28 Oktober, 2009

Kad Debit Maybank Visa

Kad untuk keluarkan tunai, membayar secara fizikal dan menerusi Internet dan memindah wang dari Paypal

Baru-baru ini kerajaan mengenakan yuran perkhidmatan RM50 untuk setiap kad kredit yang dimiliki. Yuran ini, saya rasa bertujuan mengutip hasil bagi kerajaan.

Selain itu langkah ini mempunyai manfaat sampingan untuk menghadkan penggunaan kad kredit yang terlalu berleluasa.

Kita boleh faham jika seseorang menggunakan dua kad kredit (Visa dan MasterCard) tetapi sekarang ini ada orang yang memiliki lebih dari dua kad dan dari pelbagai bank pula. Dengan yuran RM50 yang dikenakan, mungkin orang ramai akan tergerak hati untuk memotong kad kredit mereka yang jarang dipakai.

Kebanyakan kita telah mengetahui bahawa kad debit ialah alternatif urus niaga tanpa tunai yang baik kepada kad kredit. Salah satu kad yang saya suka dan guna ialah Kad Debit Maybank Visa (Maybank Visa Debit Card). Ia sebenarnya kombinasi kad ATM dan kad bayaran dan juga boleh digunakan untuk urus niaga dalam talian selain urus niaga pengeluaran wang Paypal.

Oleh kerana kad ini ialah kad untuk Akaun Bank sedia ada, anda tidak perlulah memindahkan wang ke dalam akaun kad debit anda setiap kali nilai habis. Jumlah yang ada dalam akaun anda ialah jumlah yang boleh anda belanjakan. Sebagai keselamatan anda boleh menetapkan had perbelanjaan bagi kad ini.

Tapi fungsi kad ATM dan kad bayaran adalah fungsi biasa sahaja dan tidaklah hebat. Yang menarik ialah kad ini boleh digunakan untuk membeli belah menerusi Internet dan juga didaftarkan di Paypal dan digunakan untuk mengeluarkan wang yang terkumpul dalam akaun Paypal ke akaun bank anda. Fungsi yang baru ditawarkan ini amat berharga bagi peniaga yang menjual beli menerusi Internet menggunakan kemudahan Paypal.

Cara mengaktifkan:

1. Layari laman maybank2u.com.my.
2. Klik Utilities
3. Klik pada Maybankard Secure Online Shopping Registration
4. Taip Nombor Kad dan maklumat lain.
5. Kemudian Save dan Activate.
6. Selepas itu anda perlu mendaftar kad ini di www.paypal.com
7. Pergi ke "Withdrawal"
8. Pilih "Withdraw funds to your card"
9. Daftar kad dan isikan maklumat lain yang dikehendaki

Yuran pengeluaran $5 akan dikenakan bagi setiap pengeluaran. Pastikan anda keluarkan jumlah besar sekaligus untuk mengurangkan kos dari segi peratus.

Anda tidak perlu bimbang tentang mata ganjaran kerana perbelanjaan menggunakan Kad Debit Maybank Visa ini juga diberikan mata ganjaran, sama seperti perbelanjaan kad kredit. Justeru anda tidak rugi apa-apa untuk memindahkan perbelanjaan anda daripada kad kredit kepada kad debit.

Secara peribadi, saya makin kerap menggunakan kad ini dalam urus niaga harian kerana saya dapat menentukan nilai sebenar wang dalam akaun selepas berbelanja. Jika kita gunakan kad kredit, kita mungkin rasa kita ada banyak wang dalam akaun, sedangkan perbelanjaan telah dibuat menggunakan kad kredit.

Pada pandangan saya, kad debit ini amat sesuai digunakan untuk membina disiplin kewangan selain melaksanakan urus niaga Internet dengan selamat.

25 Oktober, 2009

Bajet 2010 - Manfaat Untuk Kita

Satu dua hadiah untuk rakyat biasa

Bajet 2010 memang ditunggu-tunggu oleh ramai kerana merupakan Belanjawan pertama yang benar-benar dirangka sepenuhnya oleh Perdana Menteri baru kita. Belanjawan ini juga penting kerana bunga pemulihan baru hendak berputik dan perlu diuruskan dengan betul.

Bagi rakyat biasa macam kita, mungkin langkah-langkah makro tidak begitu diendahkan, walaupun ia amat penting untuk ekonomi. Sebaliknya lebih penting bagi individu ialah bagaimana belanjawan ini membawa manfaat kepada mereka. Berikut adalah senarai ringkas manfaat dan juga kos tambahan yang dikenakan.

1. Kadar cukai tertinggi dikurangkan daripada 27% kepada 26%, penduduk Iskandar dikenakan cukai tertinggi 15% sahaja. (Hanya memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi dan penduduk kawasan Iskandar)

2. Pelepasan cukai individu dinaikkan daripada 8,000 kepada 9.000, manakala pelepasan caruman KWSP ditambah daripada 6,000 kepada 7,000 Ini memanfaatkan semua orang yang dalam julat membayar cukai dan meletakkan sedikit wang dalam poket individu, bergantung kepada berapa kadar cukai mereka.

3. Pelepasan cukai RM500 bagi yuran Broadband yang pasti membuatkan rakan bloggers dan kaki Internet tersenyum sedikit.

4. Skim bagi pencarum KWSP menggunakan wang mereka untuk mendapatkan pembiayaan lebih tinggi bagi kediaman mereka....butirannya masih belum jelas.

5. Penerbitan sukuk 1Malaysia pada kadar pulangan 5%. Satu lagi pelaburan risiko rendah bagi rakyat Malaysia.

6. Skim persaraan bagi mereka yang bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Dengar khabar kerajaan akan memberikan caruman sepadan sehingga RM60 atau 5%, yang mana lebih rendah....tetapi perlu disahkan.

Kos Tambahan

Sementara itu, ada juga kos tambahan bagi pemegang kad kredit dan pemilik kediaman:

1. Pemegang kad kredit dan caj utama dikenakan cukai perkhidmatan RM50 dan kad tambahan RM25. Jadi siapa yang pegang banyak kad kredit fikir-fikirkanlah.

2. Cukai Keuntungan Hartanah sebanyak 30% bagi jualan dalam 2 tahun, 20% bagi 3 tahun, 15% bagi 4 tahun dan 5% bagi 5 tahun dan ke atas. Pelepasan sekali seumur hidup diberikan.

Umumnya ada beberapa manfaat langsung yang dinikmati oleh individu, selain daripada langkah kerajaan mengenakan caj ke atas kad kredit, yang mungkin menggalakkan orang ramai untuk bertukar kepada kad debit. Bagi saya ini memang bagus. Cuma cukai keuntungan hartanah tu mungkin perit sikit bagi sesetengah pihak (termasuk saya).

Walau apa pun, lebih penting lagi ialah langkah-langkah makro untuk menstabil dan mengembangkan ekonomi, yang secara tidak langsung membawa manfaat kepada kita. Saya rasa rata-rata belanjawan kali ini baik untuk rakyat dan kurang baik bagi industri hartanah dan bank.

22 Oktober, 2009

Isu 'Keislaman' Perbankan Islam Dikupas

Prof. Dr Mohd Nazari Ismail - Perbankan Islam
Penuhi Keperluan Ummah


Semalam saya ada membaca artikel oleh Prof. Dr Mohd Nazari Ismail dari UM mengenai 'keislaman' konsep perbankan Islam dalam sisipan StarBiz (20 Oktober, 2009).

Beliau membincangkan isu di mana sesetengah pihak mengkritik perbankan Islam sebagai mencerminkanbank konvensional, sedangkan kontrak perbankan Islam dipertahankan pula oleh cendekiawan Islam yang menganggapnya halal, walaupun ia mirip pinjaman yang diberikan oleh bank konvensional. Ini kerana akad dan kontrak yang halal tidak boleh dianggap haram, semata-mata kerana cirinya mirip perbankan konvensyenal.

Menurut Dr Nazari, kontrak perbankan Islam seperti Musharakah, Al Bai Bithaman Ajil, Al Istisna dna Ijarah ternyata halal dan kontrak seperti ini dirangka oleh pakar Fiqh dan kewangan Islam yang alim.

Pada pandangan beliau, kedua-dua pihak tidak sepatutnya bertelagah antara satu sama lain, sebaliknya mereka patut memberi tumpuan kepada kelemahan perbankan riba konvensyenal dan cara-cara untuk menghapuskan penggunaan sistem berasaskan riba sepenuhnya.

Perbankan Islam memenuhi keperluan ummah bagi pembiayaan. Hakikatnya ialah ia memainkan peranan untuk membantu membiayai aktiviti perniagaan dan juga pembelian aset masyarakat.

Saya sendiri amat bersetuju dengan pandangan ini. Memang tidak dinafikan bahawa Perbankan Islam ada kelemahan, kadangkala dari segi produk yang lebih mahal atau dari segi keraguan mengenai kontrak yang digunakan. Namun begitu ia merupakan alternatif yang sahih. Dalam apa jua proses dan inovasi, mesti ada kelemahan di peringkat awal.

Perkara yang paling penting ialah terus memperbaiki kelemahan dan memastikan kontrak lebih mirip kepada konsep pembiayaan sebenar dan dalam hal ini, saya dapati kemajuan ini memang mula berlaku. Perbankan Islam sekarang bukan seperti perbankan Islam 10 tahun lalu. Ia lebih baik dari segi kontrak dan juga lebih bermanfaat kepada pengguna. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya rasa penambahbaikan akan terus dibuat untuk menjadikannya benar-benar mantap.

Matlamat kita ialah mengelakkan perbankan berasaskan riba, sambil memenuhi keperluan pembiayaan individu dan masyarakat. Pada pendapat saya, perbankan Islam berpotensi untuk melakukan kedua-duanya, walaupun ia masih belum sempurna sekarang.

17 Oktober, 2009

Unjuran Ekonomi Malaysia oleh MIER

Unjuran KDNK dinaikkan daripada -4.2% kepada -3.3%
Kadar pengangguran turun daripada 4.0% kepada 3.6%

Beberapa hari lepas, MIER telah mengubah unjuran yang dibuat tentang KDNK Malaysia daripada -4.2% kepada -3.3% bagi tahun 2009. Peningkatan ini memang dijangkakan berasaskan tahap keuntungan syarikat yang dilihat rata-rata semakin pulih.

Satu lagi faktor yang mengesahkan pemulihan ialah kadar penganguran yang menyusut daripada 4% kepada 3.6%. Ini merupakan petanda lanjut bahawa suasana perniagaan semakin stabil.

Data dan perangkaan di atas diperkukuhkan lagi menerusi soal selidik yang dilakukan oleh MIER yang menunjukkan bahawa sentimen pengguna kini sudah mula positif. Sentimen pengguna penting kerana sentimen positif mendorong perbelanjaan pengguna, yang seterusnya membawa manfaat kepada perniagaan dan ekonomi.

Bagi tahun 2010, MIER meramalkan bahawa KDNK negara akan meningkat 3.7% pada tahun depan. Angka ini masih agak rendah kerana pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka tidak begitu pesat.

Sebenarnya pergerakan pasaran saham dan tahap keuntungan suku tahunan syarikat pada suku kedua tahun ini sudah sememangnya merupakan petanda awal pemulihan. Justeru, Malaysia dijangka keluar secara rasmi daripada kemelesetan pada suku keempat tahun ini.

Pada pandangan saya ramalan MIER untuk tahun ini memang tepat sekali. Tetapi unjuran pertumbuhan tahun depat adalah agak konservatif dan pertumbuhan sebenar mungkin lebih tinggi, dengan perkembangan paling pesat dicatatkan pada suku pertama dan kedua 2010.

Diharapkan pembaca dan pelabur dapat mengambil kira segala unjuran dan tinjauan ini dalam keputusan pelaburan saham dan unit amanah yang mereka buat.

14 Oktober, 2009

Pelaburan Indeks atau Index Investing

Pelaburan pasif untuk manfaatkan kenaikan indeks

Setiap hari anda melihat berita yang melaporkan tentang kenaikan atau penurunan indeks pasaran saham. Anda tahu bahawa indeks pasaran ini terdiri daripada beberapa saham tertentu, yang dipilih untuk mewakili pasaran secara umumnya.

Tetapi bolehkah anda melabur dalam indeks itu sendiri? Sebenarnya anda boleh berbuat demikian menerusi unit amanah indeks pasif atau menerusi ETF, tetapi hanya indeks tertentu yang ada ditawarkan di Malaysia sahaja. Di Amerika terdapat pelabagai dana pasif atau ETF untuk menjejak segala jenis indeks tetapi di Malaysia hanya ada dua setakat ini.

Di Malaysia, jika anda mahu 'membeli' indeks komposit Kuala Lumpur, anda boleh melabur dalam dana OSK-UOB KLCI Tracker. Matlamat dana ini, bukan untuk mengatasi indeks atau mencatatkan pulangan tertentu, tetapi objektifnya ialah semata-mata untuk menjejak indeks, dan terpulang kepada pelabur untuk membeli dan menjual dana ini pada masa yang sesuai.

KLCI Tracker boleh dibeli menerusi Internet di Fundsupermart.com atau melalui saluran pengedaran OSK-UOB pada yuran hanya 1% untuk membeli dan 1% untuk menjual. Ternyata kos dana ini lebih murah daripada dana lain.

Bagi pelaburan patuh syariah, kaedah pelaburan indeks ini hanya boleh dilakukan menerusi ETF yang bernama MYETF DOWN JONES ISLAMIC MARKET MALAYSIA TITANS 25 atau MyETF-DJIM25. ETF ini terdiri daripada 25 syarikat patuh syariah terkemuka di Malaysia termasuk Sime, IOICorp, Telekom, Gamuda, KLK dan MISC.

Diharapkan syarikat pengurus unit amanah akan mempertimbangkan untuk menawarkan dana indeks syariah Bursa Malaysia pasif kepada pelabur, kerana yang ada sekarang hanyalah dana indeks aktif.

Pelabur perlu sedar bahawa bukan semua dana indeks ialah dana pasif. Ada lebih banyak dana indeks yang diuruskan secara aktif, kononnya untuk mengatasi prestasi indeks tetapi umumnya prestasi dana-dana ini tidak setanding OSK-UOB KLCI Tracker. Jika dana mengenakan yuran jualan 5 - 7%, maka dana itu bukan dana indeks pasif.

Sementara itu bagi mereka yang baru menceburi bidang pelaburan, perbezaan antara dana indeks unit amanah dan ETF ialah unit amanah perlu dibeli daripada syarikat pengurus dana, manakala ETF dibeli di pasaran saham dengan kos urus niaga yang lebih rendah.

Mengapa melabur dalam indeks? Sebabnya ialah banyak kajian akademik dilakukan menunjukkan bahawa kebanyakan pengurus dana gagal mengatasi prestasi indeks penanda aras, selepas mengambil kira kos pelaburan.

Menyedari hakikat ini, John Boggle telah mempelopori index investing di Amerika menerusi Vanguard Funds. Prestasi dananya mengatasi banyak dana unit amanah yang diuruskan secara aktif. Di Malaysia, berasaskan pemerhatian saya OSK UOB-KLCI Tracker sentiasa berada di antara 10 dana terbaik (di kalangan semua dana ekuiti) apabila kita membuat perbandingan pulangan bagi tempoh 5 tahun.

Pelaburan Indeks ialah satu alternatif baik bagi pelabur yang mahu mengambil kesempatan daripada pulangan pasaran saham, tetapi tidak tahu dana mana yang dipilih atau tidak yakin pengurus dana dapat mengatasi prestasi pasaran.

11 Oktober, 2009

Pelaburan Saham: Kesilapan Pasti Berlaku

Mereka yang tiada kesilapan tidak raih untung lumayan

Apabila melabur dalam saham, ada kalanya kita akan rugi. Ini lumrah pelaburan. Pelabur umumnya melabur berasaskan maklumat yang tidak lengkap (imperfect information) dan dalam keadaan yang tidak begitu pasti (uncertainty).

Kesilapan pasti berlaku. Semua orang boleh silap. Ramai pakar ekonomi terkemuka tersilap dan tidak menjangka krisis sub prima menjadi begitu serius tahun lepas di Amerika, termasuklah pakar ekonomi tersohor, Paul Krugman.

Ramai pakar pelaburan pun tidak menyangka pasaran saham akan jatuh begitu teruk dalam tempoh yang sama, termasuklah Ken Fisher, seorang pemilik syarikat pengurus dana yang sangat terkemuka di Amerika yang juga mempunyai ruangan tetap dalam majalah Forbes.

Warren Buffet juga silap. Beliau membeli kepentingan dalam sebuah syarikat minyak di kemuncak kenaikan harga minyak. Malangnya harga minyak jatuh selepas itu, menyebabkan saham syarikat yang dibeli juga jatuh teruk.

Di Malaysia beberapa syarikat juga tersilap percaturan. Maybank telah membeli sebuah bank di Indonesia sebelum kesan krisis ekonomi dirasai sepenuhnya. Ramai yang kata keputusan yang dibuat tidak boleh dimaafkan, termasuk beberapa ahli politik, tetapi bagi saya itu adalah kesilapan yang dibuat dengan niat baik, dan jika pelaburan tersebut diuruskan dengan bijak dalam tempoh yang mendatang, potensinya masih boleh diraih.

Semua kesilapan ini dibuat kerana pelabur mengambil risiko. Mungkin dalam suasana yang lebih positif, pelaburan tersebut boleh mendatangkan keuntungan. Saya pasti pihak yang membuat silap ini akan belajar dari kesilapan. Malah keputusan betul yang mereka buat jauh melebihi kesilapan. Mereka ini, sama ada individu atau syarikat, masih merupakan peneraju bidang masing-masing, walaupun mereka membuat kesilapan besar

Begitulah juga kita sebagai pelabur. Kita tidak harus takut kepada kesilapan. Kesilapan ialah peluang untuk belajar dan mempertajamkan kemahiran. Jika kita tidak mahu silap, simpan sahaja semua wang dalam bank. Tapi ini bermakna anda melepaskan pelbagai peluang yang ada untuk melabur, menggerakkan ekonomi, mengusahakan perniagaan atau apa jua aktiviti yang membawa nilai tambah, demi meraih keuntungan.

Jadikan kesilapan sebagai pengajaran. Jangan kata teknik pelaburan salah, broker salah, penganalisis salah dan sebagainya. Kadangkala kita yang salah, manakala dalam situasi lain, tidak ada siapa yang salah, cuma keadaan tidak memihak kepada kita. Pada pendapat saya, kita harus "take the loss, learn the lesson and move on".

07 Oktober, 2009

Perkembangan Terkini: Mamee Double Decker

Harga saham akhirnya naik seiring keuntungan

Pada 8 Mac 2009, saya ada menulis tentang syarikat Mamee Double Decker yang terus mencatatkan prestasi yang baik walaupun dalam keadaan ekonomi meleset. (Klik sini untuk membaca posting tersebut).

Pada tahun kewangan berakhir 2008, Mamee telah meningkatkan pendapatan sesaham daripada 21.10 sen pada tahun 2007 kepada 29.77 sen pada 2008. Pada separuh pertama 2009 pula, Mamee telah meraih keuntungan 25 sen sesaham dan saya jangkakan pendapatan seluruh tahun ialah sekurang-kurangnya 45 sen sesaham.

Semasa saya membuat posting terdahulu, saham Mamee diperdagangkan pada harga RM1.90. Pada waktu itu, saya rasa ramai penganalisis dan pelabur masih belum melihat potensi keuntungan syarikat ini. Namun pada hari ini harganya telah naik ke RM3.10.

Persoalannya ialah pada harga sekarang, adakah saham ini masih boleh dibeli? Atau patutkah kita menjual selepas kenaikan besar ini? Untuk meneliti lebih lanjut cuba kita tinjau harga sahamnya.

Dipetik daripada Bursa Station

Jika kita lihat harga saham, dari segi teknikal seolah-olah saham sudah naik terlalu tinggi dan mungkin perlu berehat seketika. Kita juga dapat memerhatikan bahawa harganya telah naik menjauhi garis purata bergerak.

Namun dari segi fundamental atau kaedah penilaian asas, jika syarikat mampu mencatat keuntungan sekurang-kurangnya 45 sen sesaham pada tahun kewangan 2009, maka bagi saya saham ini masih kelihatan undervalued.

Justeru terpulang kepada pelabur untuk menilai hala tuju pergerakan dalam jangka pendek dan jangka panjang. Tetapi bagi saya sendiri yang memegang saham ini, saya mungkin hanya mempertimbangkan untuk menjual jika prestasi keuntungan tidak sebaik yang dijangka atau jika saham telah mencecah harga lebih RM4.00.

Risiko bagi saham ini ialah harga bahan komoditi yang diperlukan sebagai input bagi produk keluarannya. Umpamanya jika harga minyak sawit naik terlalu tinggi, ia boleh menjejaskan prestasi keuntungan syarikat. Tetapi jika tiada kenaikan luar biasa berlaku, saya yakin Mamee boleh terus mencatatkan tahap keuntungan yang baik.

04 Oktober, 2009

Isi Semula Dakwat Mesin Cetak

Umumnya tiada masalah dan menjimatkan kos

Hari ini saya ingin menyentuh sedikit tentang satu komponen kecil kos perniagaan atau kos peribadi, iaitu kos dakwat mesin cetak. Kita dapati bahawa kos mesin cetak adalah agak rendah tetapi kos dakwatnya, sama ada toner atau cartridge adalah mahal dan ini satu isu yang harus dipertimbangkan terutamanya oleh perniagaan kecil atau soho (small office home office)

Satu cara menjimatkan kos ialah untuk melaksankan urusan perniagaan secara paperless, iaitu menyimpan semua salinan secara elektronik. Namun begitu, kita sudah tahu bahawa bahawa untuk urusan tertentu, cetakan kertas masih diperlukan, terutamanya dokumentasi akaun, invois dan sebagainya.

Satu cara yang tidak digalakkan oleh pengeluar mesin cetak ialah mengisi semula dakwat yang sudah habis dan umumnya kaedah ini menjimatkan lebih separuh daripada kos. Kita sedar bahawa toner pencetak laser asal ada yang berharga lebih RM200 manakala cartridge original lebih lebih kurang RM50 ke atas.

Pada mulanya saya was-was menggunakan kaedah refill ini, kerana takut mesin cetak rosak, tetapi selepas mencuba beberapa kali pada mesin cetak yang lama yang sudah luput tempoh jaminannya, saya dapati tiada masalah.

Anda boleh cuba dua cara bagi mesin cetak inkjet, satu isi semula sendiri, atau kedua hantar ke pusat perkhidmatan yang boleh melakukannya untuk anda dalam tempoh 15 minit. Bagi laser toner pula, anda boleh bawa toner lama anda dan menukarkan dengan yang baru. Satu lagi cara ialah membeli terus di kedai yang menjual cartridge tiruan atau sudah diisi semula (kosnya lebih mahal sedikit daripada dua cara di atas).

Pada pendapat saya untuk memastikan anda tidak membatalkan syarat jaminan, anda patut menggunakan kaedah isian semula ini hanya selepas tempoh jaminan tamat.

Walau apa pun, kaedah isian semula dakwat ini nyata lebih mesra alam selain menjimatkan kos perniagaan. Setakat yang saya tahu, mesin cetak yang saya gunakan akan rosak juga, walaupun saya menggunakan dakwat original, jadi faktor inilah yang mendorong saya mencuba cara alternatif yang menjimatkan kos, dan setakat ini saya dapati tiada masalah.