penerbitan dan percetakan yang disegani di Malaysia, yang menerbitkan pelbagai majalah seperti Mingguan Kanak-Kanak, Bacaria, Media Hiburan dan juga akhbar Sinar Harian.


Saya pernah membaca kisah beliau di akhbar dan majalah lain, tetapi kali ini saya terbaca satu perkara amat penting yang saya dapati amat berguna untuk ditekankan dan dihebahkan kepada pembaca blog, terutamanya golongan muda yang ingin menjadi usahawan atau memulakan kerjaya.

Menurut usahawan terkenal ini, tidak ada jalan singkat untuk berjaya dan anda perlu melalui proses pembelajaran dan menimba pengalaman untuk sampai ke puncak. Tidak ada pengganti bagi proses ini.

Kata beliau lagi, kita telah menghabiskan masa satu generasi dalam usaha untuk mempercepatkan pembangunan ahli perniagaan Melayu tetapi tidak begitu berjaya.  Ini kerana kita sentiasa mahu mencari jalan mudah.

"Kita tidak boleh mengumpulkan sekumpulan bakal peniaga, menyuruh mereka mengikuti kursus dua atau tiga hari dan kemudian memberi mereka beberapa ribu ringgit untuk memulakan perniagaan kerana ini merupakan resipi kegagalan."

Pandangan beliau adalah seiring dengan penemuan yang dipaparkan dalam buku Outliers oleh Malcolm Gladwell dan Talent is Overrated oleh Geoffrey Colvin dan banyak kajian yang dijalankan terhadap bintang dan tokoh terkenal dalam pelbagai bidang.

Kesimpulan yang mereka buat ialah penguasaan dalam sesuatu bidang memerlukan latihan dan pembelajaraan selama sekurang-kurangnya 10 tahun.

Saya amat bersetuju sekali dengan pandangan beliau. Isu sekarang ini ialah kita dapat melihat pelbagai kursus, seminar dan buku yang mendakwa bahawa anda boleh menguasai sesuatu bidang atau mula buat duit dengan pantas dengan hanya bekerja selama X jam dalam sehari.

Fenomena ini bukan sahaja terhad kepada dunia perniagaan, tetapi juga dunia pelaburan, termasuk pelbagai jenis pelaburan seperti Forex, komoditi, saham dan emas.

Percambahan skim cepat kaya yang tetap dilanggan walaupun beribu-ribu orang sudah tertipu menunjukkan fenomena jalan pintas masih berleluasa di mana ramai orang percaya mereka boleh untung dengan cepat tanpa perlu bersusah-payah.

Ini tidak bermakna bahawa tiada seorang pun yang boleh mencapai kejayaan atau kekayaan besar dalam masa yang singkat, tetapi kejayaan ini adalah disebabkan sama ada oleh:

  1. Bakat yang amat luar biasa yang tiada pada hampir semua orang lain, 
  2. Nasib baik kerana  mengambil kesempatan daripada peluang keemasan yang timbul pada masa yang tepat 
  3. Menggunakan jalan yang tidak begitu lurus.
Hanya segelintir sahaja orang dapat mengambil kesempatan daripada pilihan satu dan dua manakala pilihan ketiga tidak harus dipertimbangkan langsung. 

Jika anda pergi ke kursus atau membaca buku untuk mula mempelajari atau menguasai sesuatu bidang, anggap tindakan tersebut sebagai satu langkah kecil sahaja dalam proses penguasaan yang mengambil masa bertahun-tahun, walaupun jika kursus mendakwa anda boleh melakukannya dalam masa 33 hari, 3 bulan dan sebagainya.

Bersabar, bekerja keras dan terus belajar dan sentiasa memperbaiki diri sendiri ialah jalan yang perlahan tetapi memberikan peluang paling tinggi untuk berjaya.

20 Ogos, 2012

Ekonomi Malaysia Berkembang Lebih 5%

Prestasi kukuh dicatatkan walaupun keadaan global tidak menentu

Nota: Terlebih dahulu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin jika ada salah dan silap tulis sepanjang tahun lepas.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah berkembang 5.4% pada Suku Kedua tahun ini, mengatasi pertumbuhan sebanyak 4.9% yang dicapai pada Suku Pertama.

Prestasi ini mengesahkan mengapa pasaran saham Malaysia tetapi kukuh walaupun keadaan di Eropah dan beberapa negara lain kurang memberangsangkan.

Berikut adalah prestasi suku tahunan ekonomi Malaysia sejak Suku 1 2010:

Dipetik daripada Laman Web RTT News

Pertumbuhan yang dicatatkan lebih tinggi daripada dijangka dan telah mendorong beberapa penganalisis untuk meningkatkan unjutan bagi seluruh tahun kepada 5%.

Apabila dilihat pecahan sektor pertumbuhan didapati bahawa permintaan domestik meningkat 13.8%, perbelanjaan penggunaan swasta meningkat 8.8% dan perbelanjaan kerajaan pula meningkat sebanyak 9.4 peratus.

Namun begitu, bagi sektor eksport, penghantaran eksport meningkat hanya 2.1% pada suku kedua, yang merupakan petanda keadaan ekonomi global yang kurang sihat.

Data ini menunjukkan bahawa walaupun negara ini adalah sebuah negara yang bergantung kepada eksport, ekonomi tempatan semakin memainkan peranan penting dalam pertumbuhan.  

Walau apa pun, perbelanjaan daripada program transformasi ekonomi serta tunai yang diberikan kepada rakyat dalam bentuk kenaikan gaji awam dan juga kepada golongan miskin juga telah mendorong perbelanjaan penggunaan.

Berasaskan ekonomi tempatan yang kukuh dan ekonomi luar yang kurang baik ini, kita akan tinjau pula prestasi beberapa syarikat pada minggu-minggu akan datang untuk melihat yang mana mendapat manfaat daripada kekuatan ekonomi tempatan dan yang mana terjejas akibat kemelesetan ekonomi luar.

08 Ogos, 2012

Bolehkah Labur Saham Secara Bulanan?

Berikutan posting lepas yang menerangkan tentang pelaburan bulanan dalam unit amanah, seorang pembaca mengemukakan soalan yang baik tentang pelaburan bulanan saham.  Berikut adalah soalan beliau.

Adakah kaedah yang sama boleh diguna pakai untuk pelaburan saham?

Dari segi teknikal memang boleh tetapi kaedah ini hanya kos efektif jika pelaburan dibuat dalam jumlah yang cukup besar untuk mencapai kos urus niaga minimum.

Sebagai contoh, kita andaikan kos transaksi ialah RM12 atau 0.42% bagi setiap urus niaga, berasaskan nilai yang lebih tinggi.  Ini merupakan kos urus niaga lazim menerusi Internet (kos lebih rendah RM8 ditawarkan oleh broker tertentu bagi urus niaga tunai).

Jika kita membuat pelaburan bulanan RM200, kita akan membayar sekurang-kurangnya RM12 (serta beberapa kos lain yang amat kecil).  Ini bermakna kita membayar kos 6% untuk urus niaga kita.

Sebaliknya jika kita melabur RM1,000 setiap bulan, dengan kos urus niaga RM12, peratus kos urus niaga kita turun kepada 1.2% sahaja.

Sementara itu, jika kita melabur RM2,900 setiap bulan, kos urus niaga kita ialah 0.42%.  Maka untuk mendapatkan kos paling minimum, kita perlu melabur sekurang-kurangnya RM2,900. (Nota: Nilai ini lebih rendah jika kos urus niaga minimum anda ialah RM8)

Pelaburan bulanan saham boleh dibuat, cuma lebih besar jumlahnya, lebih kecil kos yang anda tanggung.  Jika anda mahu melabur jumlah bulanan yang kecil, cara paling menjimatkan kos ialah untuk mengumpulkan wang terlebih dahulu, katakan selama enam bulan, dan melabur hanya dua kali setahun

Sekiranya anda membuat pelaburan saham secara bulanan atau berkala, satu lagi pertimbangan yang perlu dibuat ialah saham yang dibeli.  Harus diingat bahawa jika kaedah ini digunakan untuk unit amanah, dana yang sama boleh dibeli kerana dana tersebut sememangnya sudah mempunyai pelbagai saham (dana ekuiti) atau campuran saham dan sukuk (jika dana bercampur).

Maka kita sebagai pelabur juga perlu mempelbagaikan pelaburan.  Sebagai contoh, jika sudah dua tiga bulan membeli satu saham, mungkin pada bulan keempat kita ubah kepada saham lain pula.  Kita teruskan proses ini sehinggalah kita mempunyai bilangan saham yang terpelbagai dalam portfolio.

Mungkin untuk melindungi portfolio daripada terlalu terdedah kepada risiko saham khusus, pastikan tiada saham yang merangkumi lebih daripada 10% daripada portfolio anda.  Bagaimanapun, ini boleh diabaikan di peringkat awal apabila baru sahaja membina portfolio.

Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan jika menggunakan kaedah pelaburan bulanan ialah kita perlu memantau prestasi setiap saham yang kita beli.  Ini berbeza daripada pelaburan dengan unit amanah yang diuruskan oleh pengurus profesional, yang mana kita hanya perlu memantau prestasi unit amanah tersebut secara keseluruhan.

Kesimpulannya ialah pelaburan saham bulanan boleh dilakukan, cuma perlu disesuaikan supaya dapat mengurangkna kos dan memerlukan pemantauan dan penilaian yang lebih teliti daripada pelabur.

01 Ogos, 2012

Teruskan Program Pelaburan Bulanan Unit Amanah

Program pelaburan patut diteruskan sama ada pasaran naik atau turun

Sekiranya anda mempunyai program pelaburan bulanan di mana anda membeli dana ekuiti atau dana seimbang setiap bulan menerusi arahan tetap daripada akaun bank, anda patut meneruskan program tidak kira sama ada pasaran saham naik atau turun.

Program seperti ini, yang dinamakan program Dollar Cost Averaging atau Purata Kos Ringgit (lihat posting lain mengenai unit amanah atau rujuk buku saya untuk maklumat lanjut tentang kaedah ini) memang merupakan program yang dirangka supaya pelabur melabur pada harga purata, iaitu kadang-kala tinggi dan kadang-kala rendah.

Dalam jangka panjang, kenaikan harga beransur-ansur akan membolehkan pelabur mendapatkan nilai pelaburan yang tinggi di akhir tempoh pelaburan.

Terdapat risiko jika pelabur membuat keputusan untuk menghentikan atau mengeluarkan pelaburan buat sementara waktu.  Ini kerana jika kita melabur dalam dana ekuiti dan menjual dana kerana meramalkan saham akan jatuh dalam tempoh terdekat, tetapi saham sebaliknya terus naik, ini akan menjejaskan program pelaburan dengan ketara.



Sementara itu jika kita menghentikan pelaburan dalam tempoh kejatuhan pasaran, kita akan rugi kerana tidak membeli unit amanah sedangkan harga pada masa itu murah.

Maka cara paling selamat atau jalan tengah bagi pelabur ialah meneruskan program pelaburan untuk jangka panjang sehinggalah ke tarikh sasaran kita.

Satu lagi pilihan bagi pelabur ialah menukar (switch) dana ekuiti kepada dana yang kurang terdedah kepada ekuiti, jika meramalkan kejatuhan, seperti dana seimbang, dana sukuk atau dana pasaran wang.

Kaedah ini patut digunakan hanya jika anda yakin dengan unjuran anda, kerana jika anda tersilap, dan berlaku kenaikan selanjutnya pasaran saham, anda juga yang tidak dapat memanfaatkan pulangan tersebut, lantas mengganggu program pelaburan anda.

Program pelaburan bulanan ini harus dinilai semula hanya jika prestasi unit amanah anda sentiasa berada di belakang dana-dana lain dalam tempoh beberapa tahun, menunjukkan kelemahan prestasi pengurus dana.  Dalam keadaan ini, barulah anda patut mempertimbangkan untuk menukar kepada dana lain, tetapi bukan untuk keluar sepenuhnya daripada pelaburan.

Hanya dengan pelaburan konsisten, berdisiplin dan berterusan barulah kita dapat mencapai sasaran program pelaburan bulanan kita dengan selamat.