28 April, 2010

Perlukah Ambil Pinjaman Peribadi?

Tawaran pinjaman peribadi semakin berleluasa

Sekarang ini kita melihat fenomena di mana bank, institusi kewangan dan juga organisasi pembiayaan lain (koperasi, peminjam wang berlesen, dll) suka menawarkan pinjaman peribadi kepada pengguna.

Nampaknya semua bank mahu menawarkannya dan sanggup memberikannya dengan pantas. Lihat sajalah namanya seperti Fast Cash, Express Cash, Quick Cash dan apa jua Cash.

Malah, ada yang boleh memberikan kelulusan sepantas 24 jam atau 48 jam, dan menyerahkan wang dalam masa seawal seminggu

Harus diingat bahawa pinjaman seperti ini biasanya diberikan tanpa sebarang cagaran, tetapi jumlahnya lebih kecil, iaitu antara beberapa ribu sehinggalah ke RM150,000.

Masalahnya dengan kemudahan ini ialah orang yang tiada sebab untuk mengambil pinjaman mungkin tergerak hati untuk mengambil pinjaman.

Mereka yang tidak perlu mengambil pinjaman tiba-tiba terdorong untuk membeli itu dan ini atau berbelanja semata-mata kerana kemudahan tersebut boleh didapati.

Kita perlu ingat bahawa pinjaman seperti ini sering diambil untuk perbelanjaan pengguna. Justeru aset yang dibeli menggunakan pinjaman tersebut ialah aset yang menyusut nilainya.

Saya bimbang sekiranya tawaran dan pengambilan pinjaman peribadi secara berleluasa akan menjadi detik permulaan kepada 'credit boom' dan seterusnya 'credit bubble' yang akan mengundang masalah besar dalam jangka panjang (Tapi pelabur tak perlu bimbang kerana ini tidak akan berlaku dalam jangka pendek disebabkan kekuatan Bank kita buat masa ini).

Pada pandangan saya hanya ada beberapa sebab yang munasabah untuk mengambil pinjaman peribadi:

1. Menjelaskan hutang kad kredit atau hutang lain dengan kadar lebih tinggi.
2. Untuk tujuan penting atau kecemasan, contohnya membiayai pengajian anak sekiranya tiada pilihan lain atau membiayai kos perubatan.
3. Sekiranya anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan atau pelaburan besar yang anda pasti atau yakin akan memberikan keuntungan lebih tinggi daripada kadar pinjaman.

Cubalah sedaya-upaya untuk mengelakkan pinjaman peribadi. Jangan beli barang yang tidak mampu anda beli secara tunai...melainkan jika anda benar-benar perlu. Biarlah kita hidup sekadar yang termampu.

25 April, 2010

Politik: Anda Nampak Apa Yang Saya Nampak?

Siapa menang? Rasanya macam duit yang menang

Keputusan sudah diketahui tetapi tiada ucapan tahniah atau good effort diucapkan kedua-dua calon atau parti dalam pilihanraya di Hulu Selangor.

Saya jarang menyentuh tentang politik. Dah terlalu banyak blog yang berbicara tentangnya. Tetapi kali ini kena sentuh sikit sebab daripada pandangan mata kasar saya, ada rasuah terang-terangan berlaku dan tak pernah disentuh atau ditegah oleh penyokong masing-masing. Cuma yang dilihat ialah keburukan di pihak lain.

Rasanya kedua-dua pihak ada buat kesalahan dalam tiga perkara:
1. Rasuah
2. Tidak Ikhlas
3. Tidak Adil

Rasuah
"Kami akan berikan peruntukan RM3 juta jika anda undi BN"
Ini bukan rasuah ke?
Pemberian geran tanah tapi bila ada pilihanraya
Kenapa tak bagi masa MP lama masih hidup?

Ini dua saja contoh. Kita tak boleh kata satu pihak sangat teruk kerana belanja berpuluh juta sedangkan kita pun buat tapi dalam jumlah kecil sahaja. Jika anda pun buat tak kira kecil mana, anda hilang "moral authority" untuk kutuk orang lain. Mungkin kalau anda ada sumber yang besar anda pun buat dengan cara lebih besar.

Tidak Ikhlas
Kenapa kedua-dua pihak berlumba-lumba nak selesaikan masalah penduduk hanya apabila ada pilihanraya. Sebelum ini kenapa tak selesaikan.

Tidak Adil
Bagaimana pula dengan kawasan lain yang tak ada pilihan raya. Penduduk di sana tak penting ke? Dalam kes ini penduduk Hulu Selangor mendapat manfaat besar tapi wang yang ada di tangan kedua-dua belah pihak ada hadnya. Peruntukan lebih yang diberikan di Hulu Selangor pasti mengurangkan peruntukan di tempat lain, sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau Selangor.

Tapi ini semua salah kita juga sebab kita sebagai pengundi yang melayannya. Kita sendiri yang terima segala imbuhan jika diberikan. Kita sendiri yang meminta itu dan ini (dari segi pembangunan dan aduan) dan cuba ambil kesempatan maksimum di pilihan raya. Selagi itu yang kita mahu maka itulah yang mereka beri.

Tapi yang pelik ialah segala yang dilakukan di pilihanraya ini dibuat seolah-oleh Hari Pembalasan jauh dari fikiran. Apa lagi yang nak dikata?

21 April, 2010

Masteel Manfaatkan Pemulihan Ekonomi

Insider Asia ramal syarikat kembali untung pada 2010

Hanya sebulan dua lepas, masih ada saham yang sangat 'undervalued'. Namun begitu pada masa ini, harga telah naik dan usaha untuk mengintai peluang hebat semakin sukar.

Masteel ialah satu saham yang boleh dikatakan undervalued, walaupun tidak serendah beberapa saham yang saya tinjau sebulan dua lepas.

Baru-baru ini Insider Asia, menerusi ruangan pelaburan dalam akhbar TheEdgedaily, telah membuat analisis tentang Masteel dan saya setuju dengan pandangan mereka. Masteel ialah sebuah syarikat pengeluar keluli yang menjual produknya di pasaran tempatan dan asing.

Berikut adalah pendapatan sesaham (sen) Masteel untuk tempoh beberapa tahun (keputusan 2010 dan 2011 adalah anggaran Insider Asia):

2007 - 2008 - 2009 - 2010 - 2011
22.8 -- 40.7 -- (4.4) --15.8 -- 20.3

Carta saham Masteel:

Dipetik daripada Bursa Station


Dalam tempoh terdekat, harga Masteel pernah naik ke paras hampir RM1.20 sebelum jatuh semula dan berlegar di sekitar RM1.10

Selain itu, nilai aset ketara bersih (NTA) sesaham Masteel ialah RM2.14, jauh lebih tinggi daripada harga sahamnya yang berada di tahap RM1.06 - RM1.10 pada minggu lepas.

Sekiranya ramalan keuntungan yang dibuat oleh Insider Asia tepat, maka saham Masteel juga boleh dianggap undervalued dari segi keuntungan, dengan P/E unjuran sebanyak 6.8 kali.

Satu faktor yang boleh menimbulkan masalah ialah harga bijih besi yang kian meningkat. Bijih besi ialah produk input bagi pengeluaran keluli.

Namun, faktor ini boleh ditampung sekiranya syarikat boleh meningkatkan harga bar keluli dan nampaknya setakat ini ia masih dapat dilakukan.

Rata-rata, Masteel dijangka dapat mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan yang timbul daripada pemulihan ekonomi semasa.

Kenaikan harga saham Masteel bergantung terutamanya kepada prestasi keuntungan dalam tempoh kewangan yang mendatang, dan keputusan suku pertama 2010 akan memberi petanda kepada tempoh-tempoh yang seterusnya.

Nota: Pelabur diingatkan untuk membuat kajian sendiri dan menilai pelbagai faktor lain, termasuklah paras hutang dan aliran tunai, sebelum melabur.

18 April, 2010

Trend Ekonomi Yang Pengaruhi Pelaburan

Ekonomi Dijangka Berkembang 5.2%, Jualan Kereta Melonjak, Pasaran Hartanah Kian Hangat, Harga Minyak dan Minyak Sawit Semakin Meningkat

Kita sudah menamatkan suku pertama tahun 2010, dan sebagai pelabur kita perlu meninjau beberapa trend ekonomi yang mempengaruhi keputusan pelaburan kita dalam tempoh yang mendatang.

1. Pada tahun ini ekonomi dijangka berkembang 5.2% menurut MIER. Ada sesetengah firma penganalisis yang meletakkan angka hampir ke 7% tetapi angka terlalu tepat tidak begitu penting. Lebih penting ialah kita sedar bahawa kegiatan ekonomi makin pesat tahun ini.

2. Kadar faedah dan pembiayaan dijangka meningkat sedikit lagi tahun ini. Kadar dasar semalaman (OPR) yang berada di tahap terendah sejak krisis ekonomi bermula telah dinaikkan sebanyak 0.25% kepada 2.25% baru-baru ini dan ramai pakar yang meramalkan kenaikan 0.5% menjelang akhir tahun.

3. Pasaran hartanah kini sedang hangat. Harga hartanah, terutamanya rumah kediaman telah meningkat dengan ketara terutamanya di lokasi utama. Begitu juga kondominium di lokasi penting. Mungkin kadar faedah rendah dan kejatuhan pasaran saham tempoh hari telah menyaksikan ramai yang berpindah kepada hartanah. Kenaikan kadar faedah mungkin mengekang kehangatan ini, tetapi tidak semestinya, lebih-lebih lagi jika spekulasi mula memuncak.

4. Harga minyak telah mencecah angka USD80 baru-baru ini selepas jatuh dengan ketara semasa krisis. Kenaikan ini akan memberi kesan kepada syarikat yang banyak menggunakan minyak sebagai input sedangkan akan merancakkan kembali syarikat dalam industri minyak dan gas.

5. Harga minyak sawit juga kembali naik ke paras lebih RM2,500 setan. Ini satu perkembangan positif bagi syarikat perladangan dan berkaitan tetapi akan mula memberi kesan kepada syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai input.

6. Jualan kereta telah meningkat dan dijangka mencapai tahap rekod pada tahun ini. Syarikat pengeluar dan pemasang kereta mungkin untung tahun ini, tetapi mungkin kita juga harus mengintai syarikat yang membekalkan komponen kereta.

Kita perlu sentiasa peka terhadap perkembangan ekonomi kerana ia mungkin mempengaruhi keputusan syarikat yang kita laburkan. Malah baru-baru ini saya ada mengambil untung dengan menjual dua saham yang meraih keuntungan besar tahun lepas kerana harga bahan inputnya, iaitu produk berkaitan petroleum dan minyak sawit, berada pada paras yang rendah.

Harga saham telah naik tinggi dan saya berpendapat mungkin untung kedua-dua syarikat dalam tahun kewangan semasa tidak dapat mengatasi untung tahun lepas disebabkan kenaikan harga input, walaupun prestasinya masih kukuh.

Kesimpulannya ialah trend ekonomi semasa boleh memberikan maklumat berharga untuk membuat keputusan jual beli saham.

14 April, 2010

Sistem eDividen Cepatkan Bayaran

eDividen dijangka dilaksanakan sepenuhnya 1 Sept 2010

Dalam satu taklimat media semalam, CEO Bursa Malaysia, Datuk Yusli Yusof berkata bahawa semua syarikat perlu membayar dividen menerusi sistem eDividen menjelang 1 Sept 2010.

Sistem eDividen ialah sistem di mana syarikat yang mengumumkan dividen perlu membayar dividen tersebut terus ke akaun bank pelabur, lantas mempercepatkan proses pembayaran.

Buat masa ini biasanya cek akan dipos kepada pelabur yang memegang akaun CDS, atau dibayar kepada nomini (broker anda) jika anda memegang akaun CDS menerusi nomini. Dalam kes kedua bayaran mungkin lebih lambat diterima.

Menurut Dato' Yusli, para pemegang saham akan digalakkan untuk mendaftarkan nombor akaun mereka dengan mengisi borang dengan broker masing-masing atau menerusi laman web bursa Malaysia.

Sistem e-Dividen ini akan membolehkan proses jual beli dan penerimaan dan pembayaran wang dan dividen secara elektronik sepenuhnya.

Jika anda menggunakan broker online, anda boleh melakukan segalanya di hadapan komputer anda tanpa perlu pergi ke bank atau ke mana sahaja untuk membuat bayaran, menerima bayaran dan menerima dividen untuk urusan pelaburan anda.

Malah mulai 2013, sistem cukai satu peringkat bagi dividen akan berkuatkuasa sepenuhnya (sekarang kita masih dalam proses perpindahan). Semua dividen anda tidak perlu lagi diisytiharkan dalam borang cukai. Walaupun begitu anda juga tidak layak menuntut rebet seksyen 110. Tetapi saya tahu banyak kerenah dan kira-kira yang dielakkan jika kita tidak perlu lagi mengisytiharkan dividen.

Justeru dengan segala perkembangan terbaru ini, penerimaan dividen menjadi proses mudah di mana pelabur menerima wang terus kepada akaun sejurus selepas tarikh pembayaran dan seterusnya tidak perlu lagi membuat sebarang peisytiharan cukai pendapatan.

11 April, 2010

Perkembangan Ingress Corporation

Catat EPS 14 sen, sedangkan harga saham hanya 65 sen

Pada awal bulan lepas, saya ada menulis tentang Ingress Corporation, iaitu tentang kemungkinan saham ini undervalued. Pada waktu itu, keputusan suku terakhir TK berakhir Jan 2010 masih belum diumumkan.

Saya ulangi bahawa Ingress Corporation ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang perniagaan teras pengilangan komponen automatif bagi pengeluar kereta di Malaysia (terutamanya Proton dan Perodua) dan rantau ASEAN, dan juga terlibat dalam kejuruteraan kuasa dan sektor rel di Malaysia.

Berikut adalah sejarah pendapatan Ingress dalam tempoh 6 tahun lepas (sen), selepas mengambil kira keputusan terbaru:

2005 2006 2007 2008 2009 2010
20.3 17.1 (13.9) (14.8) (53.1) 14.2

Saya telah mengandaikan bahawa syarikat akan mencatatkan EPS 13 sen sesaham pada tahun berakhir 2010, tetapi keputusan sebenarnya ialah 14.2 sen sesaham.

Sementara itu faktor lain yang penting ialah hasilnya telah meningkat daripada 569 juta kepada 651 juta. Aset ketara bersih sesaham telah meningkat daripada RM1.41 kepada RM1.86 sesaham manakala aliran tunai daripada operasi telah bertambah daripada 36 juta tahun lepas kepada 55 juta tahun ini.

Berikut adalah carta saham Ingress:

Dipetik daripada Bursastation

Ingress kelihatan undervalued pada P/E Ratio kurang daripada 5, berasaskan harga saham kira-kira 65 sen. Mungkin pasaran masih was-was kerana masalah kerugian yang dicatatkan pada tiga tahun lepas dan juga kekeringan aliran tunai yang dihadapi sebelum ini.

Walau apa pun, sekiranya syarikat mencatatkan keuntungan yang sama atau lebih baik pada tahun yang mendatang, dan juga menyelesaikan masalah bayaran sukuk dan juga aliran tunainya, saya jangka harga saham berpotensi naik tinggi.

Seperti yang saya nyatakan dalam posting saya mengenai Ingress sebelum ini, prestasinya amat bergantung kepada pasaran automotif. Jika pasaran automotif pulih seperti yang dijangka, maka prestasi Ingress dijangka dapat diteruskan atau bertambah baik.

07 April, 2010

Dana Ekuiti atau Dana Seimbang?

Lazimnya Dana Ekuiti Atasi Dana Seimbang
Dalam Jangka Panjang


Apabila memilih unit amanah daripada sesuatu syarikat unit amanah, pelabur mempunyai banyak pilihan dana. Tanyalah ejen anda tentang segala jenis dana yang ada dan kategorinya.

Dua jenis dana yang popular ialah dana ekuiti dan dana seimbang:

Dana Ekuiti - Dana yang melabur sebahagian besar daripada wang dana dalam saham

Dana Seimbang - Dana yang memperuntukkan pelaburan secara lebih seimbang antara saham dan bon/sukuk dan juga instrumen pasaran wang

Dari segi risiko, sudah semestinya dana ekuiti lebih tinggi risikonya kerana mempunyai peruntukan pelaburan lebih tinggi dalam saham, sedangkan dana seimbang mempunyai nisbah yang lebih seimbang diperuntukkan kepada bon/sukuk, yang memberikan pulangan tetap.

Pilihan antara dana ekuiti dan dana seimbang dikatakan bergantung kepada toleransi risiko anda. Jika anda pelabur lebih konservatif, anda disyorkan melabur dalam dana seimbang.

Berikut adalah prestasi lima dana terbaik untuk tempoh lima tahun dalam kedua-dua kategori sehingga Jumaat lepas (berasaskan Jadual Dana Lipper):

Dana Ekuiti Islam
1. Kenanga Syariah Growth 81.78%
2. CIMB Islamic Dali Equity 79.74%
3. CIMB Islamic Dali Equity Growth 78.78%
4. MAAKL Al Faid 78.4%
5. CMS Islamic Select Enterprises 72.76%

Dana Seimbang Islam
1. Apex Dana Al Faiz 89.47%
2. TA Dana Optimix 58.25%
3. HLG Dana Maarof 58.03%
4. ASBI DAna Al-Falah 55.87 %
5. CMs Islamic Balanced 47.29%

Daripada angka pulangan di atas dan pemerhatian saya sebelum dan selepas krisis, dalam jangka panjang, pulangan yang diberikan oleh dana ekuiti umumnya lebih tinggi daripada dana seimbang.

Tetapi seperti yang dilihat daripada Apex Dana Al Faiz, satu dua pengecualian boleh berlaku. Selain itu Dana Seimbang umumnya mencatatkan prestasi yang lebih baik di tengah-tengah kegawatan kerana cirinya yang besifat lebih defensive

Walau apa pun, kita dapat lihat di sini bahawa jika anda memilih dana yang betul, pulangan yang anda peolehi untuk tempoh 5 tahun menerusi unit amanah yang baik adalah agak tinggi, walaupun kita baru sahaja melalui tempoh kegawatan yang agak serius.

Sebagai perbandingan, pulangan yang diberikan oleh ASB ialah lebih kurang 50% selepas mengambil kira kesan compounding. (Nilai sebenar tidak dapat ditentukan dengan tepat kerana faktor bonus berbeza untuk setiap individu yang dibayar bergantung purata simpanan dalam tempoh 10 tahun).

Namun begitu, apabila membandingkan dengan ASB, anda perlu mengambil kira bahawa ASB ialah hampir risk free sedangkan dana di atas ada risiko. Justeru, kita sudah semestinya mengharapkan prestasi lebih baik (outperformance) daripada unit amanah sebagai balasan kepada risiko yang kita ambil.

Terpulang kepada anda untuk memilih dana yang sesuai dengan pilihan dan toleransi risiko anda, atau simpan sahaja dalam ASB.


Nota: Jangan pula anda asyik fokus kepada dana yang disenaraikan di atas kerana lain minggu, bulan atau tahun, dana lain akan berada di lima tangga teratas. Yang penting ialah prestasi baik yang konsisten dalam semua jangka masa.

04 April, 2010

Buku Panduan Pelaburan Unit Amanah

Bagaimana Untuk Melabur Dalam Unit Amanah
Dengan Bijak, Tepat dan Efektif


Untuk maklumat pembaca blog, saya baru sahaja menerbitkan buku terbaru saya bertajuk Panduan Pelaburan Unit Amanah. Buku ini akan dijual di kedai buku tidak lama lagi tetapi sudah boleh dibeli dari laman web saya (klik pada gambar).


Unit Amanah


Buku ini akan membantu anda:

1. Meninjau unit amanah yang ada di pasaran.
2. Mengumpul maklumat sebelum membuat pilihan
3. Menentukan pulangan sesuai berasaskan dana
4. Membaca jadual dana pihak ketiga
5. Menentukan kos dan mengira pulangan
6. Meninjau keadaan pasaran dan ekonomi
7. Membina portfolio pelaburan

Antara topik yang disentuh termasuk:
  • Asas Unit Amanah
  • Pulangan Pelaburan
  • Pelbagai Jenis Unit Amanah
  • Prospektus dan Laporan Berkala
  • Mentafsir Jadual Dana Pihak Ketiga
  • Memilih, Membeli dan Menjual Unit Amanah
  • Menentukan Kos dan Mengira Pulangan
  • Analisis Pasaran dan Ekonomi
  • Melabur Menggunakan Tabungan KWSP
  • Melabur Menerusi Internet
Secara kesimpulannya, maklumat dalam buku ini, yang diterbitkan oleh Truewealth Publications, akan membantu anda membuat keputusan pelaburan unit amanah yang bijak dan maklum seiring dengan sasaran dan toleransi risiko anda. Klik pada pautan di bawah untuk membeli.


Unit Amanah

Harga: RM39.90
Muka Surat: 200

Beli Buku