29 Julai, 2009

Peruntukan Aset Tentukan Pulangan

Kajian Akademik Mendapati Peruntukan Aset
Lebih Penting Daripada Pemilihan Saham


Ramai yang berpendapat bahawa untuk mencatatkan pulangan yang lumayan bagi portfolio atau modal pelaburan mereka, pemilihan saham yang betul amat penting, malah bagi mereka ia merupakan perkara yang paling penting. Ini bermakna untuk membuat pelaburan bijak, anda perlu mencurahkan paling banyak tenaga dalam proses pemilihan saham.

Namun pelbagai kajian akademik telah dijalankan, yang paling penting oleh Brinson et al, yang menunjukkan bahawa asset allocation atau peruntukan aset yang menentukan sebahagian besar daripada hasil pulangan.

Menurut kajian tersebut, 90% daripada pulangan ditentukan oleh bagaimana sesebuah dana memperuntukkan aset mereka (contoh antara saham, bon, instrumen pasaran wang). Malah seorang pengurus dana terkenal, Ken Fisher, walaupun tidak setuju dengan tahap 90%, berkata mungkin 75% daripada prestasi ditentukan oleh peruntukan aset. Tak kiralah peratusan sebenar tetapi pokoknya ialah peruntukan aset sememangnya sesuatu yang harus dipandang serius.

Apakah maksud peruntukan aset menentukan sebahagian besar daripada pelaburan? Bagaimanakah ia relevan kepada pelabur kecil seperti kita? Kita lihat satu contoh mudah.

Andaikan anda mempunyai portfolio pelaburan RM50,000. Kadangkala anda melabur RM40,000 dalam pasaran dan RM10,000 disimpan dalam ASB. Ini bermakna anda memperuntukkan 80% daripada dana anda dalam saham. Pada masa lain pula anda melabur sehingga 95% daripada portfolio anda dalam saham, manakala dalam keadaan gawat pula anda mungkin melabur 20% daripada dana anda dalam pasaran saham.

Inilah yang dimaksudkan dengan keputusan peruntukan aset. Justeru berasaskan kajian, cara pelabur atau pengurus dana memperuntukkan aset mengikut keadaaan pasaran lebih penting daripada pemilihan saham yang dibuat dalam menentukan pulangan sesuatu portfolio.

Pendek kata, langkah memperuntukkan lebih banyak wang pelaburan dalam saham apabila pasaran sedang naik dan mengurangkan pelaburan saham semasa pasaran sedang menurun akan memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada anda berbanding proses pemilihan saham individu.

Ini bukannya bermakna pemilihan saham tidak penting, cuma menunjukkan hakikat bahawa peruntukan aset perlu diutamakan berbanding pemilihan saham. (Bukan semua pakar yang setuju dengan pendapat ini).

Tetapi keputusan kajian akademik ini memang ada logiknya. Semasa kegawatan ekonomi mula melanda setahun lepas, hampir semua saham turun. Tak kira berapa pandai anda memilih saham, portfolio pelaburan anda akan tetap menyusut. Tetapi jika anda telah keluar daripada pasaran semasa indeks di tahap yang tinggi, pelaburan anda selamat.

Sebaliknya dalam tempoh dua tiga bulan kebelakangan ini, pasaran saham telah meningkat kembali. Kebanyakan saham naik, kadangkala syarikat yang kurang baik prestasinya turut naik. Tetapi jika anda masih takutkan kesan kegawatan dan hanya 10% daripada dana pelaburan anda dilaburkan dalam saham, maka anda tidak dapat menikmati sebahagian besar daripada kenaikan ini, walaupun anda telah memilih saham prestasi terbaik.

Apabila saya mula melabur, saya pun begitu asyik memberi tumpuan kepada pemilihan saham, sehingga tidak begitu mengendahkan suasana ekonomi dan perniagaan, yang biasanya menentukan kenaikan atau penurunan pasaran secara keseluruhannya. Tetapi sekarang saya mula sedar bahawa kajian trend ekonomi dan perniagaan adalah lebih penting atau sekurang-kurangnya sama penting dengan penyelidikan saham individu.

26 Julai, 2009

Skim Pencen Swasta: Bagus atau Tidak?

Meninjau kaedah tabungan persaraan alternatif

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan meluluskan penubuhan Skim Pencen Swasta untuk golongan yang bekerja sendiri yang tidak menabung ke dalam KWSP, atau mereka yang mahu menambahkan tabungan persaraan mereka.

Menurut KWSP, ramai pencarum yang menghabiskan wang tabungan KWSP mereka dalam tempoh tiga tahun pertama selepas layak untuk mengeluarkan caruman. Ini satu trend yang membimbangkan kerana sepatutnya KWSP bertujuan membiayasi persaraaan pekerja.

Perbezaan antara skim pencen swasta dengan skim KWSP ialah bayaran akan dibuat secara berkala, mungkin sebulan sekali seperti pencen kerajaan,untuk memastikan wang tidak dibelanjakan sekaligus. Dengan cara ini pencarum seolah-olah mendapat gaji bulanan semasa mereka bersara

Justeru skim ini ialah bagi mereka yang takut kalau mereka tidak dapat berdisiplin apabila layak mengeluarkan caruman KWSP. Skim akan diuruskan oleh pengurus dana, jadi anda tidak perlu menguruskan apa-apa pelaburan dan hanya perlu membuat caruman bulanan sahaja sehingga anda bersara. Selepas itu, anda akan mendapat pencen sehingga satu tempoh di mana dana tersebut habis.

Seperti semua jenis pelaburan atau tabungan, skim ini juga ada kelemahan dan satu daripadanya ialah anda akan membayar kos untuk sesuatu yang boleh anda lakukan sendiri secara berdisiplin. Sudah tentulah yuran pengurusan tahunan akan dikenakan oleh syarikat pengurus dana untuk menguruskan dana anda, dan jika dikumpulkan secara kumulatif dalam tempoh 30 - 50 tahun dana anda diuruskan, jumlah terkumpulnya agak besar.

Anda sebenarnya boleh membuat skim anda sendiri dengan mudah Bagi pelabur Bumiputera, anda boleh mula menabung jumlah tertentu secara tetap, pada mulanya dalam ASB, kemudian dalam ASW dan kemudian dalam Tabung Haji, mengikut turutan pulangan yang tertinggi terlebih dahulu, berasaskan had dana dan adanya unit untuk dilaburkan.

Bagi pelabur bukan Bumiputera, mereka boleh melabur dalam Unit Amanah yang memberikan pulangan mantap dalam jangka panjang, menggunakna kaedah Dollar Cost Averaging, atau membahagikan dana separuh dalam Unit Amanah dan Separuh dalam Simpanan Tetap, untuk mengurangkan volatiliti dan risiko. Malah pelabur Bumiputera juga boleh menggunakan kaedah kedua.

Saya pasti pelabur yang berdisplin akan mendapat nilai akhir yang jauh lebih tinggi dengan membuat tabung perasaraan sendiri berbanding melabur dengan skim pencen swasta. Namun persoalan mutlak yang menjadi tanda tanya ialah adakah pelabur cukup berdisiplin untuk menabung sendiri setiap bulan dan mengawal perasaan supaya langsung tidak mengeluarkan wang yang dikumpulkan.

Pada pandangan saya ramai yang tidak dapat menahan diri daripada mengeluarkan wang, sebab itulah saya rasa Skim Pencen Swasta ialah satu alternatif yang baik, walaupun anda terpaksa mengurangkan hasil pulangan anda kerana membayar yuran pengurusan.

22 Julai, 2009

Adakah anda sudah terlepas peluang?

Sebenarnya masih ada banyak saham yang undervalued

Pada hari ini, indeks telah mencecah paras 1150 mata dan ditutup pada 1148 mata. Pada Oktober 2008, indeks telah jatuh pada 820 mata dan ramai yang panik. Saya ada menulis posting bertajuk Saham Jatuh Teruk, Jangan Panik. Malah, saya juga ada menulis artikel bertajuk Peluang Dalam Kegawatan di majalah Dewan Ekonomi pada hujung tahun lepas.

Mungkin ramai yang tidak yakin bahawa indeks saham boleh naik kembali dengan begitu pantas, sehingga lebih 300 mata, memandangkan tahun ini ekonomi Malaysia dan kebanyakan ekonomi negara lain akan menghadapi pertumbuhan negatif.

Tetapi dalam semua kegawaan wujud peluang. Malah dalam kemelesetan untung paling besar dicapai. Beli apabila orang lain lari, dan lari apabila orang lain terburu-buru beli. Ini prinsip bukan satu dua tetapi beberapa pelabur tersohor.

Tetapi sekarang ini kita lihat pasaran saham sudah hangat semula. Bagaimana kalau anda masih menunggu dan tak sempat beli? Bagaimana kalau anda telah menjual saham semasa pasaran dilanda panik dan kini langsung tidak memegang saham?

Anda tidak perlu risau. Sebenarnya kenaikan pasaran ini bukanlah terlalu 'broad based". Kebanyakan saham yang naik ialah saham dalam industri tertentu seperti perladangan dan juga saham utama yang merupakan komponen utama FBM KLCI yang baru.

Masih banyak saham lain yang mula kembali mencatatkan untung yang masih berada di luar radar pelabur. Jika dilihat indeks FBM 70 (iaitu 70 saham selepas 30 saham utama), nilainya negatif hari ini. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan saham terbesar sahaja yang naik.

Sebenarnya masih ada banyak saham yang undervalued di pasaran. Satu lagi perkara yang perlu diingat ialah kenaikan indeks semasa pemulihan tidak akan bergerak secara linear. Mungkin dalam tempoh terdekat pasaran sudah hampir ke had kenaikan dan perlu turun sebelum naik semula. Pendek kata peluang masih ada.

Walau apa pun, jangan terlalu fikirkan tentang indeks, sebaliknya lihat prospek syarikat secara individu untuk mementukan ia patut dibeli atau tidak. Janganlah tunggu sehingga ekonomi sudah pulih sepenuhnya baru nak masuk semula pasaran saham. Pada waktu itu, mungkin segalanya sudah terlambat.

19 Julai, 2009

Peluang Dalam Industri Keluli?

Saham Kinsteel satu cara manfaatkan peningkatan permintaan

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan kedua. Pakej tersebut dijangka beransur-ansur dibelanjakan dan manfaatnya mula dirasai pada hujung 2009 dan juga 2010. Salah satu daripada penerima manfaat pakej ini ialah industri keluli, yang dijangka mengambil kesempatan daripada perkembangan industri pembinaan.

Sehingga pertengahan tahun 2008, Kinsteel Corporation ternyata gah dan mencatatkan prestasi yang baik disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah dan komoditi. Namun kemelesetan ekonomi global menyebabkan permintaan berkurangan di dalam dan juga luar negara.

Kinsteel Bhd ialah salah satu daripada pengilang keluli yang terbesar di Malaysia dan antara pengeluar keluli bersepadu terbesar di rantau ini. Kumpulan syarikat ini mengilang dan menjual rangkaian produk serba lengkap untuk industri pembuatan, pembinaan dan infratruktur.


Dipetik daripada Bursa Station

Jika dilihat pada graf, didapati harga sahamnya telah naik sehingga tahap hampir RM1.70 pada pertengahan 2008 tetapi telah jatuh ke tahap kira-kira 40 sen di kemuncak krisis. Pada suku pertama kewangan tahun ini (Jan - Mac 2009), syarikat telah mencatatkan kerugian sesaham 3 sen.

Walaupun begitu situasi dijangka berubah kerana ada beberapa barisan produknya kini mula beroperasi pada tahap penggunaan kapasiti lebih tinggi berasaskan permintaan yang lebih kukuh.Keadaan dijangka bertambah baik pada tahun depan.

Saham ini telah disyorkan oleh Maybank Investment Bank. Biasanya saya tidak selalunya setuju dengan cadangan mereka tetapi saya rasa Kinsteel ialah satu cara bagi pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada industri keluli dan mengambil kesempatan daripada pemulihan ekonomi yang dijangka berlaku.

Harga pada masa penulisan ialah RM0.89. Jika boleh didapati pada harga lebih rendah, mungkin lebih bagus. Walau apa pun, seperti biasa, pelabur dinasihati melakukan analisis sendiri sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan.

16 Julai, 2009

Menabung Secara Automatik

Membina Harta Secara Berkala Tanpa Disiplin

Saya baru sahaja membaca buku The Automatic Millionaire oleh David Bach yang mengutarakan hanya dua konsep asas yang diketahui hampir semua orang tetapi ditambah dengan satu pembaharuan penting, iaitu 'Make It Automatic', atau lakukannya secara automatik.

Ramai yang sudah mengetahui tentang konsep tabung 10% daripada pendapatan atau konsep "pay yourself first" iaitu membuat tabungan dahulu, sebelum membelanjakan wang gaji atau pendaptan. Namun ramai sukar melakukannya kerana apabila wang gaji masuk terdapat pelbagai keperluan, hutang dan bayaran yang perlu dijelaskan.

Justeru, penulis mencadangkan agar kita melakukannya secara automatik. Iaitu buat arahan tetap (sama ada pergi ke bank atau melakukannya menerusi Internet) untuk menabung / melabur wang anda setiap bulan. Bagi golongan Bumiputera, ini anda boleh memindahkan wang anda ke ASB/Tabung Haji/Unit Amanah (boleh dilakukan menerusi Internet jika anda menggunakan Maybank2U, saya tidak pasti tentang bank lain). Bagi bukan Bumiputera, mereka boleh melabur dalam unit amanah.

Konsep ini sama seperti membayar cukai atau KWSP. Potongan dibuat secara automatik. Anda tidak nampak wang anda. Dengan cara ini, walaupun anda malas membuat belanjawan peribadi, malas pergi ke bank dan membuat tabungan setiap bulan, anda masih membina harta anda. Pendek kata, anda tetap menabung walaupun anda tidak berdisiplin.

Kita boleh bercakap tentang segala konsep pelaburan dan kewangan canggih tetapi hakikatnya ialah untuk hidup senang pada zaman persaraan, kita perlu membina asas dahulu dan hakikatnya menabung secara automatik adalah idea asas yang terlalu mudah sehingga mungkin dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

Walau apa pun, saya sendiri bertekad untuk mengikuti konsep mudah yang dicadangkan mulai bulan depan. Sebelum ini saya tidak melakukannya secara automatik, dan saya dapati ada bulan yang saya terlupa menabung dan ada kalanya saya gunakan wang tabungan untuk tujuan lain.

Selain itu, penulis juga mencadangkan agar pinjaman perumahan dibayar dua minggu sekali (secara automatik) dan mengesyorkan pembayaran zakat (tithe) secara automatik. Cuba bayangkan, penulis barat pun mencadangkan bayaran zakat secara automatik! Mungkin kerana jika kita bayar setahun sekali, kita mendapati wang yang kita simpan untuk zakat sudah digunakan untuk tujuan lain.

Kadangkala, dalam usaha kita mempelajari dan mengamalkan konsep atau kaedah canggih, kita terlupa dengan konsep asas dan mudah yang boleh membawa manfaat kepada kita. Saya syorkan anda mencuba kaedah ini.

12 Julai, 2009

Patutkah Kita Bayar Lebih?

Bayaran hutang lebih cepat umumnya bawa manfaat

Jika kita ada duit lebih, patutkah kita menggunakan wang tersebut untuk mengurangkan jumlah pokok pembiayaan rumah? Atau patutkah kita membayar ansuran lebih cepat, contohnya dua minggu sekali (bayar separuh ansuran bulanan setiap dua minggu), seperti yang disyorkan oleh sesetengah buku atau perancang kewangan.

Jawapannya ialah bergantung kepada keadaan. Persoalan pertama ialah bolehkah anda berbuat demikian di bawah kontrak pinjaman anda? Sesetengah bank menetapkan syarat bahawa anda perlu membayar ansuran seperti biasa dalam tempoh beberapa tahun pertama kontrak. Malah ada sesetengah pembiayaan Islam lama berasaskan konsep BBA yang hanya menganggap bayaran lebih besar atau lebih cepat sebagai payment in advance yang tidak digunakan untuk mengurangkan nilai pokok.

Namun begitu, selepas beberapa tahun awal, kebanyakan kontrak pinjaman perumahan membolehkan anda membayar jumlah sekaligus untuk mengurangkan nilai pokok pembiayaan, tetapi sama ada anda 'dibenarkan' membayar dua minggu sekali untuk mempercepatkan penjelasan hutang tetap bergantung kepada jenis kontrak.

Maksud 'dibenarkan' sini bermakna apabila anda membayar lebih daripada ansuran biasa, jumlah tersebut akan diambil kira sebagai bayaran sebenar yang akan mengurangkan nilai pokok dan bukannya dianggap sebagai payment in advance.

Biasanya pinjaman konvensional tiada masalah berkenaan hal ini, tetapi bagi BBA mungkin ada masalah sedikit disebabkan ciri kontraknya. Namun begitu, perkara ini tidak timbul bagi kontrak jenis Musyaraqah Mutaqisah yang semakin popular. Malah ada bank yang membenarkan bayaran dibuat sesuka hati pelanggan.

Jadi kita tiba pula kepada persoalan kedua, sekiranya anda boleh membayar jumlah lebih besar atau dengan lebih cepat, patutkah anda berbuat demikian? Jawapan tepatnya ialah "bergantung kepada keadaan". Tetapi umumnya bagi saya sendiri, lebih cepat anda bayar hutang, lebih baik bagi anda.

Menurut Warren Buffet, "Orang yang tiada hutang tidak akan jatuh muflis". Jadi lebih cepat anda bayar hutang lebih baik. Saya rasa dalam Islam pun, kalau kita berhutang dan ada wang tambahan, lebih cepat bayar lebih baik.

Tetapi saya ulangi sekali lagi bahawa jawapan tepatnya ialah 'bergantung kepada keadaan'. Sebagai contoh kadar pembiayaan sekarang amat rendah. Jika anda dikenakan kadar 5%, patutkah anda gunakan duit lebih untuk melangsaikan hutang lebih cepat, atau lebih baik simpan sahaja dalam ASB yang memberikan pulangan kira-kira 8%?

Satu alternatif yang baik ialah selagi kadar pembiayaan rendah, wang lebihan anda boleh disimpan dalam ASB atau pelaburan risiko rendah sepertinya yang dijangka memberikan pulangan lebih tinggi. Apabila jumlah dalam akaun ASB sudah cukup untuk melangsaikan hutang, bayar baki hutang secara sekaligus. Namun kaedah ini memerlukan disiplin kerana kita sering tergerak hati untuk menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain.

Tetapi kalau kadar pembiayaan anda tinggi, sudah tentulah langkah mengurangkan hutang anda secepat mungkin adalah langkah paling bijak. Pendek kata, jika anda ada wang lebih, anda fikirkan apakah kegunaan paling berhasil bagi wang anda. Jika ada hutang kad kredit, bayar terlebih dahulu, selepas itu pertimbangkan kegunaan kedua paling bermanfaat, termasuk membayar pembiayaan rumah atau menabung dalam ASB.

Namun begitu ini semua secara teori sahaja, bagi saya kalau ada wang lebih, bayarlah hutang pembiayaan rumah, kerana apabila anda sudah bayar, wang tersebut sudah tiada dan anda tidak tergerak hati untuk membelanjakannya secara sia-sia (perbelanjaan gunaan).

Walaupun ramai orang menganggap mereka berdisiplin (contohnya tidak akan menyentuh pelaburan ASB), realitinya ialah ia sukar dipraktikkan. Jadi pandangan peribadi saya ialah kalau ada wang lebih dan nak bayar hutang pembiayaan, teruskan sahaja.

08 Julai, 2009

Perubahan Komposisi Indeks Komposit

Nilai indeks sama, tetapi diwakili hanya 30 syarikat

Pada 6 Julai lepas, satu perubahan penting telah dibuat di pasaran saham Malaysia, iaitu Indeks Komposit Bursa Malaysia yang dulunya terdiri daripada 102 saham telah ditukar menjadi FTSE Bursa Malaysia KLCI atau singkatannya FBM KLCI yang mengandungi hanya 30 saham.

Walaupun nilai indeks ditetapkan pada nilai sama dan namanya juga masih ada singkatan KLCI di dalamnya, indeks ini sebenarnya jauh berbeza daripada indeks lama. Nilai indeks dirangka supaya sama untuk membolehkan orang ramai membuat perbandingan dengan KLCI yang lama dan supaya tidak menjejaskan perbandingan sejarah kerana KLCI telah wujud sekian lama.

Saham yang dimasukkan dalam indeks ini ditentukan berasaskan modal pasaran yang boleh dilaburkan. Selain itu, saham-saham yang terpilih juga perlu mematuhi syarat pengapungan bebas (free float) dan kecairan (liquidity). Ini untuk memastikan saham dalam indeks adalah saham yang aktif diperdagangkan.

Persoalannya ialah bolehkah 30 saham mencerminkan pasaran saham secara umumnya? Saya rasa tidak mungkin dan saya cadangkan bagi pelabur yang mahu meninjau prestasi pasaran secara keseluruhan, sila rujuk kepada indeks FBM 100, yang terdiri daripada 100 saham dengan modal terbesar di Bursa Malaysia. Pada pandangan saya, indeks ini lebih mencerminkan prestasi pasaran pada sesuatu masa dan lebih mirip denga KLCI yang lama.

Sekarang ini, jika dilihat pada indeks Bursa, kebanyakannya sudah ditukar kepada indeks FTSE. Antara indeks lain yang boleh ditinjau selain daripda FBM KLCI dan FBM 100, ialah FBM Small Cap, yang meliputi hampir semua syarikat lain di dalam Indeks selain daripada 100 syarikat terbesar dan FBM Emas yang meliputi hampir 98% daripada semua saham di Bursa Malaysia.

Bagi saham patuh syariah pula, indeks yang paling relevan ialah Indeks FBM Hijrah yang terdiri daripada 30 syarikat dengan modal pasaran terbesar yang mematuhi syarat pengapungan bebas dan kriteria syariah antarabangsa. Satu lagi indeks patuh syariah yang lebih umum, ialah FBM Emas Syariah, yang terdiri daripda semua syarikat di dalam indeks FBM Emas yang patuh syariah.

Walaupun umumnya hanya satu dua indeks utama disebutkan apabila kita menontong atau membaca laporan pasaran saham, gambaran sebenar prestasi pasaran boleh dipantau daripada prestasi indeks lain. Kadangkala pada satu hari perdagangan, saham-saham mewah naik, sedangkan kebanyakan saham lain turun. Justeru, untuk mendapatkan gambaran sebenar, adalah lebih baik untuk melihat lebih daripada satu indeks.

02 Julai, 2009

Kemudahan Pembiayaan Rumah Paling Menarik

Berasaskan tinjauan, RHB dan Maybank tawar kadar terendah

Pada minggu lepas, saya ada mencadangkan agar sesiapa yang ada pembiayaan perumahan pada kadar tinggi untuk membiayai semula pinjaman mereka atau meminta bank untuk memberikan mereka kadar pembiayaan atau kadar keuntungan yang lebih rendah.

Tapi bagi mereka yang mahu membina rumah atau membeli rumah baru dan memerlukan pembiayaan, bank mana yang menawarkan pilihan paling menarik? Jika dilihat daripada kos pembiayaan semata-mata, saya dapati Maybank dan RHB Bank menawarkan kadar paling rendah. Berikut adalah tawaran kedua-dua bank (KPA = Kadar Pembiayaan Asas)

Tawaran RHB

Pembiayaan tanpa kos:
KPA - 1.90% : RM100,000 - 299,999
KPA - 2.00% : RM300,000 dan ke atas

Pembiayaan termasuk kos :
KPA - 2.10% : Sehingga 299,999
KPA - 2.20% : RM300,000 dan ke atas

Tawaran Maybank

Pembiayaan tanpa kos:
KPA - 1.90% bagi kawasan utama (prime area)
KPA - 1.70% bagi kawasan lain

Pembiayaan termasuk kos
KPA - 2.20% bagi kawasan utama (prime area)
KPA - 1.90% bagi kawasan lain


Pembiayaan tanpa kos bermaksud pelanggan tidak dikenakan sebarang kos seperti yuran guaman, duti setem dan lain-lain. Semuanya ditanggung oleh bank.

Kadar yang diberikan di atas adalah untuk pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah (MM) dan umumnya pada pendapat saya kontrak ini lebih baik dan bermanfaat kepada pengguna berbanding BBA. Sebenarnya kadar di atas adalah yang asas sahaja kerana setiap bank juga biasanya menawarkan kadar tahun pertama yang lebih rendah.

Selepas membuat perbandingan dengan apa yang ditawarkan oleh bank lain, sama ada bagi kontrak MM atau BBA, saya dapati kedua-dua bank di atas menawarkan kadar paling menarik. Kedua-dua bank juga menawarkan pelbagai pilihan daripada kadar tetap kepada kadar berubah. Malah Maybank juga ada menawarkan pembiayaan pada kadar lebih tinggi, tetapi tanpa denda pembayaran awal.

Satu lagi pilihan adalah Citibank, yang kadarnya tidak serendah Maybank atau RHB tetapi menawarkan kemudahan bayaran balik lebih fleksibel (boleh bayar lebih pada bila-bila masa, walaupun pada peringkat awal pembiayaan) dan juga menetapkan kadar pembiayaan maksima (capped). Ini bermakna jika kadar pembiayaan naik terlalu tinggi, kadarnya akan ditambat pada kadar maksima sahaja.

Antara perkara lain yang perlu dipertimbangkan semasa membandingkan pembiayaan ialah tempoh penalti (iaitu tempoh di mana anda akan dikenakan denda jika membayar balik hutang sepenuhnya), tempoh dan usia maksimum pinjaman, kemudahan membayar lebih daripada ansuran bulanan untuk melangsaikan hutang lebih cepat dan juga kemudahan mengeluarkan kembali jumlah pokok yang dibayar (sekiranya perlu dalam keadaan terdesak).

Kesimpulan yang saya buat adalah berasaskan tinjauan pada waktu ini. Kadar yang ditawarkan sering diubah dan bank sentiasa mengadakan promosi. Jika pembaca ada mendapati kadar yang lebih baik atau ciri-ciri yang lebih menarik, diharap dapat kongsikan bersama.