30 Disember, 2008

Ekonomi Sedang Gawat?

Musim cuti ini menunjukkan ramai pengguna masih yakin

Salam Hijrah diucapkan kepada sahabat dan pembaca blog

Tidak dinafikan bahawa ekonomi global sedang mengalami kemelesetan dan kesannya akan dirasai oleh Malaysia pada tahun depan. Tetapi keghairahan orang ramai berbelanja dan bercuti pada hujung tahun ini memberikan sedikit harapan. Walaupun dari segi individu, kita perlu berjimat cermat, menabung dan bijak berbelanja, bagi ekonomi Malaysia, KDNK hanya akan terus berkembang jika pengguna tetap yakin dan terus berbelanja. Ini kerana perbelanjaan menjana kegiatan ekonomi dan dalam keadaan semasa, perbelanjaan domestik amat penting untuk terus menggerakkan enjin ekonomi kita.

Saya baru pulang dari Langkawi dan memang ramai pelancong pergi ke sana. Di hotel saya sahaja ada pengunjung dari pelbagai negara, termasuk Jepun, China, Negara-Negara Eropah dan Afrika, India dan juga pelancong Malaysia. Kedai-kedai penuh sesak. Malah seorang pemandu teksi memberitahu saya "Kali ni ramai Mat Salleh tidoq pantai", sebab hotel dah penuh dan juga kerana overbooking. Berhampiran jeti, saya terdengar dua orang berbual dan berkata musim cuti kali ini paling ramai orang.

Sementara itu di Kuala Lumpur pula kompleks beli-belah penuh sesak. Sebelum berlepas ke Langkawi saya mengunjungi Mid Valley dan jumlah orang di sana amat luar biasa, lebih ramai daripada keadaan sesak biasa (kecuali kalau ada Jusco sale). Saya tak tahu fenomena ini sementara sahaja atau petanda bahawa ekonomi kita boleh menghadapi tahun 2009 dengan lebih yakin.

Saya masih ingat situasi pada hujung tahun 1997 sehinggalah akhir 1998. Keadaannya sangat malap. Pusat beli-belah tidak meriah manakala hotel-hotel juga kurang penghuni. Ramai orang mengalami masalah besar mencari kerja. Tetapi situasi kali ini agak berbeza sedikit. Saya tahu banyak syarikat dan juga orang akan merasai kesan kegawatan, terutamanya dalam industri tertentu, tetapi saya adalah antara pihak yang lebih optimis.

Antara yang yakin terhadap ekonomi Malaysia ialah Atul Bhagarva, pengarah urusan Intel yang berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi kegawatan ekonomi tahun depan. Selain itu, syarikat kad kredit juga meramalkan perbelanjaan akan meningkat pada musim perayaan ini. Kesimpulannya, kita harus prihatin bahawa kita akan merasai tempian kegawatan, tetapi saya yakin Malaysia mampu mengharunginya tanpa kesan yang terlalu serius.

25 Disember, 2008

Bagaimana Kalau Anda Sudah Rugi?

Menguruskan Saham atau Unit Amanah Yang Jatuh Nilainya

Menjelang akhir tahun ini, ramai yang pasti resah dengan situasi saham dan unit amanah mereka. Jika seseorang melabur pada tahun 2006 dan 2007 dan menyimpannya ke hari ini, pelaburannya boleh dianggap sebagai ‘underwater’ atau lebih rendah daripada wang pokok yang dilaburkan. Ada yang mula menyesal kerana melibatkan diri dalam saham, atau menyesal kerana mendengar jurujual unit amanah memujuk mereka membeli skim pelaburan yang ditawarkan.

Pelaburan ada risiko, termasuk unit amanah, dan pengurus profesional pun boleh mengalami kerugian. Tetapi perkara paling penting yang perlu difikirkan dalam keadaan sekarang ialah bagaimana anda boleh memulihkan pelaburan anda. Jangan membuat keputusan terburu-buru. Reaksi kebanyakan orang ialah mereka sudah serik dengan saham dan terus menjual sama ada saham atau unit amanah pada tahap terendah dan mencatatkan kerugian paling besar.

Harus diingat bahawa saham dan pasaran saham tidak akan naik secara terus-menerus dan pada masa yang sama penurunan tidak akan berlaku secara berterusan. Malangnya, ramai pelabur kecil akan melabur pada masa apabila saham sudah naik tinggi, iaitu apabila pasaran sampai ke peringkat 'hangat' dan merekalah yang rugi apabila penurunan ketara berlaku. Fenomena ini dapat dilihat daripada kehangatan jualan unit amanah pada tahun 2006 dan 2007. Ramai pelabur yang membeli pada waktu ini.

Umumnya apabila membeli saham, kita harus membeli saham yang 'undervalued' dan menjual saham yang 'overvalued'. Manakala pada pendapat saya (ada banyak pendapat lain), apabila membeli unit amanah pula, anda harus beli apabila pasaran rendah dan menjual apabila pasaran melonjak tinggi. Justeru, diharapkan krisis kewangan global kali ini diharapkan menjadi pengajaran yang baik untuk memastikan penilaian dibuat sebelum membeli, termasuk sebelum membeli unit amanah.

Menangani Saham Yang Rugi
Perkara paling penting ialah menentukan sama ada syarikat tersebut akan dapat mengambil kesempatan daripada pemulihan ekonomi yang bakal berlaku. Kadangkala, sesebuah syarikat terjejas teruk dalam keadaan krisis sehingga tidak dapat bangkit kembali. Ada syarikat lain pula tergugat buat seketika sahaja dan terus melonjak apabila ekonomi pulih. Jika anda rasa syarikat anda mengalami kesan kegawatan untuk jangka masa yang agak panjang, tukar kepada syarikat lain yang mempunyai prospek yang lebih cerah.

Menguruskan Unit Amanah Yang Rugi
Kaji semula prestasi unit amanah anda. Maklumat kedudukan setiap dana boleh didapati daripada akhbar mingguan The Edge. Jangan setakat melihat nilai aset bersihnya saja, bandingkan dengan dana-dana lain. Sekiranya dana ini berada di bawah 10 tempat teratas dalam kategorinya dan ini berlaku secara konsisten dalam tempoh dua atau tiga tahun, anda perlu bertukar kepada unit amanah lain. Biasanya, bagi unit amanah yang melabur dalam ekuiti, prestasi di bawah tangga ke-10 umumnya bermakna dana tersebut tidak dapat mengatasi prestasi indeks komposit atau indeks lain yang menjadi penanda aras.

Jika sesebuah dana tidak dapat mengatasi atau sekurang-kurangnya menyaingi indeks penanda aras secara konsisten, maka adalah sia-sia anda membayar yuran pengurusan kepada pengurus dana. Untuk menentukan prestasi dana anda berbanding indeks komposit, bandingkan dana dengan unit amanah OSK-UOB KLCI Tracker yang merupakan proksi sebenar kepada indeks komposit Kuala Lumpur.

Kesimpulannya ialah setiap kali anda membeli saham atau unit amanah, penilaian harus dilakukan. Jangan percaya cakap broker atau jurujual bulat-bulat. Jika anda tidak ada masa untuk membuat analisis sendiri, minta nasihat dua atau tiga orang lain yang berkecuali dan berkelayakan dalam bidang ini.

23 Disember, 2008

Tinjauan Pelaburan 2009

Ramalan mengenai suasana labur niaga tahun depan

Minta maaf kerana terlambat update blog kali ini.

Biasanya pada waktu hujung tahun, akhbar kewangan akan meminta pakar membuat tinjauan tentang suasana pelaburan atau perniagaan tahun depan. Walaupun saya bukan pakar, saya pun turut sama nak membuat tinjauan (walaupun tiada siapa yang meminta pandangan saya!)

Pada pendapat saya 9 bulan pertama 2008 pasti sukar. Suku tahun pertama kemungkinan besar paling perit bagi ekonomi global dan juga Malaysia. Suku kedua pun situasi tetap sama kerana kegawatan kali ini amat berat. Namun saya rasa pada suku tahun ketiga, keadaan tidak lagi bertambah teruk dan proses pemulihan sebenar akan berlaku pada suku keempat tahun 2009.

Umumnya, saya berpendapat ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar KDNK 3% pada tahun 2009, dengan pertumbuhan amat kecil pada separuh pertama dan pertumbuhan lebih pesat pada separuh kedua. Prestasi eksport Malaysia akan terjejas. Sementara berbeza daripada krisis 1997-1998 di mana pemulihan ketara berbentuk V berlaku, kali ini pemulihan akan mengambil masa yang lebih lama dan berlaku secara lebih perlahan kerana pemulihan Malaysia amat bergantung kepada prestasi negara-negara gergasi ekonomi.

Bagi pasaran saham pula, kemungkinan besar pasaran akan mendatar pada separuh pertama dan mungkin naik sedikit pada separuh kedua. Ramalan saya ialah pasaran saham akan ditutup pada tahap lebih tinggi sedikit pada 2009 berbanding tahun 2008.

Secara peribadi, saya sedang bersiap sedia untuk membeli saham pada suku tahun pertama tahun 2009. Walaupun kita tidak tahu bila pemulihan sebenar , saya pasti pemulihan tetap akan berlaku dan jika anda mempunyai jangka masa pelaburan selama lima tahun, saya yakin bahawa anda boleh menggandakan wang anda dalam tempoh tersebut sekiranya anda memilih saham, ETF, REIT atau unit amanah yang betul. Jika anda tidak ada masa untuk membuat analisis, gunakan ETF sebagai proksi pasaran atau labur dalam unit amanah dengan pengurusan yang mantap.

Akhir kata, semua ini hanyalah ramalan sahaja. Tuhan saja yang tahu apa yang akan berlaku. Jangan terlalu memandang serius tinjauan ini kerana pakar dan profesor tersohor pun boleh melakukan kesilapan sehingga tidak menjangka betapa teruk krisis kewangan kali ini. Walau apa pun, saya dapati ada banyak saham yang diperdagangkan pada harga berpatutan dan berpendapat tahun 2009 ialah tahun yang baik untuk membuat 'bargain-hunting'.

17 Disember, 2008

Al-Rajhi Charge Card Guna Prinsip Qard

Al-Rajhi langsung tidak menawarkan kad kredit

Semasa melayari laman web Al-Rajhi, saya dapati institusi kewangan dari Arab Saudi ini hanya menawarkan kad caj (charge card) sahaja, dan tiada kad kredit. Ini berbeza dengan beberapa institusi lain seperti Bank Islam dan Maybank yang masing-masing mempunyai kad kredit patuh syariah sendiri.

Perbezaan antara kad kredit dan kad caj ialah kad kredit membolehkan seseorang berhutang sedangkan bagi kad caj, pelanggan perlu membayar keseluruhan hutang (bukan jumlah minimum) pada tarikh yang ditetapkan. Jika tidak bayar, Al-Rajhi tidak mengenakan kadar faedah, tetapi akan mengenakan kos sebenar untuk mengutip hutang.

Persamaan antara kad kredit dan kad caj ialah kedua-duanya membolehkan pengguna berbelanja dulu dan mendapat tempoh tanpa faedah maksimum 50-55 hari sehinggalah tarikh pembayaran perlu dibuat. Jadi bank akan membiayai perbelanjaan pengguna sebelum pengguna membayar balik kepada bank. Tetapi dengan kad kredit, pengguna boleh berhutang lebih lama dengan membayar kadar faedah atau kadar keuntungan.

Tetapi satu perbezaan ketara antara Kad Caj Al-Rajhi dan Kad Kredit Islam seperti Kad Ikhwan Maybank dan Kad Kredit Bank Islam ialah konsep yang digunakan. Kad Caj Al-Rajhi dilaksanakan berasaskan konsep Qard atau pinjaman yang perlu dibayar balik jumlah pokoknya sahaja sedangkan kad kredit Islam menggunakan konsep Bai Al-Inah iaitu beli dan jual balik sesuatu produk, yang mengandungi unsur helah untuk mengelakkan riba.

Hakikat bahawa Al-Rajhi tidak membenarkan kontrak seperti Al-Inah dan tidak menawarkan sebarang kad kredit menunjukkan nilai-nilai yang dipegang oleh institusi ini. Sebagai pengguna, sudah tentulah lebih baik kita menggunakan kad caj berbanding kad kredit kerana memastikan kita tidak behutang dan berbelanja mengikut kemampuan kita.

Yurannya ialah RM70 setahun dan syarat gaji minimumnya ialah RM3,000 dan bukannya RM1,500 seperti banyak institusi pengeluar kad kredit lain. Ini memastikan mereka yang benar-benar mampu sahaja boleh mendapatkan kad ini.

Umumnya kad ini pasti kurang popular kerana ciri-ciri seperti tidak boleh berhutang lebih daripada tempoh yang ditetapkan dan ketiadaan mata ganjaran. Mungkin yang lebih penting ialah nilai yang ditekankan oleh institusi ini dan masalah yang dapat dielakkan jika menggunakan kad caj berbanding kad kredit. Terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan.

14 Disember, 2008

Meninjau Kedudukan Aset Anda

Kedudukan Aset Memudahkan Perancangan Kewangan

Ramai orang memandang gaji, pangkat atau jawatan, kereta dan perhiasan dalam rumah sebagai ukuran status keduniaan seseorang. Semua ini dijadikan kayu pengukur yang menentukan kedudukan atau taraf seseorang di mata kumpulan tertentu dalam masyarakat. Tetapi adalah kayu pengukur ini tepat? Saya pun tak berapa pasti tetapi secara peribadi, kedudukan aset seseorang lebih penting.

Kadangkala kita sibuk mengejar gaji lebih tinggi, pangkat lebih besar, kereta lebih mewah, rumah lebih gah dan perhiasan lebih cantik sehingga terlupa untuk meninjau kedudukan aset kita. Apabila naik sahaja gaji, kita pun 'menaik taraf' perbelanjaan kita. Mungkinkah golongan tertentu lebih mengutamakan harta benda yang disebutkan ini kerana ia mudah dipaparkan dan dilihat oleh orang lain?

Dalam kegairahan mengejar status, janganlah lupa untuk meninjau kedudukan aset kita. Bagi Thomas Stanley penulis buku The Millionaire Next Door, berasaskan penyelidikannya orang yang benar-benar kaya ialah orang yang banyak aset, bukannya orang yang bergaji besar. Dan kebanyakan orang kaya ini hidup di bawah kemampuan sebenar mereka. Sambil berusaha meningkatkan jumlah pendapatan, pastikan kedudukan aset sentiasa diawasi.

Kalau boleh, buat satu penyata aset dan liabiliti, menyenaraikan segala aset dan liabiliti anda. Kemudian kaji setiap aset, adakah aset itu meningkat nilainya atau berkurangan nilainya. Sebagai contoh, kereta ialah aset yang nilainya semakin berkurangan, begitu juga perabot, perhiasan rumah dan sebagainya. Jadi anda juga perlu mengenal pasti aset mana yang bermanfaat dan tidak bermanfaat.

Kadangkala orang yang bergaji besar akan mempunyai kedudukan aset bersih (aset tolak liabiliti) amat kecil atau negatif, kerana hutang yang besar. Dengan meninjau kedudukan aset, anda akan dapat memantau kedudukan kewangan anad dan mengambil langkah untuk mula membina dan mempelbagaikan aset. Perlu diingat bahawa satu hari nanti anda perlu bersara. Apabila bersara, aset anda boleh memberikan pendapatan pasif, terutamanya apabila tiada lagi gaji bulanan besar diterima.

Penyata ini juga akan menggalakkan kita hidup di bawah atau sekadar dengan kemampuan kita. Jika gaji naik, belanja pun turut naik, aset anda tidak akan meningkat sehinggalah anda bersara. Kita tidak boleh mengharapkan wang KWSP sahaja, kerana kajian menunjukkan bahawa wang ini dihabiskan dengan pantas oleh pesara.

(Aset termasuk aset tetap seperti rumah, tanah, kereta, emas dan sebagainya, dan juga aset cair seperti wang tunai, saham, unit amanah dll)

Nota: Artikel terbaru saya telah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi keluaran Disember.



11 Disember, 2008

Apa dah jadi dengan MK Land?

Saham jatuh teruk ke tahap 15 sen

Sejak 1997, MK Land telah membina nama sehingga menjadi sebuah syarikat pemaju perumahan terkenal. Dua orang tokoh yang menajui syarikat ini ialah Tan Sri Mustafa Kamal dan juga Datuk P. Kasi. Namun begitu, sejak 3-4 tahun lepas, MK Land dilanda masalah dan sahamnya jatuh ke tahap antara 10 sen hingga 20 sen sekarang. Masalah telah mula dialami sebelum kegawatan ekonomi dunia berlaku dan kini dengan ekonomi yang kurang pesat dan hartanah mewah yang dijual oleh syarikat, agak sukar untuk melihat kebangkitan semula MK Land.

Saya mula mengenali MK Land semasa bekerja buat masa yang singkat sebagai juruaudit di Arthur Andersen pada awal 1999. Saya telah mengaudit syarikat dan tertarik dengan potensinya. Pada masa itu syarikat baru sahaja mula meneroka pembangunan di kawasan Damansara Damai, yang masih diliputi hutan. Sejak itu, MK Land telah mula berkembang sebagai sebuah syarikat pemaju yang membina kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat. Syarikat juga baru membangunkan Bukit Merah Laketown Resort. Banyak syarikat pemaju yang menghadapi masalah dan lingkup akibat krisis kewangan 1998, terutamanya pemaju mewah, tetapi MK Land berkembang pesat kerana reputasinya sebagai syarikat perumahan untuk rakyat biasa.

Seiring dengan perkembangan sebagai pemaju yang unggul, MK Land telah mula memajukan kawasan Damansara Perdana. Saya juga ada membeli unit kondominum di sana pada peringkat awal pembangunannya. Pada masa itu kediaman yang dijual masih mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Tetapi selepas kondo saya siap, unit yang dikeluarkan oleh MK Land semakin lama semakin mahal. Pada peringkat awal, pembeli yang membeli boleh mendapat untung apabila membeli kondo di sana, tetapi kemudian harganya semakin mahal. Kondominum yang dibina lebih cenderung kepada golongan atasan, walaupun syarikat juga ada membangunkan apartmen Flora Damansara, yang berkos sederhana.

Seiring dengan kemajuannya, MK Land juga mula melakukan perkara di luar perniagaan teras, termasuk menaja pasukan bolasepak profesional untuk menyertai Liga Malaysia. Akhirnya pasukan ini menarik diri daripada liga beberapa tahun lepas. MK Land terus membangunkan kondominum mewah di Damansara Perdana dan satu kondominum mewah di Damansara Damai yang tidak begitu mendapat sambutan dan mengalami banyak masalah. Sekarang ini, kalau kita selidik kondo yang dibangunkan oleh MK Land, tiada lagi yang mampu dimiliki oleh golongan pertengahan. Hampir semua merupakan hartanah mewah. Mereka juga mempunyai pembangunan di Cyberjaya yang kosnya juga begitu mahal sekali.

Saham MK Land telah jatuh teruk daripada tahap tertinggnya kira-kira lima tahun lepas. Cuba lihat graf di bawah:


Dipetik daripada Bursa Station. Hakcipta Shareinvestor.com

Apa sudah jadi? Harga saham jatuh daripada harga tertinggi lebih RM3.50 kepada 15 sen. Faktor utama yang menyebabkan kejatuhan ini ialah kegagalan mencatatkan untung. Ini memanglah lumrah pergerakan saham. Apabila syarikat mula rugi, harga sahamnya akan jatuh. Tetapi mengapa syarikat gagal mencatatkan untung? Hanya pegawai atasan mereka sahaja tahu (atau mungkin mereka tak tahu, sebab itu mereka rugi). Pada pandangan saya, pihak pengurusan tidak memberi tumpuan untuk menghasilkan nilai kepada pemegang saham. Tidak dinafikan bahawa mereka pemaju yang baik dan hartanah mereka boleh dikatakan diuruskan dengan baik juga, walaupun bukannya yang terbaik. Kawasan perumahan mereka juga boleh tahan dan kediaman kos sederhana mereka yang sudah siap dibangunkan adalah lebih baik daripada yang dibina oleh pemaju lain.

Walaupun masalahnya telah bermula tiga hingga empat tahun lepas, iaitu sebelum kegawatan semasa, saya rasa keputusan syarikat untuk memberi tumpuan kepada hartanah mewah akan menyebabkan syarikat menghadapi masalah untuk mengatasi kemelesetan kali ini. Ini satu situasi yang ironi, kerana pada krisis kewangan lepas syarikat ini gah kerana membina rumah untuk rakyat biasa tetapi strategi tersebut diubah sehingga syarikat sendiri gawat.

Dari segi pelaburan, syarikat yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dengan baik tidak semestinya membawa manfaat kepada pelabur. Dalam dunia pelaburan, keuntungan amat penting. Jika pengurusan terlalu beri tumpuan kepada pelbagai perkara selain dari keuntungan, maka yang rugi adalah pelabur. Selain itu, kadangkala sesebuah syarikat yang bertukar tumpuan juga mungkin menghadapi masalah kerana keluar daripada perniagaan terasnya. Cuba lihat berapa banyak syarikat yang menawarkan rumah atau kondo mewah sekarang di Kuala Lumpur. Memang banyak. Tetapi syarikat kukuh yang membina perumahan termampu yang berkualiti amat kurang sekali.

Jangan anggap saham MK Land murah pada 15 sen kerana syarikat mempunyai masalah membayar balik hutang dan kekurangan tunai. MK Land juga tidak dapat menerbitkan saham baru untuk membayar hutang kerana pasaran semasa yang lembap. Selain itu, kondo-kondo mewahnya juga sekarang kurang mendapat sambutan. Jadi situasi amat genting. Pengajaran yang boleh diperolehi oleh kita sebagai pelabur ialah syarikat yang terbang tinggi dan mempunyai jenama terkenal juga boleh merosot prestasinya. Kita perlu sentiasa memantau pelaburan kita. Jika nilai saham lebih rendah daripada harganya, sudah tiba masanya untuk menjual saham tersebut.

Nota Tambahan:

Perkembangan Terkini - Pelan Pemulihan MK Land


Berikutan kerugian pada tahun 2007 dan 2008, Tan Sri Mustafa Kamal telah kembali mengambil alih tampok kepimpinan dan telah memulakan pelan 'turnaround' atau pemulihan yang dinamakan 'Renaissance'. Hasilnya ialah syarikat berjaya mengelakkan kerugian pada suku tahun Jun-Sept 2008. Antara yang dilaksanakan termasuk menjual aset bukan teras untuk membiayai projek baru dan mengurangkan hutang. Selain itu, syarikat juga bercadang mengeskport kepakaran dalam pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana dan luar negeri.

Semua ini adalah perkembangan yang baik. Kita tunggu prestasi MK Land pada suku terakhir tahun kalendar ini, yang akan dikeluarkan pada hujung Februari. Jika syarikat berjaya mengelakkan kerugian sekali lagi, ini bermakna pelan pemulihan mula membuahkan hasil dan saham MK Land boleh dipertimbangkan kerana potensi sebagai saham 'turnaround'.

08 Disember, 2008

Beli Rumah Pun Ada Risiko

Faktor Keselamatan Harus Diutamakan

Tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa tempoh hari bukan sahaja meragut nyawa, tetapi juga harta benda. Saya amat bersimpati dengan mangsa dan ahli-ahli keluarga mereka. Memandangkan laman ini merupakan laman pelaburan, saya akan beri tumpuan kepada harta-benda yang musnah.

Belum sampai satu hari kejadian berlaku, fenomena tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan satu sama lain telah bermula. Banyak pihak yang menyalahkan atau disalahkan, daripada Majlis Perbandaran sehinggalah kepada Syarikat Pemaju dan Kerajaan. Hujan lebat yang berterusan adalah Kuasa Tuhan, tetapi keputusan untuk memajukan kawasan bukit dan tadahan adalah perbuatan manusia.Tindakan membeli rumah atau menghuni di kawasan lereng bukit, kaki bukit atau cerun juga merupakan keputusan manusia.

Jadi kita sebagai pengguna dan pembeli rumah harus berwaspada apabila membuat pelaburan besar seperti membeli rumah. Walau bagaimana hebat sekalipun pemajunya, rumah yang dibina di cerun bukit ada risiko. Kita tidak boleh melawan hukum alam dan kuasa Tuhan. Kita sendiri harus proaktif apabila membeli, dan mengorbankan pemandangan yang indah untuk menjamin keselamatan.

Perlu diingat bahawa sebahagian besar kerugian yang dialami adalah kerugian penuh atau total loss, walaupun rumah masih berdiri lagi. Ini kerana kebanyakan insurans/takaful yang diambil ialah perlindungan kebakaran dan risiko berkaitannya. Untuk mendapatkan perlindungan daripada tanah runtuh dan tanah mendap, rider tambahan perlu diambil. Jadi bayangkan betapa besarnya musibah yang menimpa mangsa, walaupun bagi mereka yang tidak tercedera.

Bagaimana kalau sudah ada rumah di kawasan berisiko? Jawapannya ialah pilih antara dua, iaitu mendapatkan perlindungan insurans/takaful yang lengkap atau menjual rumah tersebut. Walau apa pun, cara paling baik untuk mengurangkan risiko, sama ada kepada nyawa atau harta benda, ialah dengan membuat keputusan yang bijak semasa membeli. Mungkin keselamatan harus diberi keutamaan berbanding suasana dan pemandangan.

Pemaju, Majlis Perbandaran dan Kerajaan akan bertindak berasaskan kepentingan masing-masing, justeru kita harus membuat keputusan untuk menjaga kepentingan diri kita sendiri. Jika kita, sebagai sebuah masyarakat, membuat keputusan kolektif untuk tidak membeli rumah di kawasan berbahaya, kita akan menyekat pembangunan di kawasan tersebut. Tidak perlu menunggu larangan Majlis Perbandaran atau Kerajaan Pusat. Pembangunan tidak akan berlaku tanpa permintaan.

03 Disember, 2008

KWSP Lebih Baik Daripada Saham?

Dalam tempoh tertentu, pulangan KWSP lebih tinggi

Pagi tadi saya terbaca satu artikel menarik di akhbar The Star yang membandingkan pulangan KWSP dan pulangan pasaran saham secara keseluruhannya. Penulisnya ialah Ooi Kok Hwa dan artikel tersebut boleh dibaca di sini. Beliau membandingkan pelaburan KWSP antara tempoh 1986 sehingga 2008 dan mendapati bahawa RM10,000 yang disimpan dalam KWSP menjana pulangan yang lebih tinggi berbanding RM10,000 yang dilaburkan dalam pasaran saham (dengan menggunakan indeks komposit sebagai proksi).

Sebenarnya perbandingan ini adalah kes ekstrim dengan tempoh yang sengaja dipilih untuk menekankan hakikat bahawa simpanan KWSP bukanlah serendah yang disangka. Beliau mengingatkan bahawa KWSP tidak pernah memberikan pulangan negatif sedangkan pasaran saham mencatatkan pulangan negatif dalam tujuh daripada tahun dalam tempoh perbandingan. Ini belum mengambil kira risikonya lagi, kerana risiko tabungan KWSP adalah sangat rendah manakala risiko pasaran saham jauh lebih tinggi. Pandangan beliau amat tepat sekali.

Namun begitu, saya menyatkan bahawa perbandingan ini adalah kes ekstrim kerana beberapa sebab:
  • Pertama sekali ialah tempoh yang dipilih. Jika tempoh antara 1987 - 2007 dipilih, pulangan pasaran saham pasti jauh lebih tinggi.
  • Keduanya ialah beliau mengandaikan seseorang melabur dalam saham, yang prestasinya diwakili indeks. Sebenarnya jika anda pandai memilih saham atau unit amanah, pulangan anda pasti lebih tinggi. Ada sesetengah saham yang naik begitu tinggi dalam tempoh tersebut.
  • Ketiga, beliau mengandaikan pelaburan saham terus disimpan selama 22 tahun. Ini sebenarnya jarang berlaku. Kita sebagai pelabur boleh membeli apabila harga rendah, dan menjual apabila harga naik tinggi, berasaskan penyelidikan yang dibuat. Tetapi kita perlu bijak menganalisis saham.
Walau apa pun, artikel ini sangat berguna kerana menekankan dua perkara, iaitu pulangan pelaburan KWSP adalah tidak serendah yang disangka dan faktor risiko harus diambil kira apabila kita membandingkan dua jenis pelaburan.

Pada pendapat saya, wang yang disimpan dalam KWSP tidak patut disentuh kecuali untuk beli rumah. Janganlah memilih opsyen melabur dalam skim unit amanah dan sebagainya. Bukan apa, inikan wang persaraan kita, lebih baik kita biarkan dalam KWSP kerana risikonya sangat rendah. Sebaliknya gunakan wang lebihan kita untuk melabur secara langsung dalam pasaran saham atau unit amanah. Satu lagi perkara yang boleh dipelajari ialah jika kita membuat keputusan untuk melabur, kita perlu tahu apa yang kita lakukan dan melabur berasaskan kajian dan maklumat untuk memastikan kita mendapat pulangan terbaik.