29 November, 2008

Tabungan Pendidikan - Mana Paling Sesuai?

Pilihan bergantung kepada keperluan individu

Belanja pendidikan kini bukannya murah. Kalau prestasi akademik anak cemerlang dan dia layak menerima biasiswa, maka segala masalah selesai. Tetapi persaingan amat sengit. Kalau masuk universiti tempatan pun kena bayar yuran. Inikan pula kalau tak dapat tempat, yuran institusi swasta jauh lebih mahal. Tetapi dengan segala perbelanjaan hidup yang perlu ditanggung, mungkin ramai orang rasa berat untuk menabung bagi pendidikan anak, lebih-lebih lagi kalau ramai anak. Walau apa pun saya rasa kita harus mencuba.

Ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan:
1. Skim SSPN
2. Skim Insurans/Takaful/Bank
3. Amanah Saham Didik
4. Amanah Saham Wawasan

Pilihan mana yang digunakan bergantung kepada kedudukan kewangan anda.

Skim SSPN

Skim ini menawarkan beberapa keistimewaan termasuk:
  • Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN dengan syarat berikut:
    Ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 sebulan perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM3,000; Ibu bapa berpendapatan keluarga tidak lebih RM2,000 perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM500. (Buat masa ini kedua-dua syarat dikecualikan)
  • Pelepasan cukai ke atas simpanan sehingga RM3,000 setahun;
  • Manfaat perlindungan insurans sehingga RM50,000 serta pampasan/khairat kematian diberi secara percuma untuk simpanan RM1,000 dan ke atas;
  • Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak **; Simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa dan dijamin oleh Kerajaan;
  • Kadar dividen yang berpatutan dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
  • Keluarga berpendapatan tidak lebihi RM2,000 sebulan layak menerima Geran Sepadan apabila anak diterima masuk ke IPT
Kelemahan
  • Tidak boleh mengeluarkan wang sesuka hati (dari sudut lain boleh dianggap satu kelebihan kerana memastikan wang tidak disentuh).
  • Dividen rendah antara 3 - 4%.
Skim ini amat sesuai bagi golongan berpendapatan rendah kerana geran sepadan yang diberikan sehingga RM10,000. Ini bermakna jika anda simpan RM10,000 anda akan dapat RM10,000. Selain itu, jika anda tidak mampu untuk menabung, anda hanya perlu membuka akaun dan menyimpan sama ada RM3,000 atau RM500 (bergantung kepada pendapatan anda) untuk melayakkan anak anda mendapatkan pinjaman pendidikan.

Skim Tabungan Insurans/Takaful/Bank

Skim ini biasanya memberikan lebih banyak perlindungan insurans/takaful. Ini manfaat utamanya. Ada yang menawarkan takaful kesihatan dan sebagainya. Namun begitu dividen yang diberikan adalah rendah dan kedua jika anda mahu mengeluarkan wang lebih awal, anda mungkin rugi. Tetapi satu manfaat besar skim ini ialah jika anda meninggal dunia, anak anda akan menerima jumlah tabungan sasaran yang ditetapkan, tanpa perlu membayar premium bulanan. Jadi skim ini memberikan anda kepastian.

Skim Amanah Saham Didik

Skim ini tiada manfaat perlindungan, tetapi memberikan pulangan yang tinggi iaitu lebih kurang 7% setahun. Satu lagi cirinya ialah wang boleh dikeluarkan bila-bila masa, jadi kaedah simpanan memerlukan disiplin. Namun begitu Amanah Saham Didik kadangkala habis dilanggan dan baru-baru ini peruntukannya telah ditambah. Jadi ada kalanya penabung tidak dapat menambahkan peruntukan mereka.

Skim Amanah Saham Wawasan

Sama seperti amanah saham didik, cuma peruntukan bagi Bumiputera selalunya tidak pernah habis, jadi pelabur boleh menambahkan tabungan secara terus menerus dalam ASW. Seperti skim amanah saham didik, disiplin diperlukan kerana wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Perbandingan
  • Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 4% selama 18 tahun dalam SSPN akan menghasilkan RM31,763
  • Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 7% dalam ASD/ASW selama 18 tahun akan menghasilkan RM43,423.
Terpulang kepada pelabur untuk melihat pro dan kontra setiap jenis pilihan tabungan. Sebagai contoh, bagi golongan berpendapatan rendah, skim SSPN nyata lebih bermanfaat. Bagi mereka yang mahu menjamin wang tersebut ada untuk anak mereka walaupun berlaku kejadian tidak diingini, skim Insurans/Takaful/Bank boleh dipilih. Sementara bagi mereka yang mahukan pulangan tertinggi, mereka boleh mengambil Skim ASD/ASW. Saya sendiri memilih ASW, dan mengambil skim perlindungan kesihatan yang berasingan untuk anak-anak.

Nota: Pembaca dijemput menambah pengalaman sendiri untuk kebaikan bersama. Sila beritahu jika ada sebarang kesilapan maklumat atau pengiraan.

26 November, 2008

Syarahan Perdana Prof. Dr Mohd Nazari

Krisis Kewangan Tidak Boleh Dielakkan
Berlaku Akibat Sistem Kewangan Semasa


Selasa, 25 November, 2008 - Universiti Malaya. Saya berkesempatan untuk menghadiri Syarahan Perdana Prof Dr Mohd Nazari Ismail, pensyarah jabatan strategi dan dasar, fakulti perniagaan dan perakaunan, UM, mengenai krisis kewangan. Beliau mengupas isu berkaitan krisis kewangan dan meninjau sama ada krisis boleh dielakkan. Ternyata syarahan ini amat relevan dalam keadaan ekonomi semasa.

Prof Dr Nazari memulakan perbincangan dengan mentakrifkan sesuatu krisis dan kemudian menyatakan bahawa krisis kewangan dan ekonomi telah berlaku sejak dari dulu lagi, antaranya termasuk krisis bunga tulip di Belanda beratus tahun dulu, 'Great Depression' pada tahun 1930an, krisis kewangan di Argentina dan Asia, kegawatan dotcom di Amerika dan krisis kewangan semasa yang membelenggu dunia sekarang.

Berasaskan kajian yang dijalankan, beliau mendapati krisis mula wujud 600 tahun dahulu, pada masa yang sama apabila aktiviti pinjaman wang mula diperkenalkan dan dianggap sebagai aktiviti perniagaan yang sah. Aktiviti pinjaman wang ini juga telah memperkenalkan konsep pengganda (leverage), membolehkan pelaburan atau penciptaan wang berasaskan beberapa kali ganda daripada nilai aset atau emas yang disandarkan.

Pada mulanya aktiviti mendapatkan untung menerusi pinjaman wang (riba) dilarang oleh semua agama termasuk agama Yahudi dan Kristian dan juga dipandang rendah oleh ahli falsafah. Namun begitu perkara ini telah berubah apabila John Calvin mengemukakan usul bahawa tindakan mengenakan kadar faedah bukannya riba tetapi sesuatu urus niaga hanya dianggap sebagai riba (usury) jika kadar faedah terlalu tinggi dikenakan. Sejak itu, bermulalah aktiviti pinjaman wang secara tersusun yang dianggap sebagai industri yang sah dan semakin berkembang pesat.

Beliau kemudian merungkai punca krisis kewangan semasa, dengan menyentuh masalah pinjaman subprima, perdagangan hutang dan juga beberapa instrumen derivatif yang berkaitan. Namun beliau bertanya, adakah krisis sebesar ini disebabkan hanya kerana beberapa institusi memberikan hutang kepada orang yang tak layak dan tak mampu membayarnya. Pada pendapatnya, faktor tersebut hanya faktor pencetus sahaja dan gejala 'overtrading' dan 'overborrowing' dan 'overlending' ialah kesan semula jadi sistem kewangan semasa di mana wang di dalam institusi kewangan perlu dipinjamkan untuk mendapatkan pulangan faedah.

Ramai yang tertanya-tanya sama krisis boleh dielakkan? Antara cadangan yang dikemukakan termasuk peraturan yang lebih ketat, menghalang aktiviti derivatif dan kembali kepada sistem kewangan bersandarkan emas. Tetapi menurutnya dalam keadaan ekonomi berkembang, liberalisasi dan derivatif dianggap sebagai faktor yang meningkatkan kecekapan pasaran, dan menggalakkan pembangunan pasaran kewangan, malah ramai cendekiawan dalam bidang kewangan sentiasa membangunkan instrumen baru untuk menggalakkan lagi perkembangan industri. Sementara itu, perubahan kepada sistem bersandarkan emas tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya sistem kewangan berasaskan pinjaman diteruskan, kerana sistem bersandarkan emas tidak akan dapat menampung inovasi dalam bidang kewangan.

Sebelum mengakhiri syarahan, Prof Dr Nazari memberi amaran bahawa segala rangsangan fiskal dan kewangan yang dilaksanakan sekarang, walaupun tidak boleh dielakkan dan perlu dibuat, hanya akan merawat gejala penyakit, bukan punca sebenar. Tindakan ini hanya menangguhkan sahaja masalah ke satu tempoh di masa depan. Katanya lagi, selepas krisis reda, perkembangan ekonomi akan berlaku semula, mungkin lebih pesat daripada sebelum ini. Namun krisis yang akan datang, pada tarikh yang tidak diketahui pada masa depan kemungkinan lebih besar dan lebih teruk daripada apa yang dialami sekarang ini.

Dalam syarahan ini, Prof. Dr Nazari tidak menyatakan secara terus-terang tentang punca sebenar krisis kewangan dan membiarkan hadirin membuat kesimpulan sendiri. Tekaan saya ialah beliau berpendapat punca sebenar krisis kewangan dan kitaran 'boom-bust' yang ketara ialah aktiviti meminjam wang untuk mendapatkan untung atau yang kita kenali sebagai riba, dan juga sistem penciptaan wang semasa, iaitu 'fractional reserve sistem' yang menimbulkan kesan pengganda yang amat besar. Justeru selagi sistem kewangan semasa diteruskan, kita perlu sentiasa berwaspada dan sedar bahawa apabila perkembangan terlalu pesat dan kenaikan ketara harga aset berlaku, kemungkinan besar kegawatan akan menyusul.

23 November, 2008

Buat Kajian Sebelum Melabur

Melabur berasaskan cadangan orang semata-mata kurang bijak
Kita perlu selidik sendiri pelaburan untuk mengelak kerugian

Melabur bukan perkara main-main. Pembelian saham, hartanah, unit amanah atau pelaburan lain harus dipertimbangkan dengan teliti. Kita tidak boleh melabur semata-mata atas nasihat daripada rakan dan sanak-saudara, atau kerana terbaca analisis yang dibuat oleh pakar. Seperti membeli apa jua barangan lain, kita perlu berwaspada apabila melabur.

Kalau beli kereta umpamanya, saya lihat ramai yang membuat analisis terperinci, membandingkan tiga atau empat jenama dengan teliti, contohnya rupa bentuk, keselamatan, kelajuan tertinggi, tahap penjimatan minyak dan lain-lain. Semua ini penting untuk memastikan anda membuat keputusan yang betul dan memilih kereta yang sesuai dengan keperluan anda.

Jika kita melabur, terutamanya melabur dalam saham, kita juga harus teliti dan membuat analisis. Pertimbangan harus diberikan kepada tahap keuntungan semasa, aset bersih, kedudukan tunai, keupayaan pihak pengurusan, produk syarikat, kedudukan hutang, dividen dll. Bagi mereka yang melabur dengan menggunakan analisis teknikal, mereka harus mengkaji pergerakan harga saham menerusi carta. (Perbandingan antara analsisi asas dan analisis teknikal akan dibuat dalam catatan pada masa depan).

Walaupun kita percaya kepada broker, rakan atau pakar yang menganalisis yang mengesyorkan saham syarikat tersebut, kita tidak harus terburu-buru membeli. Kita perlu tinjau saham tersebut setakat yang kita mampu. Tindakan ini memberikan satu lagi tahap perlindungan kepada kita. Perlu diingat bahawa jika anda yang melabur, risiko ditanggung oleh anda dan bukannya orang yang mencadangkan saham tersebut. Tidak salah mendapatkan tips dan nasihat daripada orang lain, memang ini satu langkah yang baik. Namun begitu, pastikan anda selidik sendiri dahulu. Anda tidak boleh menyalahkan orang lain jika anda rugi.

20 November, 2008

Pisah dan Senaraikan Unit Perbankan Islam

Tiada pilihan untuk melabur dalam institusi perbankan Islam

Sekarang ramai yang sibuk memperkatakan tentang perbankan Islam dan bagaimana ciri-ciri sistem kewangan Islam yang tidak menjual beli instrumen seperti derivatif dan hutang telah menyelamatkannya daripada krisis kewangan. Selain itu, perbankan Islam dijangka terus berkembang pesat dan bakal menjadi tunjang ekonomi negara, selain memainkan peranan semakin penting dalam perdagangan global.

Melihatkan kekuatan sistem perbankan Islam, sudah tentulah pelabur Islam, yang hanya sanggup melabur dalam saham patuh syariah, ingin mengambil kesempatan daripada peluang ini. Namun jika kita melihat senarai saham patuh syariah dalam industri kewangan, hanya ada dua, sebuah syarikat takaful dan sebuah bank, iaitu Bank Islam. Persoalan yang ingin ditanya di sini ialah bagaimanakah pelabur Islam boleh mengambil kesempatan daripada kemajuan sistem perbankan Islam sekiranya mereka tidak diberikan pilihan.

Kita sedia maklum bahawa hampir semua bank di negara ini mempunyai 'Islamic Window' ataupun anak syarikat yang berurusan dalam perbankan Islam. Setiap satunya menawarkan perkhidmatan bank Islam. Malangnya, pelabur Islam tidak boleh melabur dalam saham Bank biasa kerana jumlah pendapatan yang agak besar yang diperolehi daripada operasi konvensional yang berunsur riba.

Untuk mengatasi masalah ini, bank-bank harus memisahkan sepenuhnya unit perbankan Islam masing-masing dan menerbitkan saham baru menerusi IPO supaya orang ramai boleh membeli saham tersebut. Dengan cara ini, barulah sistem perbankan Islam menjadi semakin sempurna kerana kedua-dua operasi dipisahkan dari segi entitinya, membuatkan pelanggan lebih yakin dan pelabur pula berpeluang untuk bersama-sama menikmati manfaat perkembangan pesat perbankan Islam di negara ini.

16 November, 2008

Susahkah Menabung 10% Daripada Gaji?

Simpan 10% Pendapatan Untuk Kukuhkan Kedudukan Kewangan

Sebenarnya ada cara yang sangat mudah untuk membina displin kewangan, selain daripada menabung untuk masa depan. Kaedah ini sudah disyorkan sejak dulu lagi, termasuk dalam buku The Richest Man in Babylon pada awal abad lepas, dan juga buku-buku perancangan kewangan yang diterbitkan pada masa kini.

Jumlah 10% ini bukannya caruman yang dibuat kepada KWSP kerana caruman tersebut merupakan wang persaraan dan tidak boleh diambil dengan sewenang-wenangnya atau digunakan untuk tujuan kecemasan. Sebelum berfikir tentang melabur dalam saham, hartanah atau sebarang aset lain, ada baiknya kita mulakan dengan langkah yang amat mudah ini terlebih dahulu. Kalau tak ada wang, macam mana nak melabur?

Bagi golongan Bumiputera, tabungan ini bolehlah disimpan terus dalam Amanah Saham Bumiputera atau Amanah Saham Wawasan kerana pulangan agak tinggi yang diberikan. Selain itu simpanan harus dibuat sejurus selepas membayar gaji, bukan pada hujung bulan, apabila duit pun hampir habis. Dengan menyimpan pada awal bulan, kita akan mendisiplinkan diri untuk berbelanja apa yang kita ada sahaja dan hidup mengikut kemampuan kita. Jika mahu duit lebih untuk dibelanjakan, kita perlu cari jalan untuk mendapatkannya.

Namun masalahnya sekarang ialah ramai orang memiliki kad kredit. Justeru, kuasa beli mereka kini sudah melebihi pendapatan boleh guna. Mereka mendapati sukar untuk menghadkan perbelanjaan kerana kuasa beli yang diberikan oleh kad kredit. Akibatnya, apa yang berlaku sekarang ialah mereka berbelanja 110% atau lebih daripada gaji mereka, dan bukannya menabung 10% daripada pendapatan.

Fenomena simpanan negatif dan jumlah aset negatif semakin berleluasa sekarang. Penyelesaiannya sangat mudah. Kita perlu kembali kepada asas iaitu hidup mengikut kemampuan kita dan menabung 10% sebagai simpanan. Teknik ini sungguh mudah untuk dicadangkan tetapi amat susah untuk diamalkan. Tetapi memandangkan manfaat yang boleh diperolehi dan masalah yang boleh dielakkan, saya ingin bertanya sekali lagi, adakah begitu susah untuk kita menabung 10% daripada pendapatan?

11 November, 2008

Pembiayaan CIMB Xpress Cash

Alternatif Lebih Selamat Berbanding Ah Long; Tetapi Pastikan Pinjam Untuk Tujuan Perniagaan, Bukan Tujuan Peribadi

Kita sedia maklum bahawa ada ramai orang yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank secara konvensyenal. Ada yang pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk mendapatkan pinjaman, manakala ada pula yang berniaga dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Mungkin mereka baru memulakan perniagaan, menyebabkan bank ragu-ragu untuk memberikan pinjaman. Ada pula yang sudah lama berniaga tetapi rekod akaun mereka pula tidak begitu baik.

Sekiranya mereka memerlukan pembiayaan, bagaimana golongan ini mendapatkan wang? Sudah tentulah mereka mencari syarikat kewangan bukan bank atau Ah Long yang syarat pinjaman mereka tidak begitu ketat, tetapi mengenakan kadar faedah yang begitu tinggi.

Menyedari keperluan golongan ini, CIMB telah menubuhkan anak syarikat CIMB Express untuk menyediakan perkhidmatan 'microfinancing' untuk peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah. Syarat-syaratnya secara kasar adalah seperti berikut, tetapi maklumat lanjut boleh didapati dilaman web CIMB bank.

1. Pembiayaan antara 3,000 hingga 50,000
2. Pendapatan minimum RM800 sebulan atau memiliki perniagaan
3. Rakyat Malaysia 21 hingga 60 tahun
4. Seorang penjamin bagi pinjaman lebih RM5,000
5. Kadar pembiayaan 2 - 3% sebulan

Mungkin bukan semua orang layak, dan memang susah kalau nak cari penjamin. Kalau keadaan kewangan atau perniagaan tidak tersusun, memang terpaksa cari alternatif lain. Namun begitu, syaratnya lebih longgar daripada pinjaman bank biasa, dan lebih ramai orang yang layak menerima pembiayaan ini. Malah, dalam sesetengah kes, bank menjanjikan kelulusan dalam tempoh 24 jam. Xpress Cash ditawarkan sebagai produk konvensional dan juga produk patuh syariah.

Kelemahan

Tetapi sebelum memohon pembiayaan ini, pastikan anda telah cuba mendapatkan sumber pembiayaan lain yang lebih murah. Kadar pembiayaannya adalah lebih tinggi daripada kad kredit! Kad kredit hanya mengenakan kadar pembiayaan antara 1.25% - 2% sebulan, bergantung kepada kad dan kaedah pembayaran. Namun kadar Xpress Cash adalah lebih rendah daripada alternatif syarikat kewangan berlesen bukan bank dan juga Ah Long. Tetapi kadar pembiayaan ini memang dijangkakan kerana bank terpaksa menanggung risiko lebih tinggi apabila meminjamkan wang kepada golongan peniaga kecil yang tidak mempunyai rekod kewangan mantap.

Kesimpulan


Pada pendapat saya, pinjaman seperti ini hanya patut digunakan untuk tujuan perniagaan, bukan untuk tujuan penggunaan peribadi. Sekiranya anda hendak mengubahsuai rumah atau membeli barangan, Xpress Cash tidak sesuai kerana kadar pinjaman yang tinggi. Ambil pinjaman ini untuk kegunaan peribadi hanya jika anda betul-betul terdesak, seperti kecemasan perubatan dan sebagainya.

Bagi perniagaan pula, anda perlu yakin bahawa mereka boleh menjana keuntungan tambahan melebihi jumlah yang dipinjam, jika tidak kadar pembiayaan yang dikenakan akan menyebabkan anda rugi. Selain itu, pastikan anda membaca terma dan syarat pinjaman dengan teliti untuk memastikan anda tahu segala caj yang dikenakan. Walaupun Express Cash bukanlah alternatif pinjaman terbaik, ia memang lebih baik daripada pilihan seperti syarikat kewangan bukan bank dan juga Ah Long.

09 November, 2008

Memupuk Budaya Pemilikan Saham

Sasaran pemilikan ekuiti 30% tak akan tercapai sekiranya tiada usaha untuk menggalakkan individu Bumiputera memiliki saham

Kebelakangan ini kita asyik mendengar perdebatan tentang pemilikan ekuiti 30% yang perlu diperuntukkan kepada Bumiputera bagi syarikat-syarikat tersenarai. Ada pihak yang mendakwa peruntukan sebegini tidak efisien, manakala jawapan balasnya pula ialah peraturan ini amat perlu untuk memastikan pemilikan saham tidak terlalu memihak kepada kaum bukan Bumiputera. Tetapi percaya atau tidak, kedua-dua hujah ini walaupun bertentangan, adalah tepat sama sekali.

Bagi saya, langkah memperuntukkan modal menerusi syarat dan peraturan hanyalah langkah untuk merawat gejala atau 'symptoms' masalah dan bukannya untuk mengatasi punca sebenar atau 'root cause' ketidakseimbangan yang wujud. Kalau kita biarkan masalah ini berterusan, semua orang tak puas hati, golongan Bumiputera kerana tahap pemilikan saham yang rendah, dan juga kaum bukan Bumiputera, kerana terpaksa melepaskan pemilikan mungkin kepada rakan kongsi yang mungkin tidak serasi kerana golongan ini telah disyorkan oleh pihak tertentu, atau kerana hanya mereka yang sanggup mengeluarkan modal.

Masalah menjadi lebih serius dengan kaedah pembahagian semasa di mana sebahagian besar daripada peruntukan 30% ini dibuat bukan menerusi tawaran kepada bumiputera umum, tetapi menerusi 'private placement' atau tawaran persendirian kepada syarikat-syarikat tertentu yang diluluskan Kementerian Kewangan. Saya sendiri langsung tidak tahu menahu bagaimana saham diperuntukkan. Ini menyebabkan keseimbangan ketara berlaku di kalangan Bumiputera sendiri di mana hanya golongan tertentu sahaja boleh mendapat manfaat.

Kalau nak mengupas masalah ini secara sepenuhnya mungkin memerlukan thesis PhD (ada siapa-siapa berminat?). Namun saya boleh mencadangkan dua langkah yang boleh dilakukan

1. Mendidik dan menggalakkan Bumiputera umum membeli dan menyimpan saham sebagai salah satu daripada kaedah untuk mengumpulkan aset dan kekayaan.

2. Membuka peruntukan kepada individu Bumiputera dahulu, dan jika tidak dipenuhi, barulah diperuntukkan menerusi private placement kepada syarikat Bumiputera yang diluluskan Kementerian Kewangan. Dengan cara ini, permohonan saham daripada individu Bumiputera mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk diterima (malah dalam kes tertentu mungkin semua permohonan diterima).

Dengan melaksanakan dua perkara di atas, pemilikan dan penyebaran ekuiti di kalangan Bumiputera akan meningkat dan manfaatnya dinikmati oleh lebih ramai orang berbanding keadaan semasa di mana hanya segelintir syarikat mendapat manfaat. Kita tidak boleh membiarkan situasi di mana yang kaya bertambah kaya, sedangkan orang biasa tidak diberi peluang.

06 November, 2008

Beli MyETFDJ Sebagai Proksi Pasaran

MyETFDJ Merangkumi 25 Saham Patuh Syariah Bermodal Besar

Jika anda tiada masa atau tidak mahir untuk menilai saham, tetapi anda tetap mahu melabur dalam pasaran saham untuk mengambil kesempatan daripada harga saham yang rendah sekarang ini, anda boleh mempertimbangkan untuk membeli MyETFDJ, iaitu Dana Dagangan Bursa atau ETF yang patuh Syariah.

ETF sebenarnya ialah sejenis instrumen yang menjejak indeks. Bagi MyETFDJ, indeks yang dijejak ialah My ETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25, meliputi 25 saham patuh syariah bermodal terbesar di Malaysia. Justeru, saham-saham ini bolehlah dianggap sebagai proksi kepada pasaran saham Malaysia umumnya. Apabila anda membeli satu unit, anda telah mempelbagaikan pelaburan dalam 25 saham tersebut. Kejatuhan satu saham tidak akan menjejaskan pelaburan anda dengan ketara.

MyETFDJ boleh dijual beli seperti saham biasa di pasaran, dengan kos broker biasa, dalam jumlah minimum 1 lot (100 saham). Tetapi untuk menikmati kos urus niaga paling rendah, pembelian sekurang-kurangnya 3,000 unit disyorkan bagi pembelian online atau 10,000 unit bagi pembelian menerusi broker. Prestasi MyETFDJ setakat ini adalah seperti berikut:

Dipetik daripada Bursa Station. Hakcipta Shareinvestor.com

Kita dapat lihat bahawa sejak dilancarkan, MyETFDJ berada pada trend yang menurun, terutamanya kerana krisis kewangan dunia yang menyebabkan harga kebanyakan saham jatuh. Jika anda yakin bahawa ekonomi dan pasaran saham akan pulih, dan tiada masa untuk menilai saham satu persatu, MyETFDJ ialah pilihan yang mudah bagi anda untuk mengambil kesempatan daripada kenaikan yang dijangka berlaku, di samping mempelbagaikan pelaburan dalam satu urus niaga. Cuma jangan lupa bahawa anda perlu bersedia melabur untuk jangka panjang, terutamanya jika pemulihan mengambil masa satu atau dua tahun.

02 November, 2008

Bukan Senang Kutip Hutang

Perlu diplomatik tetapi tegas bila kutip hutang

Sekiranya anda memberikan kemudahan kredit kepada pelanggan anda, saya pasti anda sedar betapa susahnya mengutip hutang daripada sesetengah pelanggan. Malah dalam keadaan gawat seperti ini, biasanya bilangan hari hutang tidak dijelaskan semakin bertambah, kerana pelanggan kita pun mengalami masalah mengutip hutang daripada pelanggan mereka.

Sebenarnya apabila sudah lama berniaga, kita boleh 'baca' sama ada seseorang penghutang itu ikhlas atau tidak. Ada sesetengah itu sengaja melengah-lengahkan bayaran walaupun mereka ada duit. Sesetengah yang lain pula memang 'confirm' tak ada duit dan memerlukan masa untuk membayar. Perkara paling penting ialah keikhlasan.

Jika pelanggan terus terang dan berkata mereka tak ada duit dan memerlukan masa untuk membayar, saya tak ada masalah langsung. Saya tetap terima kerja daripada mereka. Jika kita tolong orang semasa mereka susah, nanti mereka akan tolong kita apabila kita terdesak. Tetapi yang tak sedap ialah pelanggan yang memberikan seribu satu alasan, bukan sekali tetapi berulang-ulang kali. Mungkin pelanggan ini perlu dinilai semula kemudahan kredit yang diberikan kepada mereka.

Bagi sesetengah perniagaan, kemudahan kredit tetap perlu diberikan kepada pelanggan. Kalau tidak, mungkin tiada siapa yang akan berniaga dengan kita. Apabila kutip hutang pun perlu diplomatik lebih-lebih lagi jika pelanggan tersebut penting untuk kita. Walaupun begitu, kita perlu sentiasa berwaspada. Apa gunanya meraih hasil atau 'revenue' yang tinggi sekiranya 10% daripada hasil tersebut tidak dapat dikutip.

Justeru, apabila menilai pelanggan, saya tidak melihat sama ada syarikat itu besar atau kecil, yang penting ialah cara mereka berurusan dengan kita dalam beberapa urus niaga pertama. Kalau sejak dari mula lagi sudah menimbulkan masalah, lebih baik lupakan pelanggan ini atau minta mereka berurusan secara tunai. Keupayaan mengutip hutang amat penting dan perlu diberi perhatian, kerana ada segelintir syarikat yang muflis disebabkan gagal mengutip hutang besar.