28 Januari, 2009

REIT - Pelaburan Hartanah Alternatif

Peluang Melabur Dalam Hartanah Tanpa Kerenah

REIT atau Amanah Pelaburan Hartanah ialah sebuah entiti pelaburan yang mengumpulkan dana daripada pelabur untuk membeli dan menguruskan aset hartanah, antara lain termasuk rumah, pangsapuri, bangunan komersil, rumah kedai dan juga ladang kelapa sawit. Ada REIT yang disenaraikan di pasaran saham - termasuk Amanahraya REIT, Axis Reit, Quill Capital REIT, REIT Al Hadarah Boustead, Al-Aqar REIT - dan juga REIT yang tidak tersenarai seperti Dana Ukhwah.

Ramai di antara kita yang tidak mampu membeli hartanah komersil seperti bangunan, ruang pejabat dalam bangunan, rumah kedai di lokasi perdana atau pun ladang kelapa sawit. Tetapi dengan instrumen yang dinamakan REIT, kita boleh melakukannya dengan mudah, iaitu menerusi pengurus hartanah profesional.

Malah kalau kita sendiri membeli rumah atau pangsapuri untuk disewakan, banyak masalah yang perlu kita hadapi, termasuk terpaksa menyenggara rumah, mengutip wang sewa dan menangani kerenah penyewa, kadangkala sampai kita pening kepala. Malah untuk membeli rumah untuk disewakan, biasanya kita juga perlu mendapatkan pinjaman bank.

Dengan melabur dalam REIT anda mendapat manfaat berikut:

1. Pendapatan stabil menerusi dividen
2. Potensi kenaikan harga REIT, menerusi peningkatan modal
3. Pengurusan profesional
4. Mampu dimiliki
5. Mudah dijual beli (jika REIT tersenarai)

Bagi REIT yang tersenarai, anda boleh memilikinya dengan membeli jumlah minimum 1 lot (100 saham). Umumnya dividen yang dibayar oleh REIT di Malaysia ialah antara 5 - 7%. Inilah matlamat utama REIT, iaitu memberukan pulangan dividen berkala. Namun pulangan tidak terhad kepada dividen sahaja. Jika nilai hartanah dipegang naik, pelabur juga boleh meraih keuntungan modal menerusi kenaikan harga REIT yang mereka beli.

Namun seperti biasa, pelaburan seperti ini bukan tanpa risiko kerana nilai hartanah juga boleh turun dan operasi sewa hartanah juga boleh mendatangkan kerugian jika tidak diuruskan dengan betul. Tetapi pada umumnya risiko REIT adalah lebih rendah daripada saham biasa.

25 Januari, 2009

Elakkan Rasuah Dalam Perniagaan

Kita perlu cuba sedaya upaya mencegahnya

Rasuah bukan sahaja terhad kepada perniagaan besar dan dunia politik, tetapi perniagaan paling kecil sekalipun tidak terlepas daripada cengkamannya. Dalam kesibukan MACC untuk membendung masalah politik wang, kita juga perlu meninjau sama ada perniagaan kita atau syarikat majikan kita terlibat dalam rasuah.

Beberapa tahun dahulu, ada seorang kenalan mahu membuka perniagaan di sebuah lot kedai. Untuk membuka perniagaan, beberapa lesen diperlukan daripada pihak berkuasa. Bagi memastikan segalanya berjalan lancar, sudah tentulah wang perlu dihulurkan. Persoalan saya ialah bolehkah perniagaan diteruskan tanpa membayar segala duit kopi ini. Mungkin boleh tetapi memerlukan kerja lebih keras dan memakan masa lebih lama, selain daripada sikap 'persistence' untuk memastikan anda mendapat kelulusan dalam masa yang sewajarnya.

Saya tidak begitu faham justifikasi yang diberikan oleh penerima rasuah atau duit kopi kepada diri mereka. Adakah mereka menganggap wang ini hak mereka? Atau adakah gaji rendah dijadikan alasan untuk menerima sumbangan 'ikhlas' daripada peniaga. Apa yang saya tahu ialah duit kopi (walaupun sekecil mana), adalah salah di sisi undang-undang dan lebih penting lagi, salah dari segi agama, bukan sahaja agama Islam. Justeru, saya tidak begitu faham bagaimana duit kopi ini boleh dianggap sebagai perkara biasa oleh penerimanya.

Saya sendiri pernah berhadapan dengan masalah rasuah walaupun perniagaan saya tidak mempunyai kehadiran fizikal. Permintaan yang saya terima ialah untuk rasuah yang dinamakan 'kickback' dan juga pengeluaran 'dummy invoice'. Dalam kes pertama, seorang dalam organisasi pelanggan akan meminta invois lebih tinggi dikeluarkan daripada harga biasa. Selepas bayaran dibuat, beliau meminta sedikit 'upah' kerana telah memilih syarikat saya untuk kerja tersebut. Apabila saya bercakap dengan kawan lain, ini dianggap lumrah perniagaan, tetapi saya sekarang tidak lagi mahu menerima urusan seperti ini.

Satu lagi permintaan ialah untuk 'dummy invoice', iaitu invois lebih tinggi untuk dibentangkan kepada pihak ketiga, dan satu invoice sebenar untuk kegunaan dalaman pelanggan. Saya tak tahu sama ada ini rasuah atau hanya amalan tidak beretika. Dulu saya menerima permintaan seperti ini daripada pelanggan tetapi sekarang tidak lagi.

Masalah dengan rasuah, selain daripada (kesalahan undang-undang dan dosa) ialah jika orang sudah tahu anda sanggup melayan kerenah mereka, maka mereka akan meminta lagi secara berulang. Akhirnya anda akan terjerat dengan perangkap rasuah dan tidak boleh beroperasi tanpanya. Mungkin kita boleh buat keputusan untuk berhenti serta-merta, terima kerugian awal yang dialami, dan bina semula perniagaan berasaskan amalan beretika. Siapa tahu, Insyallah perniagaan kita mungkin lebih maju daripada sebelumnya.

21 Januari, 2009

Bukan Senang Membina Pendapatan Pasif

Kerja Keras atau Modal Besar Diperlukan Di Peringkat Awal

Sebelum ini saya ada menyentuh tentang pendapatan pasif. Pendapatan pasif diperlukan untuk membolehkan seseorang benar-benar bebas dari segi kewangan dan mampu bersara dengan fikiran yang tenang. Walaupun pada hakikatnya pendapatan pasif amat berguna, pelaburan awal untuk meraih pendapatan pasif ini agak besar, sama ada dari segi modal, daya kreatif atau keringat yang dicurahkan.

Secara peribadi, saya juga sedang berusaha membina pendapatan pasif. Antara sumber pendapatan pasif saya termasuk sewa rumah (memerlukan modal yang besar), dividen daripada pelaburan dalam perniagaan rakan (memerlukan modal), dividen daripada amanah saham kerajaan dan yang terbaru, pulangan daripada buku yang akan diterbitkan (memerlukan banyak kerja untuk disiapkan, tanpa sebarang pulangan awal).

Pendapatan daripada perniagaan yang saya jalankan sekarang bukan pendapatan pasif kerana saya masih perlu bekerja di dalam perniagaan untuk menjana pendapatan. Keuntungan daripada portfolio saham juga saya anggap separa pasif kerana masih ada kerja yang dilakukan, termasuk menyelidik syarikat dan memantau harga saham.

Justeru kita dapat lihat bahawa sesuatu perlu dilaburkan sebelum pulangan dapat dicapai dan kerja-kerja awal untuk mendapatkan pendapatan pasif adalah kerja yang paling berat. Dari segi pendapatan pasif yang diperolehi daripada pelaburan modal, semakin besar modal, semakin besar pendapatan yang diraih. Justeru, gaji (pendapatan aktif) yang kita perolehi boleh dilaburkan atau ditabung untuk menjana pendapatan pasif.

Sebaliknya kita juga boleh memulakan satu perniagaan sama secara fizikal atau menerusi Internet, dan mengembangkan perniagaan tersebut sehingga ke satu tahap apabila perniagaan tersebut boleh diuruskan secara automatik sepenuhnya, iaitu dikendalikan oleh pengurus dan kakitangan sendiri, di mana kita hanya merangka strategi dan menjadi pemegang saham utama sahaja.

Satu lagi cara ialah bekerja keras untuk mencipta sesuatu karya, sama ada kreatif, artistik, penulisan, perisian dan sebagainya. Ini satu risiko kerana kerja awal anda dibuat tanpa bayaran. Tetapi jika laku atau laris, maka pulangan yang anda perolehi berlipat kali ganda kerana kerja perlu dilakukan sekali sahaja.

Ada pembaca bertanya bagaimana seorang pelajar boleh membina pendapatan pasif. Pada pendapat saya sukar tetapi mungkin boleh dilakukan. Cara paling singkat ialah melibatkan diri dalam bidang jualan. Harus diingat bahawa tanpa jualan, sesebuah perniagaan akan gagal. Justeru kemahiran jualan amat penting dan sesiapa yang pandai menjual biasanya meraih pendapatan yang tinggi.

Satu alternatif ialah dengan melibatkan diri dalam perniagaan MLM. Kerja keras diperlukan pada peringkat awal, tetapi pulagannya berlipat kali ganda apabila perniagaan sudah mapan. Tetapi cara yang paling popular sekarang ini ialah perniagaan online kerana modal yang diperlukan amat sedikit dan pasaran yang boleh dicapai tidak terhad. Namun, mereka yang ingin menceburi bidang ini perlu rajin belajar dan perlu bekerja keras di peringkat awal. Walau apa pun kalau menceburi bidang perniagaan, jangan sampai mengabaikan pelajaran.

Jika anda masih belajar, walaupun anda tidak dapat membina pendapatan pasif serta-merta, anda boleh merangka strategi dan belajar cara-cara membina pendapatan pasif, iaitu menimba ilmu yang diperlukan dengan membaca buku atau menghadiri seminar atau menolong orang lain berniaga pada musim cuti. Selain itu pelajar boleh mula memupuk tabiat suka menabung.

Apabila tamat pengajian kelak, pelajar mempunyai dua pilihan, dia boleh makan gaji atau menceburi bidang perniagaan. Pada waktu itulah persediaan tambahan yang dibuat (di luar dewan kuliah) semasa berada di bangku sekolah atau institut pengajian tinggi akan mula membuahkan hasil.

18 Januari, 2009

Mulakan Dengan Pemilikan Tunggal Dahulu

Kos Senggara Tahunan Syarikat Sdn Bhd Lebih Tinggi

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jika dengan bidang perniagaan, mereka ada tiga pilihan. Pertama sekali mereka boleh berniaga dahulu atas nama sendiri tanpa menubuhakn apa-apa bentuk perniagaan formal. Ini tidak menjadi masalah, terutamanya jika perniagaan tersebut berbentuk 'freelance' dan tiada kakitangan. Segala pendapatan boleh diisytiharkan sama ada sebagai pendapatan lain dalam borang cukai pendapatan.

Namun bagi perniagaan yang sudah sampai ke tahap sepenuh masa atau lebih serius dan mempunyai kakitangan ada baiknya kalau perniagaan didaftarkan secara rasmi, sama ada sebagai pemilikan tunggal, perkongsian atau sdn bhd. Ada baiknya kalau perniagaan dimulakan sebagai perniagaan tunggal dahulu kerana kosnya amat rendah, dan jika perniagaan tidak berjaya, tidak banyak kos yang perlu ditanggung.

Untuk mendaftar sebuah perniagaan tunggal, anda perlu pergi ke pejabat Suruhanjaya Syarikat yang mendaftar perniagaan (Pejabat Kuala Lumpur terletak di The Mall). Kosnya antara RM30 - 120 bergantung kepada nama dan ciri-ciri perniagaan. Setiap tahun tiada keperluan untuk mengemukakan akaun syarikat (tetapi ada bainya menyediakan akaun untuk kegunaan sendiri) dan akaun ringkas hanya perlu dikemukakan apabila memfailkan cukai pendapatan menggunakan Borang B. Akaun ini bukan mengikut format untung rugi biasa, tetapi berasaskan format Lembaga Hasil Dalam Negeri. Pendaftaran perniagaan perlu diperbaharui setiap tahun pada kos nominal.

Jika kita mendaftar sebuah sendirian berhad, lebih baik kita melakukannya menerusi sebuah pejabat setiausaha syarikat, dan mereka ini akan menguruskan segala urus tadbir syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat. Kalau kita buat sendiri memang susah. Kos penubuhan dan lain-lain sahaja sudah pasti mencecah RM2,000. Selain itu, kita perlu membayar yuran setiausaha syarikat (company secretary) setiap bulan. Akhir sekali, setiap tahun kita perlu membayar yurang audit dan juga yuran untuk memfailkan cukai syarikat. Jadi setiap tahun, kos sekurang-kurangya RM3,000 diperlukan untuk mentadbir syarikat. Malah kos tertentu tetap perlu ditanggung walaupun syarikat 'dormant' atau tidak aktif.

Juster jika anda baru bermula dan berniaga secara kecil-kecilan, lebih baik tubuhkan syarikat pemilikan tunggal terlebih dahulu. Apabila syarikat sudah mapan dan mempunyai hasil yang tetap, barulah boleh daftarkan syarikat sdn bhd. Pada pandangan saya kalau hendak memulakan perniagaan dari peringkat bawah sekali, boleh mula berniaga atas nama sendiri dahulu, kemudian tubuhkan pemilikan tunggal dan jika sudah mapan, boleh tubuhkan sebuah syarikat sdn bhd.

13 Januari, 2009

Hutang Bermanfaat dan Hutang Membinasa

Adakah hutang anda membantu meningkatkan aset?
Atau adakah hutang menyebabkan aset anda menyusut?


Bukan semua hutang atau pembiayaan sama. Hutang boleh membina atau membinasa. Anda perlu menilai hutang anda untuk memastikan tahapnya berada pada kadar yang berpatutan. Selain itu, anda juga perlu mengkaji segala hutang untuk melihat sama ada ia bermanfaat atau tidak. Apa sebenarnya maksud saya? Bagaimana sesuatu hutang boleh membawa manfaat atau membinasa?

Hutang yang membawa manfaat dan menambah aset ialah seperti hutang yang ditanggung untuk membeli atau membiayai aset yang meningkat nilainya. Sebagai contoh ialah pembiayaan rumah atau hartanah. Apabila anda membayar hutang, anda melunaskan dua bahagian, satu ialah kos pembiayaan (sama ada kadar keuntungan, kadar sewa atau kadar faedah) bergantung kepada jenis pembiayaan, dan satu lagi ialah wang pokok yang dipinjam. Apabila wang pokok dilunaskan, anda sebenarnya meningkatkan ekuiti atau pemilikan dalam rumah anda. Hartanah pada umumnya meningkat nilainya secara beransur-ansur. Justeru, anda berhutang untuk sesuatu yang membawa manfaat kepada anda.

Pembiayaan perniagaan juga merupakan satu lagi jenis hutang yang berpotensi membawa manfaat, selagi peminjam mampu mencatatkan untung daripada perniagaannya yang melebihi kos pembiayaan. Pembiayaan yang mampu meningkatkan keuntungan syarikat akhirnya akan menambahan nilai syarikat (firm value), seterusnya membawa kepada peningkatan aset bagi pemegang sahamnya. Namun, jika syarikat rugi, maka hutang yang bermanfaat boleh menjadi hutang yang membinasakan syarikat.

Hutang yang tidak bermanfaat pula ialah hutang pengguna seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Sebagai contoh, berhutang untuk membeli TV canggih, perabot dan membuat perbelanjaan isi rumah, atau berhutang untuk pergi melancong. Dalam keadaan ini, aset peminjam tidak akan meningkat, sebaliknya menyusut. Malah barangan yang dibeli juga pantas susut nilainya. Selain itu, hutang seperti ini juga dikenakan kos yang paling tinggi. Kalau boleh elakkan hutang seperti ini.

Sementara itu, ada hutang yang terletak di antara kedua-dua ekstrim. Sebagai contoh, pembiayaan untuk membeli kereta, pembiayaan untuk belajar atau hutang kerana terpaksa menjalani rawatan. Hutang kereta tidak akan menambahkan aset anda, kerana nilai kereta akan beransur-ansur menyusut, tetapi anda memerlukan kenderaan untuk bergerak, terutamanya di Malaysia. Begitu juga pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran. Walaupun, ia tidak membina aset ketara, ia tetap meningkatkan aset tidak ketara, iaitu kebijaksanaan dan kelayakan anda. Dengan kelayakan yang anda perolehi, anda boleh mendapatkan gaji lebih besar dengan potensi untuk terus maju lagi.

Justeru ada baiknya jika kita mengkaji segala hutang kita (jika ada). Pastikan sebahagian besar daripada hutang kita digunakan untuk membiayai aset yang meningkat nilainya dan cuba elakkan hutang yang membinasa.

10 Januari, 2009

Berapakah Pendapatan Pasif Anda?

Pendapatan pasif penting untuk mencapai kebebasan kewangan

Saya pertama kali terbaca tentang pendapatan pasif daripada buku Rich Dad, Poor Dad Robert Kiyosaki kira-kira 10 tahun lepas. Selepas itu, saya banyak membaca tentang pendapatan pasif dalam pelbagai buku perancangan kewangan, termasuk buku-buku daripada Azizi Ali.

Pendapatan pasif ialah pendapatan yang diperolehi tanpa memerlukan usaha atau masa tambahan atau memerlukan sedikit kerja tambahan daripada anda. Ini bermakna anda tidak perlu pergi kerja dari jam 9.00 pg hingga 6.00 ptg untuk mendapatkannya. Mungkin anda boleh melakukan kerja sekali, dan kemudian meraih manfaatnya berulang-ulang kali.

Kebanyakan orang hanya akan dapat gaji sekiranya mereka terus bekerja. Begitu juga dengan pendapatan peniaga kecil. Anda sebenarnya belum mencapai kebebasan kewangan kerana jika anda tidak bekerja, anda tiada pendapatan untuk menyara hidup anda secara berterusan (sambil mengekalkan aset pada tahap yang sama).

Kita lihat pesara sebagai contoh. Ramai yang pada mulanya tidak bekerja pada awal persaraaan. Tetapi selepas dua tiga tahun, mereka kembali bekerja kerana tahap kewangan mereka telah menyusut semula. Justeru pendapatan pasif penting untuk membolehkan seseorang terus meraih pendapatan walaupun tidak lagi bekerja.

Antara sumber pendapatan pasif termasuk:

1. Sewa rumah atau tanah (selepas ditolak semua kos, termasuk kos pembiayaan)
2. Dividen daripada ASB, Tabung Haji dan sebagainya
3. Royalti (contohnya hasil karya seperti buku)
4. Keuntungan atau dividen perniagaan yang dilabur (bukan yang diusaha sendiri)
5. Hasil perniagaan yang dijalankan hampir secara automatik sepenuhnya (contoh perniagaan dalam talian) yang memerlukan hanya sedikit masa untuk diuruskan

Justeru dapat disimpulkan di sini bahawa pendapatan pasif boleh diperolehi dengan melabur dalam satu aset dan mendapatkan pulangan, melabur dalam perniagaan dan meraih untung atau mencipta karya atau hasil kerja seni/intelektual/saintifik yang membolehkan seseorang mendapatkan royalti.

Kesimpulannya ialah kita tidak semestinya memiliki jumlah aset yang besar untuk meraih manfaat pendapatan pasif. Ada pelbagai cara untuk melakukannya. Cuba kira pendapatan pasif anda untuk melihat sama ada anda boleh bersara dengan selesa dan bebas dari segi kewangan (walaupun jika anda bercadang untuk bekerja seumur hidup kerana anda meminati kerjaya atau perniagaan anda).

Selamat berjaya!

06 Januari, 2009

Prestasi Dana Islam Jauh Ketinggalan

Dana Ekuiti Islam Terbaik Berada Di Tempat Kelima

Pada hujung tahun ini, saya telah meninjau prestasi dana unit amanah yang melabur dalam ekuiti (saham). Saya memilih penarafan lima tahun berasaskan Lipper Fund Table yang diterbitkan dalam akhbar The Edge. Pada pandangan saya, tempoh lima tahun ialah tempoh yang cukup panjang untuk membuat Tinjauan prestasi. Jangka masa satu atau tiga tahun terlalu singkat. Berikut adalah lima dana ekuiti terbaik untuk tempoh lima tahun

Dana Ekuiti Bukan Islam

1. AMB Value Trust 81.9%
2. PB Growth 73.3%
3. AMB Ethical Trust 65.1%
4. OSK UOB Equity 53.9%
5. Pacific Dividend 44.9%

Dana Ekuiti Islam

1. MAAKL Al-Faid 48.7%
2. Public Islamic Equity 36.6%
3. Public Ittikal 35.9%
4. Kenanga Syariah Growth 34.8%
5. CIMB Islamic Dali 26.9%

Jelas bahawa prestasi dana Islam terbaik adalah jauh lebih rendah daripada prestasi dana ekuiti bukan Islam. Tanpa kajian lanjut, kita tidak akan tahu sebab sebenarnya tetapi saya dapati apabila saham naik ke tahap tertinggi pada 2007, prestasi Dana Islam tetap ketinggalan di belakang Dana Bukan Islam.

Perkara ini memerlukan kajian lanjut. Jika prestasi disebabkan faktor di luar kawalan seperti pilihan saham lebih kecil berbanding dana biasa, kita boleh menerima hakikat ini. Namun pengurus dana tidak boleh semata-mata berpegang kepada alasan bahawa pilihan saham patuh syariah adalah terhad.

Antara faktor lain yang mungkin menjadi puncannya (ini hanyalah tekaan saya sahaja):

1. Keupayaan Pengurus Dana
2. Dana Islam masih baru dan prestasinya akan meningkat naik pada masa depan
3. Bilangan Dana Islam yang jauh lebih rendah berbanding dana bukan Islam.
4. Hanya ada dua saham dalam sektor kewangan yang boleh dilaburkan oleh pengurus dana Islam.

Faktor tertentu, seperti pilihan saham terhad yang boleh diterima oleh pelabur. Namun jurang prestasinya agak terlalu besar. Diharapkan para pengurus Dana Islam dapat meningkatkan prestasi supaya lebih menghampiri prestasi Dana Bukan Islam. Pelabur dana Islam sanggup menerima prestasi yang sedikit lebih rendah kerana faktor-faktor pembatas yang telah dinyatakan, tetapi diharapkan jurang prestasi ini dapat dirapatkan pada masa depan.

03 Januari, 2009

Antara Azam, Motivasi dan Tindakan

Hanya tindakan berterusan mampu menjamin kejayaan

Tahun baru ini pasti menyaksikan ramai orang menanam azam baru dalam pelbagai bidang kehidupan. Ada yang nak kurangkan berat badan, ada yang nak menambah tabungan, ada yang nak memajukan lagi perniagaan, nak kurangkan dosa dan menambahkan pahala, mengurangkan hutang, nak berusaha lebh rajin dalam kerja atau pelajaran dan banyak lagi.

Azam amat mudah dibuat dan motivasi juga senang diperolehi. Malah ada begitu banyak pakar atau buku motivasi yang ada di pasaran, sama ada asing atau tempatan. Memang kita perlu menanamkan azam dan mendapatkan dorongan luar untuk berjaya tetapi akhirnya kita tidak boleh 'stay motivated' 24 jam, dan apabila masa berlalu, dorongan yang membuatkan kita memulakan sesuatu usaha akan mula pudar dan pada masa inilah kita menghadapi ujian sebenar sama ada azam atau matlamat kita dapat tercapai.

Biasanya azam kewangan seperti menambah tabungan atau mengurangkan perbelanjaan dan hutang mudah untuk dimulakan tetapi sukar untuk diteruskan. Melakukannya dalam tempoh dua atau tiga bulan pertama memang tidak susah namun usaha meneruskannya sepanjang tahun dan ke tempoh selanjutnya menjadi cabaran sebenar. Orang yang berjaya melakukannya ialah mereka yang sanggup meneruksan tindakan walaupun motivasi sudah berkurangan.

Pada satu ketika dulu, ramai yang sibuk membaca buku atau menonton video 'The Secret', yang pada asasnya menyatakan bahawa jika kita dapat membayangkan kejayaan, kita akhirnya akan mencapai kejayaan. Cuma satu saja yang janggal. Video atau buku tersebut langsung tidak menyebut tentang tindakan! Bolehkah kejayaan datang begitu sahaja tanpa tindakan? Mungkin mesej yang hendak disampaikan ialah jika kita membayangkan impian, kita akan bertindak untuk mencapai cita-cita tersebut. Walau apa pun, kunci kepada kejayaan ialah tindakan yang berterusan.

Justeru pada tahun baru ini, jika anda telah menetapkan satu sasaran kewangan atau pelaburan, diharapkan anda terus berdisiplin dan 'follow through', dengan azam atau matlamat anda, walaupun apabila anda menghadapi sesuatu pilihan perbelanjaan nampak begitu penting sehingga anda tergerak hati untuk mengenepikan sasaran anda. Mungkin sasaran kewangan anda membuatkan anda rasa seperti terkongkong kerana tidak dapat berbelanja sedangkan anda ada wang atau 'kredit' untuk berbelanja tetapi teruskanlah dengan azam anda kerana pada akhir tahun, apabila anda melihat kejayaan yang anda capai, anda pasti berpuas hati dan berbangga dengan diri anda.