29 Mac, 2011

Takaful Sebagai Instrumen Pelaburan

Perlindungan takaful dan pelaburan menerusi satu produk

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perlindungan Takaful Hayat dan Kehilangan Upaya serta pelbagai rider lain sambil melabur dalam dana yang berpotensi untuk memberikan pulangan, anda boleh mencuba produk yang dinamakan Investment-linked Takaful.

Biasanya pelabur boleh memilih untuk melabur dalam jumlah besar dalam bentuk satu sumbangan (premium) tunggal atau melabur secara bulanan menerusi sumbangan bulanan.

Selain daripada itu, pelabur juga diberi pilihan unutk melabur dalam jenis dana berbeza, iaitu dana pendapatan tetap, dana seimbang atau dana pertumbuhan, dan boleh bertukar antara anda dengan membayar sedikit yuran.

Antara produk yang ada di pasaran termasuk Ikhlas Capital Investment-Linked Takaful (Sumbangan Tunggal) dan Ikhlas Premier Investment Linked Takaful (Sumbangan Bulanan) daripada Takaful-Ikhlas yang membolehkan pelabur mendapatkan pelbagai jenis perlindungan Takaful sambil melabur dalam jenis dana pilihan mereka.

Ada pelbagai produk seperti ini di pasaran tetapi mungkin cirinya berbeza sedikit di antara satu sama lain dari segi perlindungan yang ditawarkan dan juga dana yang disediakan.

Walau apa pun, perlu diingat bahawa pilihan antara sumbangan tunggal dan sumbangan bulanan boleh mempengaruhi pulangan anda. Sumbangan bulanan adalah lebih selamat kerana kita membeli pada kos purata.

Semenatara itu, sumbangan tunggal pula lebih berisiko kerana jika timing anda betul, anda berpotensi untung lebih besar tetapi jika timing salah anda mungkin rugi.

Selain itu, seperti produk pelaburan lain, penilaian hendaklah dibuat berasaskan kekuatan dana pelaburan dan bukannya perlindungan takaful yang diberikan, kerana pada amnya, perlindungan yang diberikan oleh mana-mana syarikat adalah hampir setanding.

21 Mac, 2011

CB Industrial Products Ada Potensi

Pengeluar loji minyak sawit manfaatkan permintaan tinggi

CB Industrial Products (CBIP) ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembinaan loji pemprosesan minyak sawit dan khidmat kejuruteraan dan alat ganti yang berkaitan.  Syarikat menyediakan perkhidmatan kepada ladang-ladang kelapa sawit.

Ternyata  peningkatan harga minyak sawit sejak 2008 telah menyaksikan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan syarikat bertambah. Malah, syarikat juga mencatatkan prestasi yang cemerlang seiring kenaikan harga komoditi pada 2010. 

Prestasi CBIP pada 2010 memang mantap, apabila mencapai keuntungan yang sangat tinggi pada 2010, dengan EPS sebanyak 52 sen sesaham.  Pada harga RM3.86 Jumaat lepas, nisbah harga pendapatan P/E ialah pada 7.4, satu paras yang nampak undervalued. Pulangan pendapatan (E/P) pula ialah sebanyak 13.5%.

Berikut adalah prestasi syarikat bagi tempoh 5 tahun lepas (sen):

| 2006 2007 2008 2009 2010
13.6 | 22.6 | 33.8 | 29.8 | 51.9
 
Aset Ketara Bersih (NTA) sesaham syarikat pada akhir 2010 ialah RM2.20. Di samping itu syarikat juga telah mengumumkan pembayaran dividen saham perbendaharaan (iaitu saham yang dibeli balik oleh syarikat) pada kadar satu saham untuk setiap 20 saham yang dipegang, yang pengagihannya akan diumumkan kelak.

Selain itu syarikat juga baru-baru ini dilihat meneruskan kembali program pembelian balik saham, yang terakhir dibeli pada harga RM3.83.  Mungkin pihak pengurusan menganggap saham CBIP undervalued.

Berikut adalah carta saham 5 tahun CBIP sehingga akhir minggu lepas:


Dipetik daripada Bursastation

Daripada carta ini, kita lihat bahawa harga CBIP pernah mencecah lebih RM6.00 beberapa tahun dulu, pada paras keuntungan yang lebih rendah. Justeru, syarikat dan juga sahamnya mungkin berpotensi melonjak kembali. Tetapi semuanya bergantung kepada prestasi untuk tahun yang mendatang.

Walaupun harga minyak sawit telah turun sedikit, parasnya masih lagi agak tinggi dari segi sejarah dan dijangka permintaan untuk produk syarikat terus kukuh.

Nota: Pada masa saya menulis hari ini, harganya telah melonnjak kembali kepada hampir RM4.00.


17 Mac, 2011

Mengapa Anda Perlu Segera Menabung

Lebih cepat anda kumpul wang, lebih cepat pulangan digandakan

Ramai orang yang melengahkan pelan untuk menabung (atau melabur) dengan alasan bahawa keadaan kewangan mereka belum mengizinkan.  Tetapi hakikatnya ialah lebih lewat anda berlengah, lebih banyak yang anda rugi, walaupun anda mungkin tidak nampak kerugian ini.

Saya berikan satu contoh mudah:

Katakan Encik Ahmad mula menabung sejurus selepas mendapat kerja pada usia 24 tahun. Beliau hidup di bawah kemampuan sebenarnya dan berusaha sedaya-upaya dan menabung segala pendapatan tambahan yang diperolehi daripada sumber lain. 

Hidup Encik Ahmad tidak mewah, tetapi amat selesa. Walaupun dia telah berkahwin dan mendapat anak, amalannya untuk menabung secara automatik sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji diteruskan juga. Dalam tempoh 21 tahun, dia berjaya mengumpul RM500,000.

Encik Zahir, rakan sekuliah Encik Ahmad pula tidak begitu. Walaupun pendapatannya lebih kurang sama seperti Encik Ahmad, dia mendapati sukar untuk menabung. Ramai orang ingat Encik Zahir lebih kaya sebab keretanya lebih besar, rumahnya lebih mewah, termasuk perabot dan perhiasan di dalamnya, semua alat yang dimilikinya lebih canggih.

Malah majlis perkahwinannya juga memang 'ada kelas', diadakan di hotel mewah. Selepas berkahwin, isterinya pun diberikan sebuah kereta.  Namun begitu, masalah Encik Zahir ialah dalam tempoh 21 tahun, beliau hanya berjaya menabung RM200,000.

Tiba-tiba Encik Ahmad membuat keputusan bahawa dia nak 'enjoy' wangnya sikit selepas penat bekerja.  Untuk tempoh 5 tahun seterusnya, dia hentikan tabungan buat sementara, sebaliknya semasa cuti dia bawa isteri pergi haji, kemudian apabila berkesempatan, dia pergi membawa keluarga melawat negara-negara lain.  Semua ini menggunakan pendapatan sedia ada tanpa mengusik satu sen pun wang tabungan.

Encik Zahir pula sedar bahawa usia semakin lanjut sedangkan tabungan hanya ada RM200,000.  Jadi dia menambah tabungan dengan membuat keputusan menyimpan RM1,000 sebulan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Andaikan kedua-duanya menabung dalam Tabung Haji yang memberi dividen kira-kira 5% setahun.

Usia
En. Zahir (RM)
En Ahmad (RM)
45
200,000
500,000
46
222,300
525,000
47
245,715
551,250
48
270,301
578,812
49
296,115
607,753
50
323,222
638,141

Dalam tempoh 5 tahun antara usia 45 - 50 tahun:
  • En. Zahir telah mengumpulkan RM123,222, iaitu RM60,000 simpanan + RM63,222 dividen
  • Encik Ahmad telah mengumpulkan RM138,141, menerusi dividen tanpa membuat sebarang simpanan!

Contoh ini jelas menunjukkan mengapa anda perlu menyegerakan membuat tabungan atau pelaburan, kerana untuk mencapai kebebasan kewangan, lebih pantas anda membina momentum daripada pulangan, lebih cepat wang anda boleh digandakan.

14 Mac, 2011

Asia Bergelora Dengan Bencana dan Kebangkitan

Memang ada kesan ekonomi, tetapi setakat mana sukar diketahui


Pada mulanya saya ingin membuat analisis saham atau unit amanah hari ini tetapi memandangkan situasi semasa yang melanda beberapa negara, dan tempiasnya yang pasti dirasai di Malaysia, ada baiknya kita meninjau keadaan dari segi makro

Pertama sekali situasi yang dihadapi oleh Jepun amat dasyat dan menyedihkan sekali berasaskan gambar dan video yang dipaparkan di laman berita dunia. Sudah pasti ekonomi Jepun akan terjejas, terutamanya kerugian fizikal besar yang dialami. Malah kesannya belum selesai kerana masih ada risiko berlaku pencemaran nuklear.

Namun begitu perkara yang perlu dipertimbangkan ialah Jepun perlu membina semula ekonomi.  Lazimnya pembinaan semula ini merupakan positif kepada kegiatan ekonomi, tetapi tahap hutang awam di Jepun adalah amat tinggi dan persoalannya ialah adakah pembinaan semula ini akan meningkatkan tahap hutang ke paras yang jauh lebih tinggi atau bolehkah sumber lain digunakan/

Kemelut kedua ialah pergolakan di Timur Tengah yang ternyata amat membimbangkan kerana rantau ini ialah rantau pengeluar minyak dan jika berlaku pergolakan di sana, maka sudah tentunya harga minyak akan naik.

Bencana di Jepun telah mengalihkan tumpuan daripada Timur Tengah tetapi Kerajaan Gadaffi telah berjaya menawan semula beberapa bandar yang dikawal oleh pemberontak dan ini menunjukkan bahawa krisis tidak akna berakhir dengan pantas.

Satu lagi perkembangan membimbangkan ialah pemberontakan golongan majoriti Syiah di Bahrain dan akibatnya, tentera Arab Saudi telah dibawa masuk untuk mengawal kemudahan kerajaan dan campur tangan ini berpotensi membawa persengketaan yang lebih besar.

Apabila kita mengambil kira negara-negara lain yang bergolak seperti Yemen dan Oman yang belum ada jalan penyelesian, nampaknya pergolakan ini akan berlarutan untuk tempoh tertentu dan tidak akan selesai dengan segera.

Apakah implikasinya kepada kita? Pertama sekali kesan terhadap ekonomi dunia sudah tentu dirasai pada suku pertama ini terutamanya kerana kenaikan harga minyak. Banyak syarikat yang akan terjejas keuntungannya kerana kenaikan komoditi, kecuali syarikat itu ada kaitan dengan pengeluaran komoditi.

Di samping itu, pasaran saham di kebanyakan negara baru sahaja mengalami 'bull' market selama hampir dua tahun, satu jangka masa yang lama, justeru risiko kepada pasaran adalah agak tinggi. Lagipun syarikat di Malaysia pasti menghadapi kesukaran menandingi kenaikan untung yang dicatatkan tahun lepas.

Sebenarnya, walaupun dengan segala bencana yang berlaku, hala tuju pasaran adalah tidak begitu jelas. Ada sesetengah pakar yang berpendapat situasi akan reda dan pasaran akan naik dalam tempoh terdekat, sedangkan ada beberapa pakar lain pula menganggap saham akan mengalami penurunan ketara.

Pada pendapat saya, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku kerana situasi amat tidak pasti.  Kita perlu merangka portfolio pada kedudukan lebih kurang 50:50.  Kita tidak boleh keluar daripada pasaran sepenuhnya kerana jika keadaan reda dengan pantas dan saham naik, kita akan rugi. 

Sebaliknya kedudukan 80 - 100% dalam pasaran juga amat berisiko tinggi, terutamanya jika kejatuhan besar atau crash berlaku.  Kedudukan pelaburan 50% akan membolehkan kita mengambil kesempatan jika pasaran jatuh dengan menambah peruntukan saham pada harga rendah.  Sebaliknya jika saham stabil dan kemudian naik, kita juga tidak terlepas peluang dan boleh menambah peratus saham dalam portfolio sambil saham naik kembali.

Pendek kata, jangan terlalu taksub kepada pandangan seorang atau dua pakar, pastikan anda bersiap sedia untuk kedua-dua senario, iaitu kenaikan atau penurunan.

09 Mac, 2011

Perlukah tukar kepada TV LED?

Patutkah beli produk baru kalau produk lama masih berfungsi?

Perkembangan teknologi semakin rancak, dengan pelbagai produk canggih dan baru dikeluarkan termasuklah iPod dan iPad terbaru, komputer tablet, laptop, netbook dan TV LED. Malah sekarang TV LCD dan TV Plasma sudah boleh dianggap sebagai teknologi lama.

Telefon juga semakin canggih,  dengan pelbagai telefon pintar dikeluarkan, termasuklah Blackberry, iPhone dan Samsung Galaxy dan Nokia dan segala jenama lain di pasaran. Semuanya hebat belaka dengan segala macam ciri.

Namun begitu, terdapat satu soalan yang perlu ditanya apabila kita mahu membeli produk baru.  Perlukah produk ini?  Jika produk lama kita sudah rosak, keputusan membeli menjadi lebih mudah, tetapi jika produk lama masih ok, buat apa nak tukar?

Jika anda memang kaya, dan memang ada banyak duit, artikel ini tidak relevan kerana anda boleh membeli segala produk di atas bila-bila anda suka.  Tetapi bagi kebanyakan kita, sumber kewangan adalah terhad dan perlu diperuntukkan dengan sewajarnya.

Jadi persoalan yang ditanya ialah adakah dengan membeli produk di atas apabila baru keluar, pada harga yang mahal akan membahagiakan kita?

Salah satu daripada cara untuk menguruskan kewangan dengan baik ialah dengan menggunakan barang yang sudah sedia ada di dalam rumah anda dengan sepenuhnya, sehinggalah ia mula menimbulkan masalah.  Lebih lama barang digunakan lebih rendah kos bulanannya kepada anda.

Contohnya, jika anda membeli TV pada harga RM3,000 dan kemudian menggunakannya selama lima tahun sebelum membeli model baru, kos bulanan anda ialah RM60 sebulan. Tetapi jika anda menggunakannya untuk 10 tahun kos bulanannya ialah hanya RM30 sebulan.

Sekarang ini ramai yang tertarik dengan skim ansuran mudah, sama ada daripada syarikat pengeluar atau syarikat kad kredit.  Skim seperti ini memberikan ilusi bahawa anda mampu membeli produk sedangkan anda sebenarnya tak mampu.

Selain itu, melainkan ansuran yang diberi adalah ansuran tanpa faedah, harga barangan yang diperolehi menerusi kaedah ansuran sudah tentunya lebih mahal. Namun begitu pengiklanan dan peragaan menarik membuatkan kita terasa seperti benar-benar memerlukan produk itu

Pada pendapat saya, sebelum membeli sesuatu produk baru kita perlu tanya beberapa soalan.
  1. Adakah produk lama sudah tak boleh digunakan?
  2. Adakah produk baru memberi ciri tambahan yang boleh menambah pendapatan, kegembiraan atau keseronokan?
  3. Adakah kosnya sesuai dengan manfaat diberikan?
  4. Betul-betul perlu ke produk ini, atau adakah saya akan bosan dengannya selepas beberapa bulan?
Saya kita akan mendapat manfaat dari segi kewangan jika kita belajar menghargai dan memanfaatkan sepenuhnya barangan yang sudah kita miliki.

Nota: Di rumah saya ada penyaman udara yang berusia lebih 20 tahun, TV berusia hampir 15 tahun dan peti sejuk yang berusia lebih 10 tahun.  Masih berfungsi dengan baik lagi.  Apabila saya tengok bola, keseronokannya sama sahaja seperti TV LCD besar di rumah sedara saya.

Kalau pasukan kita kalah, kesedihannya juga sama, tak kiralah TV apa yang ditonton. Asalkan gambarnya masih jelas dan terang. Dan paling menarik sekali, bila TV rosak, saya rasa boleh beli TV LCD 42 inci pada harga RM1,500 sahaja, sedangkan dulu kosnya begitu mahal.

06 Mac, 2011

Tak Perlu Gembirakan Semua Orang

Pastikan pelanggan utama atau kebanyakan pelanggan berpuas hati

Baru-baru ini saya melayari Amazon.com untuk membaca ulasan buku yang ingin saya beli. Walaupun ulasan menunjukkan 4 1/2 bintang, penarafan yang sangat tinggi, masih ada pembaca yang memberikan ulasan kritikal dengan hanya 1 atau 2 bintang.

Selepas itu saya mencari ulasan beberapa buku (bukan fiksyen) terkenal dan saya dapati corak yang sama wujud, walaupun penarafan keseluruhan tinggi, mesti ada orang yang tidak berpuas hati dengan buku.

Fenomena ini memang wujud bukan sahaja dalam industri buku tetapi dalam perniagaan dan juga kehidupan secara keseluruhannya. Saya juga pernah mengalaminya semasa menuntut di universiti dan dalam perniagaan.

Semasa di universiti, ada subjek yang walau pun kita mencurahkan sepenuh tenaga dan amat berminat, tetapi kita tetap tidak boleh dapat A, mungkin kerana output yang kita hasilkan tidak begitu disenangi dan tidak sesuai dengan pemikiran pensyarah. 

Tidak kira berapa banyak anda belajar atau cuba, anda masih tidak dapat melakukannya sedangkan dalam subjek lain pula, anda tidak mencurahkan sepenuh tenaga atau kurag berminat tetapi anda masih mendapat markah tinggi.

Sementara itu dalam perniagaan pun serupa.  Berasaskan pengalaman sendiri dan juga perbincangan dengan beberapa rakan yang menjadi usahawan, kita tidak boleh mengelakkan pelanggan yang tidak berpuas hati.  Malah ada yang walau pun dilayan dengan baik masih sukar dipuaskan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa produk kita bukan untuk semua orang dan cara kita bekerja pasti kurang disenangi oleh segelintir pihak. Kita tidak perlu risau kerana dunia memang sebegitu dan kita tidak boleh menggembirakan semua orang.

Paling penting ialah memuaskan hati pelanggan utama atau  sekiranya produk anda produk pengguna, memuaskan hati sebahagian besar daripada pelanggan.  Ini akan menentukan kejayaan anda.

Namun begitu jika ramai yang tak berpuas hati dengan perkhidmatan anda sehingga menjejaskan hasil, maka anda perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki produk atau operasi perniagaan.

Anda perlu mendengar segala kritikan dan rungutan tetapi tidak semestinya semuanya betul.  Ada yang tidak meunasabah dan tidak membina.  Jika anda dapati kritikan bernas, lakukan penambahbaikan, tetapi jangan sampai anda perlu berubah atau melakukan sesuatu setiap kali orang tidak berpuas hati. 

Jika anda cuba memuaskan semua orang, anda mungkin tidak dapat menghasilkan produk atau perkhidmatan cemerlang yang benar-benar hebat kepada pelanggan utama atau sasaran anda. Tentukan siapa yang penting bagi organisasi anda dan berikan perkhidmatan cemerlang kepada golongan ini.

03 Mac, 2011

Malayan Flour Mills - Prestasi 2010 Cemerlang

Saham kurang glamor tapi catatkan keputusan mantap

Tidak ramai orang yang teruja dengan saham syarikat pengeluar tepung gandum, lebih-lebih lagi dengan namanya 'Malayan', yang mencerminkan syarikat 'zaman dulu' dan kurang menarik. .

Namun  syarikat ini yang terlibat dalam perniagaan pengilangan tepung, pengeluaran makanan ternakan dan penternakan ayam itik telah mencatatkan prestasi cemerlang pada 2010, apabila menghasilkan pendapatan sesaham (EPS) 79.13 sen.

Hasil syarikat telah meningkat kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.2 bilion pada 2009, satu peningkatan yang amat ketara manakala nilai aset bersih (NTA) atau nilai bukunya ialah pada paras RM4.36 sesaham.

Berikut ialah prestasi EPS syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas (sen):
| 2007 2008 2009 2010 2011
43.3 | 56.1 | 53.8 | 58.2 | 79.1

Carta Saham MFM untuk tempoh lima tahun lepas:


Dipetik daripada Bursa Malaysia

Berasaskan carta, kita dapat lihat bahawa harganya telah naik secara beransur-ansur dalam tempoh lima tahun lepas, tetapi potensi kenaikan selanjutnya mungkin masih ada berasaskan keputusan kewangan yang dicatatkan.

Pada harga penutup RM5.22 hari ini, saham diperdagangkan pada nisbah P/E 6.6 manakala pulangan pendapatannya (earnings yield atau E/P) ialah kira-kira 15%.

Walaupun pendapatan tahun 2011 tidak mungkin melonjak setinggi tahun ini, tetapi pada paras keuntungan dan harga dagangan semasa, saham ini nampak masih undervalued.

Selain itu, perniagaannya dijangka kekal cemerlang kerana industri komoditi dan sumber makanan dijangka terus mendapat manfaat daripada pertambahan permintaan lebih pantas daripada peningkatan bekalan.

Sebenarnya saya telah membeli saham ini pada RM4.60 dan ingin menulis posting mngenainya tetapi harganya telah melonjak secara tiba-tiba kepda RM5.60, jadi saya rasakan seperti sudah terlambat untuk menulis. 

Namun begitu syarikat mengumumkan keputusan yang sungguh cemerlang, dan kemudian harga sahamnya pula jatuh kembali ke paras sekitar RM5.20 - RM5.30, sebab itu saya membuat keputusan meninjau MFM hari ini.