25 Februari, 2009

Dana Kecemasan Untuk Tampung Kegawatan

Wang untuk menyara hidup sekiranya diberhentikan

Jika kita rajin membaca buku-buku perancangan kewangan, kita dinasihatkan untuk menyimpan dana kecemasan antara tiga hingga enam bulan gaji untuk memastikan kita ada tunai untuk menampung segala perkara di luar jangka.

Antara 'kecemasan' yang dimaksudkan ialah apabila diri sendiri atau ahli keluarga jatuh sakit, diberhentikan kerja atau terpaksa mengeluarkan sesuatu perbelanjaan besar secara sekaligus. Dana kecemasan ini hendaklah disimpan dalam bentuk tunai atau mudah tunai dan boleh dikeluarkan dengan segera apabila perlu.

Nasihat ini ternyata amat berguna kerana walaupun kita mempunyai nilai aset yang tinggi, jika ada apa-apa perkara di luar dugaan berlaku, kita memerlukan tunai dengan segera. Sesetengah aset memerlukan masa untuk dilupuskan, dan jika dilupuskan secara tergesa-gesa, mungkin kita akan rugi. Justeru simpanan tunai amat perlu.

Had kredit atau credit limit kad kredit tidak boleh dianggap sebagai dana kecemasan kerana wang tersebut bukan milik kita. Walaupun boleh digunakan dalam keadaan terdesak, hutang akan bertambah berlipat kali ganda jika kita tidak mampu membayar pada bulan-bulan berikutnya

Mengapa saya menyentuh tentang dana kecemasan? Ini kerana pada waktu ini kita melihat ramai juga orang yang diberhentikan kerja. Bukan senang untuk mendapatkan kerja baru dengan serta-merta, terutamanya dalam keadaan sekarang. Jika mereka bijak membina dana kecemasan, mereka tidak perlu terlalu bimbang kerana masih dapat menampung keluarga buat sementara waktu sehingga mendapat kerja baru.

Bagi mereka yang berniaga, saya rasa simpanan selama setahun pendapatan lebih baik, kerana kita tahu bahawa perniagaan bersifat turun naik dan mempunyai risiko yang tinggi. Pendapatan yang diperolehi juga tidak tetap. Taktik yang harus digunakan ialah menambahkan tabungan apabila perniagaan sedang maju untuk menampung kemungkinan berlaku kegawatan.

Mungkin bagi sesetengah orang yang nilai aset mereka negatif, iaitu hutang lebih tinggi daripada aset, dana kecemasan tidak ada dalam istilah mereka kerana mereka sentiasa 'dalam kecemasan'. Tetapi ada baiknya jika dana kecemasan dibina secara beransur-ansur sambil melangsaikan hutang kerana tunai di tangan amat penting.

Jika anda belum lagi menabung dana kecemasan, kumpulkan secepat mungkin kerana kita tidak tahu bila kita memerlukannya. Sediakan payung sebelum hujan.

22 Februari, 2009

Senario Paling Buruk Telah Berlaku

Perkembangan dalam dan luar negeri amat negatif

Tengku Razaleigh telah memberi amaran kepada pucuk pimpinan negara bahawa mereka perlu bersiap sedia untuk 'collapse of trade' atau keruntuhan dagangan. Malaysia sebagai negara pengeksport pasti terjejas dengan situasi dunia sekarang memandangkan tahap dagangan antara negara telah menyusut dengan ketara.

Walaupun krisis bermula dengan kegawatan sektor perumahan dan kewangan Amerika, kanser telah menyusup ke dalam ekonomi sebenar. Sebagai negara pengimport besar, masalah di Amerika sudah tentulah menyebabkan penggunanya kurang membeli produk dari Asia amnya dan Malaysia khususnya, mengakibatkan negara di rantau ini turut terjejas Asia amat bergantung kepada perdagangan.

Selain itu keruntuhan harga minyak dan komoditi sudah tentulah dirasai negara-negara pengeksport komoditi seperti negara Timur Tengah dan juga Malaysia yang menjadi pengeksport utama kelapa sawit.

Malaysia setakat ini amat bernasib baik kerana sehinga Disember masih kurang merasai tempiasnya tetapi yang pasti, kegawaan sudah tiba dan mula dirasai. Pada awal tahun, saya ada menulis posting tentang pengguna Malaysia yang masih sibuk berbelanja di pusat beli-belah tetapi senarionya telah mula berubah sekarang.

Pada akhir Januari, sehingga 80,000 pekerja telah diberhentikan sama ada secara kekal atau buat sementara. Ini tidak menghairankan kerana jika tiada dagangan dan tiada jualan, banyak syarikat perlu mengurangkan pekerja supaya dapat mengurangkan kos dan meneruskan operasi.

Situasi ini kegawatan dunia ini tidak boleh dielakkan oleh Malaysia. Namun Malaysia boleh menampung kesukaran yang bakal dihadapi jika memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan dasar-dasar yang merangsangkan ekonomi dan menyelaraskan pakej rangsangan dan perancangan ekonomi di antara negeri-negeri.

Tetapi sekarang ini semua ahli politik sibuk dengan permainan mereka sendiri. Dapat dilihat negeri yang di bawah parti lawan akan 'disusahkan'. Tak perlu meninjau jauh, kita boleh lihat pelancongan sebagai contoh yang baik dan pelancongan adalah sumber hasil utama bagi negara ini yang pasti menghadapi tekanan akibat keadaan semasa.

Selepas ini penyelarasan program pasti lebih sukar dengan Perdana Menteri baru kerana sebelum ini parti lawan masih boleh duduk semeja dengan pemimpin semasa. Pada percaturan ramai, penggantian kepimpinan Umno sepatutnya membawa kestabilan yang amat diharapkan tetapi perkara sebaliknya telah berlaku. Dari segi politik, kita perlu membiasakan diri dengan pelbagai kerenah kedua-dua pihak sehinggalah pilihan raya umum seterusnya.

Walau apa pun, keadaan tidaklah malap sepenuhnya kerana saya rasa sektor swasta Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga bijak menangani keadaan dan mengambil tindakan yang tersusun dan terancang. Kita perlu kerja lebih keras dalam keadaan ini. Oleh kerana kita tak boleh mengharapkan ahli politik, hanya rakyat dan perniagaan Malaysia dapat membantu rakyat dan perniagaan Malaysia.

18 Februari, 2009

Guna mudah.my untuk iklankan produk




Alternatif tempatan kepada e-bay dan lelong


Apabila menyentuh tentang jual beli dan pengiklanan menerusi Internet, antara laman web utama ialah e-bay dan lelong.com.my. Mungkin ramai yang sudah maklum mengenainya tetapi mudah.com.my kini menjadi saluran yang semakin berkesan untuk mengiklankan dan menjual-beli barangan atau perkhidmatan.

Pengalaman saya menggunakan mudah.my meyakinkan saya bahawa laman web ini semakin diterima oleh pengguna Internet. Baru-baru ini saya mencari penyewa untuk kondominium saya dan menyerahkan tugas ini kepada seorang ejen.

Selalunya saya menyiarkan iklan di akhbar The Star untuk mencari penyewa dan begitu juga ejen saya. Tetapi selepas sebulan berlalu ejen saya kata kurang prospek sebab ekonomi meleset. Saya pun buat keputusan untuk iklan di Mudah dan dalam masa seminggu saya mendapat banyak panggilan telefon dan dua prospek yang betul-betul baik, dan telah menyewakan kepada seorang daripadanya.

Selepas itu saya ada menggunakannya lagi untuk menjual barang lain dan prospek yang diterima juga agak ramai. Bilangan prospek yang diterima menunjukkan bahawa semakin ramai orang menggunakan dan membaca iklan di sini. Selain itu, jika kita menggunakan enjin carian, keputusan dari Mudah mungkin turut dipaparkan. Satu lagi perkara ialah prospek yang diperolehi lebih bersifat 'multiracial' dan meliputi pasaran yang memang menggunakan Internet untuk mencari dan membeli barang.

Justeru jika anda mempunyai produk untuk dijual menerusi laman web, mungkin anda boleh menggunakan iklan di Mudah untuk menambahkan bilangan pelanggan dan mengajak mereka pergi ke laman web anda. Lebih banyak pemasaran, lebih tinggi potensi jualan. Produk atau perkhidmatan yang sesuai dijual ialah produk yang berkos sederhana hingga tinggi, iaitu yang dijual secara individu dan bukannya dijual secara pukal. Saluran ini lebih sesuai bagi perniagaan business to consumer (B2C) atau consumer to consumer (C2C).

Jika kita menjual beli menerusi Internet, mudah.my ialah alternatif pengiklanan yang perlu diberi perhatian untuk menambahkan prospek anda.

Nota:
Saya tidak dibayar untuk menulis ulasan ini. Ulasan dibuat kerana saya rasa laman ini bermanfaat.

14 Februari, 2009

Berlatih Untuk Capai Kegemilangan

10 Tahun Diperlukan Untuk Menguasai Sesuatu Bidang

Hari ini saya terbaca satu artikel di StarBizWeek yang ditulis oleh Roshan Thiran mengenai cara untuk menjadi 'genius' dalam sesuatu bidang menerusi latihan. Menurut artikel, berasaskan satu kajian oleh Anders Ericson, kesempurnaan atau penguasaan dalam sesuatu bidang boleh dicapai selepas berlatih dan mengasah kemahiran selama 10 tahun atau 10,000 jam.

Kemahiran, kejayaan dan penguasaan sesuatu bidang bukan sahaja bergantung kepada bakat, tetapi juga kepada kesanggupan untuk berlatih dan terus berlatih. Adakah Tiger Woods seorang yang berbakat dalam sukan golf? Mungkin, tetapi beliau berlatih dan terus berlatih sehingga orang lain nampak seolah-olah beliau seorang yang sangat berbakat tetapi permainan golf dikuasainya hanya dengan latihan gigih. Vijay Singh juga begitu. Etika kerja beliau sungguh mengagumkan. Justeru walaupun bermula lambat di PGA Tour Amerika, beliau telah memenangi begitu banyak gelaran dan sehingga kini masih boleh menang walaupun sudah mencecah usia 45 tahun.

Penulis juga mengungkap Malcolm Gladwell dalam bukunya 'Outliers' yang menekankan perkara yang sama. Menurut Gladwell, sebelum dikenali ramai, Kumpulan Beattles telah membuat persembahan sebanyak 1,200 kali. Jadi, apabila mereka mula dikenali, mereka tidak lagi mempunyai masalah membuat persebahan secara langsung. Bayangkan sesetengah penyanyi sekarang yang mempunyai masalah apabila membuat persembahan 'live'. Mungkin bakat ada tetapi latihan kurang.

Saya juga berpeluang bermain bersama ketua pasukan hoki negara Nor Saiful Zaini dan duduk sebilik dengannya dalam satu pertandingan. Etika latihan beliau sungguh hebat. Selain itu, tahap 'intensity' latihan juga agak menakutkan. Memang tidak dinafikan beliau telah dilahirkan dengan kaki yang pantas tetapi ramai orang lain juga dilahirkan dengan bakat yang sama. Beliau menjadi ketua pasukan negara kerana disiplin dan latihan.

Pada pandangan saya ungkapan 'usaha tangga kejayaan' memang tepat, tetapi ramai orang yang berusaha tetapi masih di tahap purata atau bagus sahaja, tidak sehingga ke peringkat cemerlang atau terbaik. Mungkin sebabnya ialah mereka perlu terus berusaha, dan terus berusaha sehingga 10 tahun, barulah mereka mencapai tahap terbaik. Ada ramai orang apabila sudah menguasai sedikit ilmu atau kemahiran, berhenti belajar atau berlatih, sehingga penguasaan mereka 'dikekalkan' sahaja di tahap 'baik' dan tidak sentiasa dipertingkatkan untuk mencapai kecemerlangan.

Contoh yang diberikan ialah dalam bidang sukan dan muzik tetapi sebenarnya boleh diaplikasi kepada semua bidang. Thomas Edisan dan Warren Buffet ialah dua contoh dalam bidang lain bagaimana dedikasi, latihan dan usaha gigih boleh membawa kejayaan.

Kalau mereka boleh, kita pun boleh. Tetapi sanggupkah kita berlatih, mengasah bakat dan bekerja keras selama 10 tahun?

11 Februari, 2009

DagangHalal.com untuk promosi produk





Sertai saluran B2B untuk kembangkan perniagaan


Sekiranya anda mengusahakan perniagaan kecil atau sederhana dan menghasilkan produk atau perkhidmatan yang halal (bukan sahaja terhad kepada makanan), anda boleh mencuba untuk mempromosi perniagaan dalam gerbang B2B (gerbang perniagaan kepada perniagaan), selain daripada menyediakan laman web syarikat.

Kebanyakan orang sudah fasih dengan laman web B2C atau perniagaan kepada pengguna, di mana laman web menyediakan produk untuk dibeli terus oleh pengguna akhir. Ramai pakar dalam bidang B2C, termasuk Irfan Khairi, yang menunjukkan cara-cara untuk membina dan mempromosi laman web perniagaan kepada pengguna akhir.

Namun begitu, bagaimana kalau produk anda ditujukan kepada perniagaan lain. Untuk mempromosi produk anda, anda boleh menyertai gerbang B2B yang menghimpunkan syarikat-syarikat pembeli dari merata tempat, termasuk dari luar negara. Dengan menyenaraikan produk atau perkhidmatan anda di gerbang seperti ini, anda boleh meluaskan pasaran anda.

Salah satu gerbang B2B yang boleh dimanfaatkan ialah DagangHalal.com. Gerbang ini menyediakan e-pasaran kepada pembeli di seluruh dunia untuk mencari pengeluar, pembekal, pengimport, pengeksport dan penyedia produk dan perkhidmatan halal. Bagi perniagaan yang menyediakan produk makan minum halal, mereka mesti mempunyai pengesahan Halal untuk turut serta.

Pembeli boleh mencari produk secara percuma tanpa perlu mendaftar sebagai ahli. Manakala syarikat yang mahu menjual produk atau perkhidmatan perlu mendaftar menjadi ahli dalam salah satu daripada tiga kategori, bergantung kepada belanjawan pemasaran masing-masing, sama ada kategori Senarai Direktori, Ahli Emas atau Ahli Emas Video. Ahli-ahli Emas diberi keutamaan penyenaraian.

Buat masa ini, terdapat tawaran khas kepada syarikat-syarikat Bumiputera untuk mendapatkan geran pengiklanan daripada MECD untuk mengiklankan produk di DagangHalal.com. Kunjungi laman web www.daganghalal.com/mecd untuk maklumat lanjut.

Pelanggan baru boleh mencuba dulu perkhidmatan ini menggunakan geran MECD dan meneruskan langganan sekiranya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.


Nota Pendedahan:

DagangHalal.com dimiliki oleh Webse Sdn Bhd dan saya mempunyai kepentingan kecil dalam syarikat tersebut. Webse Sdn Bhd juga mempunyai gerbang produk umum yang dinamakan DagangAsia.com.



08 Februari, 2009

Pencakar Langit Tertinggi Tanda Kegawatan?

Bila manusia mula bemegah, tanda ekonomi akan rebah

Semalam, saya membaca satu artikel yang diterbitkan dalam sisipan StarBizWeek (akhbar The Star) bertajuk The SkyScraper Curse. Menurut penulisnya, William Pesek, terdapat kaitan (walaupun tidak terbukti secara saintifik) antara krisis kewangan dan usaha membina bangunan tertinggi di dunia.

Beliau sudah tentulah merujuk kepada Burj Dubai, yang telah mengatasi Taipei 101 sebagai bangunan tertinggi di dunia. Sepanjang pembinaan, harga minyak begitu tinggi justeru tidak ada siapa yang mempersoalkan ledakan pembangunan yang berlaku di Dubai. Namun pada harga minyak sekarang telah jatuh sehingga di bawah US$40, maka krisis juga sudah mula dialami di sana.

Pemerhatian tidak boleh dibuat kepada satu peristiwa sahaja. Beliau juga merujuk kepada bangunan lain dan krisis lain, termasuk Kuala Lumpur pada 1997, Chicago pada 1974, New York pada 1930 dan juga Tower of Babel dalam Kitab Injil. Beliau turut menyentuh tentang China, yang menempatkan lima daripada sepuluh bangunan tertinggi di dunia. Kegawatan juga sudah menular ke sana.

Pembinaan bangunan tertinggi ini sebenarnya melambangkan kredit mudah dan keinginan untuk bermegah. Umumnya tanda-tanda krisis akan berlaku dalam apa jua sektor ialah apabila manusia mula bertindak secara berlebih-lebihan, harga naik secara melampau atau sesuatu sektor berkembang begitu pesat sehingga ke tahap pertumbuhan yang tidak boleh dikekalkan.

Lihatlah sahaja harga rumah di AS, harga minyak dan juga harga minyak sawit mentah yang setiap satunya naik mendadak sehingga pertengahan 2008. Jika kita meninjau sejarah terkini, kita juga boleh melihat ledakan dotcom pada 2000/2001 dan krisis kewangan Asia 1997/1998. Semuanya kerana kenaikan aset yang tidak boleh dikekalkan atau pemberian kredit yang tidak terkawal, yang juga menjadi punca mengapa harga-harga aset naik dengan ketara.

Kesimpulannya begitu mudah. Apabila ekonomi telah kembali pulih kelak, ramai akan mula melupakan tentang krisis. Kenaikan harga aset akan berlaku kembali, tetapi kita tidak tahu lagi dalam bentuk apa atau dalam sektor mana. Cuma kalau orang lain sudah leka dengan situasi ini, kita pastikan bahawa kita tidak mudah lupa supaya tidak rugi dan dapat melindungi aset kita.

04 Februari, 2009

Politik Jejaskan Ekonomi II

Pentingkan Diri atau Negara?

Dalam posting pada 12 September 2008 , saya ada menyentuh tentang gelagat ahli politik yang tak habis-habis dengan permainan politik masing-masing. Nampaknya dilihat daripada perkembangan politik di Perak, permainan masih belum selesai.

Saya tak faham adakah mereka ini tidak sedar tentang kegawatan yang dihadapi dunia, pekerja yang sudah dibuang kerja dan akan dibuang kerja, perniagaan yang mengalami kerugian dan sebagainya. Dunia menghadapi krisis paling buruk dan mereka sibuk dengan permainan kuasa masing-masing.

Patutkah rasa hormat diberikan kepada mereka yang lompat? Lebih-lebih lagi yang sanggup lompat dua kali. Dalam setiap keadaan, kita boleh lihat bahawa mereka bukan melompat kerana prinsip, tetapi pelbagai alasan yang diberikan untuk melindungi sebab sebenar.

Satu lagi perkara yang dilihat ialah ahli politik BN dan PR seperti tidak boleh duduk semeja untuk berunding mengenai cara menangani masalah ekonomi. Adakah pandangan seseorang tak boleh digunakan jika mereka dari parti lawan? Adakah apa yang keluar dari mulut parti lawan salah belaka?

Seperti yang saya kata dalam posting tahun lepas, rakyat Malaysia dan syarikat perniagaan Malaysia perlu membiasakan diri dengan situasi begini. Ahli politik tidak lagi akan membantu kita. Mereka sibuk dengan dunia mereka sendiri dan tidak ikhlas. Jika sesuatu dilakukan, mereka melakukannya untuk mendapatkan kredit bagi diri mereka dan juga parti mereka, bukan ikhlas hendak membantu.

Diharapkan rakyat Malaysia dapat membiasakan diri dengan situasi ini dan sama-sama bekerja keras untuk membangunkan ekonomi Malaysia. Saya terbaca satu posting tentang 'Automatic Government' dalam Blog Dr Mahathir dan amat bersetuju. Nampaknya 'leadership' untuk membangunkan ekonomi jatuh di tangan BNM dan juga syarikat perniagaan. Saya tidak nampak kepimpinan di kalangan ahli politik yang ada sekarang kecuali pandai memimpin orang lompat parti.

01 Februari, 2009

Hidup dan Belanja Ikut Kemampuan

Biar Tak Glamor Asal Dapat Tidur Lena

"Live Within Your Means"

Inilah caranya untuk hidup dengan tenang sambil membina aset untuk jangka panjang. Sungguh mudah dan nasihat ini boleh dibaca di mana-mana. Tetapi ada sesuatu yang menyebabkan ramai orang tidak dapat mengamalkannya. Saya tak pasti tahu apakah faktor sebenar yang menyebabkan kesukaran untuk hidup mengikut kemampuan. Kita bukannya dinasihatkan untuk tidak berbelanja...kerana kalau kita tak berbelanja bagaimana ekonomi Malaysia nak maju. Cuma berbelanja ikut kemampuan.

Jika kita hidup ikut kemampuan,
1. Kita tidak perlu berhutang, terutamanya hutang pengguna
2. Kita tak perlu kereta terlalu besar, yang memerlukan belanja besar untuk disenggara
3. Kita tak perlu beli produk jenama mewah
4. Kita akan membandingkan harga dan nilai produk
5. Kita akan menabung setiap bulan
6. Kita dapat bayar bil tepat pada masanya
7. Kita ada wang untuk sebarang kecemasan (tak perlu pinjam orang atau bank)
8. Kita tiada motivasi untuk berlumba mendapatkan produk atau fad terkini.
9. Kita tiada masalah menghadapi kegawatan ekonomi
10. Kita tak kisah apa orang lain kata
11. Kita ada duit untuk menderma untuk tujuan kebajikan pilihan
12. Kita akan bersyukur dengan apa yang kita ada, bukan asyik mengejar apa yang tiada
13. Kita tak 'jealous' bila jiran/saudara-mara kita beli kereta baru, TV baru atau sofa baru.
14. Kita tunggu sehingga harga produk terkini (seperti TV/Komputer) jatuh sebelum beli
15. Kita tidak terburu-buru nak melabur dalam skim pelaburan pulangan tinggi
16. Kita tukar barang bila perlu tukar, bukan kerana hendak tukar
17. Kita pentingkan penyenggaraan barang dan penjagaan kesihatan.
18. Kita akan sedar bahawa 'The best things in life are free (or almost free)".
19. Kita akan bina kekayaan secara perlahan-lahan
20. Kita dipujuk oleh Bank untuk mengambil pinjaman (tapi kita tak layan).


Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian
Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.