27 Jun, 2011

Soalan Unit Amanah: Beli Menerusi Ejen atau Online?

Saya menerima beberapa soalan mengenai unit amanah daripada seorang pembaca dan saya rasa sesuai untuk dikongsi jawapannya bersama pembaca

1. Apakah pendapat saudara tentang Unit Amanah Public Mutual?

Pada pendapat saya, Public Mutual serta beberapa syarikat lain adalah antara yang terbaik di Malaysia secara keseluruhannya.  Saya sendiri ada memiliki dana daripada Public Mutual.

Ini bukan bermakna syarikat lain kurang baik, malah ada beberapa syarikat yang mempunyai dana yang lebih cemerlang dalam jangka masa tertentu, tetapi secara keseluruhannya Public Mutual memang bagus.

2. Saya ingin menjadi agen unit amanah syariah Public Mutual. Di samping dapat meningkatkan pendapatan, saya juga dapat menambahkan ilmu berkaitan unit amanah.

Saya rasa tidak salah untuk menceburi bidang ini. Tetapi cuba tanya sama ada anda boleh mulakan secara sambilan terlebih dahulu, sambil mengekalkan kerjaya anda sekarang.

Dengan cara ini, jika anda rasa tak sesuai dalam tempoh masa tertentu, anda masih boleh kembali kepada tugas anda.

3. Kini terdapat unit amanah yang boleh dibeli online, termasuklah unit amanah syariah Public Mutual sendiri (saya membuat carian maklumat di internet). Adakah saya patut batalkan sahaja niat untuk menjadi agen unit amanah? Kerana orang mungkin lebih mudah berurusan secara online kerana lebih murah berbanding berurusan dengan agen.

Sebenarnya masih ramai orang memerlukan perkhidmatan ejen.  Ramai yang tak tahu hujung pangkal tentang unit amanah dan perancangan kewangan. Justeru perkhidmatan nilai tambah yang diberikan oleh ejen adalah amat berguna, dengan syarat ejen itu adalah seorang perancang kewangan yang mantap.

Anda mungkin terperanjat untuk mengetahui bahawa walaupun saya sendiri boleh membeli unit amanah secara online, saya tetap menggunakan perkhidmatan ejen sebab saya memerlukan maklumat tertentu daripada ejen.  Tetapi bagi jual beli saham memang saya berurus niaga online.

Pada pandangan saya, ada pasaran untuk kedua-dua perkhidmatan ejen dan juga pembelian online.

4. Saya ingin membeli unit amanah syariah Public Mutual. Apakah pendapat saudara: lebih baik secara online atau dengan agen?

Cuba tentukan apa yang anda perlukan.  Adakah anda perlukan perkhidmatan perancangan dan nasihat yang diberikan oleh ejen.  Jika anda sendiri sudah fasih dalam selok-belok pemilihan unit amanah dan tidak memerlukan maklumat khusus daripada mereka, sila beli online untuk menjimatkan kos.

Anggaplah kos jualan ejen yang lebih mahal sebagai kos perkhidmatan perancangan kewangan.  Jika anda tidak memerlukannya, sila beli menerusi Internet.

22 Jun, 2011

MFCB Sangat Undervalued?

Harga saham kelihatan rendah berbanding potensi keuntungan

Seorang pembaca meminta saya menganalisis Mega First Corporation Berhad. Syarikat ini ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam tiga bidang utama, iaitu loji jana kuasa, kuari dan pembangunan hartanah.  Sebahagian besar daripada hasil dan keuntungannya diperolehi daripada operasi penjanaan kuasa.

Sekali pandang keputusan yang dicatatkan oleh Mega First boleh dikatakan sangat mantap:

Dipetik dari Laman Web Megafirst

Harganya pada penutup hari ini ialah RM1.73. Berasaskan pendapatan sesaham 28.4 sen tahun lepas, saham syarikat diperdagangkan pada P/E lebih kurang 6 sahaja! Daripada ukuran ini sahaja, saham nampak sangat undervalued.

Berikut adalah carta harga saham syarikat:

Dipetik daripada Bursa Station

Harga saham telah naik hampur mencecah RM2.00 pada akhir tahun lepas tetapi telah kembali stabil pada purata sekitar RM1.70 - RM1.75.

Perkara yang menarik ialah prestasi suku pertama syarikat adalah amat memberangsangkan, dengan hasil yang lebih tinggi dan juga pendapatan sesaham sebanyak 9.56 sen sesaham.

Selain itu, sejak tempoh setahun lepas, syarikat telah membeli balik sahamnya secara agresif. Nampaknya pihak pengurusan kelihatan yakin dengan sahamnya sendiri.

Daripada pandangan kasar, syarikat ini nampak sangat undervalued, tetapi adakah terdapat sebab tersirat mengapa harganya tidak naik lebih tinggi?  

Setakat yang saya tahu, syarikat pernah ditegur Bursa Malaysia pada Oktober 2010 kerana gagal mendedahkan urus niaga tertentu, tetapi masalah itu lebih bersifat teknikal sahaja.

Sekiranya apa yang kita lihat benar, saham Mega First ternyata diperdagangkan pada nilai yang hebat. 

Nota: Diharap jika ada sesiapa yang tahu secara lebih mendalam tentang Mega First, harap dapat maklumkan.

16 Jun, 2011

Pelancaran Panduan Asas Saham



Panduan Asas Saham ialah e-book untuk pelabur yang baru bercadang untuk mula melabur dalam pasaran saham.

Matlamatnya  ini ialah untuk memberikan maklumat dari peringkat asas dan memimpin tangan pelabur, langkah demi langkah.
Berikut ialah senarai bab dalam ebook ini:
  1. Saham dan Modal Saham
  2. Instrumen Lain Berkaitan Saham
  3. Membuka Akaun Jual Beli Saham
  4. Mula Berdagang
  5. Selepas Jual Beli
  6. Analisis Ringkas Saham
  7. Perkembangan Penting Tentang Saham
  8. Membina dan Menguruskan Modal
  9. Membeli Saham IPO
  10. Sumber Berguna

E-book ini boleh dijadikan rujukan pertama bagi mereka yang inginkan maklumat lanjut tentang dunia pelaburan saham.

Selepas membaca, bakal pelabur boleh membuat keputusan untuk menentukan sama ada pelaburan saham sesuai untuk mereka.

Saham bukannya sesuatu pelaburan yang patut dipandang mudah walaupun jual beli saham kini sungguh senang dilakukan, terutamanya  menerusi Internet.

Setiap langkah, penilaian dan keputusan perlu dibuat dengan percaturan teliti.

Menerusi buku ini, saya ingin menerangkan kepada pelabur tentang perkara asas di sebalik jual beli saham.

Berasaskan trend semasa, banyak syarikat yang terlibat dalam bidang ini mengajak pelabur masuk ke pasaran tanpa memahami apa sebenarnya yang mereka beli dan lakukan.

Panduan Asas Saham memberikan anda maklumat asas yang perlu sebelum anda terjun ke kancah pelaburan.

Sekiranya diolah dalam buku biasa, jumlah muka surat adalah lebih kurang 100.

Bahasa yang digunakan adalah semudah yang mungkin, tetapi tetap menerangkan konsep yang lebih mencabar dan teknikal.

Bersama pembelian e-book ini saya sertakan juga kompilasi 100 rencana blog pilihan saya.

Harga: RM30
 

Nota: Hanya untuk peranti berasaskan Windows. Ebook ini adalah untuk pelabur baru. Bagi mereka yang mahu mempelajari teknik analisis lanjut, anda boleh mendapatkan buku Panduan Bijak Melabur.

13 Jun, 2011

Bersedia Untuk Perkara Luar Jangka

Baik dalam perniagaan mahupun semasa melaksanakan urus niaga atau projek besar pasti ada perkara tidak diduga yang perlu ditangani

Berasaskan pengalaman sendiri dan juga daripada biografi usahawan dan pelabur terkenal yang saya baca, satu persamaan yang saya temui ialah perkara luar jangka pasti tidak dapat dielakkan.

Sama ada anda melakukan urus niaga besar, seperti jual beli rumah atau mengambil alih atau menjual pernigaan, atau anda melaksanakan projek penting dalam urusan kerjaya atau bisnes anda, perkara yang di luar perancangan pasti muncul.

Satu cara untuk menghadapi situasi tersebut ialah menyenaraikan segala masalah yang mungkin timbul dan berusaha merancang untuknya satu persatu.

Tetapi cara yang lebih praktikal ialah memahami dari mula bahawa masalah akan berlaku dan menyelesaikan masalah secara kreatif apabila ia timbul.

Sebagai contoh, apabila melakukan urus niaga seperti jual beli hartanah umpamanya, pelbagai masalah mungkin timbul semasa berurusan dengan bank, peguam, pemaju dan juga pejabat tanah.

Begitu juga dengan projek, antara kerumitan yang mungkin timbul termasuk pembiayaan, sekatan yang tidak diduga, pembekal yang tidak menepati janji atau bayaran yang tidak dibuat tepat pada masanya.

Selain itu kalau kita merancang untuk melancarkan produk, mungkin produk terlewat atau terlengah kerana masalah teknikal yang sukar diselesaikan atau kakitangan yang berhenti secara tiba-tiba.

Perkara yang paling penting apabila menghadapi masalah sebegini ialah bukannya menghantuk kepala di dinding tetapi terima hakikat bahawa situasi sudah berlaku dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk terus melangkah ke hadapan.

Kadangkala penyelesaian memerlukan anda menukar jalan atau hala tuju sama sekali.  Walau apa pun, satu perkara paling penting yang perlu diingat ialah:

Peristiwa yang sudah berlaku ialah kos lepas atau sunk cost.  Jangan diambil kira apabila memikirkan penyelesaian terbaik untuk masa depan.

Jika kita sibuk memikirkan masa dan tenaga yang kita curahkan dalam sesuatu projek, kita mungkin tidak dapat mencari jalan terbaik, yang mungkin memerlukan kita mengambil satu langkah ke belakang dan mengambil jalan lain.

Paling utama, kita perlu terus bergerak dan terus mencari jalan penyelesaian.  Walaupun kita mengalami kelewatan atau terpaksa melangkah ke belakang atau ke arah lain, kita perlu terus bergerak.

Akhirnya pergerakan kecil kita yang dibuat langkah demi langkah, apabila digabungkan bersama, akan membina momentum yang membawa kepada kejayaan dalam urus niaga, projek atau perniagaan.

07 Jun, 2011

Kumpulan Fima Tambah Keuntungan

Prestasi hebat tetapi saham masih kurang mendapat perhatian

Kumpulan Fima ialah sebuah syarikat pegangan yang mempunyai kepentingan dalam bidang pengeluaran, simpanan pukal, perladangan, pengetinan, perladagangan hartanah dan perdagagan dan pempakejan makanan.

Sebanyak lebih 50% daripada keuntungan Kumpulan dihasilkan daripada bahagian perladangan, terutamanya kelapa sawit, dan kita sedia maklum bahawa sejak beberapa tahun lepas harga minyak sawit telah melambung tinggi. Saya pernah menyentuh sedikit tentang Kumpulan Fima pada awal tahun lepas dalam posting ini.

Berikut adalah sorotan kewangan sehingga tahun 2010 yang dipetik daripada laporan tahunannya.



KFima baru sahaja mengumumkan keputusan seluruh tahun berakhir 31 Mac 2011 yang amat memberangsangkan di mana Kumpulan sekali lagi berjaya meningkatkan keuntungannya.  EPS bagi seluruh tahun 2011 ialah hampir 27 sen selain meningkatkan hasil.

Berikut adalah carta saham Kumpulan Fima untuk tempoh 5 tahun lepas:

Dipetik daripada Bursastation

Kita dapati harga saham telah naik dengan mendadak tetapi berasaskan harga penutup hari ini pada RM1.65, saham masih diperdagangkan pada paras P/E 6.1 kali, yang pada ukuran biasa, merupakan nilai yang boleh dikatakan sangat undervalued.

Saham ini juga pernah disebut dalam beberapa blog termasuk dalam blog Malaysia-Finance dan kebanyakannya menganggap saham ini undervalued. Klik sini untuk membaca posting di Malaysia-Finance.

Walau apa pun, situasi syarikat perlu diimbangi dengan suasana makroekonomi global dan Malaysia buat masa ini dalam sebarang keputusan.


Seperti biasa, pelabur tidak harus bergantung kepada pandangan saya dalam membuat keputusan, sebaliknya anda harus membuat penilaian sendiri.

05 Jun, 2011

Padini Masih Kelihatan Kukuh

Saham telah catatkan prestasi baik tetapi tetap berpotensi

Padini Holdings ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran pakaian dan produk fesyen dengan beberapa jenama terkenal seperti Padini, Padini Authentics, PDI, P&Co, Seed dan Miki.

Syarikat kini mengedarkan jenama fesyen sendiri dengan gedung runcit, francais dan kaunter di seluruh negara. Selain itu syarikat juga mengeksport produknya ke luar negara termasuk Thailand, Arab Saudi, Filipina, India, Indonesia dan beberapa negara lain.

Padini telah mencatatkan prestasi yang baik setakat ini dan beransur-ansur meningkatkan hasil, keuntungan dan juga harga sahamnya dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Carta Padini - 5 Tahun


Dipetik daripada Bursastation

Sebenarnya pada akhir tahun lepas Padini telah melakukan pecahan saham 5 untuk 1, justeru menurunkan harganya kepada paras sekarang.  Jika tidak, harga Padini sekarang berada pada tahap lebih RM6.50 berbanding harga semasa RM1.11.

Berikut adalah prestasi Padini untuk tempoh 5 tahun lepas, di mana EPS telah dilaraskan untuk mengambil kira pecahan saham bagi memudahkan perbandingan.

2006   4.4 sen
2007   4.8 sen
2008   7.9 sen
2009   9.4 sen
2010  11.6 sen

Paras hasil juga telah meningkat setiap tahun dan berganda dari 2006 hingga 2010  manakala dividen yang dibayar dalam tempoh lima tahun lepas adalah sekurang-kurangnya 40 peratus daripada untung. 

Syarikat baru sahaja membuat pengumuman prestasi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2011 dan mencatatkan EPS 3.71 sen untuk suku tersebut dan  EPS 8.7 sen secara kumulatif untuk tiga suku tahun ini.

Pada paras tersebut syarikat dijangka meningkatkan prestasi EPS 2010.  Diandaikan Padini mencapai EPS 12 sen pada tahun ini, sahamnya yang diperdagangkan pada harga RM1.11 pada penutup minggu lepas mempunyai P/E 9.25 yang agak berpatutan.

Secara keseluruhannya, syarikat ini nampak menarik dan berpotensi berkembang lagi.  Selain itu jika ekonomi menghadapi sedikit kelembapan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, syarikat sebagai produk barangan pengguna mungkin boleh menampung kesannya.

Persoalan bagi pelabur yang berminat bukan sama ada syarikat ini kukuh atau tidak, tetapi pada harga apa yang patut dibeli?  Bagi yang meramalkan saham ini boleh bertahan dalam segala keadaan ekonomi, harga semasa adalah agak baik. 

Tetapi bagi mereka yang menganggap pasaran secara keseluruhan mungkin turun, mungkin boleh menantikan penurunan harga sebelum membeli.

Seperti biasa, pelabur perlu membuat penyelidikan dan penilaian sendiri dan tidak bergantung kepada pandangan yang saya berikan.