26 September, 2011

Dana Ekuiti Jatuh Seiring Pasaran

Hanya Kenanga Syariah Growth Masih Catatkan Pertumbuhan Positif

Dengan kejatuhan agak ketara pasaran saham, tidak menghairankan jika dana unit amanah ekuiti juga turut sama mengalami kejatuhan.

Bagi mereka yang mahu meninjau prestasi (bukan sahaja harga) dana dalam talian, anda boleh melayari laman web Morningstar Malaysia dan klik di bawah tab performance.

Berikut adalah petikan prestasi dana daripada laman web tersebut:


Saya dapati bahawa untuk tahun ini (YTD), hanya satu dana yang masih mencatatkan prestasi positif, iaitu Kenangan Syariah Growth.  Dana ini boleh dibeli secara online menerusi Fundsupermart.com

Saya pernah meninjau prestasi Kenangan Syariah Growth dalam artikel bertajuk Dana Yang Disyorkan Fundsupermart: Kenanga Syariah Growth dan Prudential Dana Al-Ilham Cemerlang.

Selain itu, antara dana yang mampu bertahan termasuk MAA CM Shariah Flex, CIMB Dali Equity Growth, Public Islamic Dividend, Public Islamic Select Enterprises dan PruDana Al Ilham.

Pada pendapat saya, jika anda ada wang untuk dilaburkan dan mahu mengambil kesempatan daripada pemulihan pasaran apabila ia berlaku kelak, dana yang memberikan pulangan tinggi untuk tempoh 5 tahun dan juga mampu bertahan dalam  kegawatan ini (satu tahun) merupakan kombinasi yang amat sesuai sebagai kriteria pemilihan.

22 September, 2011

Perkembangan Terkini Saham IPO

Semakin banyak IPO jatuh di bawah harga penyenaraian

Dua bulan lepas saya meninjau prestasi 30 IPO terbaru dan mendapati walaupun pada keadaan indeks yang tinggi, hampir separuh diperdagangkan di bawah harga penyenaraian.

Pada hari ini indeks FBKL jatuh 31 mata, dan kita lihat kedudukan saham IPO terbaru dalam keadaan di mana pasaran berada pada paras sederhana.

Dipetik daripada Bursastation

Kita dapat lihat bahawa hanya 10 IPO yang berada di atas harga penyenaraian, dan ada beberapa syarikat ini yang boleh dianggap sebagai sangat kukuh.

Sebaliknya, ada satu dua IPO yang jatuh teruk dan penyenaraiannya boleh dikatakan hampir bersifat scam kerana  pemilik asal seolah-olah menyenaraikan saham untuk raih untung  dan bukannya untuk mengumpulkan modal bagi syarikat.

Selain itu, anda perlu melihat keadaan dari pandangan penjual saham IPO ini. Jika anda memiliki syarikat dan mahu menjual atau menyenaraikannya, sudah tentu anda akan menjual sekurang-kurangnya pada fair value atau lebih.

Justeru pada pendapat saya saham IPO lazimnya bukan undervalued dan kenaikan saham yang berlaku pada peringkat awal hanya atas sebab permintaan dan bekalan saham syarikat, bukan kerana prestasinya.

Walaupun pasaran kelihatan malap, faktor positif bagi mereka yang bersabar dan tidak mengejar-ngejar saham baru ini apabila baru tersenarai ialah peluang untuk membeli saham IPO mantap pada harga berpatutan.

Daripada senarai 30 syarikat di atas, yang menarik perhatian saya ialah Bumi Armada, Benalec, Eversendai dan Petronas Chemicals yang sudah turun hampir ke harga penyenaraiannya.

Pada waktu inilah kita boleh mula berfikir (tetapi tidak semestinya bertindak) untuk mengambil kesempatan daripada harga yang semakin rendah.

Seperti yang saya nyatakan dalam posting lepas, mungkin ada baiknya kita tunggu dulu kerana 'bear market' baru masuk ke peringkat pertama.

Namun inilah masanya untuk mula mengumpulkan senarai beli kita untuk mendapatkan nilai terbaik apabila keadaan kembali reda.

18 September, 2011

Sedia Untuk Masuk? Mungkin Tunggu Dulu

Masih ada ketakpastian ketara, lebih selamat untuk tunggu & lihat

Pasaran saham telah jatuh sejak tiga bulan lepas dan mereka yang mempunyai wang untuk melabur mungkin sudah mula melihat nilai dalam beberapa syarikat.

Memang benar, beberapa syarikat yang mencatat untung memberangsangkan dalam tempoh setahun lepas nampak murah selepas kejatuhan pasaran tetapi rasanya kita perlu berhati-hati.


Dipetik daripada Bursastation

Pertama sekali, berasaskan data sejarah yang dipetik oleh beberapa buah buku mengenai saham, pasaran 'bear' atau menurun biasanya kekal sekurang-kurangnya 9 bulan dan mungkin lebih daripada itu dan kita baru memasuki bulan ketiga sahaja.

Kedua, mungkin ada baiknya kita tinjau keputusan suku ketiga tahun 2011 terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kesimpulan kerana daripada keputusan itulah kita akan dapat melihat prestasi syarikat dalam keadaan ekonomi yang lemah.

Ketiga, kita juga harus meninjau prestasi ekonomi AS, Eropah dan juga Malaysia untuk suku ketiga 2011 untuk menentukan hala tuju ekonomi dan pasaran.

Keempat, masalah utama yang dihadapi negara barat, iaitu masalah hutang Greece dan beberapa negara Eropah lain masih belum diselesaikan.

Persoalannya ialah kenapa terlalu khuatir dengan Greece sedangkan ia negara kecil dan tidak penting? Masalahnya ialah banyak bank kukuh memegang hutang Greece dan jika negara tersebut muflis, bank yang memegang bon kerajaan juga akan menghadapi masalah besar.

Walaupun kita jauh daripada semua masalah ini, tetapi kita tidak terlepas daripada tempiasnya kerana negara kita amat bergantung kepada eksport.

Pada pendapat saya, kelemahan ekonomi akan membuka satu lagi peluang untuk mencatatkan keuntungan lumayan, tetapi kita perlu bijak menentukan syarikat mana yang naik dengan pantas apabila ekonomi kembali pulih.

Perlu diingat bahawa syarikat yang dapat mengekalkan harga saham dalam keadaan gawat kemungkinan besar bukan syarikat yang 'naik' paling pantas apabila ekonomi dan sentimen kembali pulih.

14 September, 2011

Fokus kepada Kecemerlangan

Terlalu banyak tumpuan kepada 'buit duit' atau 'jana wang'

Sejak beberapa tahun lepas, seiring dengan perkembangan Internet, saya lihat pelbagai skim atau usaha yang menjanjikan anda boleh buat duit dengan pantas.

Malah dalam pelaburan saham juga, saya membaca tentang perisian yang menjanjikan anda boleh capai untung tanpa mengetahui sebarang analisis fundamental atau teknikal.

Kalaulah hidup ini begitu senang, tak payahlah orang bersusah payah bekerja dan menimba ilmu!

Malah saya sendiri pernah menghadiri beberapa seminar yang mendakwa anda boleh menghasilkan produk atau perkhidmatan atau menulis buku walaupun anda bukan pakar.

Tumpuan diberikan kepada pemasaran produk dan individu, yang dikatakan faktor paling penting untuk menarik dan mendapatkan pelanggan.

Saya amat setuju bahawa pemasaran adalah kaedah penting untuk mendapatkan pelanggan, tetapi kepakaran dan kecemerlangan diperlukan untuk mengekalkan mereka.

Menurut Tom Peters, yang pernah terkenal dalam satu masa dulu dengan buku 'In Search of Excellence', jika kita memberi tumpuan kepada kecemerlangan,  hasil dan untung akan menyusul.

Bagi saya dalam segala apa yang kita lakukan, nilai tambah perlu diwujudkan. Kita perlu bertanya adakah apa yang kita lakukan sebenarnya memberi nilai kepada masyarakat.

Jika tidak kita akan buat duit 'atas angin' atau tanpa menambah apa-apa nilai. Memang ada orang boleh jadi kaya dengan cara ini, tetapi kita perlu tanya apakah manfaat kita kepada masyarakat.

Dengan melakukan sesuatu yang bernilai dengan cemerlang, anda berpeluang untuk terus meningkat dalam kerjaya atau perniagaan.

Berusaha memberikan produk atau perkhidmatan cemerlang dan kemungkinan besar kejayaan akan menyusul, dari segi kewangan atau dalam bentuk lain.

Lazimnya tiada jalan singkat melainkan berusaha gigih membina kepakaran dan mencapai kecemerlangan, walaupun ia mungkin mengambil masa beberapa tahun.

09 September, 2011

Jangan Lupa Tuntut Bayaran Balik Premium

Dapatkan rebet bagi polisi yang dibatalkan, termasuk MRTA/MRTT

Apabila kita membatalkan polisi insurans atau takaful yang diambil secara tahunan seperti insurans kereta, kebakaran dan kesihatan, atau insurans/takaful pembiayaan perumahan seperti MRTA/MRTT, kita berhak untuk membuat tuntutan premium bagi tempoh yang belum luput.

Untuk takaful tahunan seperti takaful kereta, kemungkinan besar anda masih layak mendapat pulangan premium jika polisi sekurang-kurangnya ada tempoh dua bulan sebelum luput.

Sementara itu bagi insurans pinjaman perumahan seperti MRTA/MRTT, apabila anda membayar balik hutang pembiayaan, sama ada kerana menjual rumah/hartanah tersebut, membiayai semula atau mempunyai dana lebihan, anda berhak untuk menuntut kembali premium MRTA/MRTT yang telah dibayar pada permulaan pinjaman untuk tempoh pinjaman yang tinggal.

Tetapi perkara penting yang perlu diingat dalam kes MRTA/MRTT ialah anda mungkin tidak dimaklumkan oleh bank bahawa anda perlu membuat tuntutan.

Baru-baru ini saya menjual satu hartanah dan menyelesaikan pinjaman satu lagi.  Kedua-dua pinjaman diambil daripada bank yang sama tetapi cawangan berbeza.  Satu cawangan serta-merta meminta saya mengisi borang untuk membuat tuntutan.

Sebaliknya, cawangan yang satu lagi hanya berdiam diri dan saya sendiri yang meminta borang untuk membuat tuntutan daripada mereka selepas dua bulan.

Ini bermakna bahawa bagi sesetengah bank, mereka tidak akan memberitahu pelanggan dan sesiapa yang tidak tahu tentang ini mungkin kerugian beberapa ribu ringgit.

Malah, bagi anda yang sudah menjelaskan pinjaman perumahan dua atau tiga tahun lepas dan masih belum membatalkan polisi, anda masih boleh melakukannya dan mendapatkan kembali wang anda.

Kesimpulannya ialah bagi setiap insurans/takaful yang dibatalkan di mana masih ada sekurang-kurangnya dua bulan lagi sebelum tarikh tamat, tanya bank atau baca terma dan syarat polisi untuk melihat sama ada anda boleh mendapatkan kembali wang anda.

05 September, 2011

Perkembangan Ekonomi Diramalkan Lebih Rendah

Pertumbuhan hanya 4% pada S2 2011, tetapi tiada kemelesetan dijangka

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 4% untuk suku tahun kedua 2011.

Kadar tersebut adalah lebih rendah daripada 9.5% berbanding suku tahun yang sama pada 2010, dan juga lebih rendah daripada 4.9% yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

Angka 9.5% tahun lepas boleh diabaikan kerana merupakan kes luar biasa disebabkan kesan daripada pemulihan selepas gawat pada 2009, tetapi statistik yang lebih membimbangkan ialah penurunan berbanding suku pertama tahun ini.

Berikut adalah carta pertumbuhan ekonomi suku tahunan Malaysia:


Dipetik daripada rencana The Star

Walaupun kita dapat lihat bahawa graf sedang menurun, kemelesetan dijangka tidak berlaku.  Kemelesetan ekonomi ditakrifkan sebagai pertumbuhan ekonomi negatif buat dua suku tahun berturut-turut.

Faktor utama yang menyebabkan kelemahan ini ialah kedudukan ekonomi luar yang kurang baik, terutamanya kerana  masalah hutang kerajaan di Amerika dan Eropah.

Satu kesan, yang mungkin positif bagi orang ramai, ialah kelemahan ekonomi yang dialami ini mendorong Bank Negara untuk menangguhkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Ini bermakna kadar pinjaman/pembiayaan asas (BLR/BFR) juga tidak berubah, membolehkan semua orang yang mempunyai pinjaman berasaskan BLR dan BFR untuk menarik nafas lega.

Satu lagi masalah yang dihadapi ialah inflasi, tetapi ini dijangka akan dikekang buat sementara kerana kesan kelemahan ekonomi. 

Buat masa ini, walaupun Indeks Harga Pengguna (CPI) menunjukkan paras hanya antara 3 - 3.5%, pengguna merasai kesan kerana harga bahan makanan naik lebih daripada paras itu.

Bagi saham, sudah tentulah keadaan ekonomi akan menjejaskan untung, dan ini dipaparkan menerusi penurunan pasaran dalam tempoh sebulan dua ini.

Bagaimanapun, melainkan kejutan besar berlaku, kelemahan semasa dijangka hanya sederhana sahaja dan langsung tidak boleh dibandingkan dengan kegawatan pada 2008/2009.

Bagi mereka yang ingin 'bargain hunting' saham, rasanya sekarang ini pun sudah ada peluang, cuma keputusan yang perlu dibuat ialah menunggu sehingga situasi lebih jelas atau bersedia untuk masuk ke pasaran dengan serta-merta.