29 Ogos, 2011

Freight Management Catat Prestasi Cemerlang

Saham yang baik untuk dipegang apabila pemulihan berlaku

Freight Management Holdings Berhad ialah sebuah syarikat pengangkutan menyeluruh yang menawarkan khidmat fret dan pengangkutan menerusi laut udara dan darat. Perkhidmatan yang ditawarkan syarikat termasuk fret laut, udara, keretapi, kapal tunda, pengangkutan dan pembrokeran kastam.

Berikut ialah ringkasan prestasi syarikat sehingga tahun berakhir Jun 2010:







Kita dapat melihat bahawa syarikat telah berjaya meningkatkan hasil setiap tahun manakala keuntungan pula menunjukkan kenaikan konsisten yang mantap kecuali pada tahun 2008 apabila ekonomi gawat.

Tetapi faktor paling positif ialah syarikat baru-baru ini telah mengumumkan keputusan suku terakhir dan tahun penuh tidak teraudit yang cemerlang bagi 2011. Pendapatan sesaham atau EPS 16.20 sen dicatatkan untuk seluruh tahun 2011.

Pada tahap EPS tersebut dan juga harga penutup hari ini RM1.02, saham syarikat ini diperdagangkan pada P/E hanya 6.37.  Pulangan atas ekuiti yang diberikan ialah pada paras kira-kira 17%, angka yang boleh dikatakan agak tinggi.

Berikut adalah carta harga Freight Management:


Dipetik daripada Bursa Station

Walaupun syarikat mencatatkan prestasi yang baik, harganya semakin rendah sebulan dua ini kerana mungkin pelabur meramalkan syarikat akan mengalami kesan daripada ekonomi dan dagangan dunia semakin menyusut untuk tempoh yang mendatang.

Namun begitu, seperti yang ditunjukkan daripada keputusannya pada 2010, Freight Management mampu mengharungi sebarang kegawatan dengan baik.

Tidak dinafikan peningkatan untung untuk tahun kewangan depan agak sukar berasaskan keadaan ekonomi semasa, namun trend pertumbuhan syarikat ini dijangka berterusan untuk jangka masa lebih panjang.

Cuma persoalan bagi pelabur yang berminat dalam syarikat ini ialah beli pada harga semasa atau menunggu jika berlaku sebarang kejatuhan pasaran lanjut dan membelinya pada harga yang lebih murah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca.  Minta maaf zahir batin jika ada tersalah silap.  Semoga Allah menerima amalan kita pada bulan puasa lepas.

22 Ogos, 2011

Pandangan Marc Faber Mengenai Situasi Semasa

Pegangan tunai mungkin merugikan akibat inflasi

Marc Faber, seorang pelabur terkemuka berpangkalan di Hong Kong yang lebih dikenali sebagai Dr Doom kerana pandangannya yang malap, telah memberikan pendapat beliau tentang ekonomi dunia dan juga pelaburan yang sesuai untuk situasi semasa dalam ruangan Marketwatch di Yahoo Finance.


Menurut beliau keadaan semasa, terutamanya di AS, adalah lebih teruk daripada keadaan sebelum kegawatan besar pada 2008 kerana kedudukan defisit fiskal dan hutang di AS dan Eropah.

Pada pendapatnya, langkah paling bijak ialah untuk melindungi modal dari segi nilai nominal dan juga selepas mengambil kira inflasi.

Berikut adalah 5 cadangan utama yang dikemukakan:

1.  Elakkan Bon Perbendaharaan kerajaan AS. Menurutnya bon kerajaan AS ini pada hakikatnya berstatus 'junk' kerana mereka akan terus mencetak wang baru untuk mengangani defisit yang dihadapi.

2.  Simpanan tunai juga merugikan, terutamanya dalam Dollar AS.  Ini kerana inflasi akan menghakis nilai wang tersebut dan kita juga merasainya di Malaysia, walaupun mata wang kita lebih kukuh.

3.  Saham lebih baik sedikit daripada bon kerajaan dan juga tunai.  Tetapi beliau lebih meminati saham di Asia buat masa ini berbanding Eropah dan Amerika.

4.  Pasaran sedang membangun akan terus berkembang.  Belilau berpendapat Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong menawarkan potensi terbaik dalam jangka panjang.

5.  Beliau yakin bahawa walaupun harga emas sudah naik tinggi, sebarang penurunan hanya sementara dan emas akan naik lagi.  Menurutnya emas harus dipegang dalam bentuk fizikal (boleh dilakukan menerusi simpanan bank) dan bukannya dengan membeli saham syarikat emas.  Tidak mengapa jika emas tidak memberikan keuntungan besar, sebaliknya beliau lebih mementingkan perlindungan modal dalam keadaan semasa.

Malah beliau juga ada mencadangkan pegangan tanah sebagai satu lagi cara untuk melindungi portfolio.

Pendek kata, Marc Faber meramalkan bahawa inflasi akan  menghakis nilai wang dan cara terbaik untuk menghadapinya ialah dengan memegang aset fizikal dan bukan aset kewangan.

18 Ogos, 2011

Takaful Kesihatan: Dengan atau Tanpa Simpanan?

Bergantung kepada sama ada anda berdisiplin untuk menabung sendiri


Kita tinggalkan kemelut pasaran saham buat sementara waktu untuk membincangkan tentang Takaful Kesihatan, sesuatu yang amat perlu pada masa kini, terutamanya untuk menampung kos rawatan di hospital swasta.

Kita semua tahu bahawa kos perubatan dan pembedahan sekarang amat mahal.  Kos pembedahan di hospital swasta, walaupun untuk prosedur ringkas, kemungkinan besar mencecah RM10,000 walaupun untuk prosedur pembedahan ringkas.

Maka Takaful Kesihatan menjadi satu keperluan, terutamanya bagi mereka yang tidak dilindungi oleh majikan, atau jika perlindungan majikan mempunyai had yang rendah. 

Malah bagi saya, ada baiknya anda mendapatkan perlindungan kesihatan sendiri, walaupun dilindungi oleh program kesihatan majikan, kerana anda tetap terlindung jika anda bertukar kerja atau tidak bekerja buat sementara waktu. 

Tambahan lagi, jika anda mengalami sesuatu penyakit kritikal, anda mungkin tidak diterima lagi untuk perlindungan kesihatan jika anda belum mendapatkannya terlebih dahulu.

Cuma persoalannya ialah adakah anda mengambil polisi kesihatan sahaja atau mengambil polisi kesihatan bersama komponen simpanan, yang memberikan anda pulangan pada akhir tempoh perlindungan?

Ramai orang keliru tentang polisi seperti ini. Mereka menganggap bahawa jika mereka ambil polisi kesihatan sahaja, wang mereka akan hangus dan tiada pulangan diperolehi.

Sebenarnya jika mereka mengambil polisi kesihatan dengan komponen simpanan (yang sudah tentulah lebih mahal) premium yang diperuntukkan untuk komponen takaful kesihatan masih tetap hangus juga.  Hanya premium yang dibayar untuk simpanan sahaja yang akan digunakan untuk memberikan anda pulangan.

Pada peringkat awal dulu, ibu bapa saya pernah membelikan insurans kesihatan dengan komponen simpanan.  Tetapi apabila saya ingin menukar kepada takaful, barulah saya tahu betapa polisi ini memberikan pulangan sederhana sahaja.

Malah, jika anda menyerahkan polisi awal, anda sebenarnya akan rugi.  Ini bermakna anda mendapat pulangan sederhana jika disimpan sehingga matang, tetapi rugi jika menebus awal.

Wang anda kemungkinan besar boleh dimanfaatkan dengan lebih baik dengan pelbagai pilihan simpanan atau pelaburan patuh syariah yang wujud di pasaran sekarang.

Tetapi faktor paling penting tentang kaedah tabungan/pelaburan sendiri ialah jika anda memerlukan wang tersebut untuk digunakan terlebih dahulu untuk tempoh dua atau tiga bulan umpamanya, anda boleh mengeluarkan wang tersebut dan kemudian melaburkan atau menabungnya kembali. 

Anda hanya tidak mendapat sebarang pulangan untuk tempoh apabila pulangan tersebut dikeluarkan sahaja. Pilihan ini tidak wujud bagi komponen simpanan dalam takaful kesihatan. Jika anda menebus polisi, anda akan rugi.

Satu lagi perkara ialah premium yang dibayar untuk komponen simpanan pada peringkat awal juga akan dipotong yuran ejen insurans, justeru mengurangkan lagi pulangan anda.

Pada pendapat saya, kalau mahukan takaful kesihatan, ambil takaful kesihatan sahaja (dan juga rider hayat jika anda memerlukannya), tanpa sebarang komponen simpanan.

Kalau tak silap saya, hanya segelintir syarikat takaful yang menawarkan insurans kesihatan tanpa sebarang komponen simpanan. Syarikat lain mewajibkan takaful kesihatan diambil bersama komponen simpanan.

14 Ogos, 2011

Bagaimana Dengan Unit Amanah Dalam Keadaan Semasa?

Keputusan yang dibuat berasaskan teknik dan matlamat pelaburan

Dalam keadaan pasaran yang turun naik pada minggu lepas, ramai yang sibuk membicarakan tentang saham, sama ada untuk jual dan hadkan kerugian, pegang dan tunggu sehingga rebound atau terus beli lagi.

Namun begitu, mereka yang memegang unit amanah juga pasti mengalami kesan kemelut yang berlaku terutamanya mereka yang memegang unit amanah ekuiti. Mungkin ada yang gempar dan membuat keputusan menebus unit masing-masing.

Keputusan tentulah bergantung kepada anda sendiri, iaitu matlamat anda melabur, kesanggupan menanggung risiko, bila anda melabur dan teknik pelaburan yang anda gunakan.

Pada pendapat saya, jika anda menggunakan kaedah dollar cost averaging, iaitu anda membuat pembelian tetap setiap bulan, teruskan pelaburan anda untuk jangka panjang.

Ini kerana pada bulan-bulan akan datang, anda mungkin dapat membeli unit pada harga lebih rendah dan apabila pasaran kembali naik, anda boleh mendapat untung yang memuaskan secara keseluruhan.

Sebaliknya jika anda sudah membeli unit amanah beberapa tahun dulu (secara lump sum) dan telah meraih keuntungan besar daripadanya selepas kenaikan pasaran, anda boleh menjual dalam keadaan semasa dan mengambil sikap tunggu dan lihat dan  membeli kembali pada harga rendah (jika anda meramalkan pasaran akan jatuh lagi)

Cuma risikonya ialah jika anda mengandaikan pasaran jatuh, tetapi sebaliknya pasaran naik kembali atau tidak turun, anda mungkin kehilangan apa yang dinamakan opportunity cost kerana untung yang terlepas. Walau apa pun, langkah ini mempunyai profil risk-reward paling tinggi.

Sebaliknya mereka yang mahu terus memegang unit masing-masing pun tiada masalah kerana seperti yang kita lihat pada krisis 2008 dahulu, walaupun pasaran dan unit amanah jatuh, kebanyakan unit amanah kembali naik dalam masa setahun, malah ada yang jauh mengatasi nilai penurunan dan menjana keuntungan lumayan kepada pelabur.

Hanya ada satu sahaja langkah yang tidak disyorkan, iaitu jika anda membuat keputusan untuk terus memegang unit, tetapi pasaran jatuh lagi, dan kemudian anda panik dan menjual apabila pasaran mencapai paras terendah.

Ini amat merugikan kerana kemungkinan besar jika anda bersabar sedikit, pasaran akan naik kembali dan apabila pasaran naik, anda akan rugi dua kali. Pertamanya kerana anda jual pada harga yang rendah, dan kedua anda tidak dapat mengambil kesempatan daripada pemulihan atau rebound pasaran.

08 Ogos, 2011

Lautan Merah di BSKL

Kemelut hutang, penurunan taraf AS dan kelemahan ekonomi global

Pada Jumaat lepas, S&P telah menurunkan taraf hutang AS daripada AAA kepada AA+.  Saya sudah membayangkan kemungkinan ini kepada pembaca sejak sebulan lepas, dan juga ada membincangkan  tentang kemelut hutang AS.

Cuma kali ini, nampaknya pasaran tidak lagi mengabaikan segala masalah dan buat pertama kali dalam setahun, keadaan ekonomi dan situasi hutang kerajaan akhirnya mendapat perhatian serius oleh pasaran.

Masalahnya bagi Malaysia ialah tiada jalan untuk mengelak dan terpaksa menghadapi hakikat bahawa situasi di Amerika akan menjejaskan pasaran di sini.

Kedudukan pasaran Malaysia - FBM KLCI dan FBM Small Cap:


Dipetik daripada Bursa Station

Bagi kedua-dua indeks FBM KLCI dan FBM Small Cap, parasnya telah menembusi garis purata bergerak 200 hari, yang menunjukkan sentimen negatif. Malah indeks FBM Small Cap telah jatuh di bawah paras itu kira-kira 3 minggu lepas.

Jika anda sudah keluar sepenuhnya daripada pasaran,  maka anda bijak atau bernasib baik. Bagi golongan ini dan juga mereka yang memegang hanya 50% saham seperti yang saya syorkan sejak suku pertama tahun ini, pada pandangan saya, belum lagi masanya untuk membeli.

Tunggu dan lihat situasi yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang kerana masalah ini bukan sahaja melibatkan kemelut hutang AS dan Eropah, tetapi juga mungkin membabitkan ekonomi global.

Bagi mereka yang tersangkut dan masih ada dalam pasaran, jangan panik. Jika anda mahu jual, ada masanya  pasaran akan melantun kembali, walaupun dalam 'bear market' (pasaran menurun).  Selain itu, jika anda memiliki saham yang kukuh, anda mungkin boleh terus pegang sehingga keadaan pulih.

Tetapi jika anda memegang saham yang berkemungkinan besar terjejas akibat perkembangan ekonomi yang lebih perlahan, mungkin anda boleh pertimbangkan untuk jual.

Semua keputusan bergantung kepada pandangan anda tentang keupayaan syarikat yang anda miliki mengharungi situasi semasa.

04 Ogos, 2011

F&N Holdings Berhad Terus Mendaki

Prestasi yang kukuh dan konsisten selama lebih 10 tahun


Baru-baru ini ada seorang kawan saya di Facebook bertanyakan tentang F&N Holdings.  Sebenarnya bagi saya F&N Holdings mencetus kenangan manis kerana saya pernah melabur dan menggandakan wang dengan memegang F&N, tetapi turut menyesal kerana harganya telah meningkat sekali ganda lagi selepas itu.

Kita tinjau harga F&N dalam tempoh 10 tahun yang lepas:

Dipetik daripada Bursastation


Kita dapati daripada graf bahawa prestasi saham F&N sejak awal 2010 sunguh memberangsangkan, iaitu telah naik hampir sekali ganda.  Ini tidak menghairankan kerana prestasi cemerlang syarikat.  Berikut adalah keputusannya dalam tempoh 5 tahun lepas:



Laporan tahunan F&N

Pendapatan sesaham syarikat telah naik secara beransur-ansur dalam tempoh lima tahun lepas.  Namun begitu angka EPS 195 sen pada 2010 adalah termasuk penjualan bahagian kaca syarikat yang menghasilkan keuntungan luar biasa.

Selepas mengecualikan keuntungan luar biasa tersebut, pendapatan sesaham untuk 2010 ialah lebih kurang 87 sen, iaitu angka yang tetap memberangsangkan.  Syarikat juga memberikan pulangan dividen yang agak tinggi.

Sementara itu, EPS separuh pertama tahun berakhir September 2011 ialah 66.8 sen. Berasaskan andaian   konservatif bahawa Syarikat mencatatkan keuntungan 130 sen sesaham untuk tahun penuh, maka P/E pada harga penutup semalam RM19.20 ialah lebih kurang 15 kali.

Paras ini boleh dikatakan 'fairly valued' bagi saham ini. Tetapi jika syarikat terus meningkatkan keuntungan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, maka pelabur berpotensi untuk untung.

F&N mempunyai pengurusan yang sangat baik dan ini terbukti daripada prestasinya. Kemungkinan besar prestasi akan terus meningkat dalam jangka panjang kerana pada tahun lepas F&N telah selesai mengambil alih bahagian produk tenusu Nestle di Thailand.

Malah syarikat kini sedang meneroka segala peluang yang ada di rantau ini untuk menjadi peserta serantau yang kukuh, bukan sahaja di Malaysia dan Thailand.

Cuma ada satu perkara yang perlu dipertimbangkan, iaitu syarikat tidak lagi akan menjadi pengedar Coca-Cola pada September 2011. Walaupun perniagaan syarikat adalah terpelbagai, kita hanya dapat mengetahui kesannya pada suku pertama tahun kewangan 2012.

Walau apa pun, syarikat produk pengguna seperti F&N ialah saham yang jarang jatuh terlalu mendadak dalam suasana ekonomi mencabar, jadi ia lebih selamat daripada banyak saham lain.  Ini kerana terdapat tanda-tanda ekonomi global semakin lemah pada separuh kedua tahun ini.

Nota Terbaru: CIMB Research telah memberikan penarafan underperform bagi F&N kerana khuatir tentang kehilangan kontrak Coca-Cola. Menurut pengiraan mereka, F&N diperdagangkan pada P/E 21 - 23 untuk tahun 2011 hingga 2013.  Mereka menetapkan harga sasaran RM13.10.  Mungkin CIMB sudah dapat mengira berapakah kesan daripada kehilangan kontrak Coca-Cola.  

Sementara itu, pada suku ketiga 2011, syarikat mencatatkan EPS 21.7 sen, angka yang agak rendah berbanding dua suku sebelumnya, dan kemungkinan besar EPS pada seluruh tahun hanya mencecah 120 sen. Harga penutup pada hari nota tambahan ini ditulis ialah RM18.46 sen, iaitu selepas kejatuhan besar pasaran secara keseluruhannya.

Walau apa pun, bagi pelabur yang berminat dengan F&N, jika harga jatuh lagi, terutamanya dengan kemelut pasaran semasa dan juga kerana ketidakpastian tentang kehilangan kontrak Coca-Cola, mungkin boleh bersiap sedia untuk beli kerana pada pendapat saya pihak pengurusan pasti akan mencari jalan untuk menampung kehilangan kontrak pengedaran Coca-Cola.  Bagi mereka yang mahukan kepastian, tunggu keputusan suku pertama tahun 2012 sebelum membuat keputusan.